Alhamdulillah, rezeki musim haji pada tahun ini buat pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, 38 dan suami Raja Amir Raja Azwa,40 apabila berkesempatan untuk menunaikan haji dan melengkapkan Rukun Islam yang kelima.
Doa Dipermudahkan Ibadah & Mendapat Haji Mabrur
Dalam perkongsian ringkas di Instagram, bekas Pengacara Mingguan Wanita Talkshow Musim Pertama ini selamat berangkat menunaikan haji semalam dan mengharapkan semoga perjalanan ibadah haji di tanah suci dipermudahkan serta mendapat haji yang mabrur.
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, ketika kita meninggalkan rumah, keluarga dan kaum keluarga untuk menunaikan haji, yang merupakan salah satu daripada 5 Rukun Islam kita, dan satu yang perlu diselesaikan dalam masa hidup kita, kita berdoa semoga perjalanan ibadah kami dipermudahkan dan mendapat haji mabrur InshaAllah,”ujarnya.
Terima Kasih Pada Suami
Ibu kepada 4 orang cahayamata ini juga mengucapkan rasa terima kasih buat suami tersayang yang turut menunaikan haji bersamanya serta berdoa semoga anak-anaknya yang ditinggalkan di tanah air dilindungi Allah selalu.
“Terima kasih Ling pergi bersama saya kerana Allah SWT menjemput anda untuk melakukan ibadah haji buat kali kedua menunaikan tanggungjawab anda terhadap saya. Segala pengorbananmu hanya Allah jua yang dapat membalasnya,”
“Semoga Allah melindungi anak-anakku selalu. Mummy dan daddy amat menyayangi kamu semua namun ‘Allah sedang memanggil’.. Terima kasih mak, tolong jagakan anak-anak dan atas nasihat yang diberikan,” ujarnya lagi.
Ads
Terdahulu, pasangan ini mendirikan rumahtangga pada 2011, dan hasil perkahwinan 12 tahun ini dikurniakan empat cahaya mata termasuk sepasang kembar iaitu Raja Abdul Mateen dan Raja Nour Emaan, 10, Raja Ahmad Shah,7 dan Raja Aasiya Amaal, setahun.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah buat Nurul Syuhada dan suami atas panggilan haji tahun ini. Semoga dipermudahkan segala urusan di tanah suci dan mendapat haji yang mabrur.
Suami dimadukan isteri, saya tak pernah ceraikannya, kami masih pasangan sah dari hukum syarak. Ternyata kisah suami dimadukan bukan dogengan kerana ia benar-benar terjadi. Jika kita biasa mendengar wanita dimadukan tetapi nampaknya lelaki dimadukan juga.
Hal ini didedahkan kepada umum selepas seorang peniaga, Rahaman Mohamed Jaafar, 47, mendedahkan dia berkahwin dengan wanita berusia 32 tahun pada Januari 2019 di Narathiwat, Thailand, sebelum isterinya menghilangkan diri selepas keluar dari rumah, Januari lalu.
Suami Dimadukan Isteri
Menurutnya, perkahwinan mereka sah mengikut hukum syarak oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah pada 6 Jun lalu dan didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
“Bagaimanapun selepas kehilangan isteri Januari lalu, saya mendapat tahu di media sosial pada April lalu bahawa dia berkahwin dan perkara itu agak mengejutkan kerana saya tidak pernah menceraikannya… kami masih suami isteri.
“Selepas saya membuat semakan, saya dapati isteri ada membuat permohonan untuk berkahwin dengan lelaki lain yang berusia 42 tahun di Pejabat Agama Besut, Terengganu pada April lalu.
“Dia dipercayai menggunakan surat cerai dengan suami terdahulu iaitu sebelum berkahwin dengan saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
“Saya Tak Pernah Ceraikannya, Kami Masih Pasangan Sah Dari Hukum Syarak”
Memetik laporan Harian Metro, mengulas lanjut, Rahaman berkata, susulan mengetahui dia ‘dimadukan’ isteri, dia memfailkan tuntutan faraq nikah di antara isterinya dengan suami kedua.
