Pernah terjadi tak pada mak-mak, ketika menggoreng bahan masakan, tiba-tiba minyak berbuih semacam. Mulalah risau hati tu kan.
Tak tau apa penyebabnya. Paling susah hati, bila yang diguna itu minyak baru. Haa.. mulalah hati tu dah fikir macam-macam.
Paling tak menahan, sebab panik dengan botol-botol minyak itu mak-mak lupuskan. Tapi, itu mungkin tindakan sebelum minyak macam harga emas lah kan. Sekarang ini, kalau nak buat macam itu.. memang sayanglah.
Sudahlah mahal kan. Baik hadamkan apa yang Pakar Kimia, Dr Fatimah Salim ini kongsikan. Bila dah ada ilmu, tak adalah nak tak tenteram sangat hati tu.
Minyak Berbuih Ketika Menggoreng
Merujuk kepada ss (screenshot) di atas mengenai minyak berbuih apabila bawang putih cincang digoreng.
Minyak berbuih boleh disebabkan oleh dua perkara iaitu :
• degradasi/ perubahan struktur kimia yang membentuk minyak
• kontaminasi/ pencemaran minyak dengan benda asing
Ads
Perubahan stuktur minyak boleh berlaku disebabkan oleh pemanasan berulang kali minyak masak yang sama atau pendedahan suhu terlalu tinggi yang melepasi titik asap minyak.
Pemanasan berulang kali dan suhu yang tinggi akan mencetuskan tindakbalas seperti pengoksidaan, pempolimeran, dan pemecahan molekul-molekul yang membentuk struktur minyak masak.
Setiap jenis dan jenama minyak masak akan mempunyai titik asap yang berlainan disebabkan perbezaan komponen minyak dan rawatan (proses dan bahan tambahan) pada minyak masak itu.
Punca Pencemaran Minyak
Pencemaran minyak pula berlaku dengan tercampurnya komponen bahan masakan dengan minyak masak semasa proses menggoreng seperti telur yang mengandungi protein yang mudah memerangkap udara lalu menyumbang kepada pembentukan buih dalam minyak.
Selain daripada itu, tindakbalas bahan masakan dengan komponen asid lemak minyak seperti asid oleik, laurik dan palmitik melalui proses saponification (peneutralan) juga menyumbang kepada menghasilkan buih yang banyak pada minyak masak.
Penambahan (berlebihan) bahan berasid seperti cuka contoh menggoreng ikan bilis atau bahan berbes seperti baking soda/ baking powder/ air abu contoh menggoreng rempeyek, juga boleh menyebabkan tindakbalas peneutralan saponifikasi kepada komponen minyak lalu menghasilkan banyak buih.
Peralatan Memasak Terendam Lama Dalam Minyak Gorengan
Sesetengah peralatan memasak seperti senduk silikon yang dibiarkan lama terendam dalam minyak menggoreng juga boleh mencemari minyak masak lalu menyebabkan terhasilnya buih pada minyak masak gorengan.
Buih-buih dalam minyak masak terbentuk disebabkan peningkatan suhu minyak masak yang memaksa penolakan cemaran (yang terhasil daripada proses tindakbalas tadi) ke permukaan minyak.
Minyak Berbuih Semasa Menggoreng Bawang Putih
Baiklah kembali kepada kisah bawang putih cincang tadi.
Bawang putih sebenarnya bersifat sedikit asidik dengan pH sekitar 5.8. Ini disumbangkan oleh komponen bahan kimia bersulfur dalam bawang putih.
Semasa mengoreng proses pengoksidaan berlaku kepada komponen bawang putih ini lalu membebaskan elektron yang kemudiannya mencetuskan proses peneutralan asid lemak dalam komponen minyak.
Ads
Proses peneutralan ini membebaskan gas yang menjadi punca kepada minyak berbuih.
Makanan yang dimasak dalam keadaan minyak masak berbuih umumnya adalah selamat dimakan. Cuma elakkan menggunakan minyak masak berulang kali.
Kajian menunjukkan kandungan peroksida minyak masak gorengan meningkat 2 kali ganda dengan 5 kali ulangan menggoreng.
Bahan kimia peroksida ini berpotensi membawa risiko kepada kesihatan badan.
Perhatikan tekstur dan warna minyak masak gorengan anda. Sekiranya teksturnya sudah menjadi likat dan warnanya sudah menjadi gelap, apa lagi jika minyak lambat memanas, maka tukarlah.
Nota: Ulangan penggunaan minyak masak bermaksud minyak yang telah digunakan untuk menggoreng sejuk, dan dipanaskan semula untuk menggoreng. Tidak kisah dalam masa sehari atau hari yang lain.
Berapa lama mak-mak guna barang harian yang ada di rumah untuk satu-satu tempoh? Atau ada yang main guna dan tak kisah dengan tarikh luput barang tu. Jangan fikir barang yang ada kat rumah tu boleh pakai sepanjang masa. Kena tahu bila tarikh luputnya. Ini untuk panduan mak-mak:
Bantal – Luput antara 2-3 tahun. Jika digunakan dalam tempoh itu, ia boleh jadi tempat pembiakan bakteria kuman. Jangan sayang nak buang walaupun rasa masih elok lagi.
Selipar – Luput dalam masa 6 bulan sahaja. Walaupun tempoh luputnya 6 bulan, saat pertama kali selipar itu menjejakkan tapaknya ke tanah, bakteria sudah mula membiak. Bila cukup 6 bulan, ia perlu diganti baru.
Span Mandi – Luput dalam masa dua minggu. Mak-mak boleh tukar span mandi 2 minggu sekali atau dengan merendamkannya ke dalam air panas menggelegak untuk hapuskan bakteria yang ada.
Tuala – Luput antara 1-3 tahun. Walaupun kita basuh dengan kerap tapi bakteria tetap ada. Apabila tempoh tiga tahun, tukarlah pada tuala yang baru. Jangan guna pada tubuh badan tuala yang sudah relai benangnya.
Berus Gigi – Luput dalam masa 3 bulan sahaja. Jika anda batuk atau selesema, apabila sudah sembuh jangan guna lagi sebaliknya ganti yang baru. Jika tidak, penyakit yang sama akan berulang kembali kerana bakteria tadi telah berkumpul dan menguasai berus gigi.
Sikat Rambut – Luput dalam masa satu tahun sahaja. Sebaiknya sikat dibasuh dengan air panas seminggu sekali dan diganti setiap satu tahun.
Minyak wangi – Luput Antara 3-4 tahun. EDP mengandungi essential oil yang hanya mampu bertahan selama 3 tahun di dalam bekas kedap udara. Namun bagi EDT, ia mampu bertahan selama 4 tahun.
Puting Bayi – Luput dalam masa 2-5 minggu sahaja. Puting wajib diganti setiap 5 minggu, tidak kira keadaannya masih elok atau tidak.
Rempah-ratus – Luput antara 1-3 tahun. Rempah-ratus seperti kayu manis, bunga lawang, cengkih dan pelaga akan mula hilang rasa dan aroma bila disimpan lebih dari 1-3 tahun. Berbeza bagi rempah yang telah diproses menjadi serbuk, tempoh luputnya lebih cepat iaitu selama 6 bulan.
Tepung – Luput dalam masa 6-12 bulan. Apabila melebihi tempoh luput, tepung akan mula dihadiri parasit dan ulat tepung (kutu)
Itulah barang yang pelu mak-mak ambik tahu. Beringat sebelum kena.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengalaman berdepan dengan banjir, siapkan barang keperluan penting ini sebagai persediaan bencana di masa depan. Mungkin tip yang dikongsikan ini dapat memberi panduan kepada mereka yang kerap menghadapi banjir.
Bencana alam seperti ini sukar mak ayah jangkakan. Oleh itu buat persediaan agar suatu nanti jika terlibat dengan banjir, mak ayah lebih bersedia untuk menghadapi dan tahu apa yang perlu dilakukan dahulu.
Ikuti pengalaman mangsa banjir, Baharin Abd Hamid ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Pengalaman Berdepan Dengan Banjir
Assalammualaikum.
Alhamdulillah, kami sekeluarga sudah selamat keluar (saya, Piena Baharin, anak dua orang dan ayah saya). Pengalaman yang sangat dahsyat kalau hendak dibandingkan dengan banjir yang berlaku pada tahun 1995.
Ya, Seksyen 25 (Shah Alam) bukan pertama kali hadapi banjir. Tahun ini saja sudah tiga kali termasuk kejadian kali ini. Tetapi kali ke-3 ini adalah yang paling buruk sebab ramai terkandas dekat rumah.
Asalnya ingatkan air sekadar naik sekitar buku lali atau paras lutut. Rupanya hingga ke paras siling. Syukur sebelum air naik, ayah dan anak lelaki dapat datang ke rumah untuk bermalam di sini. Mereka tumpang 4×4 jiran dan jalan ke rumah kami. Waktu itu hampir 7petang dan air mula melepasi pinggang.
Mana yang rumahnya satu tingkat, harap bertabah. Selamatkan benda penting seperti makanan ringan, kad pengenalan, kad bank dan pelitup muka. Saya sendiri terlupa nak selamatkan facemask semua sebab dah kelam kabut selamatkan barang-barang termasuklah keperluan makanan.
Siapkan Barang Keperluan
Kadang-kadang beli barang lebih untuk storage ada kelebihannya jika berlaku bencana seperti sekarang. Boleh share dengan jiran-jiran juga.
Kebetulan saya ada camping stove, jadi saya selamatkan beras, maggi, teh, telur dan beberapa barang basah serta peralatan memasak. Syukur sangat-sangat sebab ada camping stove ni. Boleh masak jika perlu.
Jadi saya sarankan anda beli satu camping stove untuk simpanan, gas dia pun tak mahal sangat. 1 tin harganya dalam RM4 hingga 5 saja. Just in case. Tak lupa juga torch light. Saya gunakan jenis yang basikal pakai, kecil, kalis air dan bateri tahan lama(USB charge). Dapatlah suluh apa yang patut ketika hari makin gelap.
Air memasuki tingkat bawah rumah.
Penting Ini Sebagai Persediaan Bencana
Harta benda kami semua habis ditelan banjir, kereta, motor, barang-barang rumah. Allahuakbar! Sebak kami memikirkan bagaimana dengan hari-hari mendatang. Tak apalah, Allah lebih mengetahui. Yang penting kami harus terus bertahan sebelum bantuan tiba.
Malam pertama banjir, kami makan apa yang ada, ramai yang bertanyakan khabar tapi tak dapat nak reply sebab line tak berapa clear. Tambahan pula bateri tinggal sekitar 50 peratus, 30 peratus. Power bank pun tak berapa ada bateri. Mujur ada laptop, jadi bolehlah cas sikit.
Waktu kecemasan macam ini saya gunakan mode ultra battery saver. Jika bateri tinggal 30% boleh tahan hingga 29 jam. Mode ni akan aktifkan aplikasi yang penting je seperti Whatsapp, Call dan Messenger. Fungsi-fungsi lain dia akan hentikan termasuklah ringtone dan wallpaper. Sesuai untuk waktu kecemasan seperti sekarang.
Waktu ni, tiada bot yang lalu. Mungkin mereka baru dalam perjalanan, jalan pula banyak tutup akibat banjir. Jadi bantuan sampai lambat. Tambahan pula banyak tempat-tempat lain di Klang, Shah Alam yang perlukan bantuan juga. Sekitar pagi jam 7pagi pada 19 haribulan barulah ada kelibat 3, 4 bot lalu lalang. Ada yang jerit meminta tolong termasuk uncle sebelah yang ada baby. Uncle tu pun tak berapa sihat sebab dialisis.
Bot yang lalu semua saiz kecil (mungkin persendirian) jadi tak boleh tolong dan risikokan diri. Mereka suruh bertahan dan akan sampaikan mesej pada bot-bot yang lebih besar.
.
Jam 10 pagi, banjir masih tinggi. Bot-bot besar sudah mula masuk. Jiran-jiran juga sudah berjaya dikeluarkan dalam tempoh 2 hingga 3 jam. Matahari pun dah mula keluar. Bot-bot bawa bantuan makanan pun sudah masuk, mereka bawa roti.
