Membesar di kawasan kejiranan kediaman yang dikelilingi masyarakat Melayu, sedari kecil pemilik nama sebenar Sandhyalini a/p Subramaniam atau kini nama Islamnya, Nur Sandhyalini Sumayyah binti Abdullah, 26 sudah terbiasa dengan aktiviti masyarakat Islam setempat. Anak bongsu dari dua orang adik beradik ini berasal dan membesar di Ampang.
“Saya membesar di kawasan perumahan yang dipenuhi dengan masyarakat Melayu dan Cina. Keluarga saya satu-satunya berbangsa India pada ketika itu. Jadi rakan-rakan sepermainan saya orang Melayu semuanya.
“Kami membesar bersama-sama dan masih berhubung sehingga kini. Jadi saya dah biasa dengan aktiviti harian mereka terutamanya keagamaan seperti contoh saya akan berdiam diri ketika azan, baca doa sebelum makan, baca ayat Al-Qursi kalau takut, berpuasa, bersahur, berbuka puasa, cara solat dan menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama rakan yang beragama Islam,” bicara anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang berpangkat Lans Koperal ini.
Tidak Kekok Bergelar Mualaf
Wanita yang mesra di sapa dengan panggilan Sumayyah ini juga akui tidak berasa kekok selepas memeluk Islam.
“Pergaulan dengan orang Muslim sudah sebati dengan diri saya sejak dilahirkan dan tidak kekok untuk membawa diri sebagai seorang Islam. Saya fasih berbahasa Melayu membuatkan ramai orang ingatkan saya memang keturunan Melayu atau Mamak,” sambung Sumayyah.
Berkongsi kisah bagaimana dia tertarik untuk memeluk agama Allah ini, Sumayyah meneruskan perbualan bersama penulis.
“Saya tertarik memeluk Islam ketika menonton sebuah video banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, saya merasakan seperti mahu mengambil wudhu dan solat bagi mendoakan mangsa banjir iaitu seorang ayah yang tenggelam timbul demi menyelamatkan anaknya dan akhirnya lemas. Saya tidak tahu kenapa rasa demikian sedangkan saya tak pandai solat.
“Video seterusnya ialah video rakaman semula bagaimana Rasulullah SAW wafat, video dengan muzik yang sedih dengan ayat-ayat cinta. Selepas habis menonton video yang ditunjuk oleh rakan sebilik rumah sewa itu, saya terus menyatakan bahawa saya mahu ke pejabat agama untuk memeluk Islam.
“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi saya sudah pandai membaca surah al-Fatihah, doa belajar, doa makan, mengucap, istighfar, tasbih, takbir, selawat kerana sering terikut-ikut dengan perbuatan kawan-kawan Islam saya,” ujar Sumayyah.
Ads
Menangis Selepas Mengucap Dua Kalimah Syahadah
Memeluk Islam pada 29 Disember 2014 di Jabatan Agama Islam Wilayah, Sumayyah mendalami Islam melalui pelbagai buku yang dibeli. Selain itu dirinya juga sering mendengar ceramah-ceramah di youtube dan mendengar kisah-kisah para Nabi dan Rasul dari rakan-rakan.
“Perjalanan hidup saya sebelum Islam adalah sangat sosial dan berpakaian agak kurang sopan. Tetapi sejurus memeluk Islam, saya menangis selepas mengucap dua kalimah syahadah dan pada pagi sebelum ke JAWI saya sudah mulai bertudung. Saya menangis kerana merasakan aman,tenang dan selamat akhirnya. Ramai kawan-kawan yang marah dan tidak mahu berkawan dengan saya, tetapi ramai juga yang masih berkawan dengan saya kerana mereka memang sedia maklum dengan persekitaran saya membesar dahulu.
“Saya juga merasakan sangat tenang, tidur lena, aman, selamat, syukur, terharu, gembira dan bahagia. Ini kerana beberapa bulan sebelum memeluk Islam, saya mengalami jiwa kacau seperti sering bermimpi buruk, tidak boleh tidur lena, dan telah lama lupa pada cara sembahyang.
“Gaya hidup saya sebagai seorang muslimah dengan kehidupan lama jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi, kalau dulu saya berpakaian ketat dan tidak sopan pakaian saya yang menutup aurat sekarang lebih membuatkan saya rasa selamat dan selesa untuk bergerak ke mana-mana dan tidak dipandang serong. Pergaulan lebih kepada menjaga batasan, adab dan tutur kata,” luah Sumayyah.
Ads
Kini berasa lebih tenang selepas memeluk Islam.
Di Sebalik Nama
Mahu berkongsi kisah di sebalik nama Sumayyah yang dipilih, wanita ini sebenarnya telah mencari agak lama nama Islam yang sesuai untuk dirinya.
“Pada malam sebelum saya ke JAWI untuk mengucap dua kalimah syahadah, saya telah mencari nama-nama Islam di carian internet tetapi tidak berkenan. Kemudiannya saya menutup data internet dan melelapkan mata, dalam mimpi saya ketika itu cukup gelap kedengaran satu suara lelaki yang memanggil Sumayyah lalu saya terjaga dari lena. Saya pun terus sambungkan semula data internet dan mencari maksud nama Sumayyah. Keesokkannya di JAWI apabila ustaz bertanyakan nama, lalu saya terus menyebut Nur Sandhyalini Sumayyah,” kongsi Sumayyah.
Aktif belajar Iqra.
Aktif Belajar Agama
Selepas memeluk Islam, Sumayyah mula mendalami ilmu agama di PERKIM BAHAGIAN WILAYAH pada tahun 2015 tetapi tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.
Ads
“Bermula pada bulan Ogos 2018, saya tertanya pada diri sendiri “sampai bila aku nak terkontang-kanting tanpa ilmu agama ni, cemburu tengok budak kecil yang sudah pandai mengaji al-Quran sedangkan aku belum”.
“Selepas itu saya mula aktif semula memberi komitmen sepenuhnya dalam pelajaran agama suci ini. Selain itu, bermula pada bulan Januari 2019 saya telah mendaftar dan mula belajar di Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sentul Pasar pada waktu pagi dan masih belajar di Perkim pada waktu petang. Selain itu,saya juga banyak melibatkan diri dengan menghadiri program-program agama seperti yang terbaru Ceramah Ustaz Abdul Somad dari Indonesia di Masjid Wilayah dan pada menyertai Bengkel Belia : Generasi Pelapis Pendakwah siri 1 oleh Penceramah Profesional iaitu Ustaz Mohd Fadli Yusof.
“Setelah lima tahun memeluk agama Islam dan tidak komited dalam pelajaran agama akhirnya dibuka hati untuk mula belajar dengan serius Iqra. Banyak hikmah kehidupan saya sekarang di mana jauh lebih tenang dari sebelumnya. Ini kerana saya banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu agama, saya juga berharap dapat menjadi seorang pendakwah atau ustazah suatu hari nanti,” akurnya.
Baiki Diri
Sebagai insan biasa Sumayyah akui tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kini dia masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang muslimah sejati.
“Saya juga tidak tercicir dari melalukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain dan masih lagi dalam proses untuk membaiki diri bagi menjadi seorang muslimah yang solehah. Dugaan datang dari pelbagai bentuk dan cara, soalnya tinggi mana keimanan dalam diri kita, bagaimana menjaga akhlak agar akidah tidak terpesong, semuanya atas pada diri kita sendiri. Bagi saya setiap agama ada larangan dan suruhan, cuma dalam agama Islam ni saya rasa lebih ketat peraturan yang kita perlu ikut. Contohnya dulu jika tidak sembahyang sehingga terlupa bagaimana caranya dan tiada apa-apa perasaan, kini saya akan berasa tidak tenteram dan serba salah jika meninggalkan solat disebabkan kelalaian sendiri atau kerja.
“Saya juga sangat bersyukur dengan bantuan dari buku panduan solat yang dihadiahkan oleh sahabat yang saya kenal selama 26 tahun iaitu Fitri Suraya. Alhamdulillah sy telah menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan pernah juga mengimamkan solat bersama kawan-kawan saya beberapa kali,” akhiri Sumayyah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam hidup ini, perlulah bersederhana. Kita jangan terlalu merasakan diri kita sempurna dan orang lain tidak baik di mata kita. Sebab itu, kita jangan terlalu takbur dengan apa yang kita ada dan merasakan orang lain tidak ada apa yang kita ada.
Sebenarnya, berbalik pada hati masing-masing. Kalau kita merasakan diri kita sempurna, memang tak akan ke mana pun. Pujian hanyalah di depan tapi di belakang kita tidak tahu kejian atau kutukan daripada orang lain.
Sedih dan kesian dengan orang seperti ini. Jadi, kita janganlah sesekali seperti ini. Bersederhanalah dan bersyukurlah dengn apa yang kita ada. Bak kata Rohana Saad dalam perkongsiannya.
Cerita tentang keburukan orang, tak menjadikan kita orang yang lebih baik. Malah hati itu menjadi lebih kotor. Berpesan-pesanlah kita di dunia kerana di akhirat nanti kita sudah tak saling mempeduli. Masing-masing sibuk dengan diri sendiri, takut akan azab ALLAH yang bakal menanti.
Realitinya kita lebih mencela orangnya berbanding kesalahannya, pantang lihat kesalahan orang lain terus kita menghentam, mengata, mencela. Barangkali kita saja yang ada perasaan, orang lain tiada agaknya?. Marilah kita belajar menghitung kebaikan orang dan bukan menghitung keburukan, kerana tiada manusia yang sempurna.
Belajar berlapang dada dengan kelemahan dan kekurangan orang lain. Jangan suka bercakap tentang keburukan orang. Orang yang baik tidak akan bercakap perkara yang buruk tentang orang lain. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya. Orang baik akan sentiasa melihat kebaikan.
Jika kita mencari-cari keburukan, sekuman kebaikan tidak kita ketemukan. Jika memandang dengan kebencian, hanya kejahatan yang kelihatan. Satu jari menuding kesalahan, empat jari lagi mencela kejahatan. Menggali-gali keburukan insan, sia-sia dan dosa kita dapatkan.
Terima Seadanya
Sebelum mengharap ALLAH menilai kita dengan baik, didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Jangan hanya mengharapkan orang lain sempurna sedangkan diri sendiripun tidak sempurna. Belajar untuk menerima orang seadanya sebagaimana kita mengharapkan orang menerima kita seadanya.
Waspadalah hati yang keras (qoswah)! Yakni kerasnya hati dan membeku sehingga nasihat pun tidak berpengaruh. Jika kematian disebut, ia tak merasa takut atau ngeri. Begitu pula jika mendengar janji-janji ALLAH dan ancaman tentang keadaan Akhirat.
MW: Moga kita dapat manfaat dan panduan daripada apa yang dikatakan itu. Belajar menerima orang dan mengharapkan orang dapat menerima kita seadanya. Aamiin
Dalam keadaan sekarang ini, masih ada lagi tak yang percaya sesuatu perkara yang kita sendiri tidak pasti. Inilah yang dinamakan tathaiyur. Selalunya, orang tua-tua dulu mesti kerap memperkatakan tentang ini.
Secara tak langsung, kita pun akan terikut dan pernah merasakan tanggapan tathaiyur ini berlaku falam diri kita.
Jangan terlalu bergantung atau percaya pada tathaiyur. Ini semua boleh mengundang kepada syirik. Jika ada pun berlaku mungkin ini secara kebetulan. Semuanya ini adalah ketentuanNya.
Apa sebenarnya tathaiyur ini? Ini ulasan yang boleh kita jadikan pengajaran dan peringatan.
Apa itu tathaiyur? Sebahagian orang mesti pernah melakukannya dan sebenarnya, bertathaiyur itu adalah syirik.
Contoh-contoh Tathaiyur:
1. Tergigit lidah kononnya ada orang mengumpat hal kita.
2. Kupu-kupu masuk rumah kononnya ada orang yang nak datang.
3. Ambil gambar 3 orang kononnya salah satunya akan pendek umur. (Hakikatnya semua orang akan mati.
4. Keluar rumah terlupa sesuatu kononnya jangan patah balik ke rumah atau sesuatu musibah akan berlaku.
5. Rebus anak lesong, kononnya tolak hujan.
6. TIdak dapat merasa sesuatu makanan kononnya jilat telapak jari supaya tidak kempunan.
7. Diberak burung kononnya ada rezeki.
8. Air minuman tumpah kononnya tiada rezeki.
9. Sedang berbicara cicak berbunyi kononnya tanda perbualan itu benar.
10. Menjamah makanan sebelum keluar rumah kononnya supaya tidak kempunan.
11. Jumpa ular melintas di jalan, kononya ada sesuatu yang buruk berlaku hari itu
12. Mimpi berak, kononnya akan ditimpa sakit.
Kenapa dikatakan syirik? Jom baca.
عن ابن مسعود رضي الله عنه قال : قال رسول اللّه، صلى الله صلى الله عليه وسلم : الطيره شرك، الطيره شرك، وما منا الا ولكن يذهبه بالتوكل
“Dari Ibnu Mas’ud R.A berkata: Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Bertathaiyur itu syirik, bertathaiyur itu syirik, dan tiada diantara kita yang tidak terlibat dengannya kecuali akan dijauhkan oleh Allah dengan bertawakkal”.
(H/R Ahmad [3411] at-Tibb. Turmizi [1539] as-Sair)
Bahaya At-Tathayyur…
“At-Tathaiyyur” dapat meniadakan “At-Tauhid” dari dua sisi:
1. Pelaku “At-Tathaiyyur” telah menghilangkan tawakkalnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, serta bersandar kepada selain Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Padahal Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah satu-satunya tempat bergantung. Sebagaimana disebutkan dalam surah Al-Ikhlas ayat ke-2 (yang ertinya):
اَللّٰهُ الصَّمَدُ ۚ
Allah tempat meminta segala sesuatu.
[QS. Al-Ikhlas: Ayat 2]
Dan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيــــهِ
“Maka sembahlah Dia, dan bertawakkallah (hanya) kepada-Nya.” (Hud: 123)
2. Pelaku “At-Tathaiyyur” sesungguhnya bergantung kepada sesuatu yang tidak ada hakikatnya, bahkan hal itu hanya sebuah dugaan dan khayalannya sahaja (yang tidak layak untuk dijadikan tempat bergantung)
Wallahualam…
اففيندي عريفين : Kredit
Mingguan Wanita : Jika ada yang berlaku, mungkin itu adalah kebetulan yang telah ditakdirkan olehNya.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Sifat tamak memang bawa banyak kerugian. Cerita tentang ruginya menjadi tamak memang banyak kita dengar. Tetapi masih ramai juga yang bersikap tamak.
Tamak Sikap Semula Jadi
Pada saya tamak adalah satu sikap semula jadi manusia. Biar siapa pun kita, sifat tamak sudah terbentuk sejak kita kecil. Cuba kita lihat anak kecil yang sedang bermain. Mereka kerap bergaduh berebutkan mainan.
Mereka bergaduh bukan kerana mereka tidak boleh bertolak ansur. Tetapi mereka bergaduh kerana wujud ketamakan tentang mainan. Mereka mahu sentiasa memiliki dan mahu sentiasa lebih daripada yang lain. Sifat tamak yang juga merupakan sifat bawaan manusia sedari kecil jika tidak dipagar, akan membesar bahkan boleh menguasai diri.
Sifat Tamak Meliputi Banyak Aspek Kehidupan
Sifat tamak meliputi kesemua aspek kehidupan. Apabila kita membicarakan hal ketamakan ia sebenarnya tidak terhad kepada pemilikan harta benda. Sifat tamak yang ada dalam diri merangkumi setiap elemen kehidupan, dari kasih sayang hinggalah kepada keilmuan.
Ada yang tamak kasih sayang hingga mereka tidak mahu orang lain merasai kasih sayang yang ada pada orang yang mereka sayangi. Ini juga terbentuk sejak dari kecil. Anak kecil cukup mudah cemburu jika ibu atau bapa mereka membelai anak orang lain biarpun belaian itu hanya seketika.
Bagi mereka kasih sayang ibu bapa mereka hanyalah milik mereka sahaja hingga wujud pergeseran antara adik beradik hanya kerana ketamakan kasih sayang. Akhirnya sehingga mereka dewasa, sifat tamak kasih sayang ini semakin menebal. Mereka tidak mahu orang yang dekat dengan mereka didekati oleh orang lain.
Orang tamak selalu rugi. Ini bukanlah hanya cerita tetapi ini adalah kebenaran. Ramai yang berkata kepada saya, tidak salah untuk tamak kerana ramai yang tamak berjaya dalam kehidupan. Tidak dinafikan ada kebenaran tetapi bab yang rugi itu tetap juga benar.
Sifat Yang Rugi Jiwa
Justeru, ada yang bertanya kepada saya apa yang sebenarnya kerugian yang mereka alami sedangkan mereka kelihatan sangat berjaya.
Pada saya, kerugian paling asas adalah kerugian jiwa. Mereka yang tamak selalu tidak perasan yang mereka bakal mengalami kerugian jiwa. Soalan seterusnya, di manakah letaknya kerugian jiwa sedangkan mereka memiliki wang yang banyak dan mampu memiliki apa sahaja yang dikehendaki.
Pada saya, rugi harta mudah untuk dinilai tetapi rugi jiwa tidak ternilai. Jiwa kita rugi kerana jiwa kita rosak atas satu perkara iaitu hilang satu anugerah Allah SWT yang sangat berharga. Tenang adalah satu anugerah Allah SWT yang pada saya sangat berharga. Orang tamak akan rugi kerana hilang tenang. Orang tamak akan sentiasa mengalami keresahan. Mereka resah kerana mereka takut hilang apa yang dimiliki dan takut tidak memiliki.
Sering Berlumba-Lumba
Lebih tidak tenang lagi kerana mereka sentiasa duduk dalam keadaan memerhati kehidupan orang lain. Mereka risau jika ada orang lain yang melebihi mereka biarpun orang tersebut bukanlah orang yang ada hubung kait kehidupan dengan mereka. Hidup mereka sentiasa berlumba-lumba. Mereka sentiasa mengejar, takut dikejar dan terkejar-kejar.
Orang yang mengejar akan pasti kelelahan. Orang yang takut dikejar akan sentiasa tidak tidur lena kerana banyak berfikir. Orang yang terkejar-kejar pasti mudah tersungkur dek kerana keputusan yang sering silap. Bukan ini semua merupakan kerugian. Kerugian jiwa yang akhirnya membawa kepada fiizikal. Manakan tidak, apabila semuanya ini berlaku, mereka akan hidup dan tekanan.
Rasa Tertekan Akibat Sifat Tamak
Mereka tertekan dan sangat tertekan jika berada di belakang orang lain, baik dari segi kasih sayang, ilmu mahupun harta. Tekanan yang wujud dalam diri mereka sebenarnya adalah hasil kerja mereka. Jawapan akhir bagi tekanan yang mereka wujudkan adalah kerosakan fizikal.
Tubuh badan yang sihat akan mula beransur-ansur sakit hingga menyebabkan umur kehiduan dan umur jasad kelihatan sangat berbeza. Mereka mungkin berumur 40 tahun tetapi elemen jasad mereka mungkin sama kuatnya seperti orang yang berumur 60 tahun.
Jaga Emosi Dan Fizikal
Justeru, marilah kita menjaga emosi serta tubuh badan kita dengan mengurangkan sifat tamak yang sememangnya wujud dalam diri manusia. Kita akan menjadi orang menghargai nikmat yang Allah SWT kurniakan jika menjaga tubuh zahir dan batin kita.
Kedua-duanya akan terjaga baik jika kita menjaga kurniaan tenang yang dianugerahkan Allah SWT kepada setiap makhluk-Nya. Biar kita hilang wang ringgit tetapi jangan kita hilang ketenangan.
Ketenangan sangat mudah untuk hilang dan sangat susah untuk menyimpannya. Orang yang tenang selalu panjang umur dan cerdas akalnya. Semoga kita menghargai ketenangan yang ada dalam diri kita. Jangan biarkan ianya tergadai dek ketamakan yang tidak dipagar.
Dato’ Dr. Azhar Hj Sarip, NLP Gold Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi, rempuh Proton Saga. Seorang lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Bukit Grebar, pagi Rabu.