“Susulan itu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada Ogos lalu membuat keputusan memerintahkan isteri saya selaku defendan pertama dan suami keduanya yang juga defendan kedua difaraqkan sementara.
“Mereka tidak dibenarkan tinggal bersama sebagai suami isteri sehingga kes kami selesai dibicarakan,” katanya.
Terdahulu, Rahaman hadir di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, di sini, hari ini untuk prosiding keputusan lafaz cerai talak tiga yang difailkan isterinya.
Hakim, Ahmad Hariri Mohd Saat kemudiannya memberikan tempoh 14 hari kepada Rahaman untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan isterinya.
Rahaman yang diwakili peguam, Marzuqi Muhamad menegaskan, dia tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap isterinya sebagaimana yang didakwa dan sehingga kini mereka masih suami isteri.
“Saya sangat kecewa dengan tindakan isteri. Empat tahun kami berkahwin, baru beberapa bulan saya mendapat sijil nikah, namun akhirnya saya ‘dimadukan’.
“Saya percaya pejabat agama mengeluarkan kebenaran berkahwin terhadap isteri saya dengan suami keduanya kerana perkahwinan kami di luar negara dalam proses pengesahan di sini,” katanya.
Sungguh ajal maut takdir ketentuan tuhan. Namun insiden gurauan sehingga mengakibatkan kematian sewajarnya mendapat pembelaan dan keadilan secara menyeluruh.
Keluarga kepada remaja lelaki yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini, menuntut polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca sebenar kematian.
Ibunya, Hizanawati Abu Bakar, 48, berkata, pihak keluarga masih menanti keputusan bedah siasat terhadap anaknya, Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, yang dijangka diperoleh pada petang Isnin.
Tuntut Keadilan Anak
Bagaimanapun katanya, keluarga tetap reda dengan pemergian Muhammad Damin namun menuntut keadilan agar punca sebenar dapat diketahui dan didedahkan kepada orang ramai.
“Saya hanya menuntut pembelaan terhadap kematian anak saya dan jika kes ini meragukan, kami akan membuat laporan polis.
“Saya tidak anggap kejadian ini sebagai satu gurauan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa selain bimbang selepas ini perlakuan tidak disengajakan seperti ini berlaku kepada pihak lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Puncak Alam di sini pada Isnin.
Tiga Ahli Keluarga Meninggal
Menurut Hizanawati, kematian Allahyarham Muhammad Damin amat dirasai apatah lagi, dia kehilangan suaminya, Kamsol Abd Kadir, dan anak keduanya, Muhammad Haikal Danial tiga tahun lalu.
Katanya, Allahyarham Kamsol meninggal akibat strok pada April 2019 dan Muhammad Haikal pula maut 1 September tahun sama.
“Luluh hati saya apabila mengenangkan tiga ahli keluarga sudah dijemput Ilahi dan kehilangan Muhammad Damin tentunya memberikan kesan mendalam kepada kami sekeluarga,” ujar Hizanawati.
Gejala Mengantuk
Hizanawati memberitahu, Muhammad Damin sebelum ini mengalami kecederaan luka di dua jari kanan akibat terkena serpihan kaca semasa membonceng motosikal ke tempat futsal pada Jumaat lalu.
Ujarnya, akibat kejadian itu, anaknya ada mengambil ubat dan mungkin atas faktor itu Allahyarham Muhammad Damin mengalami gejala mengantuk semasa kejadian.
“Malah semasa pagi sebelum kejadian arwah meminta izin untuk keluar rumah mengikut rakannya ke restoran mamak berhampiran.
“Sebelum keluar, saya sempat bertanya pada arwah hendak makan apa hari ini dan Muhammad Damin memberitahu ingin nikmati juadah sambal ikan kembung.
“Saya tersentak apabila arwah teringin makan sambal ikan kembung memandangkan arwah abangnya (Muhammad Haikal) menggemari lauk sama,” tambahnya.
Tak Sangka Anak Pergi Selamanya
Hizanawati memberitahu, sejurus siap memasak, dia kemudian menghantar aplikasi WhatsApp kepada Muhammad Damin dan menyuruhnya singgah ke klinik untuk mencuci luka.
Katanya, Allahyarham yang membalas kiriman WhatsApp menyatakan ingin mencuci luka pada petang, namun tidak menyangka dia pergi buat selamanya.
“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa anak selepas selesai menunaikan solat Zohor dan terdengar bunyi ketukan pintu rumah.
“Seseorang yang datang ke rumah memberitahu Muhammad Damin sudah keras dan minta saya segera ke tandas awam tersebut.
“Ketika itu badan saya tiba-tiba jadi lemah dan menggigil ketakutan sambil berdoa agar semuanya selamat dan dipermudah,” katanya.
Jelas Hizanawati, sebaik tiba di tandas awam itu, dia kemudian dimaklumkan tidak dibenarkan memasuki kawasan kejadian sambil melihat ketibaan trak polis.
“Pada masa itu, hati saya kuat mengatakan anak kemungkinan sudah tiada dan polis pula meminta saya menunggu di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh dan sempat melihat wajah arwah buat kali terakhir di situ,” jelasnya.
Anak Bertanggungjawab
Hizanawati memberitahu, Allahyarham Muhammad Damin disifatkan seorang anak bertanggungjawab, peramah dan mengasihi adik-beradik lain.
“Saya sedih sebab arwah rapat dengan saya, malah jika hendak keluar rumah pastinya dia bersalaman, peluk dan cium terlebih dahulu.
“Kehilangan arwah memang saya rasai lebih-lebih lagi arwah seorang anak yang baik dan mendengar kata,” luahnya.
Ujar Hizanawati, jenazah Allahyarham Muhammad Damin dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas urusan bedah siasat selesai.
Rakan Bergurau
Pada Ahad seorang remaja berusia 16 tahun ditemui rentung di dalam sebuah tandas awam berhampiran sebuah padang pada Ahad.
Ketika kejadian mangsa dikatakan tidur di atas sebuah sofa di hadapan pintu tandas tersebut sebelum kedua-dua suspek menyalakan api di bawah sofa terbabit untuk bergurau.
Berikutan kejadian itu, polis menahan dua remaja berusia 15 dan 16 tahun untuk membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran terbabit.
Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga diberik kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian kehilangan anak ini. Semoga keadilan dapat ditegakkan dan pelaku mendapat pembalasan yang setimpal sebagai pengajaran buat yang lain juga.
Disebalik setiap kekurangan yang ada, pastinya ada kelebihan yang cukup istimewa dimiliki.Walaupun tidak boleh melihat sejak lahir namun Ustazah Nor Hidayu Mohd Yusoff mempunyai semangat juang tinggi, sekali gus mahu membuktikan insan seperti dirinya mampu menyebarkan ilmu dalam pengajian al-Quran menerusi alam maya setiap hari.
Tidak mahu mengajar dan hanya menyebarkan ilmu kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan lain senasib dengan dirinya, dia turut mencabar diri untuk membantu setiap lapisan masyarakat termasuk insan normal.
Sebar Ilmu Di Fb & Media Sosial
Nor Hidayu, 32, berasal dari Kuala Krai, Kelantan, berkata demi mencapai matlamatnya itu, dia perlu berani, sekali gus celik IT agar pengalaman dan pengetahuannya dalam pengajian al-Quran tidak disia-siakan.
“Kebiasaannya saya hanya menyertai pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, dan baru-baru ini saja aktif menyebarkan ilmu di media sosial dan FB Live (secara langsung) sejak awal tahun ini.
