Kalau ikutkan pengorbanan mak, tak seorang anak pun mampu membalas 100% apa yang dia pernah terima daripada wanita bergelar ibu. Yang sanggup berjaga malam demi anak, rela tahan lapar demi kenyangkan perut anak dulu, gadai harta demi sekolahkan anak, malah sanggup buat apa sahaja demi melihat anak senang. Untuk ingatkan anda pada pengorbanan mak, baca perkongsian daripada saudara Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad ini…
“Dulu dulu adik selalu tanya mana Abah, mana Abah”. Mak tak tahu nak buat apa, adik selalu tanya, Mak pun gantung gambar Abah dihujung kepala adik masa nak tidur, tapi adik kata “tak mau yang tu, mau yang ada kaki, ada tangan, boleh berjalan mai kat adik, boleh dukung adik, boleh peluk adik”.
ALLAHUAKBAR! Baru semalam Mak cerita kisah berpuluh puluh tahun dahulu, ketika Mak membesarkan aku keseorangan setelah suaminya meninggalkan dunia ini ketika baru 15 hari melahirkan aku kedunia ini.
Sungguh! Rupa paras dan tubuh badan ku tidak pernah dilihat dan disentuh oleh seorang lelaki yang dipanggil Abah, Mak melahirkan aku tanpa suaminya disisi kerana berkhidmat di Sarawak pada ketika itu.
Abah meninggal dunia di Serian Camp, Sarawak, hanya jasadnya dibawa pulang ke Kodiang Lama, Kedah, kampung halaman kelahirannya. Bermula dari saat itu lah Mak berkorban segalanya membesarkan kami 4 adik beradik.
ALLAHUAKBAR! Pengorbanan Mak yang diketika itu baru mencecah 30 an usianya adalah sesuatu yang sangat menakjubkan bagi aku dan adik beradik yang lain, Mak kerja apa saja termasuk menyemat atap daun nipah yang dijadikan bumbung rumah pada ketika itu di kampung kampung, upahnya dalam 50 sen sekeping atap, sehinggalah akhirnya Mak kerja kilang MMI dan membesarkan kami semua dengan sempurna.
Ads
Sebagai anak bongsu yang dipanggil adik, memang sungguh sangat sangat aku ini menjadi anak Mak, itulah Mak dan itulah Abah. Aku hanya dikenalkan kepada Abah dengan beberapa keping gambar yang ada, namun sebenarnya aku tidak pernah merindui seorang Abah kerana ya lah, langsung tidak pernah disentuh, apatah lagi dibelai, didukung, dipeluk dan dimanjakan. Sehinggalah semalam Mak menceritakan saat saat aku membesar dan sering mencari cari Abah.
ALLAHUAKBAR! Tak dapat aku bayangkan bagaimana kekuatan hati Mak ketika menjawab dan menggantungkan gambar Abah dihujung kepala ketika aku nak tidur itu. Kata Mak, Abah selalu kesana sini sebagai tentera dan biasa sangat kena tinggal, hanya satu saat saja Mak pasti mengalirkan air mata iaitu ketika kali pertama bergema takbir raya disetiap kali hari raya.
Selain dari tu, Mak gagah dan tunjuk gagah kepada kami adik beradik. Aku pernah diminta seseorang untuk diambil sebagai anak angkat tetapi dengan tegas dan semangat padu Mak menyatakan selama ia bernyawa dia akan pastikan dia melaksanakan amanah dari suami tercintanya.
Tulisan Abah meminta Mak jaga anak anak baik baik selamanya, aku baca didalam surat bertulis tangan itu Abah melahirkan rasa rindunya kepada Mak dan anak anak khasnya aku yang belum ditatap dan disentuhnya.
Ads
Surat itu bertarikh 24-Sep sehari sebelum Abah meninggal pada 25-Sep, kata Mak, Abah juga mengirimkan lagu di radio dan ianya disiarkan setelah Abah meninggal dunia, bayangkan ketika masih didalam pantang itu, Mak dengar radio kiriman lagu dari suami yang telah tiada.
Sungguh kuat dan tabah Mak aku ini! Ramai yang menggilai Mak, bukan calang calang yang cuba hampirinya, namun Mak nyatakan “Abah hampa tak ada ganti selamanya”, lagi pun sangat dibimbangi anak anaknya tidak diterima baik oleh ‘Pak Tiri’.
Mak sekarang dah nampak banyak uzur, mata dan pendengaran sedikit bermasalah, badan pun sedikit mengecil, kerdutan kulitnya jelas dilihat, namun masih tetap menggagah menyantuni anak menantu dan cucu cicitnya, sentiasa akan berusaha menyediakan makan minum untuk anak menantu, cucu dan cicitnya. Sentuhan dapur Mak memang tiada tandingannya, setiap kali balik kerumah Mak mesti akan masak makanan kegemaranku dan anak anak yang lainnya. Tidak lepas juga Mak akan menarik ku kedalam pelukannya dan mengucup dahi dan pipi ku dengan katanya “anak Mak dah besaq tua ni” sambil melirik senyum manisnya ketika aku bersalam untuk balik ke Kuala Lumpur.
Teringat ketika aku selesai aqad nikah, kata Mak “dah ada Pak Mentua, buatlah macam Abah sendiri, dulu kan tak dak Abah”. Mak juga sangat menyayangi isteriku Sharifah Mazrah menantu bongsunya, setiap kali bersalin Mak lah yang bertungkus lumus memasak makanan berpantang, membawanya ketingkat atas, memandikan cucu cucunya walaupun dengan kudratnya yang semakin terhakis setelah tenaganya diperah untuk membesarkan anak anak.
Ads
ALLAHUAKBAR! Beberapa minggu kebelakangan ini aku banyak menemui Pakcik Pakcik tua yang masih terpaksa bekerja, didalam FB aku menaikkan cerita seorang Pakcik tua berumur 82 tahun beranak 11 yang masih memandu teksi mencari duit belanja untuk menyara anak bongsunya yang terlantar di pembaringan sejak beberapa tahun yang lalu, aku juga menemui seorang Pakcik berusia melebihi 90 tahun yang dijaga oleh anak perempuan dan menantu, 3 anak lelakinya ada yang dah 10 tahun langsung tidak pernah menjenguknya sehinggakan ketika aku menziarahinya dia genggam erat tanganku tak dilepasnya ketika aku nak pulang, juga tiba tiba katanya ” …… ada ke tu” katanya dengar macam bunyi suara anak nya, mata Pakcik tu dah tak dapat melihat lagi.
Mak kata “baguslah walaupun tak boleh buat baik pada Abah sendiri, buat baik dan bantulah Abah Abah orang pun, nanti dapat pahala kat Abah kita juga”. Sungguh! Dalam hidup ku ini, aku sangat menyantuni bapa bapa saudara ku dari kedua belah pihak Mak dan Abah, dalam masa yang sama aku ada lelaki lelaki yang seolah Abah bagiku disudut hubungan kasih sayang yang terjalin, mereka banyak menasihati ku, membantu dan menjiwai ku. Aku ada Paksu Ali@ Haji Ali Bin Bakar, Pakcik Mat@Mohamad Bin Mahmud, Tuan Haji Hussain Bin Saat dan aku ada Paksu Duan@Haji Ridwan Bin Mat Som, mereka ini sentiasa bersama ku ketika susah dan senang, sekarang yang tinggal hanyalah Tuan Haji Hussain Bin Saat. Semoga ALLAH sentiasa merahmati mereka hendaknya.
ALLAHUAKBAR! Sungguh! Air mata ku laju membasahi baju ketika menulis ini kerana terbayang keadaan Mak ketika aku mencari Abah dan terbayangkan Ayah Ayah tua yang masih terpaksa mencari sesuap nasi walaupun beranak 11 dan bermacam macam lagi. Air mata ku juga semakin laju kerana ketika menulis ini, anak ku Syed Muhammad Abu Bakr Zuhdi sedang lena diribaan ku, sesuatu yang tidak pernah ku rasakan dari Abah ku.