Helikopter juga kelihatan berlegar-legar memantau situasi. Air paip di rumah masih ada. Toilet tingkat atas masih boleh diguna. Ketika ni adik saya Aminah Asykin Abd Hamid dan keluarga on the way pulang dari Melaka bersama ibu saya. Jadi kami rancang untuk keluar dan tumpang rumah mereka. Bertemu di atas highway kesas.
DiSelamatkan
Kami diselamatkan sekitar jam 5 petang oleh kawan wife. Terima kasih sangat-sangat buat Abang Sab dan kawan dia. Dayung jauh-jauh hingga ke rumah kami. Bawa 2 bot pelampung. Jadi kami semua dapat keluar dalam 1 trip. Kami di bawa ke darat. Ramai orang di situ memberi bantuan kepada mangsa, tarik bot ke darat, tolong angkat beg, tolong warga emas dan memberi makanan.
Selamat mendarat, kami di bawa ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara) Dewan SJK berhampiran. Tapi kami memohon untuk dihantar seberapa hampir dengan highway kesas. Dan kami diturunkan berhampiran lot kedai persiaran kemuning prima. Sesampainya di situ, adik kata tak dapat nak masuk sebab jalan banjir.
Laluan yang boleh diakses adalah highway LKSA. Bermakna kami terpaksa patah balik. Jam sudah menunjukkan waktu 6 petang. Hari mula gelap. Si kecil sudah mula sedih sebab takut tak ada tempat nak bermalam. Oh anak… lemah jiwa baba melihat kamu begitu. Insyallah, baba akan usaha sehabis baik untuk kamu.
Bantuan bot tiba.
Berpatah Balik
Perancangan baru. Kami harus berpatah balik ke PPS. Kerana ianya berhampiran dengan LKSA. Dengan harapan banjir sekitar persimpangan menuju ke LKSA surut agar kami boleh melintas ke situ. Kalau tak, kami akan minta bantuan bot. Patah balik kami jalan sedikit mencari area yang lebih luas untuk tahan kereta meminta tumpang. Ini kerana jalan sesak dengan kenderaan bantuan dan macam-macam.
Alhamdulillah ada satu hilux hantar bantuan menumpangkan kami. Terima kasih pada adik-adik India yang sudi bantu. Sesampai di PPS, keadaannya gelap kerana elektrik telah ditutup sejak senja hari Sabtu. Kelihatan banyak bantuan makanan dan minuman yang sampai.
Kami meneruskan perjalanan untuk melihat keadaan jalan. Syukur Ya Allah, walaupun masih banjir tapj kami boleh mengharunginya dengan berjalan. Air sekitar buku lali dan lutut. Kami berjalan dalam 70 meter hingga ke susur keluar LKSA ke Seksyen 25.
Hampir Menitis Air Mata
Along! along! Satu suara memekik memanggil saya. Allahuakbar, rupanya adik ipar Adib Razali sudah tunggu di situ. Dengan payung dan juga power bank. Ya Allah rasa nak menitis air mata. Kasihan dekat mereka yang pulang dari melaka dan berjam-jam menunggu kami untuk keluar. Masing-masing menunjukkan rasa lega, ada senyuman terukir di wajah si kecil. Alhamdulillah…
Sesampai di kereta, kami disambut oleh ahli keluarga yang lain. Air mata menyambut kami, memikirkan nasib kami dan bersyukur diselamatkan. Rumah ibu juga ditenggelami air. Kebetulan ibu keluar bersama adik ke Melaka. Tinggal ayah dan anak lelaki saya di rumah ibu. Adik lelaki yang satu lagi dalam perjalanan ketika ini.
Adik ipar akan hantar wife, ibu, adik and anak kecil ke kereta adik lelaki dulu. Bertemu di stesen minyak kesas. Kemudian patah balik untuk yang lain. Ketika tunggu giliran, saya nampak banyak bomba dan bot-bot lain sudah sampai.
Bomba datang dari Kuala Kubu Baru dan Johor. Saya share info-info yang mana ada dengan mereka. Harapan agar yang lain juga dapat diselamatkan. Saya dengar ada juga yang jadi korban banjir, innalillah… Moga dipermudahkan urusan SAR.