“Saya rasa ini tanggungjawab untuk mengaplikasikan pengetahuan dimiliki kepada masyarakat umum sekali gus membuktikan masyarakat OKU juga boleh walaupun tidak sempurna,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Khautar, Bandar Baru Bangi di sini, semalam.
Dapat Sokongan Ramai
Nor Hidayu bersiaran langsung membaca al-Quran dan memberi tafsirannya serta beberapa segmen lain termasuk kelas tajwid, zikir dan bacaan surah pilihan di halaman FB Love Quran Group setiap jam 8.30 pagi hingga 9 pagi setiap hari.
Malah, halaman itu turut mempunyai segmen zikir yang bersiaran pada jam 5.30 petang selain segmen surah pilihan pada jam 9 malam.
Katanya, dia juga tidak menyangka inisiatifnya itu mendapat sokongan ramai bukan saja dalam kalangan penduduk sekitar Bandar Baru Bangi, di sini, malah pengikut Facebook yang tidak dikenali.
“Pada awalnya cuma ada 10 tontonan sahaja di halaman FB Love Quran Group ini, tetapi lama-kelamaan perkongsian saya mula mendapat perhatian warganet dan pengikut.
“Kini, jumlah tertinggi untuk satu video mencecah lebih 36,000 tontonan pada seminggu lalu dan mempunyai 7,000 pengikut serta 3,000 tanda suka,” katanya yang memiliki Sijil Tahfiz Malaysia (STM) dari Darul Quran, Kuala Kubu Bharu.
Dibantu 8 Rakan
Menurutnya, dia dibantu lapan rakan di mana dua daripadanya adalah tenaga pengajar halaman itu, manakala selebihnya menyokong urusan media, kewangan dan program.
Katanya, pentadbir halaman FB berkenaan pula dibantu lapan rakan-rakan STM lain yang juga OKU penglihatan.
“Walaupun mempunyai kumpulan sokongan daripada pelbagai pihak antaranya Ahli Jawatankuasa Surau Al-Khautar, Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain, inisiatif ini turut berdepan cabaran.
“Sukar untuk mendapatkan keyakinan dan menarik minat penonton kerana itu kami menyediakan hadiah kepada penonton setia yang ditaja oleh sebuah syarikat telekung,” katanya.
Cita-Cita Buka Kelas Ajar Al Quran
Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, adakalanya dia juga pernah bersedih dengan nasib menimpanya termasuk tidak yakin dengan kebolehan dirinya.
“Walaupun begitu, kata-kata semangat dan dorongan diberikan keluarga, rakan dan peluang mengajar al-Quran kepada wanita di kalangan masyarakat setempat yang diberikan pihak surau membuatkan saya terus kuat untuk merubah kehidupan ke arah lebih baik.
“Malah, saya bercita-cita tinggi mahu membuka kelas mengajar al-Quran sendiri dan membuat studio mini supaya penyampaian di FB Live lebih baik,” katanya.
Persiapan Sebelum Bersiaran
Berkongsi mengenai persiapannya sebelum bersiaran, Nor Hidayu berkata, tidak mudah untuk memasang sendiri peranti dan gajet apatah lagi ia memerlukan asas kemahiran teknologi.
“Antara peranti dan gajet yang perlu dipasang sebelum bersiaran termasuklah telefon pintar yang mesra OKU penglihatan, tripod, fon telinga dan audio cart yang saya beli menggunakan wang sendiri.
“Saya ambil masa dalam sebulan belajar bersama rakan sebelum mahir memasangnya sendiri tanpa dibantu,” katanya yang mahu setiap perkongsiannya memberi manfaat.
MW: Tahniah ustazah berani sahut cabaran. Ternyata kekurangan diri dari segi penglihatan bukan satu halangan untuk memberi manfaat dan berkongsi ilmu Al Quran pada orang lain. Semoga menjadi inspirasi golongan OKU yang lain juga.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...