Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Berikut merupakan ulasan dan pandangan oleh Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan isu ini.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
BAYAN LINNAS SIRI KE- 125: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT DOULA
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Nyawa Lebih Penting
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Ads
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Rujukan Hadis
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Ads
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi Kaedah iqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Ads
Menyelamatkan Dari Mudharat WAJIB
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Terharu Guru Bimbingan & Kaunseling, SK Putrajaya Presint 8 (2), Hussin Bin Ismail ini apabila anak-anak murid tahun 6 ini menolak daun pintu surau sekolah. Tak lama kemudian, bunyi air wudhuk menusuk pendengarannya.
Rupa-rupanya anak-anak tahun 6 ini mula membuat saf dan solat sunat dhuha berjemaah. Guru lelaki ini begitu terkesan dengan tindakan pelajarnya sampai tak sedar air matanya mula mengalir. Gembira.. semakin sejuk hatinya. Bayangkanlah ibu-ibu yang melahirkan anak-anak ini, makin berat pahala ibu-ibu ini.
Kisah yang berlaku pada guru yang senang sekali dipanggil CIkgu Hussaynini benar-benar berlaku depan matanya. Bagus untuk diambil ikhtibar. Kelak mak ayah boleh nasihatkan anak-anak agar ambil sedikit masa untuk solat dhuha di sekolah. Tak rugi pun.. lagi berganda-ganda rezeki.
Sejuk Hati, Sejuk Mata, Tenang Minda
Allahu.. sejuk hati dan menitis airmata saya melihat situasi ini. Saat berada di surau keseorangan, tiba-tiba pintu dibuka dan terdengar bunyi beberapa orang mengambil wudhuk.
Rupa-rupanya anak-anak tahun 6 lelaki dengan rela hati datang berjemaah solat sunat dhuha di surau selepas rehat. Sedangkan kawan-kawan mereka saya dengar masih ada yang bermain kejar mengejar di dataran sementara menunggu waktu rehat tamat.
Berbahagialah ibu ayah yang berjaya mendidik anak-anak ini dan saya sebagai guru juga turut merasa bahagia melihat mereka.
Diharapkan perkongsian saya ini dapat membuka mata ibu ayah yang lain agar turut sama menasihati anak tercinta.
Sekiranya ada waktu lapang di sekolah pada awal pagi, mintalah mereka lakukanlah solat sunat dhuha kerana banyak kebaikan yang akan hadir tanpa disangka-sangka. InsyaAllah bila solat sunat menjadi budaya maka saya yakin solat fardhu mereka takkan persia.
Ini Pesan Guru Saya
Begitu juga harapan saya pada ibu ayah di pejabat atau di rumah, kalau ada masa lakukanlah solat sunat dhuha ini. Dan kalau boleh biar mereka lihat dan nampak. Kerana pesan guru saya Drs Fauzi Zainoel Abidin semasa saya menjadi penuntut ilmu dahulu yang masih saya ingat hingga kini..
“Kalau kamu mahu anak rajin membaca, maka banyakkan membaca buku di hadapannya. Kalau kamu mahu anak rajin mengaji, maka banyakkan mengaji Al-Quran di hadapannya. Maka begitulah kalau kamu mahu anak tidak tinggal solat, maka rajinlah solat di hadapannya.”
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan anak-anak kita beroleh kejayaan di dunia dan akhirat serta kita juga dapat menuai saham akhirat. Tqvm & UiLove!
Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya :
“Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya :
“Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha.”
Sinonim mengacarakan program masakan hampir lima tahun telah membuka puluang buat usahawan dan pengacara Karl Shafek dipilih sebagai duta bagi pesta makanan, MAHA BUFFET 2024 anjuran Restoran Mak Kimbong dan Experiment Kitchen.
Karl yang juga merupakan bekas peserta program Masterchef Selebriti Malaysia itu akan memasak sendiri hampir 10 menu khas selain 200 menu gabungan yang akan disajikan buat para pengunjung.
“Saya akan bersama program MAHA BUFFET sepanjang bulan Ramadan. Saya akan berada di MAEPS hampir setiap hari.
“Sebagai duta, saya juga akan memasak sendiri hampir sepuluh menu. Para pengunjung berpeluang meresa air tangan saya,” ujar Karl yang turut berkongsi pengalaman berharga mengacarakan sebuah rancangan memasak kira-kira lima tahun yang lalu sekaligus banyak memberikan pengalaman buat dirinya mempelajari ilmu memasak dari segenap pelusuk kampung di tanahair dan negara-negara jiran antaranya termasuklah Thailand dan Indonesia.
“Sebelum ini, saya mempunyai sebuah rancangan tv yang berjudul Aroma Tradisi di sebuah stesyen televisyen swasta. Jadi saya punyai hampir 400 resipi tradisi yang boleh dibukukan bila-bila masa sahaja.
Sepanjang lima tahun, saya kerap masuk ke kawasan kampung seluruh Malaysia termasuk Thailand dan Indonesia. Mereka juga ada mengajar saya memasak menu yang tidak ditunjukkan di TV,” ujarnya lagi.
Masak Untuk Staff
Menurut Karl atau nama sebenarnya Khairul Shafek Ibrahim, dia sering menyediakan menu istimewa buat para para pekerjanya hampir setiap malam.
“Walaupun saya bukan pembikin konten masakan, tapi hari-hari saya masak di rumah. Saya jarang makan di luar sebab saya suka makan masakan sendiri.
“Saya ini orang kampung jadi masakan saya ini memang selalunya menu kampung,” katanya ketika majlis sidang media baru-baru ini. Karl turut menyediakan menu istimewa ayam masak merah untuk dinikmati oleh rakan-rakan media yang hadir di majlis tersebut.
Anak ketiga daripada empat beradik yang terdiri dari kesemua lelaki ini turut berkongsi bagaimana dirinya mula belajar memasak seawal usia sekolah rendah kerana sering membantu ibunya di dapur.
“Ibu saya dahulu punyai bisnes katering. Adik-beradik kesemua lelaki jadi kami sudah dibiasakan dengan situasi membantu ibu memasak di dapur”-KARL SHAFEK.
Dari kecil sudah disuruh mengupas bawang dan sebagainya jadi tak kekok untuk membuat tugas-tugas memasak itu.
Kami juga biasa mengambil tempahan pelbagai kenduri terutamanya majlis perkahwinan. Saya sudah biasa masak dalam kondisi yang banyak. Kalau saya tak sempat, staf yang akan memasak tetapi menggunakan menu saya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pemilik Restoran Mak Kimbong, Khairul Amilin Abdul Rahman berkata, pelbagai hiburan bersesuaian turut diatur antaranya persembahan di pentas utama.
“Maha Buffet 2024 bakal menjadi lokasi himpunan makanan terbesar di Malaysia selain komited untuk memberi kepuasan kepada pelanggan menikmati pelbagai juadah istimewa.
“Istimewa lagi, Maha Buffet 2024 turut memberi peluang kepada pelanggan untuk menerima pelbagai hadiah cabutan bertuah setiap hari antaranya barangan elektrik, voucher beli belah, tiket penerbangan dan hadiah utama merupakan kereta misteri yang akan diberikan pada minggu pertama Maha Buffet berlangsung,” katanya.
Tambah Khairul lagi, pihaknya juga amat mengalu-alukan tajaan tunai dan infaq daripada individu mahupun pihak korporat yang akan digunakan untuk membawa anak-anak yatim, orang kurang bernasib baik serta badan kebajikan menikmati hidangan kami”.
Tempahan untuk slot menikmati juadah di Maha Buffet kini dibuka dengan harga serendah RM 49.90 (kanak-kanak) dan RM89.90 (dewasa).
Bagi harga tempat duduk VIP (pelbagai keistimewaan) adalah RM 149.90 (dewasa) dan RM 89.90 (kanak-kanak).
Namun anda boleh berjimat sehingga RM 10 lebih rendah dari harga asal jika membuat tempahan awal sebelum 29 Februari 2024.
Bagaikan plot drama siapa sangka bayi perempuan ditemukan di belakang rumah di Kampung Geting, di sini, dipercayai baru dilahirkan oleh seorang remaja.Bayi itu disyaki dilahirkan jam 9.30 pagi oleh remaja berusia 18 tahun secara bersendirian tanpa pengetahuan keluarga.
Jumpa Bayi Belakang Rumah
Ibu remaja itu yang mahu dikenali sebagai Liza, 37, berkata, dia dihubungi anak perempuannya itu memaklumkan terdengar jeritan bayi dari belakang rumah dan mendakwa ada individu membuang bayi.
“Saya ketika itu sedang bekerja di kedai kopi dan selepas menerima panggilan anak, saya tidak terus pulang kerana sedang membungkus nasi untuk pelanggan.
“Tidak lama kemudian, anak menelefon sekali lagi dan saya meminta seorang saudara ke lokasi yang diberitahu untuk memastikan kesahihan berita itu.
“Selepas keadaan di tempat kerja sedikit tenang, saya pulang ke rumah dan melihat jiran sedang memangku bayi perempuan dan saya terus bertanyakan anak perempuan adakah bayi itu anak dia namun dia nafikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Liza yang berasal dari Sungai Golok, Thailand berkata, jiran memberitahu bayi perempuan itu ditemukan dalam keadaan berbogel dan sudah kebiru-biruan manakala tali pusat sudah dipotong dan uri pula siap ditanam tidak jauh dari tempat bayi itu ditemukan.
Tak Mengaku Lahirkan Anak
Menurutnya, anaknya masih belum berkahwin dan tidak tahu jika remaja itu mengandung kerana fizikalnya yang memang semula jadi berisi.
Dia berkata, anaknya itu baru menetap bersamanya sejak Ramadan lalu selepas bapa kandung yang juga bekas suami Liza meninggal dunia akibat serangan strok.
“Saya mendesaknya untuk mengaku bahawa bayi perempuan itu anaknya tapi dia enggan sebaliknya mendakwa lelehan darah yang turun di betisnya adalah kerana datang bulan.
“Buntu memikirkan perkara itu menyebabkan kami terpaksa menghubungi polis dan anak serta bayi perempuan itu dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya yang sedang hamil enam bulan bersama suami baru.
Anak Kurang Sihat
Liza berkata, anaknya itu tidak menunjukkan perubahan ketara sebaliknya memberitahu rasa kurang sihat dan terasa lapar ketika bangun dari tidur kira-kira jam 1 pagi tadi.
Menurutnya, sebelum turun bekerja ke kedai kopi jam 4 pagi, Liza sempat memasak untuk remaja perempuan itu yang dikatakan demam tanpa memikirkan apa-apa yang pelik.
“Beberapa jam selepas itu saya dikejutkan dengan berita penemuan bayi perempuan oleh anak dan lebih mengejutkan ia mungkin dilahirkan anak saya sendiri,” katanya.
Sementara itu, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi perempuan itu dan siasatan lanjut sedang dibuat.
Air mata terakhir Zara Qairina, bersumpah & nafi mencuri sebelum temui ajal. Inkues kematian pelajar, Zara Qairina membuka kisah memilukan apabila arwah dilaporkan menitiskan...