Ya ALLAH, Kau rahmatilah Mak Abah aku dan semua Ibu Bapa didunia ini. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami masih kecil, kurniakanlah kebaikan dunia dan akhirat untuk mereka. Bagi yang mempunyai Ibu Ayah, janganlah sesekali mengabaikan mereka, tumpahkanlah sepenuh kasih sayang kepada mereka. Seandainya mereka telah meninggalkan dunia ini, jadilah kalian semua anak anak yang soleh yang sentiasa mendoa’kan mereka.
Ingatlah, siapa kita tanpa Ibu dan Ayah. Jangan lah kita abaikan peringatan dari ALLAH – Dan Tuhan mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik pada kedua Ibu Bapa kamu dengan sebaik baiknya,jika salah seorang diantara keduanya atau kedua duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya “ah”, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia,dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh rasa sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidikku di waktu aku masih kecil” Al-Isra’ 23-24.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cuti sekolah sudah tiba, masa terbaik untuk mencipta kenangan indah dengan meluangkan masa bersama anak-anak di dapur! Resipi Bebola Nasi dengan Ayam Teriyaki ini bukan sahaja menyeronokkan untuk disediakan bersama, tetapi juga memastikan hidangan lebih sihat dan lazat dengan penggunaan bahan berkualiti, sesuai untuk selera dan keperluan anak-anak.
Kombinasi Sempurna Beras wangi Jasmine Sunwhite terkenal dengan tekstur lembut, aroma wangi dan rasa lebih baik yang menjadikannya pilihan terbaik untuk keluarga.
Ia amat sesuai untuk kanak-kanak kerana membantu meningkatkan selera makan, memberikan tenaga yang berpanjangan sekaligus mereka akan kekal aktif sepanjang hari.
Sementara itu, gula perang CSR Better Brown bukan sekadar pemanis biasa. Dengan rasa karamel yang kaya dan kandungan mineral semula jadi, ia adalah pilihan lebih baik untuk mencipta hidangan yang lazat tetapi tetap sihat.
Aktiviti Menyeronokkan untuk Anak-anak Memasak bersama-sama bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga peluang untuk anak-anak belajar tentang penyediaan makanan. Mereka pasti teruja membantu membentuk bebola nasi dan bangga menikmati hidangan hasil usaha sendiri!
Jom cuba resipi ini sebagai aktiviti riadah bersama keluarga!
Resipi Bebola Nasi dengan Ayam Teriyaki
Bahan-Bahan
Bebola Nasi:
· 2 cawan nasi beras wangi Jasmine Sunwhite
· 2 batang sosej | direbus & dicincang halus
· 1 cawan kernel jagung | direbus
· 1/2 batang lobak merah | direbus & dicincang halus
· 1 sudu teh minyak bijan
· Sedikit hirisan rumpai laut
· Sedikit daun ketumbar | dihiris halus
Ayam Teriyaki:
· 4 ketul peha/drumet ayam
· 1 sudu makan kicap cair
· 1 inci halia muda | parut halus
· 2 ulas bawang putih | cincang halus
· 2 ulas bawang merah | cincang halus
· 1 sudu teh minyak bijan
· 1 sudu makan serbuk cili
· 1 sudu makan gula perang CSR Better Brown
· 1 sudu teh cuka
· Garam secukup rasa
· Minyak masak | untuk menggoreng & menumis
Bahan Hiasan:
· Daun salad
Cara Penyediaan
Bebola Nasi:
1. Dalam mangkuk besar, campurkan nasi Jasmine Sunwhite bersama sosej, jagung, lobak merah, rumpai laut dan daun ketumbar.
2. Masukkan minyak bijan dan gaul hingga sebati.
3. Bentukkan campuran menjadi bebola kecil sebesar bola pingpong. Ketepikan.
Ayam Teriyaki:
1. Perap ayam dengan kicap cair dan halia selama 10 minit untuk menyerap rasa.
2. Panaskan minyak di kuali, goreng ayam separuh masak, kemudian angkat dan ketepikan.
3. Dalam kuali yang sama, tinggalkan sedikit minyak dan tumis bawang putih serta bawang merah hingga naik bau.
4. Masukkan serbuk cili, gula perang CSR Better Brown dan cuka. Kacau hingga sos menjadi pekat. Tambahkan sedikit garam dan minyak bijan untuk rasa sempurna.
