Nur Syamim bt Abd Rahim tidak sesekali akan melupakan kisah sedih sepanjang pengalaman kerjaya gurunya ini apabila murid yang asalnya dalam keadaan sihat sewaktu ke sekolah, tiba-tiba jatuh dan terus diserang sawan di dalam kelas.
“Ketika itu, murid tersebut sedang membuat latihan lembaran kerja, tiba-tiba murid tersebut jatuh dari kerusi dan terus mengeluarkan cecair buih dari mulut. Murid ini juga tidak pernah sama sekali menjadi sawan sebelum ini. Semua keadaan menjadi panik.
“Kami menelefon ambulans dan ibu bapa diminta datang segera ke sekolah. Tetapi setelah menunggu hampir 15 minit ambulans tak kunjung tiba. Murid sudah mula mengeluarkan darah di bahagian hidung dan mulut lalu tidak sedarkan diri.
“Guru-guru bersama murid terus mengusung murid tersebut dengan menggunakan pengusung ke klinik kesihatan berhampiran. Klinik kesihatan itu mengambil keputusan untuk segera menghantar murid tersebut ke hospital.
“Murid kami itu segera dimasukkan ke zon kritikal. Al Fatihah untuk arwah murid. Dia akhirnya meninggal dunia di hospital,” ujar Nur Syamim sedih.
Suka Kerjaya Guru
Sejak kecil lagi Nur Syamim sangat sukakan kerjaya guru. Malah sewaktu kecil apabila ditanya tentang cita-citanya, sudah pasti jawapannya adalah ingin menjadi guru. Kini sudah 6 tahun impian wanita berusia 29 tahun ini terlaksana. Nur Syamim kini mengajar kelas Pendidikan Khas di SMK Taman Ehsan, Kepong, Kuala Lumpur.
“Dulu sewaktu kecil lagi apabila guru tanya tentang cita-cita saya akan terus menjawab saya ingin menjadi guru. Semangat ini semakin kuat apabila saya terinspirasi dengan guru-guru sekolah. Mereka sangat ceria dan sentiasa bersemangat mendidik anak murid. Mereka juga sentiasa sabar melayan karenah murid yang pelbagai ragam.
“Perasaan kali pertama mengajar adalah sangat gementar. Saya memikirkan penerimaan pelajar terhadap saya. Saya juga sentiasa fikirkan mampukah saya menguruskan murid yang mempunyai pelbagai masalah di dalam satu kelas. Dan alhamdulillah sehingga kini saya antara guru yang digemari murid di sekolah.”
Ads
Nur Syamim bertuah dapat mengajar murid-murid kelas pendidikan khas
Pilih Pendidikan Khas
Kenapa memilih Pendidikan Khas? Jelas Nur Syamim sejujurnya pada awal pemilihan universiti, kursus Pendidikan khas adalah kursus terakhir pilihannya.
“Selepas masuk matrikulasi, saya pergi temuduga untuk kemasukan universiti. Para penemuduga bertanya soalan “jika saya beri kursus pendidikan khas, adakah awak terima”. Saya jawab “InShaa Allah saya terima tawaran tu”
“Di awal kemasukan universiti saya belajar tanpa kerelaan hati. Sehingga lah pada suatu hari saya pergi membuat kajian tindakan di sebuah sekolah. Di situ saya mula jatuh cinta dengan bidang yang saya ceburi. Betapa murid-murid ini sangat memerlukan guru untuk memberi tunjuk ajar supaya mereka dapat hak kesamarataan pendidikan sama seperti orang lain.”
Ujarnya lagi, murid-murid Pendidikan Khas ini juga jujur dan ikhlas menyayangi guru mereka.
“Setiap gelak tawa mereka sangat mendamaikan hati semua orang.”
Apabila dunia termasuk Malaysia diserang pandemik Covid19, semuanya telah berubah. Paling terkesan adalah dunia Pendidikan. Mengajar ketika pandemik Covid19 ini pastinya satu cabaran buat seorang guru. Bagaimana Nur Syamim menghadapinya?
“Seperti yang sedia maklum, pendidikan khas mempunyai pelbagai masalah kelainan upaya. Mereka terdiri daripada murid autisme, diskleksia, hiperaktif, bermasalah pembelajaran dan sebagainya.
“Cabaran lebih tertumpu kepada murid yang bermasalah hiperaktif. Bagaimana nak menguruskan murid ini berada di tempat duduk dan tidak bersentuhan dengan rakan. Pelbagai aktiviti kami harus rancang supaya murid tidak bosan dan mengamalkan SOP Norma baharu.
“Untuk murid autisme pula, mereka sudah mempunyai rutin yang sukar diubah. Contohnya, pada waktu rehat mereka akan ke kantin dan duduk di tempat yang sama mereka makan dari awal tahun. Oleh itu, cabaran guru adalah dalam mengubah rutin sedia ada ke Norma baharu.”
Ads
Ceritanya pula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pengajaran dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp, zoom meeting dan Google classroom.
“Mengajar murid pendidikan khas secara online agak mencabar. Tidak semua murid Pendidikan Khas mempunyai kemahiran untuk menulis, mengira dan membaca. Oleh itu, guru perlu mencari kaedah yang bersesuaian untuk mengajar murid supaya murid boleh membuat semua latihan yang diberikan.
“Pelbagai kaedah yang digunakan seperti zoom meeting, video mengajar, hubungi menerusi telefon dan sebagainya. Di sini, penglibatan serta kerjasama antara guru dan ibu bapa sangat lah penting untuk murid belajar di rumah.
“Selain itu, masalah terbesar ialah tidak semua murid mampu mempunyai capaian Internet. Oleh itu, guru akan mencetak latihan dan ibu bapa mengambil terus latihan dari guru,”jelasnya.
Sentiasa Bersemangat
Nur Syamim puas menjadi guru. Walau masih belum memperoleh Anugerah Perkhidmatan Cemerlang setakat ini, dia akan sentiasa bersemangat untuk memberikan yang terbaik untuk pelajar.
“Saya berharap saya sentiasa bersemangat ke sekolah dalam mendidik anak murid tambahan lagi di musim pandemik ini. Saya juga berharap saya diberi kesihatan yang baik untuk terus cergas dalam menguruskan kepelbagaian masalah anak murid saya.”
MW: Kisah Nur Syamim ini telah diterbitkan di dalam ruangan Keranamu Guru, Mingguan Wanita Edisi Bulan Oktober 2020.
Foto: Nur Syamim
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kebiasaan lepas raya mesti ada masalah kesihatan yang dialami oleh orang tua atau pun kanak-kanak. Maklum saja, masing-masing, ‘lepas gian’ jumpa keluarga, sanak saudara dan sahabat.
Tanpa sedar, dalam berjumpa itulah ada pula tersebar wabak penyakit lain. Masalah Covid 19 tak habis lagi, timbul pula tentang penularan HFMD.
Masalah kesihatan yang biasa berlaku pada kanak-kanak iaitu HFMD yang boleh berlaku lepas raya. Puncanya berkumpul ramai-ramai dan pula sebaran tentang penyakit ini.
Mungkin mak ayah tak perasan tentang simptom ini sehinggalah bila berjumpa dengan doktor. Macam mana nak tahu tanda dan rawatan untuk HFMD ini? Dr. Kamarul Ariffin ada jawapannya.
Lepas Hari Raya Aidilfitri ni, ramai mak ayah bawa anak kecil datang ke klinik dengan ruam dan demam. Bila saya periksa, rupanya Penyakit Kaki Tangan & Mulut (HFMD)
HFMD disebabkan oleh virus dan merebak dari individu ke individu dengan sentuhan langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.
Hari Raya kali ni, ramai orang pulang ke kampung berkumpul bersama sanak saudara. Mungkin itu menyebabkan penularannya. HFMD mudah menjangkiti kanak-kanak yang ditempatkan bersama.
Semua peringkat umur termasuk orang dewasa boleh dijangkiti HFMD, namun kanak-kanak di bawah umur bawah 5 tahun paling berisiko dijangkiti.
Tanda-tanda:
Demam
Ruam di mulut, tangan, kaki dan kawasan lampin
Ulser pada tekak, mulut dan lidah
Sakit Tekak
Sakit kepala
Hilang selera makan
Antara rawatan yang perlu dilakukan:
Beri paracetamol untuk kawal demam
Pastikan anak minum dengan cukup
Jika anak tidak mahu makan atau minum, dan terlalu lemah, bawa anak berjumpa doktor segera
Pencegahan:
Cuci tangan dengan sabun sebelum sediakan makanan, selepas keluar tandas, menukar lampin dan mencuci najis.
Menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin. Buang tisu dalam tong bertutup.
Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
Tidak berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
Anak yang disyaki HFMD hendaklah dikuarantin dan tidak di hantar ke taska/tadika/asuhan/sekolah, atau ke tempat awam.
Semoga bermanfaat!
Mingguan Wanita : Harap-harpa mak ayah ‘alert’ tentang kesihatan anak.
Hati ibu mana yang tidak sedih jika anak yang disayangi menderita kesakitan. Apatah lagi itulah satu-satunya permata hati yang dianugerahkan ilahi. Kasihan sungguh tatkala melihat anaknya menggaru-garu, kulit pedih keterlaluan hingga berdarah. Lebih teruk lagi apabila air bisa yang keluar dari kulit yang digaru.
Itu antara perkara dan pengalaman biasa yang dihadapi oleh kanak-kanak yang bernama Tia Al-Batrisya Muhamad Alhafiz, 7. Ibu kepada kanak-kanak ini, Mawarni Abd Manaf atau lebih mesra dengan panggilan Mimi menambah hanya mereka yang mengalami masalah sebegini faham akan situasi yang dialami.
Ketika mengalami masalah ekzema.
“Ramai orang ingat ekzema setakat gatal-gatal saja. Hanya yang merasai tahu perasaan ini. Sukar nak berhenti menggaru. Malah, cabaran utama pesakit ekzema ialah mengadu sangat pedih apabila terkena air ketika mandi. Begitulah juga yang dihadapi Tia, paling kesian bila selepas menggaru kulit Tia melecet hingga rapuh dan mula membengkak. MasyaAllah hanya Yang Maha Esa saja yang tahu deritanya Tia. Bila dari muka hingga kaki bengkak dek kerana kesan kulit gatal yang digaru. Bukan itu saja malah rambutnya gugur dan keningnya hilang,” terang Mimi yang rasa cukup gelisah bila keadaan sedemikian dialami anak kesayangannya dan suami, Muhamad Alhafiz Zakaria.
Tia Disahkan Hidap Severe Eczema
Mimi juga menerangkan anaknya disahkan menghidap Severe Eczema iaitu dari hujung rambut hingga hujung kaki alami kegatalan.
“Tia mula menghidap ekzema ketika umurnya empat tahun. Penyakit ini mula menyerang selepas hari raya. Permulaannya kulit Tia jadi kering dan hitam. Dari situ saya dan suami ke klinik-klinik pakar untuk merawat Tia. Tapi keadaan dia semakin lama semakin teruk. Pada masa yang sama kami ke Pakar Kulit HUKM dan kemudiannya selepas lima bulan doktor pakar membuat surat rujukan untuk Tia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana kondisinya yang semakin teruk.
“Semakin hari keadaan Tia semakin teruk dan tidak terkawal sehinggalah kulit dia tak boleh nak pegang. Melecet pedih, 24 jam gatal-gatal dan dia menggaru. Bila masa mandi dia menjerit-jerit kesakitan.
“Malam tak boleh tidur. Berpeluk saja dengan dia 24 jam. Kemudian dia terus ditahan di HKL selama sembilan hari. Kemudian bermacam-macam jenis ubat yang diberikan kepada Tia. Sehari lapan jenis ubat yang Tia makan. Berjumpa doktor dari selang tiga hari, turun ke seminggu sekali, dua minggu sekali, tiga minggu sekali, sebulan sekali selama setahun lebih. Keadaan terkawal sebab penggunaan steroid dan ubat hospital. Dari ubat makan sampai ubat sapu. Bila berhenti makan ubat, flare balik kulit Tia.
“Sehingga satu ketika sewaktu berusia enam tahun, Tia sudah pandai luahkan perasaan dan dia tak mahu makan ubat lagi. Sebabnya bila dia makan ubat dia akan rasa lemah, letih dan tak boleh bermain-main. Dia rasa tak seronok dan dari situ saya mula mencari alternative lain. Alhamdulillah perlahan-lahan penyakit Tia berkurangan,” ungkap Mimi.
Cabaran Bila Mula Sekolah Rendah
Tahun 2019 Tia mula bersekolah rendah, bulan pertama memang penuh cabaran, Minggu pertama Mimi menjelaskan semuanya berjalan dengan lancar
.
“Minggu kedua Tia mula menangis-nangis, tergaru-garu sehingga cikgu sekolah hubungi saya kerana badan Tia dah berdarah-darah. Kadang tu masuk pukul 7.30 kemudian jam 8.30 sekolah dah hubungi saya untuk ambil Tia. Bulan kedua bersekolah saya tunggu Tia di kantin dan dia akan bersekolah setakat mana dia mampu bertahan.
“Selama tiga bulan lebih merana semasa sekolah akhirnya sekarang Tia pulih dan syukur kerana dia sudah tidak gatal-gatal teruk seperti dulu. Walaupun semakin pulih namun saya masih menjaga pemakanan Tia dan dia juga berpantang daripada mengambil beberapa makanan yang boleh membuatkan kulit Tia kembali gatal. Penyakit Tia bukan disebabkan faktor keturunan atau makanan. Doktor suspek dari sistem imun Tia sendiri,” jawab Mimi.
Demi menjaga anak kesayangannya, Mimi juga terpaksa berhenti kerja dek kerana keadaan Tia yang teruk pada tahun 2017. Namun pengorbanan itu sangat berbaloi kerana dia berasa puas dapat menjaga dan bersama-sama dengan Tia tatkala anaknya memerlukan ibu di sisi. Selain itu Mimi juga sangat bersyukur kerana keluarga memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka sekeluarga sepanjang Tia menderita penyakit yang dihidapi.
Kini Tia semakin pulih.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Majlis kahwin, waktu untuk meraikan pasangan dengan kehadiran ahli keluarga, sanak saudara dan jiran di hari bahagia pengantin baru. Walaupun majlis ringkas dengan jumlah jemputan tak seberapa tapi ia sudah cukup menggembirakan.
Baik tuan rumah atau pengantin, inilah masanya untuk memperkenalkan ahli keluarga baru pada majlis kahwin. Sudah tentu, dalam meraikan sedikit sebanyak ada makan-makan.
Kalau dahulu, di kampung majlis kahwin dibuat secara gotong royong, panggil jiran-jiran untuk sama masak. Masa majlis siap ada penanggah bagai.
Keadaan sekarang mungkin berbeza, majlis kahwin dibuat melalui katering, tuan rumah hanya menempah makanan mengikut jumlah jemputan yang hadir untuk elak pembaziran.
Waima melalui katering atau bergotong royong, mesti ada suara-suara yang makanan yang disediakan tidak cukup sedangkan tetamu ada yang baru datang. Begitulah yang sering diperkatakan.
Jangan tak tahu, mungkin keadaan ini disebabkan juga oleh geng pencuri lauk (GPL). Kenapa berlaku sebegini. Secara jujurnya, ia sekadar nasihat daripada Hayat Muhamad ini untuk mereka yang termasuk dalam GPL ini. Moga bermanfaat.
Kenduri kahwin benda paling risau ialah geng pencuri lauk ( GPL ).
Modus operandi GPL ada dua:
1. Siap bawa bekas dari rumah. Tengah orang kelam kabut dia cedok lauk. Dia bungkus untuk cukup dalam 10 orang makan. Lepas tu, dia balik dulu hantar “curian”. Kemudian, dia datang balik melawa kemudian makan macam biasa.
2. Kedua dia bawa plastik @ supik rokrak. Geng supik ni dia datang awal. Bila lauk masak je, diorang serang. Kalau plastik diorang besar, mungkin cukup untuk 10 orang makan jugak.
Kemudian dia blah macam biasa.
Kalau budget tuan rumah 1000 orang, akan jadi tak cukup.
Kalau GPL ni ada 50 orang dan ambik untuk budget 10 orang makan, Budget untuk 500 orang makan dah berkurang.
Pernah berlaku majlis kahwin tak cukup hidangan sebab dapur tak dikawal rapi. GPL berleluasa.
Tuan Rumah Tanggung Malu
Tuan rumah terpaksa tampung dengan laksa. Tuan rumah malu seumur hidup. Pengantin kecewa sepanjang hayat.
Kalau ada keluarga jadi ahli GPL ni, tolonglah ingatkan. Bukan sedikit majlis yang rosak kerana diorang ni.
Kalau di akhir majlis, lauk tak habis, lain ceritalah.
Dengan perkongsian ini, harapan GPL insaf dapat menyelamatkan majlis kahwin orang yang akan datang.
GPL insaflah.
Mingguan Wanita : Kalau dah habis majlis ada lauk yang lebih tiada masalah pun. Boleh bahagi-bahagi.
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...