Anak-anak akan semakin membesar dan bila tiba saatnya, mereka akan meninggalkan rumah untuk keluar merantau mencari ilmu.Mungkin menyambung pelajaran universiti, kolej kemahiran dan sebagainya.
Tentu sekali saat ini, hati mak ayah akan dilanda kerisauan kerana anak-anak jauh dari mata dan pemantauan. Ibu bapa menunggu risau dan takut dengan kemungkinan datangnya musibah yang tak kelihatan.
ANAK TERKEJUT DENGAN ‘DUNIA’ BARU
Anak perempuan mula terkejut melihat maksiat di depan mata, mula-mula asing lama kelamaan menjadi nikmat yang tak disangka-sangka.
Anak lelaki apatah lagi, bagai bebas lepas dari penjara. Apa saja kejahatan mula dicuba dengan nafsu yang membuak-buak dahaganya. Anak kita bagaimana, selamatkan mereka dari kejutan budaya?
Perubahan adalah normal dalam kehidupan, anak perlu ditemani belajar beradaptasi dengan lingkungan yang baru. Apakah bekalan yang paling diperlukan anak di perantauan?
ILMU AGAMA
Kebahagiaan dunia dan ketenangan jiwa hanya dapat dirasai dengan menghadam ilmu agama sebanyak mungkin. Bukan untuk mengejar gelar ustaz dan ustazah tapi untuk mencari hidayah Allah.
Mungkin sewaktu di rumah, kita belum sempat menanamkan nilai agama yang cukup, tak sempurna bekalkan iman yang kuat hingga berakar dalam hatinya. Masihkah ada peluang untuk anak kita memiliki ciri-ciri pemuda yang dirahmati Allah dengan naungan-Nya, seperti dalam hadis ini?
“Tujuh orang yang akan diberi naungan Allah pada hari yang tiada naungan lain selain naungan-Nya; (salah satunya) pemuda yang membesar dalam keadaan suka beribadah kepada-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ads
Anak kita membesar dalam kelalaian atau keinsafan? Dalam pencarian ilmu atau pencarian nafsu yang tak pernah puas? Jangan lepaskan dia sendirian melawan segerombolan syaitan yang menyesatkan, kasihan sungguh anak yang bermusafir tanpa iman dan ilmu.
Bayangkan kalaulah diumpamakan dia berperang tanpa bekal senjata melawan musuh yang kuat menghunus pedang yang merobek jasadnya tentu kita rasa amat berdosa dan menyesal sebagai ibu bapa yang lepas tangan.
Walaupun ibu bukan ustazah sekurang-kurangnya tolong transfer ilmu dan nasihat untuk meyakinkan cahaya mata kita tentang suatu isu berkaitan kehidupannya. Ibu perlu bekalkan ayat-ayat al-Quran yang indah dan mudah difahami untuk menjawab masalah yang sedang dihadapi anak. Ada kalanya mereka bertukar buku, nasihat agama, ceramah dan video yang membangkitkan keinsafan. Akhirnya ilmu agama itu boleh menjaga mereka dari sebarang gangguan iman.
Ads
Sebagaimana sabda baginda s.a.w: “Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu.” (Hadis al-Tirmizi)
SIFAT EMPATI
Jangan bosan mencari khabar berita cahaya mata kita, memerhatinya dari kejauhan, memata-matai gerak geri, menelusuri jejak media sosialnya, berkenalan dengan kawan-kawannya, mencari tahu siapa dia di mata gurunya. Jadi kawan baik tempatnya meluah perasaan, penuhi keperluan bukan hanya jasad juga emosi mereka. Jangan jadi ibu yang tidak berempati, ibu sebegini umpama mayat hidup yang berjalan, ada dan tiada tidak dirasai.
Empati seorang ibu berfungsi apabila dia mampu mengajarkan zuriatnya mengenal dan mengawal emosi, memahami perasaan orang lain, hormat pada diri sendiri, menghargai pandangan yang berbeza, menjadi peribadi yang penuh kasih sayang, bukan mudah mendidik zuriat kita berempati jika ibunya sendiri tidak berempati.
Si ibu bersikap sinis dan prejudis apabila anak cuba meluah rasa. Akhirnya ibu dianggap sebagai orang asing, tidak mesra atau pilih kasih.