5. Masukkan ayam goreng tadi dan gaul hingga sos menyelaputi ayam.
6. Siap!
Penyediaan:
Hidangkan bebola nasi bersama ayam teriyaki di atas daun salad untuk sentuhan lebih menarik.
“25 tahun kahwin, tidak dikurniakan anak.” Isteri ini tak menyesal, berhenti kerja jaga suami kanser. Suaminya disahkan mengidap kanser usus.
Sebagai seorang isteri, wanita ini sanggup berhenti bekerja semata-mata untuk menjaga suaminya yang menghidap kanser usus sejak dua tahun lalu.
Tak Menyesal
Menurut Azizah Ismail, 57, suaminya, Mohamad Salim Lim Abdullah, 77, yang juga seorang mualaf dikesan menghidap kanser itu selepas mengalami kesukaran untuk membuang air besar.
Katanya, disebabkan itu dia tekad untuk menjaga suaminya apabila doktor mengesahkan kanser itu sudah merebak ke tahap tiga selain menghidap asma.
“Perkahwinan kami sejak 25 tahun lalu tidak dikurniakan anak, namun saya tidak menyesal kerana selagi ada kudrat, saya akan menjaga suami.
“Sebelum sakit, suami menjalankan perniagaan sendiri namun terpaksa berhenti selepas disahkan menghidap kanser dan sejak itu kami tiada mata pencarian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mawar, Hutan Kampung, Alor Star, Kedah.
Tidak DiKurniakan Anak
Menurut Azizah, suaminya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan namun wang yang diterima digunakan sepenuhnya untuk membawa suaminya berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selain makan minum mereka.
“Saya perlukan bantuan kewangan kerana sekarang wang yang ada tak cukup untuk menampung kehidupan kami kerana saya tak bekerja apatah lagi menghidap kencing manis.
“Suami sudah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak enam kali tetapi disebabkan tidak tahan, dia tidak dapat meneruskan rawatan seterusnya,” katanya.
Katanya, suaminya boleh makan dengan baik dan minum susu formula khas dan najis atau air kencing akan terus disalurkan menerusi saluran pembuangan di perut menggunakan beg stoma.
“Beg stoma itu disumbangkan oleh pihak Majlis Kanser Nasional (MAKNA) hanya untuk tempoh enam bulan dan ini bulan terakhir kami menerimanya.
“Satu beg itu digunakan untuk sehari tetapi kadangkala tidak cukup menyebabkan saya beli sendiri dengan harga RM11 sekeping.
“Suami juga kerap penat kerana paru-parunya juga mempunyai masalah. Saya perlukan katil pesakit khas untuk membantunya bernafas dengan baik,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Azizah di talian 014-3036234.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal menziarahi pasangan itu hari ini dan pihaknya membantu menyalurkan sumbangan barangan serta wang tunai untuk kegunaan mereka.
Mingguan Wanita : Semoga suaminya dikurniakan kesembuhan dan isteri terus tabah berdepan dengan ujian berat ini. Insyallah.
Seksanya bila ibu yang menyusu badan mengalami bengkak susu. Bila anak sudah melebihi usia dua tahun, ibu membuat keputusan untuk menghentikan susu badan. Proses ini tak mudah ya.. kerana ada ketikanya ibu akan sakit alami bengkak susu sehingga boleh menyebabkan ibu demam.
Mujurlah suami ini, BroOhsem Akhtar Syamir memahami kepayahan isteri. Diusahakan juga mencari ubat walaupun harga ubat yang dibeli itu katanya ubat termahal pernah dibeli. Demi isteri pulih kembali, suami tidak berkira untuk mendapatkannya.
Ini adalah antara ubat yang termahal pernah saya beli. Cuba teka ubat apa?