Akhirnya, kami semua berjaya diselamatkan. Alhamdulillah segala pujian buat ALLAH. Kami menumpang dirumah adik dulu sementara tunggu air surut.
Terima Kasih Atas Bantuan
Kepada ahli keluarga dan kawan-kawan yang hulurkan bantuan doa, bertanya khabar, contact-contact untuk rescue, yang hantar makanan, bantuan bot Abang Sab, yang nak tumpangkan rumah, team-team NGO, ATM, BOMBA dan semua yang terlibat, Terima kasih tak terhingga dari kami. Semoga Allah balas semua jasa anda dengan kebaikkan dan rahmat dari-NYA. Semoga Allah limpah kurniakan anda semua dengan rezeki dan kesihatan serta dipermudahkan segala urusan. Amin Rabbal alamin….
Buat mangsa-mangsa yang seangkatan, semoga diberi kekuatan mengharungi musibah ini. Allah uji sebab Allah sayang, dan juga memberi sedikit peringatan buat kita.
Jangan pernah berhenti berharap dan doa pada-Nya. Insyallah kita mampu harunginya. Akhir kata dari saya, jaga diri, perhatikan sekeliling yang perlukan bantuan dan maklumkan pada petugas-petugas lain. Kita jaga kita.
Mingguan Wanita : Pengalaman ini dapat dijadikan panduan buat mereka yang berdepan dengan musibah ini. Semoga semua mangsa banjir yang terjejas dipermudahkan urusan dan tabah dengan ujian ini.
Sebenarnya kita boleh baiki Peti Ais yang kurang sejuk sendiri di rumah. Rupanya dengan menukar Termostat Pencairbeku dengan modal RM12, Peti Ais kembali berfungsi elok, sejuk dan beku. Memang jimat banyak duit bila buat sendiri berbanding hantar baiki di kedai.
Ikut panduan baiki peti ais tak sejuk, seperti yang dikongsikan oleh Jannatun Naim ini.
Pernah tak tiba-tiba peti sejuk kat atas beku, tapi kat bawah tak sejuk pun. Takpun atas bawah kurang sejuk? Jadi saya nak kongsi sikit. Selalunya yang jadi masalah ialah termostat atau sensor pencairbeku (defrost) yang rosak.
Jadi saya nak tunjuk kat mana dan cara nak tukar benda ini. Sensor ni saya beli online, sebab kedai tak buka masa PKP ni. Modal lebih kurang RM12 benda ni.
Sebelum memulakan projek baiki peti ais, pastikan tutup dahulu suis peti sejuk. Risau peti ais tak beku, orang lain yang kaku nanti.
1. Buka Penutup Di Bahagian Atas Peti Sejuk
Kalau bukak cover bahagian atas peti sejuk, macam ni rupa dia, semua dah frozen, sebab tu bawah tak sejuk.
2. Tunggu Ais Mencair
Tunggu ais tu mencair sendiri. Saya tak kuasa nak tunggu, jadi guna hair dryer pon boleh nak bagi cepat cair. Tadah bekas. Senang nak buang ais yang cair tu.
3. Keluarkan Sensor
Ok, bila dah cair perasan tak benda tiub warna pink tu, haaa tu la sensor tu. Potong cable tie tu, tarik keluar sensor tu.
Ok ni keadaan sensor tu. Yang bawah tu, baru punya.
4. Gantikan Sensor
Ok macam ni.Potong wayar pada tiub asal sambung ke sensor baru.
5. Kemaskan
Akhir sekali, letakkan sensor pada posisi asal dengan menghalakan bahagian besi sensor ke bawah. Ikat wayar dengan kemas menggunakan pengikat wayar supaya tidak bergerak-gerak.Kemaskan guna heat shrink tube (warna hijau tu), kalau takda boleh guna selotip hitam (electrical takpe) pon tak apa.
Artikel Menarik:10 Barang Ini Sebenarnya Tak Perlu Simpan Dalam Peti Sejuk
Mingguan Wanita: Jadi jika ada masalah peti ais tak berapa nak sejuk tu, boleh cuba baiki sendiri di rumah. Tukar Termostat Pencairbeku je, modal baru RM12, memang lebih jimat berbanding hantar kedai baiki.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...