Sifat empati merupakan rahsia untuk tundukkan jiwa seseorang, ia juga tanda kita dirahmati Allah sebagaimana firman-Nya: “Disebabkan rahmat Allahlah kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, sudah tentu mereka akan menjauhkan diri dari kamu.” (surah Ali Imran ayat 159)
SEIMBANGKAN KEJAR SYURGA DUNIA DAN AKHIRAT
Cahaya mata kita yang merantau jauh mencari ilmu kadang tersandung batu di tengah jalan, tersungkur akibat pergaulan. Bila sudah jatuh lupalah segala cita-cita, putus asa saja yang tersisa. Ibu dan ayah mesti berjaga-jaga agar matlamat utama anak tidak dilupakan.
Ads
Setiap kali bercakap dan berjumpa ingatkan balik cita-cita mereka. Jalan mana yang mesti ditempuh, suntikan apa yang berkesan memberi motivasi agar dia kembali bertenaga. Ingatkan dia untuk pulang membawa kejayaan dunia sekali gus akhirat.
Malang sungguh jika ibu bapa memulaukan zuriat sediri akibat gagal dalam peperiksaan, tetapi tidak risau sama sekali jika dia gagal solat dan adab. Sahsiah sempurna dunia akhirat menjadi impian teragung ibu dan ayah, betapa kemuliaan akhlak semakin diketepikan kerana terlalu rakus mengejar kegemilangan dunia.
LETAKKAN SYURGA MATLAMAT AKHIR
Menjadi seorang perantau ilmu amat mencabar, oleh itu anak perlu diingatkan untuk meletakkan syurga sebagai matlamat akhir dalam pencarian ilmu. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Barang siapa yang menempuh jalan ilmu akan dimudahkan Allah menempuh jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat membentangkan sayapnya (kerana gembira) terhadap penuntut ilmu. Sesungguhnya penuntut ilmu dimintakan ampunan oleh segala makhluk di langit dan di bumi bahkan ikan-ikan yang berada dalam air.” (Hadis al-Tirmizi, Abu Daud)
Semoga anak-anak kita gembira menjadi penuntut ilmu yang ikhlas kerana ayah bondanya sentiasa bekalkan ketakwaan di sepanjang jalan kehidupan.
Sumber: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam.
Cabaran ibu ayah masa ini bukan sekadar memberikan pendidikan akademik yang baik untuk anak-anaknya. Menjadikan anak-anak lebih berdaya tahan lasak dengan ujian kehidupan itu juga bukan mudah untuk dilakukan.
Lebih lagi dalam berdepan zaman ‘segalanya terhidang di depan mata’. Namun, itu bukan alasan untuk tidak mempersiapkan mental dan emosi anak-anak.
Sebagaimana yang dikongsikan Liyana Marzuki ini. Pesannya agar ajarlah anak-anak untuk lebih berdaya tahan lasak. Kerana kepandaian semata masih belum mencukupi untuk mempersiapkan anak-anak berdepan dengan realiti kehidupan serba mencabar ini.
Kepandaian Vs Ketahanan
Dulu kita belajar, nak berjaya dalam hidup kena ada dua benda. IQ dan EQ.
IQ (Intelligence Quotient) bermaksud kepandaian otak memahami ilmu dan menghafal benda.
EQ (Emotional Quotient) pula bermaksud keupayaan menjaga perasaan, hormat orang lain, merendah diri, jujur dan punya jati diri. Paling penting tak malu jadi diri sendiri.
Sekarang kita diberitahu ada dua lagi konsep penentu kejayaan seseorang. Kena tambah dari IQ dan EQ yang disyaratkan dulu.
Iaitu Social Quotient (SQ) dan Adversity Quotient (AQ).
SQ merujuk kepada keupayaan seseorang untuk bersosial. Jaga hubungan dan menambah rakan. Ikut peraturan sosial dan etiket seperti tepati waktu untuk menjaga perasaan orang lain. Buat orang senang.
Mengikut pakar, mereka yang ada EQ dan SQ yang tinggi, lebih berjaya dalam hidup walaupun punya IQ rendah.
Yang terakhir sekali ialah AQ, ini merujuk kepada keupayaan seseorang menghadapi cabaran dan kesusahan hidup. Lagi kental seseorang itu, lagi tinggi AQ nya, dan lagi berpotensi menjadi insan cemerlang.
Saya dulu belajar di London, duduk zon 6. Uni di zon 1, 1.5 jam perjalanan naik tube. Tukar 3 train pulak tu. Sanggup duduk zon 6, sebab itu yang paling murah boleh dapat.
Duit tak pernah cukup lah. Kadang ambil upah jadi tour guide juga. Jadi babysitter pun ada.
Room mate saya sanggup jadi cleaner masa cuti. Just nak ada duit tambahan untuk belajar. Itu cara kami dan ramai di kalangan kita yang belajar di luar negara, nak ada extra belanja dan hidup masa tengah susah.
Disebabkan itu, ramai kalangan kita belajar erti ketahanan atau “grit”. Datang la apa saja, kita takkan putus asa. Kita hadap saja.
Budak sekarang lain benar peelnya. Posting ni tunjukkan bukan saja AQ ke laut, segala SQ, EQ malah IQ juga jauh tersasar.
Pepatah cakap:
“Do not prepare the road for our Children, prepare our Children for the road”
Itu mungkin kita semua kena hadam.
Ajar anak-anak kita, TAHAN LASAK itu lagi penting dari jadi pandai. Kalau setakat pandai, tapi lembik segala, apah pun tak guna!
Ibu ini, Liyana Marzuki berkongsi pengalamannya membentuk jati diri anak lelakinya. Seusia lima tahun sudah mengikutnya berhijrah, membesar dan menerima pendidikan di Kota London.
Sehingga pulang ke Malaysia, ibunya percaya dengan membentuk jati diri dalam diri anak lelakinya perlu bermula dari kecil. Biarpun terpaksa menaiki ‘tren’ travel dari Putrajaya ke Kuala Lumpur untuk ke sekolah. Anak ini tetap rela melakukannya.
Malah, tidak pernah culas mengenakan baju Melayu setiap kali ke sekolah pada hari Jumaat. Biarpun busana itu bukanlah wajib kepada pelajar. Anaknya tetap memakainya setiap Jumaat.
Jati Diri
1. Ini anak sulung saya. Umurnya 14 tahun, dah masuk Tingkatan 2 tahun ni. Setiap pagi, kalau saya tak sempat drive dia ke sekolah. Lepas Subuh, dia akan ambil train dari Putrajaya ke Kuala Lumpur. Dan menapak la dia ke sekolah.
2. Dulu masa saya ambil Masters di London, umurnya 5 tahun, saya angkut dia sekali bersekolah di sana. Ada sekali dia balik sekolah, dia tanyakan saya “Mommy, am I white or black?” (Mami, saya ni orang kulit putih ke kulit hitam). Tersedak saya dengar.
3. Saya tanya kenapa tanya macam tu? Dia cakapkan, kawan orang putih dia cakap, dia omputih. Kawan orang hitam dia cakap dia black. Saya terus tanya, “Dairil rasa Dairil orang apa?” “Hmmm… saya tak rasa saya omputih atau kulit hitam. Saya orang brown (kulit perang)”.
Pheww… lega rasa. Sedar diri jugak anak sorang ni. Nasib baik takde krisis identiti
4. Saya bagitau pada dia, esok pergi sekolah cakapkan pada kawan-kawan :
“I’m Dairil and I am a proud brown people of Malay. From the country called Malaysia. We were once great seafarers of Malaccan Strait. The busiest sea in the world. We fight for our country from the colonist, even after hundreds years of conquest. And for that, we are neither white nor black”.
Dia nampak blur masa saya cakap tu, tapi saya tahu dalam otak dia, dia register.
5. Balik ke Malaysia, saya masukkan dia ke satu Sekolah Kebangsaan di Putrajaya. Setiap hari dia menangis nak ke sekolah. Katanya, dia kena buli. Kena tolak dalam longkang. Kadang dia terpaksa makan dalam toilet masa rehat. Sebab bila dia cakap Bahasa Melayu, dia pelat omputih. Pembuli ni mana boleh!
6. Mak saya dah suruh pindah sekolah. Masukkan dalam sekolah swasta. Suami pun kata takpe lah dia cuba cari rezeki lebih tiap bulan, nak bagi anak pindah sekolah.
7. Tapi, saya tetap berdegil. Pada saya, kalau dia tak bercampur dengan kaumnya sendiri, takut besar nanti dia ingat dia Mat Saleh. Lagi parah!
8. So, saya suruh dia bertahan. Tiap hari bagi dia kata semangat. Saya bagitau dia keturunan ke-8 Dato Sagor. Pendekar Melayu tersohor, kalau orang buli, lawan! Jangan biarkan.
