Alam sekolah menengah gadis ini, dipenuhi dengan memori berkaitan struktur giginya yang tidak teratur. Kadang-kadang walaupun sekadar lalu nak buang sampah di belakang kelas, ada yang sengaja memanggil dirinya dengan panggilan ‘gigi salah parking’. Menurut Farah Natasya Abd Rahman, 23 waktu remajanya dia tak pernah kisah pun hal giginya. Sebaliknya orang disekelilingnya menjadikan ketidaksempurnaan gigi beliau, bahan untuk diejek dan diketawakan.

“Masa zaman sekolah, saya tak peduli sangat dengan penampilan diri. Mungkin masih belum matang dan tak terfikir pun pasal penampilan diri. Waktu itu saya dikelilingi ramai kawan-kawan sekolah yang cantik dan Alhamdulillah mereka menerima saya seadanya. Di sekolah, tak ramai yang kenal saya dengan nama sebenar, sebaliknya mereka kenal saya dengan nama panggilan ‘gigi salah parking’.

“Lima tahun di sekolah menengah saya langsung tak tahu, gigi saya ini masih boleh dibaiki. Hanya ketika pihak klinik kesihatan datang membuat pemeriksaan gigi disekolah (sewaktu di tingkatan lima), doktor yang merawat saya memaklumkan, struktur gigi saya boleh dibaiki. Saya dinasihatkan untuk merujuk pakar untuk membetulkan gigi.

IKLAN

“Doktor sarankan saya ke klinik kerajaan, atas faktor masa menunggu yang lama dan juga perlu melalui proses saringan. Saya kemudian membuat survey di klinik swasta yang menawarkan khidmat membaiki struktur gigi. Setelah survey, akhirnya saya jumpa sebuah klinik yang menawarkan kos rawatan berjumlah RM6000 keseluruhannya,”kongsi Farah yang mula memakai pendakap gigi pada Ogos 2017 dan membukanya dua tahun kemudian iaitu pada Mac 2020 baru-baru ini.

Nama Lain Gadis Ini ‘Gigi Salah Parking’, Tetapi Selepas Dua Tahun Giginya Lebih Sempurna
Bukan senang nak berhati kebal, walaupun teruk dihina. Farah hari ini lebih yakin dengan penampilan baru dirinya

Kalis keji

IKLAN

Menurut Farah, dia tak pernah ambil peduli kecaman orang yang mengejeknya dengan panggilan nama sebegitu. Baginya jika itu satu kekurangan kurniaan Allah, kenapa dia tak merenung kelebihan Allah berikan padanya yang ada pada dirinya tetapi tidak ada pada orang lain. Sisi positif Farah membuatkan dia mengambil pendekatan tak ambil peduli apa jua kecaman yang dilemparkan orang lain kepada dirinya satu masa dulu.

“Masalah gigi tidak teratur ini, juga dialami oleh tiga adik-beradik saya. Cuma keadaan gigi saya lebih serius dan perlu dirawat jika mahukan ia lebih teratur. Saya sudah menanggung hampir lima tahun lamanya dan memori zaman sekolah menengah saya rata-ratanya tersimpan mengenai panggilan ‘gigi salah parking’

IKLAN

“Bagi saya biarlah orang mengata. Saya mengambil pendekatan untuk tak ambil pusing dan tak perlu melawan kata-kata mereka. Biarkan. Bila mereka dah penat, mereka akan berhenti. Saya yakin setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jika kekurangan saya terletak di gigi, saya juga ada kelebihan disudut lain yang boleh dibanggakan. Itulah cara saya memujuk diri dan mengembalikan keyakinan diri.

“Setelah buka pendakap gigi, yang pastinya saya lebih yakin. Struktur muka saya juga berubah. Saya juga tak ambil peduli komen netizen mengenai gambar saya yang sebelum dan yang selepas. Manusia tidak dilahirkan serba sempurna. Mungkin memori diejek satu masa dulu, menjadikan saya hari ini lebih kental dan berkeyakinan,”kongsi Farah mengenai transformasi dirinya yang dikongsi bersama MW.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI