Kehidupannya mungkin tidak seperti manusia normal yang lain, dilahirkan tanpa kedua belah tangan, namun semua itu tidak sedikitpun mematahkan semangat wanita berjiwa besar kelahiran Guar Chempedak, Kedah ini untuk teruskan kehidupan sama seperti insan lain.

Siti Aishah Yaacob, 44 tahun menjalani kehidupan biasa sama seperti sahabat-sahabat yang seusia dengannya. Hadir ke sekolah harian biasa, sejak kecil dirinya dilatih membuat segala kerja menggunakan mulut dan kaki yang ada. Malah ketika di sekolah guru sering menjadikan dirinya contoh kepada pelajar yang lain meskipun dirinya serba kekurangan.

Setelah menamatkan zaman persekolahan, Aishah tidak hanya duduk meratap kekurangan yang ada, dia juga ingin memajukan diri seperti rakan-rakan lain. Berbekalkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dia mendaftarkan diri ke Pusat Jaya Diri Orang Kurang Upaya (OKU) Jitra dan belajar dalam bidang jahitan. Bermula dari situ, Aishah terus mengorak langkah belajar satu demi satu kemahiran yang sesuai dengan keupayaan diri sehinggalah dia mula melibatkan diri dalam bidang seni lukisan.

“Saya dilahirkan tanpa kedua belah tangan. Dari kecil memang saya sudah diajar untuk membuat semua kerja menggunakan mulut dan kedua kaki, malah di sekolah juga saya menggunakan kedua panca indera tersebut untuk menulis.

“Kekurangan yang ada saya tak jadikan penghalang untuk teruskan kehidupan. Memang betul dengan keadaan saya ini, bidang pekerjaan memang terhad. Jadi saya mahu belajar kemahiran yang ada.

Aisyah bersama hasil seninya.

“Saya bermula di Pusat Jaya Diri untuk OKU di Jitra dan belajar tentang ilmu jahitan. Selepas itu saya ke Pusat Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi untuk belajar dalam bidang melukis batik. Saya nampak kecenderungan saya dalam bidang seni lukisan, jadi saya sambung belajar seni secara persendirian di Alor Setar untuk kursus Watercolor Technicolor. Saya tak berhenti setakat itu sahaja, saya sambung belajar lagi dengan mengambil kursus Art of Arcrylic bersama Tuan Raja Azhar Idris, Pelukis kaca Malaysia,” cerita Aishah tentang kehidupannya sejak dari sekolah.

Melukis Menggunakan Kaki

Aisyah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik ini ternyata mewarisi bakat seni itu dari ayahnya yang merupakan pakar pertukangan di Guar Chempedak, Kedah. Dia kini merupakan seorang pelukis yang bernaung di bawah Persatuan Pelukis-pelukis mulut dan kaki Malaysia sejak tahun 2001.

“Saya mula terlibat secara serius dalam bidang seni melukis ini dengan penglibatan dalam syarikat gergasi dari Switzerland Mouth & Foot Painting Artist yang berpengkalan di Malaysia dan bertempat di Ampang. Sebenarnya ia bermula sebagai hobi dan seterusnya menjadi bidang yang menjana pendapatan.

Selain daripada itu, saya juga aktif memberi motivasi pada rakan-rakan OKU, pada anak sekolah juga kepada pelajar menengah tinggi hinggalah pada anak-anak muda yang bermasalah. Objektif utama adalah untuk mereka membina jati diri bila mereka melihat kami yang sebegini mampu berdikari.

“Bernaung di bawah Persatuan Pelukis-pelukis Mulut dan Kaki Malaysia pada tahun 2001. Pertubuhan ini membantu pelukis-pelukis istimewa dari segi pemasaran lukisan, penghasilan produk dan sebagainya. Mouth & Foot Painting Artist berperanan 100 peratus membantu  pelukis-pelukis istimewa seperti kami berkembang maju. Alhamdullilah, kini ia menjadi profesion tetap dan saya juga sangat aktif bergerak di bawah pertubuhan ini mengadakan roadshow, motivasi terbuka, pameran-pameran besar dan jemputan khas.”

Bersama rakan-rakan yang sering memberi inspirasi dalam hidup Aisyah

“Kalau nak ikutkan minat ini bermula dari kepayahan yang di alami. Hendak bekerja seperti orang lain kami tak mampu. Jadi dengan kelebihan anugerah dari Allah saya gunakan sebaik mungkin. Lagi pula seni adalah kerjaya yang santai dan tidak perlu pengkhususan. Bidang seni juga melatih kita untuk dekat dengan seisi alam dan estetika kehidupan sekeliling. Bagi saya ia memberi impak besar dalam kehidupan seharian,” ujarnya pernah diberi peluang dan kepercayaan oleh Nukilan Jiwaku Maybank di bawah pantauan Tuan Noordin Noorfree sekitar tahun 2015.

Penggerak Dan Inspirasi

Kejayaan Aishah pada hari ini selain daripada semangat dan nekad wanita ini sendiri, suami dan keluarga tersayang merupakan penggerak dan inspirasi buatnya untuk terus melakar kejayaan. Dia yang pernah mendapat anugerah OKU Berjaya pada tahun 2007 selain menjadi wakil Malaysia sebagai Delegasi seni seantero dunia anjuran Japan Agency pada tahun 2010 dan juga beberapa anugerah lain yang diterimanya

“Kejayaan saya pada hari ini bukan mudah untuk saya kecapi. Antara penggerak dan sumber inspirasi saya adalah suami dan keluarga. Tidak ketinggalan sahabat-sahabat sejak dari zaman sekolah sehinggalah sahabat sealiran, para guru dulu dan hari ini, penggiat-penggiat seni dan tentu sekali MFPA, pertubuhan yang memberi kelangsungan hidup dalam kerjaya seorang pelukis seperti saya,” ujar Aishah yang sudah berkahwin dan kini menetap di Setia Alam.

Mempunyai harapan dalam karier dan kehidupan, wanita ini ingin menyantuni alam dalam lakaran kanvas tanpa batasan. Aishah juga ingin terus memberikan ilmu yang ada kepada anak didik yang memerlukan.

“Saya ingin menyantuni alam dalam lakaran kanvas tanpa batasan, mahu lebih berekplorasi dalam dunia seni lakaran dan lukisan. Saya juga ingin memberi seluas-luasnya ilmu yang sedikit pada anak-anak didik yang memerlukan. Dalam kerjaya pula saya ingin membina kerjaya supaya bercambah menjadi benih cabaran dan menuai hasil dari setekad kesabaran. Memang besarlah harapan saya untuk menjadi lebih maju dan berdaya saing di masa-masa akan datang,” ujarnya mengakhiri perbualan.