8. Dia mintak saya bagitau Cikgu dan jumpa pembuli tu. Saya bagitau kan. “I can’t. I cannot fight your battle. You have to fight your own. Mommy cannot be there always to protect you”.
9. Selang dua minggu dia macam dah ok. Dah nak pergi ke sekolah. Saya tanya apa jadi? Dia kata tiap kali ada orang datang nak buli, dia jerit pekik macam gila meroyan. Sampai diaorg takut and bolayan. Hah… bijak pun!
Jati Diri Bermaksud Bangga Menjadi Diri Sendiri
10. Selepas itu, dah tiada masalah. Dia sekolah sampai darjah enam di situ. Ok je boleh score. Bahasa Melayu paper pun dia sapu. Berbaloi la saya buatkan karangan BM untuk dia setiap minggu
11. Hari ni hari Jumaat, pagi tadi saya hantar dia ke sekolah. Tengok tiap Jumaat dia pakai baju Melayu. Saya tanya wajib ke pakai? Dia jawab pada saya ”Tak wajib pun, tapi saya kan Melayu. Takpe la pun nak pakai baju Melayu tiap minggu”
12. That, my friend, moment yang orang cakap “sejuk perut ibu mengandung”. Sepanjang balik ke rumah tadi saya senyum…
13. Satu benda saya belajar dari anak saya hari ni, jati diri itu bermaksud bangga menjadi diri sendiri. Kalau tak kita, siapa lagi?
Bila nak sampai ayah? Itulah pertanyaan anak bila masuk kereta. Padahal baru sahaja bergerak. Sama ada anak tak sabar nak sampai ke destinasi atau mungkin tak suka duduk lama-lama dalam kereta terutamanya bila berjalan jauh.
Kalau dah terlalu lama dalam kereta, mulalah anak buat hal. Gaduh, menangis dan macam-macam ragam. Kalau mak ayah yang tak sabar, ugutan berhenti kereta dan tinggalkan tepi jalan la jawabnya. Barulah diorag diam sekejap.
Ada masa anak-anak diam, bila dia dah letih dan tidur. Barulah tenang sikit mak ayah nak bawa kereta. keadaan ini biasanya berlaku bila nak balik kampung yang berada di negeri lain dan mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke kampung.
Perkongsian daripada Dr Redza Zainol mungkin boleh membantu mak ayah dalam menarik perhatian anak terutamanya balik kampung dan perjalanan jauh.
Dalam perjalanan, ada anak yang jenis gelisah dan tak boleh lama-lama duduk terperap dalam kereta. Mulalah tantrum dan buat perangai sampai mak ayah pun boleh jadi geram. Naik angin!
Ada sampai terjerit-jerit nak balik rumah. Ada yang gelisah sampai mengusik adik-adik yang lain pula. Anak kecil boleh jadi gelisah bila tak bergerak untuk satu jangka masa yang lama.
Saya nak kongsikan Teknik 5-4-3-2-1 yang mak ayah boleh guna untuk alih perhatian anak supaya kuranglah rasa gelisah atau anxious masa dalam kereta tu.
1. Minta anak fokus pada 5 benda yang berada di dalam kereta. Mak ayah boleh pilih benda yang senang untuk dicari.
“Cuba cari 5 benda warna merah dalam kereta.” Kemudian kita minta anak sebut atau tunjuk benda tu.
2. Minta anak fokus pada 4 benda yang dia boleh sentuh dalam kereta. Boleh jadi sentuh anggota badan sendiri, car seat, botol air dan mainan berdekatan.
3. Minta anak fokus pada 3 bunyi yang dia boleh dengar. Boleh juga buat masa singgah di hentian R&R. Contoh : Bunyi adik tengah tidur, bunyi aircond dan lain-lain.
4. Minta anak fokus pada 2 bau yang dia boleh hidu.
5. Minta anak ingat balik 1 rasa yang dia dah minum atau makan pada hari tu.
Percuma dan spontan saja kalau kita guna teknik ni. Sambil tu boleh ajar anak tentang warna, nama benda dan 5 deria asas manusia. Best kan?
Kalau ayah buat game ni dengan anak-anak, lagilah mak seronok. Sebab mak boleh sambung tidur.
MW: Kalau anak ramai dan masing-masing punya ragam, boleh naik angin mak ayah. Bertenang dan hati-hati memandu ye.
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...