Setiap kali tiba musim perayaan, pastinya ada penyakit biasa yang menyerang terutama dalam kalangan individu yang tidak menitikberatkan aspek kesihatan. Ini kerana sesetengah daripada kita menganggap musim perayaan adalah masa untuk mengambil peluang merasai pelbagai jenis makanan enak yang disediakan terutama ketika menghadiri majlis rumah terbuka. Sedangkan aspek kesihatan mesti dijaga dengan baik tanpa mengira masa dan bukan diambil sambil lewa pada bulan tertentu kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri. Ikuti kupasan lanjut mengenai topik ini bersama Nur Arafah Abdul Wahab, Pakar Pemakanan, Hospital Pantai Sungai Petani, Kedah.

Diet Seimbang

Menurut Arfah, perkara-perkara yang perlu diberi perhatian tidak kira semasa menghadiri rumah terbuka atau pada hari-hari biasa adalah keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian. Setiap sajian yang diambil haruslah pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik bagi mengelakkan timbulnya masalah lain. Pastinya anda tidak dapat menghalang pesakit mahupun golongan yang sihat untuk menikmati juadah tetapi perlulah bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan tersebut. Kurangkan pengambilan atau kuantiti makanan yang manis, berlemak dan masin contohnya seperti air berkarbonat atau kordial, kuih-muih manis dan lauk pauk yang mengandungi kandungan tinggi santan dan minyak.

Sekiranya makan secara berlebihan di hari raya, ia boleh mengakibatkan berat badan meningkat dan ini akan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti. Kenaikan berat badan secara mendadak dan sukar menurunkannya kembali akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang. Oleh itu, melalui gaya hidup sihat seperti mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dan meningkatkan aktiviti fizikal adalah sangat penting pada bila-bila masa walaupun ketika menyambut musim perayaan untuk mengekalkan berat badan ideal.

Makan berlebihan undang penyakit bahaya

Seperti yang kita maklum pelbagai hidangan enak disediakan ketika rumah terbuka, jika pengambilannya tidak dikawal dengan baik dan teratur, ia boleh mengundang pelbagai penyakit.

Pengambilan makanan berkarbohidrat dalam jumlah yang banyak dan masa makan yang tidak menentu boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak teratur seterusnya mengakibatkan pesakit boleh mendapat pelbagai komplikasi.

Juadah seperti kuah rendang, sambal ikan bilis, kuah laksa dan lontong mengandungi kandungan garam dan lemak tepu yang tinggi. Oleh yang demikian, pesakit yang mempunyai masalah darah tinggi atau hipertensi perlulah mengawal pengambilan garam yang berlebihan

Penyakit yang sering terjadi semasa musim perayaan ialah tekanan darah tiggi, paras kolesterol tinggi dalam darah, paras gula dalam darah tinggi dan sakit perut akibat makan secara berlebihan.

Ramai mengaku gagal mengawal nafsu makan apabila Aidilfitri menjelang. Pelbagai juadah enak seperti rendang, lemang, ketupat, nasi minyak, lontong sehinggalah kuih-muih, biskut raya dan kek pasti menyebabkan keinginan untuk makan begitu tinggi sehingga ada sesetengah individu makan apa saja tanpa memikirkan kesannya terutama bagi yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Jadi ini antara tip untuk kita elakkan daripada penyakit-penyakit yang tak diingini ;

  1. Elakkan makan dalam kuantiti yang banyak dalam satu masa
  2. Pilih air kosong daripada air manis dan berperisa.
  3. Pilih pencuci mulut yang kurang manis seperti buah dan sayur.
  4. Elakkan ambil kuah secara berlebihan.
  5. Makan secara sederhana dan konsisten.

 

IKLAN

Tahu keperluan kalori

Keperluan kalori untuk lelaki dewasa ialah 2000 kalori sehari manakala untuk wanita dewasa atau warga emas ialah 1500 kalori sehari.

Contoh kalori makanan yang biasa terdapat dalam juadah hari raya:

Ketupat nasi seketul kecil

80 kalori

Lemang sepotong

100 kalori

Rendang ayam dua potong kecil 100 kaloriKuah kacang 1 senduk

130 kalori

Kuih almond London sebiji

50 kalori

IKLAN
Laksam 1 mangkuk

300 kalori

Pulut kuning 1 senduk 130 kaloriRendang daging 2 ketul 130 kalori
Bahulu 1 biji

60 kalori

Biskut Arab 1 biji

50 kalori

Dodol 1 potong

70 kalori

Kek buah 1 potong

130 kalori

Kerepek ubi

3 keping

50 kalori

IKLAN
Biskut bangkit kelapa 1 biji 40 kaloriBiskut emping jagung 1 biji 80 kaloriAgar-agar kering

1 keping 20 kalori

3 Tip Mudah Elak Makan Berlebihan Di Rumah Terbuka Hari Raya

  1. Jangan makan ketika perut terlalu kosong. Amalkan waktu makan yang teratur pada setiap waktu makan utama.
  2. Amalkan konsep Pinggan Sihat Malaysia. Suku untuk kanji, suku untuk lauk/protin dan separuh untuk sayur dan buah-buahan. Lebihkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan serat bagi membantu mengekalkan rasa kenyang dengan lebih lama. Elakkan pengambilan air manis yang kerap dan gantikan dengan air kosong. Juga,gunakan pinggan yang kecil supaya makanan tersebut kelihatan banyak.
  3. Kunyah makanan secara perlahan dan nikmati juadah anda dalam keadaan yang selesa. Elakkan makan semasa bersembang dan menonton televisyen atau bermain alat elektronik kerana ini akan menyebabkan kita makan dalam kuantiti yang banyak tanpa sedar.

Selain tip yang boleh diamalkan untuk elak daripada makan berlebihan ketika hari raya, anda juga digalakkan untuk membuat senaman ringan yang boleh dilakukan secara tidak langsung ketika berkunjung ke rumah terbuka atau beraya. Ia sangat mudah untuk dipraktikkan:

  1. Letak kereta di tempat yang jauh ketika beraya di rumah kawan-kawan dan berjalan kaki ke rumah mereka.
  2. Gunakan tangga dan bukannya eskalator atau lif.
  3. Kayuh basikal atau berjalan kaki untuk ke rumah jiran.
  4. Berdiri semasa bersembang.
  5. Bermain dengan kanak-kanak.
  6. Bantu tuan rumah mengemas atau apa-apa keperluan lain.

Kurangkan bahan kurang lemak dan kurang manis

Kadang agak sukar untuk mengawal nafsu makan terutamanya selepas sebulan berpuasa. Segala hidangan yang ada di atas meja dilihat enak dan mengujakan untuk dicuba. Apa kata gantikan atau kurangkan bahan-bahan yang digunakan sebagai ramuan dengan bahan yang kurang berlemak dan kurang manis. Juadah pun dapat dinikmati malah penyakit juga dapat dihindari. Antara yang boleh anda lakukan adalah:

  1. Santan boleh digantikan dengan susu rendah lemak
  2. Cairkan santan dengan nisbah 2:1 (air:santan).
  3. Buang lemak dan kulit pada daging.
  4. Gunakan tisu untuk menyerap lebihan minyak makanan bergoreng
  5. Gunakan kuali yang tidak melekat ketika menggoreng.
  6. Elakkan penggunaan kaedah salut tepung ketika menggoreng.
  7. Elakkan menambah gula putih atau perang dalam masakan.

Panduan buat yang ada penyakit kronik

Bagi anda yang mempunyai penyakit seperti kronik seperti kencing manis, darah tinggi ataupun jantung, tak salah untuk anda makan semua itu tapi berpada-pada dan mendapatkan nasihat doktor agar tidak memudaratkan kesihatan anda sepanjang musim perayaan nanti.

Bagi pesakit kencing manis, perlulah mempunyai waktu makan yang teratur dan tidak boleh mengambil makanan berkanji dalam jumlah yang banyak pada satu masa. Pengambilan air dan makanan manis perlu dihadkan dan tidak boleh diambil berulang kali. Contohnya seperti biskut yang manis, lemang, ketupat dan air berperisa perlu dikurangkan. Manakala bagi pesakit darah tinggi pula, mereka perlulah mengawal pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam dan lemak. Elakkan ambil kuah secara berlebihan dan kurangkan penggunaan perasa tambahan dalam masakan seperti MSG, kicap dan sos. Makanan yang berminyak dan berlemak juga perlu dikurangkan seperti makanan bergoreng, santan, penggunaan ‘butter’ dalam kuih-kuih dan makanan berasaskan haiwan terutama rendang daging ataupun sup daging.

Bagi pesakit jantung pula, dinasihatkan untuk mengurangkan makanan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula. Antara contohnya ialah rendang, kuah kacang, makanan berasaskan haiwan terutama daging merah, kuih-kuih manis, biskut manis, kerepek dan minuman manis. Elakkan pengambilan kuah yang berlebihan atau ‘banjir’ kerana mengandungi tinggi garam.

Pesakit kencing manis juga haruslah makan ikut waktu selain mematuhi jadual pengambilan ubat, tidak kira di mana pun mereka berada. Selain itu, diet mereka haruslah sama dengan hari-hari biasa. Mereka tidak digalakkan mengambil makanan yang berlebihan semasa musim perayaan. Sebarang perubahan yang besar dalam diet haruslah dibincang bersama dengan doktor atau pakar pemakanan mereka.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI