suami curang

Bukan kali pertama kes suami curang dan sanggup ceraikan isteri sebab ada orang ketiga, dan ini adalah satu perkongsian daripada Puan Siti Awadah untuk wanita-wanita di luar sana yang senasib bangkit untuk kaut semangat baru.

Ya, tak mudah. Namun kalau redha dan tak terduduk terlalu lama, anda akan nampak jalan dan dapat jawapan kenapa anda wanita yang terpilih untuk telan ujian berumah tangga. Nak tahu nasib salah seorang wanita yang bergelar isteri, jemput baca.

Cerita Suami Curang

Tika sedang mengandung begini rasa sedih pula bila terbaca kes ibu-ibu yang di ceraikan semasa sedang berbadan dua. Makin sedih bila terkena pada salah seorang rakan karibku sendiri.

Tapi syukurlah sebab beliau dah pun dapat move on dengan dua orang anaknya. Malah beliau juga bersetuju untuk ku kongsikan kisah hidupnya itu ke halaman ku ini sebagai inspirasi dan panduan kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan beliau.

Sebagai seorang sahabat, aku terpaksa sembunyikan identitinya yang sebenar. Memadailah aku perkenalkan beliau dengan nama NANA. Nana sahabat ku ini berumur dalam sekitar 28 tahun dan berkahwin atas dasar suka sama suka. Perkahwinan mereka sangat bahagia dan di kurniakan seorang anak lelaki yang kini sudah berusia 6 tahun.

NANA seorang wanita yang agak berdikari. Buktinya beliau tak hanya ingin berharap pada nafkah daripada suami semata-mata dan terus terang aku kenal beliau pada tahun 2011 yang lalu adalah melalui facebok saja semata-mata. Ketika itu aku dan dia sama-sama menjadi seller online dan di sebabkan tempat kediaman kami adalah di kawasan yang sama maka aku dan dia mengambil keputusan untuk bertentang mata. Sejak itulah persahabatan antara aku dan Nana terus terjalin dan semakin hari semakin akrab hinggalah ke saat ini. Jadi, apabila ada apa-apa masalah, kami berdua sering menjadi tempat untuk saling mengadu dan meminta pandangan di antara satu sama lain.

SANGGUP SUSAH SENANG DENGAN SUAMI

Ini adalah sikap Nana yang amat nyata sekali di depan mata. Nana memang sama sekali tak pernah kedekut dengan suami malah dia dengan senang hati membantu meringankan bebanan suaminya dengan menjelaskan semua bil dan berkongsi susah senang untuk perbelanjaan rumahtangga mereka. Nana juga dengan relahati membenarkan suaminya berkerja di luar daerah. Bukan hanya merelakan suaminya kerja jauh bahkan turut memberi kereta miliknya sendiri untuk kegunaan suami tersayang.

IKLAN

Selepas 5 tahun cuba mengandung untuk kali yang ke dua, akhirnya… Allah makbulkan juga. Aku turut gembira bila Nana beritahu yang dia sedang berbadan dua. Namun rupa-rupanya kegembiraan itu tidak kekal lama.

SUAMI CURANG PUNCA NANA BERCERAI

Sebagaimana luluhnya hati Nana begitu juga luluhnya hati aku. Terkejut aku apabila Nana maklumkan yang dia sudah di ceraikan. Ketika itu kandungan Nana baru saja berusia 3bulan. Apabila aku bertanyakan apakah masalah sebenarnya, kata Nana suaminya ada perempuan lain dan suaminya nekad untuk mengahwini wanita terbabit. Disebabkan tidak sanggup untuk hidup bermadu maka Nana diceraikan walaupun hakikatnya Nana sedang berbadan dua ketika itu.

Selepas menerima lafaz cerai, Nana terus uruskan hal penceraiannya itu di pejabat Agama. Syukurlah segalanya berjalan dengan lancar dan Nana terpaksa melalui tempoh eddah sebagaimana wanita Islam yang diceraikan. Cuma apa yang membezakan adalah tempoh eddah tersebut. Jika wanita yang tidak hamil tempoh eddah hanyalah setakat 3 bulan saja tetapi disebabkan Nana sedang hamil maka tempoh eddah untuknya adalah selama 6 bulan. Tempoh eddah bagi wanita hamil adalah mengikut kepada usia kandungan masing-masing.

UTAMAKAN ANAK DAN DIRI SENDIRI

Sebagai sahabat aku memang risau dengan keadaan Nana. Tapi dalam masa yang sama aku turut berbangga kerana Nana dapat harungi semuanya dengan hati yang terbuka. Kata Nana, dia akan terima semuanya dengan positif kerana dia yakin Allah itu adalah sebaik-baik pengatur. Nana tidak salahkan Allah SWT sama sekali bahkan di sebabkan kejadian ini Nana nampaknya makin mendekatkan diri dengan Allah SWT daripada sebelum ini.

Sebagai sahabat aku sentiasa berdiri di belakang Nana. Aku juga sentiasa ingatkan Nana untuk utamakan dirinya sendiri dan anak-anak. Perkara yang lama tak perlu lagi di kenang-kenang. Apa yang penting sekarang adalah apa yang bakal berlaku di hadapan. Biar hilang suami yang curang daripada diri sendiri dan anak-anak terabai.

IKLAN

URUSKAN SURAT BERANAK UNTUK BAYI

Urusan mendaftarkan bayi di lakukan oleh Nana sendiri tanpa kehadiran bekas suaminya. Berdasarkan maklumat yang di berikan oleh pihak Pejabat Pendaftaran setempat,… terdapat DUA PILIHAN yang boleh di ambil oleh Nana.

1- DAFTAR KELAHIRAN BAYI TANPA IC ORIGINAL BEKAS SUAMI

* Bayi tetap berbin dan bintikan dengan nama bekas suami cuma bekas suami tidak lagi berhak ke atas anak terbabit. Begitu juga dengan si anak tersebut. Mudah cakap, jika suami punya harta kelak si anak tidak berhak ke atas harta ayahnya itu dan begitulah juga sebaliknya. Jika si anak punya harta kelak maka si ayah tidak berhak untuk menuntut apa-apa.

2- DAFTAR KELAHIRAN BAYI BERSAMA IC ORIGINAL BEKAS SUAMI

* Walaupun bekas suami tidak mahu hadir, tidak mengapa. Asalkan ada kad pengenalan asli bekas suami untuk di bawa bersama semasa proses pendaftaran bayi. Dengan adanya kad pengenalan asli bekas suami ini maka si anak dan si ayah akan tetap saling punya ikatan dan berhak di atas satu sama lain.

NANA HUBUNGI BEKAS SUAMINYA DAN NANA DAFTARKAN SENDIRI BAYINYA DENGAN CARA YANG KE-2!

IKLAN

NANA DI UJI SEKALI LAGI

Ujian untuk Nana datang lagi. Kali ini anak yang baru saja dilahirkan ada mengalami masalah kesihatan. Bukan salah Nana kerana sepanjang hamil Nana amat-amat menjaga kandungannya namun apakan daya Tuhan lebih berkuasa dalam menguji kekuatan iman hamba-hambanya.

Sekali lagi Nana terpaksa kuatkan diri demi untuk anak yang baru di lahirkannya. Hari demi hari Nana berusaha untuk pulihkan anak ke dua nya itu. Keluarga dan teman terdekat semuanya sentiasa memberikan semangat dan alhamdulillah Nana tetap dapat berpegang pada keyakinannya yang satu iaitu terhadap Allah SWT.

NASIHAT IKHLAS DARI NANA

Bila aku minta sedikit nasihat daripada Nana untuk wanita-wanita lain yang senasib dengannya, inilah dia ayat yang di berikan oleh Nana.

Ualls mesti boleh dapat rasa bagaimanakah kehidupan Nana sekarang berdasarkan kata-kata nasihat yang di berikannya tu kan? Nampak sangat yang Nana sekarang makin bahagia walau tiada seorang lelaki bergelar suami di sisinya. Apa yang penting Nana sedang berjuang untuk sembuhkan kesihatan anaknya 100%.

Pada ualls di luar sana yang senasib dengan Nana, tolonglah jangan putus asa dan tolonglah jangan berburuk sangka dengan Allah SWT. Aku tahu berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul tetapi at least ualls tahu bahawa ada lagi wanita lain yang senasib di luar sana.

Saat ini NANA sama sekali tidak menghalang suaminya daripada berjumpa dengan anak-anaknya ini. NANA juga ada memberitahu yang bekas suaminya sudah mula menghantar nafkah untuk anak-anaknya setiap bulan. Bukan hanya itu, bekas suami Nana juga pernah mengajak Nana untuk berbaik semula tapi sayang, hati Nana sudah keras dan tertutup rapat. Nana sekarang bukan macam Nana yang dulu lagi. Nana sekarang sudah semakin kuat dan tidak akan menunduk pada mana-mana insan yang bergelar lelaki dengan begitu mudah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI