Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang mulia, hari yang disambut setiap tahun sesudah umat Islam menjalani ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Pada hari raya, seluruh umat Islam, sama ada yang miskin ataupun kaya bergembira, tanda kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat serta rahmat yang dilimpahi-Nya. Bersyukur dengan rahmat yang melimpah-ruah daripada Allah sepanjang-panjang bulan Ramadan ketika mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup. Bersyukur kerana berjaya melalui bulan Ramadan yang penuh cabaran dan godaan.

Seperti mana insan yang lain, Azharina Azhar atau lebih senang dengan panggilan Nina, 33 penyanyi yang popular dengan lagu, Elergi Sepi, sewaktu penulis bertandang di kediamannya yang terletak di Puchong menyatakan persiapan anak-anak didahulukan. Rahmat Azharin Aziz, 4 dan Redha Azharin Azhar, 6 bulan sangat bertuah kerana mereka ibarat permata yang paling disayangi oleh anak jati Sabah ini.

“Sebelum Ramadan lagi, Nina akan pastikan persiapan anak-anak selesai. Selepas ada anak, merekalah yang didahulukan. Kemudian barulah Nina akan fikirkan persiapan diri pula,” ujar Nina yang pernah kehilangan anak angkat kedua yang bernama Rizqie Azharin Azhar yang ketika itu berusia 22 hari, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit tahun lalu.

Riak wajah Nina begitu gembira tatkala melayan kerenah Rahmat dan Redha. Nina juga ibarat ibu dan ayah kepada dua putera kesayangannya. Malah walaupun tanpa lelaki yang bernama suami di sisi, keperluan anak-anak mencukupi.

9 tahun Beraya Tanpa Suami,  Rahmat dan Redha Penyeri Hari Raya Azharina
Bersama anak pertamanya, Rahmat, yang cukup manja.

“Anak-anak penghibur Nina, selepas sembilan tahun beraya tanpa suami dan kemudian hadirnya Rahmat dan Redha hidup semakin bersinar. Walaupun seharian sibuk menguruskan mereka, namun Nina dapat rasakan masa Nina terisi dengan sesuatu yang sangat berharga. Setakat ini Nina rasa suami bukanlah satu keperluan buat Nina. Jika ada jodoh Nina tak menolak, cuma Nina ni jenis yang tak suka berdating dan keluar berdua-duaan maklumlah sekarang ni Nina dah ada dua orang anak.

“Tahun ini pertama kali Nina beraya dengan dua orang anak. Memandangkan sudah bertambah ahli keluarga memang bajet raya pun meningkat. Namun Nina bukan jenis yang suka membazir sebabnya Nina bekerja keras, jadi setiap helai baju raya yang Nina beli akan pastikan berbaloi sebab baju tersebut boleh diperturunkan. Contohnya selepas Rahmat pakai seterusnya boleh diperturunkan kepada Redha dan anak-anak buah Nina. Nina ni jenis yang ada prinsip iaitu akan beli barang berjenama agar boleh tahan lebih lama,” akui Nina yang akan berhari raya di Kuala Lumpur setiap tahun.

IKLAN

Pertama Kali Bekerja Di Bulan Ramadan

Sepanjang bergelar anak seni selama 17 tahun, 2018 memecahkan tradisi apabila Nina terpaksa bekerja di bulan Ramadan.

“Puasa tahun ini jadual seni Nina sibuk sedikit. Selepas 17 tahun jadi penyanyi ini pertama kali Nina ambil tawaran menyanyi. Pada 19 Mei lalu, Nina jayakan sebuah konsert bersama bekas Juara GV seperti Siti Nordiana dan Aishah di Singapura. Jika tidak silap Nina konsert ini bersama anak-anak yatim,” tambah Nina.

IKLAN

Akui tidak pulang ke Sabah untuk berhari raya, Nina akan berkemas dua hari sebelum menyambut raya.

“Nina ni jenis selalu pulang ke Sabah. Lagi pula, Nina ada rumah di sana. Jadi setiap kali show, Nina akan balik dan berkumpul dengan keluarga. Ramai yang tahu Nina ni jenis yang kuat bekerja, my family come second after my work. Ayah pula seorang yang sangat memahami bila dia rindu pada Nina, dia akan suruh Nina balik ke Sabah. Jadi kami selalu bertemu, tak payah nak tunggu sambutan hari raya baru berkumpul,” sambung Nina.

Juadah Istimewa Soto Jabru

Biasanya pada malam raya Nina akan memasak dan membuat kuih raya. Setiap kali raya Nina tak pernah ambil katering dan akan menyediakan juadah istimewa.

IKLAN

“Raya pertama Nina akan berjalan raya ke rumah kakak angkat, Kak Aishah kemudian keluarga angkat dan juga kawan-kawan rapat. Raya kedua Nina akan buat rumah terbuka. Biasanya bila buat jamuan rumah terbuka Nina akan masak sendiri dibantu oleh Kak Aishah. Antara lauk wajib kami dan paling istimewa Soto Jabru (Jawa Brunei) yang merupakan resipi turun temurun daripada keluarga sebelah ibu. Selain itu menu seperti Rendang Daging, Rendang Sotong, Halwa dan Kek akan dihidangkan kepada tetamu yang pada kebiasaanya akan menjangkau seramai 500 orang,” luah Nina.

9 tahun Beraya Tanpa Suami,  Rahmat dan Redha Penyeri Hari Raya Azharina
Azharina akan menyambut hari raya di Kuala Lumpur.

Diajar Berkasih Sayang

Nina juga menjelaskan mereka sekeluarga sangat akrab. Walaupun ayah dan ibunya sudah berpisah dan masing-masing sudah ada kehidupan baru, namun ikatan kekeluargaan antara mereka sangat rapat.

“Nina sangat rapat dengan keluarga. Terutama dengan ayah dan mak. Sampai sekarang walaupun usia Nina sudah 33 tahun tapi Nina masih jalan jalan berpegangan tangan dengan ayah. Sehingga hari ini setiap kali Nina sampai di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, ayah akan ambil dan teman Nina jika ada show. Nina juga praktikkan perkara yang sama dengan anak-anak Nina. Setiap kali mahu tidur Nina akan peluk mereka di atas katil. Momen ini cukup membahagiakan,” cerita Nina yang sehingga hari ini masih baring dan bermanja di riba ayahnya.

Menyentuh pula tentang perkembangan terbarunya, Nina kini sedang berkecimpung dalam dunia perniagaan. Dan kini mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan. Produk kecantikannya diberi nama Nyna Lip Booster, Lip Lolipolish dan Savon Eldivine.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI