Begitulah hakikatnya, setiap pengorbanan isteri selalunya suami buat tak nampak sahaja. Namun kalau kekurangan isteri walaupun hanya kerana tak pandai melayan, bukan main dicanang dan diungkit.
Tak pernahkah terfikir perasaan isteri yang abdikan diri untuk keluarga, sama ada bekerja atau sepenuh masa bergelar suri rumahtangga. Masing-masing setiap isteri menggalas tanggungjawab serta melalukan pergorbanan yang sangat besar.
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin dan hadam baik-baik ya wahai suami sekalian:
Kadang-kadang kasihan juga dengan orang perempuan ini…
Boleh berdikari saja, terus dibiarkan buat serba-serbi sendiri…
Ada pendapatan, ada kemampuan, terus diambil kesempatan untuk lepas tangan…
Sanggup tanggung beban yang bukan kewajipannya, digasak sampai hilang kudrat dan tenaga…
Pengorbanan Isteri Tak Nampak
Dari subuh sampai malam bertarung dengan kerja-kerja rumah, berjuang dengan perangai anak-anak… Baru duduk dekat sofa, suami balik kerja dan nampak, terus suami cakap,
“Untunglah boleh duduk saja…”
Orang tak tahu awak itu bangun pukul berapa untuk memulakan tugas sebagai isteri, sebagai ibu… Orang tak nampak awak itu basuh baju, sidai baju, lipat baju, kemas rumah, memasak, pergi pasar, ambil anak sekolah…
Dia tak nampak apa yang awak buat sebab dia tak ada dekat rumah…
Bila dia balik, dia marah sebab anak-anak tak mandi lagi… Bila dia balik, dia marah sebab rumah bersepah… Bila dia balik, dia marah sebab tak jemput dia depan pintu… Bila dia balik, dia marah sebab baju berbau, tak kemas, nampak selekeh…
“Kena cop tak pandai melayan…”
Pengorbanan Isteri Walaupun Banyak Tak Nampak
Suami tak pula pergi hidu badan isteri sudah bau apa, sebab apa… Suami tak pula ke dapur untuk tengok ikan yang sudah letak garam kunyit tapi tak sempat goreng lagi, kenapa…
Suami tak pula buka almari untuk tengok baju yang sudah isteri lipat, sudah susun, untuk siapa…
Tuntutan suami itu tinggi… Demand suami itu hebat… Sebab dia suami…
Dia letak isteri dekat kaki ke, dekat sisi? Dia jadikan isteri tu hamba abdi ke, permaisuri?
Kebaikan isteri, dia tak nampak…
Pengorbanan isteri, dia tak hargai… Kekurangan isteri disebut-sebut, dicanang-canang, diungkit-ungkit…
Pengorbanan Isteri Tetap Tak Nampak
Dia perfect…
Dia biar isteri bayar hutang dia, tak apa… Dia juga biar isteri beli keperluan harian, tidak apa…
Dia biar isteri uruskan anak-anak sendirian, tak apa… Dia tak membantu dalam kerja-kerja rumah, tak apa…
Tapi bila isteri lambat hidang air, lambat memasak, lambat jemput depan pintu, ini tak boleh…
Kalaulah “isteri” itu adalah satu pekerjaan, sudah ramai perempuan letak jawatan bila dapat bos yang hanya tahu memberi arahan, tapi tidak turun padang dan berkorban bersama-sama dengannya…
The best quotes that I still can remember in my mind is,
“Why good employee leave a company?”
MW: Kalau boleh letak jawatan sebagai “isteri”, pastinya ramai yang memilih untuk berhenti kerja apabila bos berlaku kejam serta tak pandai menghargai. Tetapi kuatnya wanita ini, walaupun seringkali menjadi “hamba” kepada suami, mereka tetap memberi khidmat yang terbaik buat suami. Renung-renungkan.
Ramai yang bercakap soal isteri. Isteri aku begini isteri aku begitu malah ramai juga yang
berbicara soal seorang isteri patut begini seorang isteri sepatutnya begitu namun tidak
ramai yang sedar bahawa siapa seorang isteri itu dan bagaimana seorang isteri itu ditentukan juga oleh siapa dan bagaimana seorang suami itu patut berperanan.
Inilah realitinya mahu dielakkan, realiti yang akan menjejaskan hubungan suami isteri.
Hari ini artikel ini akan menyentuh tentang suami yang romantik. Lazimnya bila kita
bercerita tentang romantik, ramai yang akan terasa lain macam seolah-olah romantik ini hanya untuk golongan tertentu sahaja, hanya untuk mereka yang berada.
Apa tidaknya kita sentiasa dimomokkan dengan scenario romantik itu bermakna suami ini perlu bawa balik bunga untuk isterinya, atau makan malam disinari candle light , dan dilihat juga sebagai romantik itu dengan pemberian hadiah yang wow mahal hingga nipis poket jadinya? Semuanya ini sangat cliché. Apakah hanya ini skop romantik buat seorang suami? Jika inilah tentu saja ramai yang tidak mahu dilihat sebagai romantik, bimbang kopak poket kecil si suami jadinya nanti.
Jadi apakah itu romantik? Jika soalan ini ditanya kepada isteri, mungkin jawapannya berkait dengan soal rasa, soal bagaimana isteri itu merasakan kehadiran suaminya dalam keadaan yang dirinya rasa dicintai, dan dihargai, dalam keadaan isteri ini rasa dirinya diperlukan hingga dia boleh merasai kehadiran suami yang sentiasa merinduinya. Perasaan halus seorang isteri diusik oleh romantiknya si suami.
Bila bercakap tentang soal rasa ini, mana mungkin rasa ini akan timbul jika tiada
pencetusnya, tentu saja rasa ini tidak wujud tanpa pencipta rasa, bermakna si suami perlu
jadi romantik
Erti kata mudahnya, isteri akan merasakan dirinya cantik dan bertambah cantik untuk suaminya jika suami ini seorang yang romantik. Tidakkah ini yang suami mahukan? Untuk isteri kelihatan cantik tidak hanya pada paras rupanya malah cantik pada akhlak dan budi
pekertinya, hati dan emosinya, dan kuncinya ini ada pada suami.
Suami romantik isteri akan bertambah cantik jadinya.
Bagaimana perasaan seorang isteri yang menerima pujian daripada suaminya yang mengatakan dirinya cantik, senyumannya manis, wangi bau rambutnya, dan sedap masakannya? Tidak kah isteri ini akan merasakan yang dirinya cantik dan ingin menjadikan dirinya semakin cantik agar terus mendapat pujian daripada suaminya yang romantik?
Sebenarnya tidaklah susah untuk menjadi suami yang romantik ni, fokuskan kepada perkara rutin harian yang dibuat Cuma kali ini sentuhannya adalah sentuhan romantik.
Ada 10 tip untuk suami yang mahu jadi romantik yang dikongsikan oleh Mohd Shariman Che Deris, Professional Learning Fasilitator (mastery) @ Ketua Pembelajaran Excite Learning Consultancy
1.Peluk Isteri 10 Saat
Sebelum keluar rumah, amalkan sentiasa untuk peluk erat isteri selama 10 saat dan cium
isteri. Tidak cukup dengan hanya isteri yang salam dan cium tangan suami sahaja. Kuasa
pelukan ini akan buatkan isteri merasai yang suaminya sangat mencintai dia.
Malah impaknya akan jauh menusuk ke kalbu isteri bila suami yang sambil memeluknya turut mengucapkan kata-kata cinta dan sayang buat isterinya. Buat setiap hari untuk isteri, hinggakan isteri akan merindui pelukan 10 saat setiap pagi daripada suaminya. Suaminya suami romantik.
2.Whatsapp dan Teks Isteri
Zaman millennium ini media massa sangat memainkan peranan untuk suami zahirkan nilai romantik dalam dirinya. Tidak perlulah skema sangat dengan ayat-ayat buku bila whatsapp dengan isteri. Selitkan ikon-ikon dan grafik dalam whatsapp, buat secara konsisten, isteri akan merasakan dirinya sentiasa di hati suami.
Bayangkan jika pagi-pagi suami teks isterinya “Sayang, abang dah sampai pejabat” atau
“Makan apa tu tengahari ni, abang tak lalu sangat sebab sayang tiada sama ni” mungkin juga “Abang dalam perjalanan balik, sayang ada nak pesan apa-apa? Tidak sabar nak sampai rumah ni”
Mudah sangat dan suami akan kelihatan romantik di mata isterinya malah isteri juga akan
sentiasa merindui suaminya,
3.Berjenaka Dengan Isteri
Kajian rambang bila ditanya dengan wanita, ramai yang akan bersetuju suami yang pandai berjenaka akan dipandang romantik dan lebih membahagiakan. Bukanlah bermaksud, suami ni perlu jadi maharaja lawak. Hanya perlu ada elemen jenaka dan gurau senda bersama isteri. Kegilaan sekarang dengan pickup line juga boleh dijadikan antara elemen gurau senda dengan isteri. Rasulullah saw juga bergurau senda dengan isteri Baginda.
4.Mandi Bersama
Ramai yang bersetuju bila berbicara soal mandi bersama ni, ramai yang hanya mengamalkannya di peringkat awal perkahwinan sahaja, antara 3 – 5 tahun. Selepas itu kekerapan dan keinginan untuk mandi bersama makin kurang, ini perlu dikembalikan dan diamalkan selama mungkin di sepanjang perkahwinan.
Bila ditanya ada yang respons bila makin berusia ni dah mula rasa malu dan segan, atas
faktor diri yang tidak lagi seperti dulu. Ini antara perkara utama namun perlu diingatkan
kembali adalah nilai mandi bersama itu, adalah pasakan romantik yang sangat baik.
5.Membantu Isteri
Ramai yang akan berkata bahawa mereka sentiasa membantu isteri, betul dan memang jadi kelaziman suami-suami membantu isteri, insha Allah.Namun bagaimana untuk kita jadikan, membantu isteri ini sebagai romantik? Kuncinya adalah buat bersama-sama, bila melihat isteri lipat baju, suami datang membantu, bila melihat isteri sibuk di dapur, suami juga datanglah potong bawang, selitkan dengan jenaka dan gurau senda, bertepuk tampar usik mengusik Cuma janganlah sampai tak siap kerja rumah dek kerana sibuk bergurau senda.
6.Cari Isteri Dulu Bila Balik Bertugas
Senyum simpul isteri bila suaminya balik terus cari dirinya dan say hi apatah lagi jika
dipeluk cium seolah bertahun sudah tidak jumpa. Inilah romantik, elakkan daripada sekadar masuk rumah dan terus ke bilik mandi dan rehat. Jumpa dulu isteri kemudian baru berehat. Sangat mudah dan praktikal namun kesannya sangat mendalam di hati isteri.
7.Panggilan Manja buat Isteri
Panggilan-panggilan seperti awak saya atau I you ataupun namanya adalah satu kelaziman dalam perbualan rutin. Dalam kelaziman ini, tambahkan rencah resepi pemanis romantik suami dengan panggilan-panggilan sayang ataupun nama yang manja untuk menarik rasa istimewa pada si isteri. Rasulullah saw sendiri memanggil isteri Baginda Aisyah dengan panggilan “Wahai Humaira” iaitu panggilan sayang untuk Aisyah. Ini akan buatkan isteri rasa panggilan itu hanya untuk dirinya.
8.Suapkan Isteri
Kata bijak pandai less is more. Bayangkan bilamana ketika suami dan isteri makan bersama, sesekali suami menyuap makanan ke mulut isteri dan isteri pula buat-buat mengigit manja tangan suami, subhanaAllah ini suasana romantic yang sangat dicari-cari. Apatah lagi bila suami mengambil dan makan pula lebihan makanan isteri daripada pinggannya dan minum daripada cawannya sebagaimana yang dibuat Rasulullah saw.
9.Berikan Hadiah Buat Isteri
Sangat romantik, bukanlah mesti hadiah ini nilainya yang besar dan kerap. Bila keluar
bertugas di luar kawasan, bawalah hadiah balik buat isteri dan sebut kepadanya ole-oleh ini untuknya. Suami akan dilihat sebagai romantik biarpun yang dibawa pulang hanya sekilo buah manga ataupun sekotak coklat, apa yang penting adalah pemberian ini daripada suaminya.
10.Dengar dan Bersama Keluhan Isteri
Ramai isteri yang suka bercerita, dan dia akan lebih teruja jika dapat bercerita dengan
suaminya, apatah lagi jika suami mendengar dan respons dengan baik. Inilah nilai romantik yang diingini, suami perlu mendengar dan biarkan isteri bercerita semahunya, biarkan isteri luahkan rasanya biarpun mungkin bercampur emosi dalam ceritanya. Apa yang penting adalah suami berada di sisinya untuk sama mendengar setiap ceritanya. Isteri perlukan perhatian dan suami yang romantik tahu bagaimana untuk memberi perhatian dan mengisi rasa untuk isterinya.
10 tips ini hanyalah sebahagian daripada banyak tips lainnya yang boleh diamalkan oleh suami untuk menimbulkan rasa romantik pada isterinya. Bayangkan begini, bila isteri melihat suaminya romantik, dia juga mahu kelihatan romantik di mata suaminya, suami isteri begini akan saling menjaga keharmonian dan kebahagian, kesejahteraan dan kecintaan dalam keluarga agar berkekalan sampai ke syurga-Nya.
Tidakkah ini yang dimahukan oleh setiap pasangan suami isteri?
Suami romantik, insha Allah isteri akan berusaha untuk tambah cantik di mata suaminya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami kena peka dengan keadaan rumah. Sesekali suami kena bantu isteri, barulah tahu mana barang perlu dibaiki atau diganti.
Ini tidak setiap hari merungut itu dan ini, walhal barang satu persatu rosak tanpa sang suami sedar. Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam baik-baik ya.
Sesekali Suami Kena Bantu Isteri
Suami, sesekali kena masuk ke dapur. Bukan setakat basuh tangan. Tolonglah memasak.
Bukan apa, kadang waktu itulah kita dapat tengok rupanya dapur masak isteri kita tu apinya dah kecil. Sudah tersumbat sebelah. Tinggal sebelah sahaja yang elok.
Kabinet dapur punya laci sudah tercabut. Tunggu nak roboh saja.
Tengah potong sayur, pisau tak lut. Belum cuba potong daging lagi. Entah macam mana punya payah isteri kita cuba tekan pisau.
Blender pun dah macam bunyi enjin lori. Bunyi bising tapi bahan masak tak lumat pun.
Barulah Tahu Mana Barang Perlu Dibaiki atau Diganti
Banyak yang nak kena ganti dah.
Suami, sesekali basuhkanlah baju dekat rumah. Guna mesin basuh yang ada tu. Bukan setakat letak baju dalam bakul baju kotor sahaja.
Kadang masa itu baru kita perasan, pair air dah bocor. Air dok menitik tak berhenti. Hos tempat air keluar daripada mesin basuh dah rupa apa entah. Pecah pecah sampai air melimpah sana sini.
Waktu itu juga baru kita tahu besi penyidai baju kita dah 10 tahun tak ganti. Daripada awal kahwin pakai yang sama. Siap berkarat sana sini.
Suami, sesekali jenguk lah almari baju dekat bilik. Tolong kemas dan susunkan kain baju yang banyak dalam tu.
Kadang masa itu baru kita tahu, rupanya pintu almari tu tak boleh pakai. Sendal macam gitu sahaja. Silap sikit boleh terbalik pintu almari.
Iron baju kita pun silap silap dah barai. Jenuh lah isteri ni ironkan baju. Hati hati takut terbakar baju. Yang ada tu jenis masukkan air, melimpah pula keluar. Basah bajunya.
Suami, jenguk lah juga sesekali ke bilik tidur anak-anak. Lapik kayu katil anak tu ada yang dah patah. Anak dok melompat selalu, patah lah. Bila tidur senget dah.
Langsir bilik anak pun dah luntur. Warna dah tak berseri. Kita tak pernah pandang.
Ada banyak lagi kerja rumah yang kita boleh buat. Bukan setakat dapat membantu isteri, tapi lebih utama kita tahu keadaan semasa rumah kita.
Mana yang rosak, perlu diganti atau cuma perlu dibaiki. Benda benda ni kita jarang perasan sebab kita tak pernah tengok.
Yang kita tahu persoal ke isteri bila lambat masak. Selow kita kata. Padahal dapur rosak sebelah.
Baju kerja kita rosak. Bau kepam. Kisahnya mesin basuh rosak. Jadi basuhan tak sempurna. Kita marah marah saja tahu.
Nak cari seluar kerja tak jumpa. Iyalah dah almari separa roboh. Memanglah jadi tak tersusun. Nak mencarinya bukan main payah.
Isteri Tak Bebankan, Suamilah Kena Selalu Tengok
Isteri tu bukan tak nak beritahu. Diam sebab tak nak susahkan kita. Tak nak bebankan kita. Dia guna segala apa yang ada.
Jadi, kitalah kena selalu melihat. Tengok apa yang perlu.
TV, aircond, extension plug, meja kerja dekat rumah, sofa dan katil kita tidur memang lah kita tengok selalu. Sebab tu barang kita. Barang yang isteri guna hari-hari ni kena perhati juga.
Begitulah hidup suami isteri. Ada banyak lagi. Tinggal kau kena peka dan selalu mendengar.
Sekian. Firdaus Mokhtar, Suami juga.
MW: Itulah realitinya, barang-barang rumah atau barangan elektrik lama-lama digunakan pasti rosak atau perlu diganti. Oleh itu suami perlulah sentiasa peka dan beri perhatian tentang keadaan di rumah. Barulah isteri gembira lakukan kerja rumah setiap hari.
Ada wanita bekerja, masih bermimpi nak jadi suri rumah. Dan begitu juga posisi bagi kaum wanita yang penat menguruskan anak dan hal rumah, nak sangat peluang dapat duit poket sendiri tanpa perlu menunggu pemberian suami.
Apa lagi tengok orang bekerja melawa dengan pakaian cantik-cantik setiap hari.
Tetapi sebenarnya, masing-masing ada kelebihan. Cuma tak nampak dek kerana benda yang tak pernah dirasai. Ketahuilah para isteri, apa yang ditakdirkan Allah itu lebih manis dan ada rahsianya tersendiri.
Nah, untuk renungan bersama, jemput baca perkongsian Puan Farhana Muhammad tentang nikmat menjadi suri rumah dan wanita bekerjaya.
Suri Rumah Dan Dilema Wanita Berkerjaya
Kadang-kadang, hati dipagut cemburu melihat orang lain yang menjadi surirumah sepenuh masa; duduk di rumah dan menjaga anak sendiri. Pasti terselit juga keinginan di hati untuk duduk di rumah dan menjaga anak sendiri, melihat satu demi satu perkembangan si anak di depan mata.
Kerana.. menjadi suri rumah sepenuh masa sebenarnya satu perasaan nikmat yang tidak dapat digambarkan oleh seorang ibu dan wanita.
Semoga coretan ini sekurang-kurangnya boleh ‘memujuk’ hati ibu berkerjaya tentang perkongsian seorang insan yang cukup dihormati. Katanya, beliau pernah membuat perkongsian dengan doktor-doktor pakar di salah sebuah negeri di semenanjung. Doktor-doktor tersebut berkongsi bahawa terdapat ramai pelajar daripada jurusan perubatan tidak meneruskan kursus mereka hingga menjadi doktor bertauliah. Ada pelbagai sebab seperti penguasaan Bahasa Inggeris dan sebagainya.
Namun, ada juga yang berpegang dengan fahaman bahawa menjadi isteri solehah yang duduk di rumah, tidak bekerja dan menjaga anak-anak itu lebih utama. Walhal, MARA sudah tanggung segala kos pengajiannya. Malahan, doktor perempuan juga sangat diperlukan dalam bidang O&G khususnya.
Katanya, jangan kita fikir duduk rumah dan jaga anak itu tuntutan agama semata-mata. Memenuhi fardhu kifayah dalam bidang pendidikan dan kesihatan juga adalah tuntutan agama.
Biar Ada Sumbangan
Sentiasalah memuhasabah diri, suri rumah sepenuh masa atau berkerjaya, kedua-duanya perlulah sentiasa berusaha untuk menyumbangkan sesuatu kepada ummah.
Boleh jadi dia suri rumah, tetapi ada masanya dia memenuhi undangan berceramah agama.
Boleh jadi dia suri rumah, tetapi dia juga guru Al-Quran kepada anak-anak kejiranan.
Boleh jadi dia suri rumah, tetapi dia adalah usahawan yang membantu ekonomi muslim.
Walaupun duduk di rumah, namun dia tetap menyumbang sesuatu buat ummah!
Jika kita sendiri suri rumah, mungkin kita tidak pernah berfikir untuk meluangkan sesuatu buat ummah. Jadi, bersyukurlah di mana posisi yang telah Allah letakkan sekarang, dan berbanggalah jika seorang berkerjaya kerana kita sebenarnya memenuhi fardhu kifayah dan keperluan ummah!
Suri rumah sepenuh masa atau berkerjaya, kedua-duanya tidak perlu dibanding beza. Setiapnya mempunyai peranannya, selagi boleh memanfaatkan sesuatu buat ummah.
Tidak perlu dibanding beza, siapa yang lebih mulia kerana,
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” [QS 49:13]
Yang pasti, baik suri rumah sepenuh masa ataupun berkerjaya, kita semua tetap suri – suri hati kepada anak-anak dan suami tercinta.
Baik Working At Home Mom (WAHM), Stay At Home Mom (SAHM) atau ibu berkerjaya, berbanggalah kerana kalian adalah rabbatul bayt!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak lagi bergantung harap kereta sewa. Tahniah buat Zahnita yang telah berkongsi kisah dirinya telah memiliki sebuah kenderaan.Zahnita yang berhadapan dengan krisis rumah tangga...