
Motosikal Terbabas
Tular berita sebuah motosikal terbabas tanpa siapa sedari. Ini kisah seorang ayah yang keluar mencari rezeki seperti biasa akhirnya pulang dalam keadaan yang tidak bernyawa.
Mohd Suhadi Mohd Noor Din, berusia lingkungan 40-an, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 25 selepas menamatkan syif kerja sekitar jam 5.40 pagi.
Namun, di sebuah jalan di Seksyen 15, Shah Alam, motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terjatuh ke dalam longkang yang dalam.
Lebih menyedihkan, lokasi kejadian yang terlindung menyebabkan kemalangan itu langsung tidak disedari oleh pengguna jalan raya lain. Selama hampir sehari, arwah berada di situ tanpa sesiapa mengetahui apa yang telah berlaku.
Hanya sekitar jam 11.40 malam, orang awam menemui jasadnya di dalam longkang berhampiran pejabat Karangkraf. Ketika itu, segala penantian keluarga akhirnya terjawab, namun jawapan yang diterima adalah berita yang paling perit untuk diterima.
Hasil bedah siasat mengesahkan arwah meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada selepas merempuh struktur konkrit longkang.
“Lepas ni ayah dah tak balik rumah tau…”
Itulah kata-kata yang paling menyayat hati apabila seorang ibu cuba menjelaskan kepada lima orang anaknya bahawa insan yang mereka tunggu setiap hari kini tidak akan pulang lagi.
Lebih memilukan, lima orang anak kini terpaksa membesar tanpa pelukan dan kasih sayang seorang ayah. Tiada lagi suara yang menyambut mereka di rumah. Tiada lagi ayah yang keluar bekerja demi mencari nafkah buat keluarga.
Kadangkala, seseorang hanya keluar bekerja seperti hari-hari biasa. Mereka sempat mengucapkan selamat tinggal, tetapi tanpa disedari itulah ucapan terakhir.
Semoga Allah menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah.
Sumber: Kosmo!