Pasangan Tinggal Berasingan, Suami Jangan Ambil Mudah Bila Isteri Mampu Berdikari!

Pasangan suami isteri yang tak tinggal sebumbung atau Pasangan Jarak jauh (PJJ) perlu ada rasa percaya dan kesetiaan. Berjauhan bukan kerana berselisih faham, tapi kerana tuntutan kerja; seorang di utara, seorang di selatan. Demi kelangsungan hidup, kata sepakat diambil. Mereka sanggup berkorban perasaan tinggal berasingan atas tuntutan kerja.

Selalunya dalam situasi ini, anak-anak akan di bawah jagaan isteri. Bermakna, isteri yang akan uruskan anak-anak sendirian. Suami balik hanya sekali seminggua atau juga sekali sebulan! Bergantung pada kesibukan kerjanya.

Pasangan PJJ, Isteri Belajar Berdikari

Bila melibatkan pasangan yang tinggal berjauhan, si isteri akan menjadi sangat berdikari. Tahniah bagi isteri-isteri ini. Tak mudah sebenarnya dan ramai wanita yang tak sanggup berjauhan dengan suami hingga memilih untuk mengorbankan kerjaya. Well, itu pilihan masing-masing.

Untuk suami, anda patut bersyukur bila isteri boleh berdikari, menguruskan diri dan anak-anak serta keluarga sendirian. Tapi dalam masa yang sama, anda jangan ambil mudah atas sikap berdikari isteri tu ye!

Isteri Penat Uruskan Anak Seorang Diri

Biasanya isteri akan bersama anak-anak dan suami akan tinggal sendirian. Jadi, bayangkan bila isteri akan uruskan segala hal berkaitan anak-anak seorang diri. Dia juga bekerja. Suami kena prihatin dan faham situasi isteri. Bila berbual dengan isteri, tanyakan keadaan dirinya dan anak-anak. Dengar luahan hatinya. Kadangkala dia sekadar nak kongsi penatnya saja.

Bila ada masa terluang, tolonglah balik jengok isteri dan anak-anak. Bila balik, seeloknya ambil tugas jaga anak pula. Biar isteri rasa tanggungjawab tetap dipikul bersama dan bukan dirinya seorang Kalau anak sakit atau ada masalah, seeloknya suami terus ambil cuti balik untuk selesaikan bersama isteri. Jangan harapkan isteri seorang menguruskannya.

IKLAN

Itu juga masa untuk ayah menghabiskan masa bersama anak-anak. Jangan sampai anak makin jauh dengan ayah mereka ye.

Pasangan Tinggal Berasingan, Suami Jangan Ambil Mudah Bila Isteri Mampu Berdikari!
Rasa Cemburu Sila Tolak Tepi!

Adatlah kalau ada cemburu dalam perhubungan suami isteri. Kata orang, cemburu tandanya sayang. Tapi dalam keadaan suami isteri yang tak tinggal sebumbung, ia sangat berbahaya. Boleh menjadi barah yang merebak dalam diam. Bila sedar, pelbagai masalah tak dapat diselamatkan lagi.

Sebab itu, tak salah nak cemburu tapi jangan keterlaluan hingga pasangan rimas dan rasa dirinya tak diragui kesetiaannya sedangkan dia seorang yang amat setia.

IKLAN

Komunikasi Tunjang Utama Kebahagiaan 

Masalah walau sekecil hama sekali pun, kalau dibiarkan lama-kelamaan boleh jadi ‘dinosaur’! Kalau tak dibendung dari awal memang boleh bergoncang rumah tangga. Silap hari bulan, goncangan boleh menyebabkan runtuh rumah tangga!

Bila ada saja rasa tak puas hati terdetik, cepat-cepat luahkan pada pasangan. Ya, mungkin masalah itu sebenarnya remeh saja. Tapi jangan sangka ia tak boleh jadi melarat. Contohnya; suami yang asyik telefon isteri tak kira masa. Bila isteri tak jawab, mungkin tengah sibuk kerja atau sibuk uruskan anak-anak, suami mula merajuk. Lebih buruk mula timbul macam-macam prasangka pada isteri!

Bukan tak boleh telefon isteri, tapi kenalah faham situasi isteri dan jangan harap isteri mengadap telefon 24 jam.

IKLAN

Berikan Kejutan Pada Pasangan

Zaman dah makin maju. Semua perkara di hujung jari saja. Walau pun tinggal berjauhan, dengan teknologi, segala-galanya boleh dilakukan. Contohnya hantarkan bunga untuk isteri. Tak semestinya ketika hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan. Mungkin tanda kerinduan. Isteri juga boleh buat perkara yang sama. Kejutan kecil juga mampu membahagiakan hati pasangan.

Kalau boleh, setiap hari kena berhubung dengan isteri. Sekarang mudah, whatsApp call je. Boleh tengok wajah pasangan dan anak-anak.

Apa pun, tahniah pada pasangan yang mampu kekalkan keharmonian rumah tangga walau terpaksa hidup berjauhan demi tuntutan tugas masing-masing. Tak mudah, tapi bila itu keadaan yang perlu ditempoh dan tiada pilihan, redah saja!

Nak cari pelbagai kelengkapan rumah, boleh klik sini

https://www.mingguanwanita.my/hidup-jarak-jauh-bukan-alasan-pasangan-nak-curang-duduk-sebumbung-pun-boleh-jadi-kalau-gatal/