Menjadi impian setiap wanita yang telah berkahwin, ingin bergelar seorang ibu dan memiliki anak. Jadi jangan salahkan wanita yang tidak dikurniakan zuriat lagi kerana ia bukan kehendak mereka.
Mereka juga ingin bergelar seorang “mak” jika diberi pilihan, jangan disoal kenapa belum lagi ada anak. Bukan mereka tidak berusaha, malah sempat merasa bergelar ibu sekejap, namun nikmat itu ditarik balik. Hanya seketika cuma.
Mendalami jiwa orang lain bila kita letakkan sekejap diri kita ditempat mereka.
Ada satu kes cerai bersyarat yang jatuh talak.
“Saya berkahwin dah 5 tahun tapi belum dikurniakan zuriat. Saya pernah mengandung 3 kali, semuanya keguguran. Suami saya salahkan saya tak jaga kandungan baik-baik.
“Suami kata, kalau lepas ni mengandung tapi gugur juga, jatuh talak 1 terhadap saya. Malangnya saya mengandung kali ke-4 dan keguguran juga pada usia kandungan 8 minggu. Maka setelah berjumpa pegawai yang berkenaan, talak sah jatuh.”
Jangan Salahkan Orang Jika Tiada Zuriat
Dari situ boleh lihat betapa tak matangnya seorang lelaki. Kalau diri sendiri tak matang, bagaimana dia boleh menjaga zuriatnya kelak? Lagi nak salahkan isteri. Sedih.
Tahu tak bahawasanya menjadi seorang ibu adalah impian setiap wanita yang berkahwin. Adalah tidak adil jika mereka dituduh tidak menjaga kandungan dengan baik.
Keguguran bukanlah sesuatu yang indah seperti berkelah di tepi pantai, wanita itu perlu melalui proses mengeluarkan janin dan mencuci rahim. Sesuatu proses yang tiada wanita akan kata mereka suka.
Kehilangan Zuriat Bukan Pengalaman SERONOK
Pernah dengar wanita yang happy sangat nak pergi buat D&C? Diseluk sana, sini, malu jangan cakaplah. Kalau malu dan sakit masa lahirkan anak, masih berbaloi bila nampak baby dan dengar suara baby.
Tapi keguguran, sudahlah sakit, kena lalui proses itu semua. Emosi lagi nak kawal, baby pun tak ada. Ingat suka-suka ke keguguran? Maka, sangatlah tidak adil jika wanita ini didakwa dengan sengaja tidak menjaga kandungannya.
Keguguran boleh terjadi dengan pelbagai cara. Walau bagaimana kandungan dijaga rapi bagai anak raja, tapi jika ianya bukan milik kita, tetap bukan milik kita.
Kisah 1:
Usia kandungan dua bulan. Si ibu hanya menarik satu rumput kecil dari tanah, keguguran terjadi.
Kisah 2:
Usia kandungan terlalu baru, si ibu tak sedar pun dia mengandung. Lalu dia mengangkat meja berat di tempat kerjanya. Tapi alhamdulillah, zuriat itu tetap miliknya.
Kisah 3:
Anaknya baru berusia 5 bulan, si ibu mengandung sekali lagi tanpa dirancang. Si ibu memang belum bersedia terima anak lagi, maka dia ambil jalan pintas memakan ubat mengeluarkan period yang dibeli dari farmasi. Tapi rezekinya, anak dalam kandungan tetap lahir sihat.
Kisah 4:
Sama seperti kes-3, belum sedia mengandung lagi. Maka dimakannya nenas muda, air coca-cola, ubi keladi mentah, apa saja yang orang kata boleh gugurkan janin. Tapi anaknya lahir juga.
Kisah 5:
Si ibu mengandung sulung. Dijaga rapi bak sang puteri. Tiada sebarang kerja dibuat, segala keinginan dituruti. Pada usia kandungannya 6 bulan, bayi dalam kandungan tak bergerak. Dah meninggal dunia.
Kisah 6:
Kahwin 10 tahun, duit banyak. Dah buat pelbagai rawatan untuk hamil, dah habis jutaan ringgit, tapi masih tiada zuriat.
Ads
Kisah 7:
Hidup susah, kais pagi makan petang, kais petang makan malam. Tapi anak lahir setiap tahun. Walau makan pil perancang, tapi ada hari terlupa makan. Dan hari itulah Allah kurniakan zuriat dalam rahim si ibu.
Banyak kisah lagi…
Tuhan Berhak Ambil Zuriat
Saya sendiri pernah keguguran anak pertama. Masa mengandung, saya mengalami hi-prem yang teruk. Masuk air sampai 30 botol biru lebam tangan sebab dicucuk jarum tapi akhirnya saya keguguran juga.
Adalah mulut berkata, mungkin baby lemas sebab masuk air banyak sangat. Anak pertama kan, kita pun tak pandai lagi. Bila mengandung anak kedua, teruk macam mana pun, saya enggan ke hospital.
Saya takut kena masuk air lagi. Tapi sampai tahap saya pengsan, terus dibawa ke hospital. Doktor India tu kata akan masukkan air sebab badan saya dah kekurangan cecair kerana muntah teruk.
Saya enggan. Saya kata takut nanti kandungan keguguran lagi. Lalu doktor India tu senyum pandang saya. “You percaya Tuhan kan? You tahu Tuhan boleh buat apa saja kan?
Kalau baby ini milik you, walau apa jadi, dia tetap milik you. Kalau bukan milik you, dia tetap bukan milik you.” Terus terang cakap, saya tersentak masa tu. Allahu….!
Macam baru sedar walaupun sebenarnya sudah lama tahu…. KUNFAYAKUN.
Kita Boleh Ikhtiar Dapatkan Zuriat, TAPI…
Kita boleh berusaha, berikhtiar tanpa henti. Tapi yang menentukan hanya Allah SWT. Dia lebih tahu kenapa setiap sesuatu terjadi.
Kenapa ada ibu yang hanya lahirkan anak lelaki.
Kenapa ada ibu yang hanya lahirkan anak perempuan.
Ads
Kenapa ada ibu yang lahirkan hanya 2 anak.
Kenapa ada ibu yang mampu lahirkan belasan orang anak.
Kenapa ada ibu yang hanya lahirkan 1 anak.
Kenapa ada ibu yang tak boleh lahirkan anak.
Semua kenapa ini, kalau kita percaya pada qada & qadar Allah, redha dengan ketentuan Allah, pasti kita takkan menyalahkan manusia. Setiap yang Allah takdirkan, pasti ada sebabnya.
Bukan hanya pada si ibu, ianya mungkin sebab si ayah. Ianya boleh jadi sebab sekeliling. Ianya boleh jadi sebab apa pun. Kerana Allah Maha Mengetahui.
Allah Ada Rancangan Lain Jika Tidak Diberi Zuriat
Mungkin ada rancangan lain yang Allah dah atur, yang lebih baik. Pelihara anak yatim. Tanggung keluarga yang susah. Atau Allah tahu pada masa akan datang mungkin anak tersebut akan jadi penghalang si ibu mahu pun ayah untuk masuk syurga. Kita tak tahu kan, tapi Allah tahu.
Yang pasti…
Tiada anak pun boleh masuk syurga.
Ramai anak tak semestinya terus masuk syurga.
Yang penting, berusaha dan redha.
Anak itu anugerah.
Anak itu harta.
Anak itu amanah.
Makin ramai anak, makin lama hisab di sana.
MW: Jangan dituduh bukan-bukan wanita yang belum dikurniakan anak. Fahamilah jiwa dan hati mereka, sesungguhnya mereka juga ingin menjadi seorang ibu dan miliki zuriat sendiri.
Sumber: Puan Aisyah Ischa
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Minatnya yang mendalam dalam melakukan aktiviti lasak bukan sekadar hanya angan-angan. Malah Siti Nadzirah Mohamad Hata, 29 juga telah menyenaraikan 100 tempat yang perlu dilawati sebelum ‘menutup mata’. Sangat meminati aktiviti lasak, melancong, mendaki bukit dan gunung. Setiap lokasi yang sudah dijejaki akan ditanda agar menjadi sumber motivasi kepada dirinya dalam mencapai impiannya itu.
“Aktiviti hiking memberi kepuasan kepada diri saya. Malah selepas berjaya mendaki bukit atau gunung pelbagai perkongsian tentang lokasi dan pemandangan memukau dapat saya coretkan di dalam blog saya. Tak hairanlah jika semua orang pun nak pergi hiking sekarang ni, semata-mata untuk nikmati sendiri panorama indah alam dengan mata kasar.
“Saya sangat bersyukur kerana antara 100 hajat yang saya impikan sudah beberapa tempat yang berjaya saya kunjungi. Antaranya impian untuk mendaki Banjaran Himalaya ‘Walking The Himalaya’ tercapai. Saya juga sudah ke Annapurna Base Camp, mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu, Gunung Berapi Tertinggi Indonesia, Puncak Indrapura di Gunung Kerinci, Gunung Berapi Tertinggi di Lombok dan Puncak Dewi Anjani (Gunung Rinjani),” ujar Siti Nadzirah membuka bicara.
Ditanya sewaktu menyenaraikan impiannya itu, adakah dia berasa impiannya itu tidak masuk akal? Lantas Siti Nadzirah terus tersenyum dan akui mencabar dirinya sendiri untuk memastikan impiannya itu direalisasi.
“Memang pada awalnya impian saya ini nampak macam tak logik. Tapi saya suka cabar diri saya sendiri. Dan tidak mahu hanya duduk di zon selesa. Saya berazam penuhi impian ini segera dan jadikan aktiviti riadah yang lasak bagi memenuhi masa lapang. Mereka yang mahu tanam azam seperti saya, cuma saya dapat nasihatkan jangan mudah berputus asa. Saya juga berharap saya dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana supaya jangan takut untuk bermimpi dan berusaha sunguh-sungguh untuk mencapai impian itu,” tambah Siti Nadzirah lagi.
Cari Pengalaman & Luaskan Pergaulan
Minat bermula selepas tamat belajar dan kemudian bekerja sebagai Penguasa Kastam di Jabatan Kastam, Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu. Selepas bekerja Siti Nadzirah mengumpul wang bagi merealisasikan impiannya itu.
“Rasa teringin nak cuba benda-benda baru yang tak pernah saya lakukan sebelum ini. Dengan aktiviti ini juga saya dapat mencari peluang pengalaman dan meluaskan pergaulan. Minat saya bermula selepas saya habis belajar, bila dah kerja saya kumpul duit untuk pergi melancong dan mendaki di dalam dan luar negara.
“Jika tidak melancong saya akan mendaki ke bukit atau berjongging di taman berdekatan dengan rumah. Dengan berjogging dapat menambahkan stamina dan dengan bermula mendaki bukit yang rendah juga dapat membantu menguatkan kecergasan badan,” ulas Siti Nadzirah.
Menerusi aktiviti mendaki juga wanita ini mampu menurukan berat badannya dari 70 kg kepada 64 kg. Malah Siti Nadzirah juga menerangkan dengan mendaki dia perlu tampil lebih cergas dan berstamina.
“Sewaktu mendaki sememangnya berat badan saya akan turun contohnya semasa berada di Nepal tekak saya tidak kena dengan makanan di sana. Jadi bila pulang memang berat badan saya akan berkurangan.
“Sebelum pergi mendaki ke gunung yang tinggi anda perlu mencuba gunung-gunung di dalam negara dulu. Sememangnya aktiviti sebegini sangat berbaloi kerana dapat menyihatkan badan. Malah badan akan lebih cergas selain dapat menikmati alam semulajadi, air terjun yang sangat cantik dengan pemandangan puncak gunung yang sangat indah. Lebih mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Pencipta. Saya juga berasa sangat kagum apabila dapat melihat gunung ganang dengan awam karpet dan paling seronok dapat tengok gunung berapi yang tengah meeldak dengan asap berkepul-kepul semasa saya di Gunung Bromo dan Gunung Kerinci,” terang Siti Nadzirah yang sangat gembira apabila dapat melancong dan mendaki ke gunung-gunung yang cantik di dunia ini.
Pemakanan Seimbang
Selain mengamalkan aktiviti kecergasan Siti Nadzirah juga mengamalkan pemakanan diet seimbang. Malah dia juga menasihati agar banyakkan meminum air masak.
“Ya sememangnya saya mengamalkan pengambilan makanan seimbang. Saya ambil segenggam nasi dan banyakkan karbo. Paling bagus sudah tentu banyakkan air masak untuk kekal hidrat dan kurangkan gula dalam makanan dan juga manisan.
“Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegini menjadikan seseorang itu mudah untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya,” akhiri Siti Nadzirah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nak mendidik dan mentarbiyyah anak solat tidak semudah kita mengajar anak ABC atau 123. Tanggungjawab yang besar ini datang dengan pelbagai ujian dan ini memerlukan ibubapa yang bijak.
Tetapi jika mak-mak tahu caranya, in shaa Allah segalanya jadi mudah dan ini adalah salah satu cara didikan berkesan yang dinyatakan oleh Puan Nurul Ilyani…
Umur 7 tahun, anak-anak perlu segera diasuh untuk solat..
Asuh✅
Bukan paksa❌
1) Anak Kena Faham Solat
Asuh perlu perancangan, pemerhatian, tindakan, langkah kontigensi, pengisian, pemahaman kenapa adanya perintah solat. Untuk ajar anak solat hakikatnya bukan senang. Bukan sekadar syurga dan pahala. Anak-anak perlu faham kenapa solat?
2) Biasakan Di Rumah Dulu
Budaya solat di rumah perlu lebih kukuh dari sekolah. Kalau ke tadika contohnya, anak-anak akan ikut kawan solat. Yang penting, di rumah, apakah mereka masih diasuh untuk solat?
Anak-anak waktu cuti, pergi main, tidak solat jika kita tidak ingatkan, jadi lalai. Balik sekolah, jika kita sibuk, tidak pula ingatkan, anak pun lalai.
3) Rangsang Iman Dalam Diri Anak
Perlu ingatkan yang solat ini untuk Allah. Perintah Allah dan olah ayat rangsangan iman dengan nikmat yang ada pada diri mereka.
Ada masa Dhuha rasa penat mahu join solat. Saya tidak paksa✅. Tidak pula saya bebel.✅ Saya kaitkan semula dan pulangkan soalan untuk dia fikir.
“Kakak ada mata?” dia angguk.
“Ada hidung?” dia angguk.
“Punya ada mulut, boleh cakap, boleh makan.” dia angguk.
“Jadi, solatlah. Itu tanda kita syukur, kita ikut perintah Allah. Semua nikmat ini Allah yang bagi”.
Kemudian, Dhuha pun ikut solat.
4) Membuat anak berfikir keseronokan dunia tidak patut melalaikan solat.
Kadang-kadang Dhuha rasa ngantuk. Apabila tiba waktu solat, jadi ngantuk.
Saya buat dia berfikir sendiri.✅ Saya tidak pula marah dan paksa.✅
“Masa kakak tengok youtube, mata ngantuk tak?”. Dia geleng.
“Jadi sepatutnya masa solat lagi mata kena segar”. Dia pun bangun ikut solat.
5) Sebenarnya sebaik-baik motivasi solat adalah perasaan adanya Allah.
Saya sering memuji Dhuha spesifik selepas selesai solat.✅
Saya belum perkenalkan reward chart. Namun, suatu hari, Dhuha kata, tidak mahu star jadi tidak mahu solat. Saya tidak marah✅ Tidak pula bebel✅
Saya kata, “solat bukan untuk dapatkan star, solat untuk Allah”.
6) Doa
Doa ini memang senjata. Doa zuriat keturunan kita di kalangan orang yang menjaga solat dan taqwa.
Selesai solat, saya akan memeluk Dhuha dan berdoa dengan kuat.
“Ya Allah jadikan Dhuha Tihani anak solehah yang jaga solat, akhlak baik, suka belajar, suka Quran”. Dhuha senyum lebar setiap kali saya doakan itu.
Benar,
Ummu Ilham
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekarang ini musim jamuan raya anak-anak sekolah. Maklum sajalah, masih lagi dalam bulan Syawal. Di negara kita ini sememangnya unik, selagi belum habis bulan raya, selagi itulah akan diraikan.
Tak salah pun sebenarnya, sebab dengan cara ini pun dapat merapatkan ukhuwah dan silaturahim. Nak-nak dah dua tahun kan tak dapat meraikan Hari Raya dengan penuh meriah.
Baik dengan kawan-kawan mahupun saudara mara.
Pernah juga terbaca, satu isu diutarakan tentang jamuan raya anak-anak ini. Bila mana, makanan yang mak bekalkan pada anak, sayangnya juadah tidak berusik.
Sememangnya boleh terjadi hal-hal semacam itu. Lagi-lagi bila setiap anak-anak, masing-masing bawa juadah. Tapi, tentunya pihak sekolah pun meneliti hal sebegini.
Kalau tidak habis, bolehlah cikgu agihkan pada anak-anak. Masukkan makanan yang tidak berusik dalam bekas makanan yang anak-anak bawa. Ini pun satu cara juga.
Namun, apa yang menarik perhatian bila mana ibu ini Mumymaria Mohamad kreatif menyediakan juadah jamuan raya untuk anak-anaknya yang berada dalam tahun 1 dan tahun 5.
Akui ibu ini, inilah juga cara yang pernah dipraktikkan sebelum ini. Memandangkan dirinya tidak pandai memasak rendang apatah lagi membuat kuih muih.
Jadi, ibu berkreatif dengan kemahiran yang dimiliki.
Kongsinya, “jamuan sekolah.. selagi tak habis raya gini ler.. Acik memang tak pandai buat rendang, kuih muih bagai… pandai goreng bihun dengan fries je..
“Ni pun ulang teknik 4 tahun lepas… habis idea dah. Takpe lah janji menarik perhatian anak-anak kat jamuan tu nanti. Kalau tak membazir, sayang makanan..”
Sungguh.. lagi-lagi ketika ini boleh dikatakan agak sukar untuk mencari barangan makanan. Antaranya, ayam. Dalam berdepan kekurangan makanan ini, penting untuk mendidik anak-anak agar menghargai makanan yang terhidang di depan mata.
Semoga perkongsian ibu ini dapat memberi idea kepada mak-mak yang sedang berkira-kira untuk menyediakan juadah jamuan raya anak-anak di sekolah.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...