Nak Anak Berjaya, Mak Ayah Kena Jadi Teladan Terbaik Untuk Mereka

Nak anak berjaya, mak ayah turut main peranan besar. Mengapakah penting untuk kita menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak? Jawapannya, kerana kita adalah persekitaran yang terhampir dan paling dipercayai oleh anak-anak kita.

Apa sahaja tingkah laku dan pemikiran yang kita tunjukkan akan meresap ke dalam kehidupannya. Dia juga akan mempunyai pemikiran, perasaan dan tindakan yang sama atau hampir sama. Jadi sudah tentu kita nak anak-anak kita menjadi anak-anak yang baik dan memberi manfaat kepada semua orang.

Oleh yang demikian, kita terlebih dahulu harus memiliki pemikiran, perasaan dan tindakan yang sama sebagaimana yang kita harapkan kepada anak-anak kita. Ini kerana apa yang kita fikir dan rasa akan amat mempengaruhi apa yang kita bakal lakukan.

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Diterjemahkan Dalam Bentuk Tindakan

Pendek kata, setiap hasrat yang kita impikan untuk anak-anak harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan kita terlebih dahulu kerana persekitaran yang kita bina melalui tindakan kita dan keluarga itulah yang lebih hebat mempengaruhi tindakan anak-anak kita.

Contohnya, jika kita ingin melihat anak-anak rajin solat berjemaah, sudah pasti ia tidak hanya boleh melekat dalam dirinya dengan arahan dan kata-kata kita sahaja tanpa melihat dan merasai keseronokan solat berjemaah iaitu dengan pengalaman solat berjemaah yang dirasakan di rumah di samping ibu bapanya dan juga di masjid atau surau bersama jemaah yang lebih besar. Justeru, perkara itu haruslah dimulakan dan dicetuskan oleh kita terlebih dahulu selaku persekitaran anak-anak yang paling hampir.

Nak Kena Jaga Cara Percakapan

Begitu juga jika kita inginkan anak-anak menjadi baik tutur bicaranya. Harus juga dimulakan daripada kita ibu bapanya. Cara kita bercakap dan cara kita memberikan reaksi terhadap sesuatu perkara semuanya itu dilihat dan masuk ke dalam minda bawah sedar mereka untuk diprogramkan.

IKLAN

Program ini akan dilancarkan secara semula jadi apabila wujud senario yang sama atau hampir sama dalam kehidupan mereka. Contohnya, jika anak-anak melihat, ibu sentiasa memberikan reaksi yang positif terhadap setiap isu yang dibangkitkan oleh ayah. Maka apabila dalam kehidupan anak, ada orang yang membangkitkan isu, dia juga akan memberikan reaksi yang positif juga sebagaimana yang telah dirakam daripada tindakan ibunya. Sudah pasti begitu juga sebaliknya.

Lagi artikel menarik di sini:

Bila Sudah Ada Anak, SUAMI Kenalah Faham Komitmen ISTERI Bukan Untuk Dia Seorang

Main Teka-Teki Dengan Anak Boleh Bina Minda Positif dan Kreatif Mereka

Ikuti MW di instagram kami:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Tengok Kecenderungan Anak

Selain daripada itu, kita harus melihat kecenderungan anak-anak untuk memberikan dorongan dan menyediakan platform yang terbaik buat diri mereka. Hasrat yang kita impikan untuk mereka haruslah sesuai dengan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki.

Kecenderungan mereka harus diraikan agar mereka rasa dihargai dan terpandu. Anak-anak yang masih kecil mungkin tidak dapat menyatakan apa yang mereka suka lakukan dan minat mereka secara jelas, namun selaku ibu bapa kita harus mengamati dan dapat memberikan mereka beberapa cadangan agar mereka dapat melihat kebolehan dan potensi yang ada pada diri mereka.

Nak Gilap Bakat Anak

Di sinilah peranan kita untuk memberikan dorongan dan menggilap bakat mereka yang terpendam agar ia boleh ditonjolkan dan melatih anak untuk lebih berkeyakinan. Kadang-kadang mereka meminati sesuatu, namun tidak tahu bagaimana harus menonjolkannya dan ke mana harus di bawa minat itu.

Contohnya, anak-anak cekap menghafaz sesuatu, daripada kelebihan itu, kita boleh mendorongnya untuk menghafaz ayat-ayat suci al-Quran dengan menghantarnya ke kelas-kelas hafazan al-Quran, mengalakkannya mendengar CD al-Quran dan melibatkan diri untuk menjadi pentasmik (mendengar hafazan) anak.

Masa Untuk Anak

Begitu juga dengan kebolehan yang lain. Saya pasti dengan sedikit masa yang kita peruntukan untuk bersama mereka kita dapat pastikan minat dan kecenderungan anak-anak kita, insya-Allah.

Akhirnya, ia amat penting untuk kita tidak hanya berharap kerana kita akan kecewa. Kita harus melakukan tindakan agar perancangan mencapai hasrat itu dapat dirasakan. Jika tidak berjaya sekali pun, usaha dan pengalaman yang mereka lalui sepanjang tempoh tersebut sudah pasti menjadi mutiara-mutiara indah yang membentuk jati diri mereka. Wallahuallam.

Artikel: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)