Tak ramai yang memperkatakan perkara ini. Tetapi bagi saya, ini sangat penting dan perlu diberi perhatian.
Apa jadi apabila anak sudah besar dalam lingkungan 2 tahun ke atas dan ibu yang sebelum ini menyusukan anak sepenuhnya dengan susu membuat keputusan untuk menghentikan susu badan?
Walau apa pun sebabnya, proses ini tidak semudah yang disangkakan. Nak stop susu? Tekan je butang stop kat dada tu, berhentilah susu tu betul tak? Kalaulah..
Secara realitinya, ia tidak semudah itu. Ia bermula dengan memisahkan anak dengan susu badan. Proses ini pun boleh jadi mudah atau sukar bergantung kepada anak itu sendiri. Ada yang tahan mendengar anak menangis inginkan susu ibu, ada yang tak tahan.
Ada yang letak lemon, bawang putih dan sebagainya untuk membuatkan anak tidak berminat lagi untuk menyusu badan kerana bau lemon atau bawang putih yang kuat.
Apabila berjaya, anak mula menghisap susu formula, masalah baru pula timbul.
Penghasilan susu oleh badan tidak berhenti secara automatik. Ia mengambil masa yang agak lama untuk faham yang tiada lagi keperluan untuk badan meneruskan penghasilan susu.
Buatlah macam mana pun, bercakap dengan dada ke, tekan sana sini cari butang stop ke. Memang tiada.
Seksanya Isteri Yang Alami Bengkak Susu
Apa yang jadi bila susu terus terhasil tetapi tidak dihabiskan? Sakit. Itu satu perkataan yang paling relevan dengan situasi ini. Terma yang paling biasa digunakan ialah bengkak susu.
Si ibu akan merasa sakit yang amat sangat kerana dada yang membengkak akibat pengumpulan susu yang tidak dikeluarkan.
Dada akan menjadi keras dan amat sakit. Kemudian datang masalah kebarangkalian jangkitan bakteria akibat saluran susu yang tersumbat.
Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri betapa seksanya isteri saya menghadapi situasi ini. Menangis dia di sebelah saya menahan kesakitan. Apa sahaja yang mampu saya lakukan, selain cuba menenangkan perasaannya. Sakit ini bukan biasa-biasa sampai boleh demam. Bayangkanlah.
Semasa anak kedua sebelum ini, kami ada minta nasihat Doktor dan Doktor memaklumkan yang ada ubat di pasaran untuk menghentikan penghasilan susu ini.
Kami tak tahu ubat yang mana sebelum ini dan mujurlah ahli farmasi memberikan ubat yang paling berkesan iaitu DOSTINEX. Harganya mahal dalam RM35 sebiji dan hanya boleh dimakan separuh biji sahaja pada satu masa dan tidak melebihi 2 kali dalam masa seminggu.
Saya juga ada beli alat tuam untuk melegakan kesakitan bengkak tu. Alhamdulillah, untuk anak ketiga kami kali ini, lepas makan ubat, terus kesakitannya semakin berkurang. Tiada lagi tangisan menahan sakit. Tiada lagi demam dan kesakitan.
Guna Petua Lama Juga Untuk Redakan Rasa Sakit
Satu tip untuk yang melalui keadaan yang sama seperti ini, boleh guna daun kobis untuk melegakan kesakitan. Letak sahaja di atas dada yang sakit dan tukar apabila ianya sudah panas kerana dada yang bengkak itu sememangnya akan menjadi panas.
Ini bukan sahaja penting untuk ibu yang nak berhenti susu kerana anak sudah besar, tetapi juga buat ibu yang keguguran atau yang menghadapi kematian anak selepas bersalin.
Semoga dapat memberi manfaat. Kongsikan penulisan ini supaya kita dapat memudahkan urusan orang lain juga. In Shaa Allah.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir dan isteri Nora Azniyang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan, emas dan isu semasa. Sertai Supergroup Telegram BroOhsem Fans untuk membolehkan anda berinteraksi dengan lebih rapat lagi : http://t.me/broohsemfans
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...