Nasi adalah antara masakan yang mesti dihidangkan di meja makan pada pagi Syawal. Tak kiralah nasi beriani, nasi minyak, nasi dagang dan macam-macam jenis lagi.
Selain aneka jenis nasi, lotong juga antara hidangan yang sering kali dihidangkan di pagi raya.

Apa kata kali ini cuba masak Nasi Beriani Tulang Daging dan Lotong Daun Pisang sebagai sajian istimewa untuk keluarga. Walau pun PKP, raya tetap raya! Resipi ini telah dikongsikan oleh Nur Adlina Badarudin https:///nuradlina.badarudin.9


Nasi Beriani Tulang Kambing Dan Lontong Daun Pisang Sajian Istimewa Pagi Syawal
NASI BERIANI TULANG KAMBING

BAHAN-BAHAN NASI:

500 gram beras basmathi
750 ml air rebusan tulang
1 labu bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
5 cm halia – dihiris nipis
1 sudu besar serbuk rempah beriani
1 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk pati ayam/daging
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 sudu teh air mawar
1 sudu teh kewra
1 sudu teh perwarna kuning
1 sudu besar minyak sapi untuk menumis

BAHAN-BAHAN UNTUK AIR REBUSAN TULANG:

300 gram tulang kambing
1liter air (atau lebih)
5 cm kulit kayu manis
6 biji buah pelaga
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang

CARA MEMASAK:

  1. Untuk menyediakan air rebusan tulang kambing; Rebus tulang, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang di dalam satu periuk sehingga isi tulang benar-benar empuk. Anggaran masa 1-2 jam proses merebus. Air boleh ditambah dari masa ke semasa sehingga daging benar-benar lembut. Ketepikan.
  2. Untuk menanak nasi, cuci dan basuh beras. Tapis dan ketepikan.
  3. Di dalam kuali, panaskan minyak sapi dan tumis bawang besar, bawang putih, halia hingga wangi. Tutup api. Ketepikan.
  4. Masukkan beras, air rebusan tulang bersama rempah-rempah yang direbus sekali, tulang kambing, air ros, air kewra, bahan tumis, garam, serbuk lada hitam dan pati ayam/daging ke dalam periuk nasi elektrik.
  5. Kacau dan masaklah nasi seperti biasa hingga masak. Apabila nasi telah masak, titiskan perwarna kuning pada nasi dan kacau rata.
  6. Sedia untuk dihidang bersama lauk pilihan.

TIP:
Sukat air rebusan tulang sehingga ukurannya menjadi 750 ml. Jika air rebusan tersebut kurang daripada jumlah tersebut, bolehlah dicampur dengan air biasa. Biasanya air ros dan kewra boleh dibeli di kedai-kedai runcit India.


Nasi Beriani Tulang Kambing Dan Lontong Daun Pisang Sajian Istimewa Pagi Syawal
LONTONG DAUN PISANG

BAHAN-BAHAN:

400 gram beras
Daun pisang secukupnya
1 1/2 liter air

BAHAN UNTUK KUAH LODEH:

2 helai fucuk kering – rendam dan gunting kecil
2 keping tauhu – potong keping-keping dan digoreng
2 paket tempe – potong keping-keping dan digoreng
1 bungkus kecil suhun – rendam
1/2 batang lobak merah – potong memanjang
6 batang kacang panjang – potong 3cm panjang
100 gram kubis – potong kecil
100 gram udang kering – kisar
1 labu bawang besar – kisar
2 ulas bawang putih – kisar
3 cm lengkuas – kisar
1 batang serai – kisar
1 kiub ikan bilis
1/2 sudu teh serbuk kunyit
500 ml santan pekat
600 ml air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat lontong; Beras dibasuh dan ditapis. Ketepikan.
  2. Daun pisang dibentuk seperti gelungan berukuran lebih kurang 2-3 cm. Buat 2-3 kali gulungan supaya daun tidak mudah koyak. Sematkan bahagian bawah daun dengan pencungkil gigi atau ‘stepler’ dan masukkan 2/3 beras daripada tinggi daun. Sematkan kembali bahagian atas daun pisang. Ulang hingga selesai. Ketepikan.
  3. Masukkan lontong tadi ke dalam periuk, masukkan air dan rebuslah hingga lontong benar-benar masak dan padat seperti merebus ketupat. Angkat dan ketepikan.
  4. Untuk membuat kuah lodeh: Panaskan minyak di dalam periuk, tumis bahan-bahan yang telah dikisar tadi. Masukkan kiub ikan bilis, serbuk kunyit, gula dan garam secukup rasa. Tumislah hingga terbit wangi dan pecah minyak.
  5. Masukkan air, fucuk, tahu, tempe dan lobak merah, masaklah selama 5 minit atau sehingga fucuk benar-benar masak.
  6. Kemudian masukkan santan dan kacang panjang. Apabila kacang panjang telah agak empuk, masukkan kubis dan suhun masaklah selama 3 minit lagi. Tutup api.
  7. Sedia untuk dihidang bersama lontong.

TIP:
Anggaran lontong daun pisang antara 6-9 keping.

https://www.mingguanwanita.my/awas-lemak-syawal-tip-dari-pakar-ini-berguna-untuk-mak-mak-kekal-langsing-sihat/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI