Sekian lama menjadi suami isteri, melaksanakan tanggungjawab seorang ibu dan ayah. Ada ketikanya tiada masa untuk berdua bersama suami isteri. Sementara hayat pasangan masih ada di sisi, nikmatilah waktu berdua bersama tersayang.
Kadangkala, meluangkan masa berdua dengan suami mahupun isteri juga dapat memenuhi kantung emosi bahagia untuk kedua-duanya. Tenang jiwa raga orang kata.
Sebagaimana yang dilakukan oleh Ustaz Khairul Anuar Basri ini, dikala usia 44 tahun, dapat membawa isteri ke masjid untuk solat subuh di hujung minggu, mahupun morning walk pun sudah memadai.
Masuk umur 50 tahun nanti, rancangannya mahu kembara keliling dunia berdua dengan isteri pula.
Rancang Mahu Keliling Dunia Berdua Dengan Isteri
Sekarang umur saya 44 tahun. Saya ada masa 6 tahun saja lagi untuk sampai ke umur 50 tahun.
Perancangan saya, pada umur saya 50 tahun, saya nak mengembara mengelilingi dunia berdua dengan isteri saya. Ketika itu, isteri saya mungkin sudah bersara awal dari kerjanya sebagai guru. Katanya dia nak jadi PA dan driver saya saja.
Ketika itu, anak-anak pun sudah besar panjang. Yang sulung mungkin sudah hampir tamat pengajian di universiti. Yang paling bongsu pun mungkin sudah masuk sekolah menengah dan tinggal di asrama. Jadi, tiada gangguan dan halangan lagi untuk ke hulu dan ke hilir berdua sahaja.
Ads
Saya pernah terfikir. Setelah sekian lama berusaha untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri, kita akhirnya terpisah juga dek kerana tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga.
Seawal pagi masing-masing sudah dengan hal masing-masing. Suami ke tempat kerjanya. Isteri juga ke tempat kerjanya. Balik petang atau malam, tubuh badan sudah terlalu letih. Tiada masa pun untuk berborak-borak santai. Begitulah setiap hari sehingga umur pencen menjelang tiba.
Kurang masa bersama. Tiada masa berdua. Adakah itu matlamat perkahwinan kita? Adakah itu yang didambakan suatu ketika dahulu?
Bila dah tua, kudrat dah tak secergas dahulu. Fikiran pun tidak seriang dan semuda dahulu. Banyak keterbatasan yang akan kita tempuh. Nikmat hidup berdua juga sudah semakin tidak bermakna.
Ads
Sebab itu saya paksa juga kadang-kadang keluar ke mana-mana berdua dengan isteri. Paling tidak di setiap hujung minggu, ke masjid untuk solat Subuh, kemudian morning walk, then sarapan. Jam 10 pagi baru balik ke rumah.
Secepat mungkin saya mesti hentikan semua ini. Agar hidup berdua dapat diberi erti dan makna dengan sebaiknya.
Itulah juga motivasi saya bila saya berhenti kerja makan gaji dan mula bekerja sendiri. Mahu ada masa yang boleh diatur sendiri.
Mahu ada waktu bersama yang tersayang dengan semaksima mungkin, sebelum jasad dijemput pulang menghadap Ilahi.
Hidup kita ni tak lama. Entah sempat entah tidak saya bertemu dengan umur 50 tahun. Entah saya yang mati dulu atau isteri saya yang mati dulu. Saya pun tak tahu.
Ads
Antara benda yang paling saya takut ianya berlaku ialah jika isteri saya yang mati terlebih dahulu dari saya. Macamana la hidup saya nanti tanpa dia di sisi. Begitu juga sebaliknya.
Tapi itu janji yang pasti. Sebelum ia datang, saya nak gunakan sepenuhnya umur yang tersisa ini untuk meninggalkan kenangan terindah buat kami berdua.
Semoga Allah izinkan. Amin.
#KAB
Mingguan Wanita : Sesekali ambillah peluang untuk dating suami isteri. Bahagia nanti rasa hati.
Sakitnya jiwa kalau terpaksa berdepan dengan orang yang sukar. Ianya menyakitkan, namun dibuang tak dapat. Ikut tip yang dikongsikan Puan Azura Abdullah ini. Anggap saja ‘mean peple’ ini bak KERTAS PASIR.
Dalam hidup ini jika kita ditakdirkan bertemu dan perlu hadapi orang yang sukar (mean people), anggap sahaja mereka ini seperti KERTAS PASIR. KITA akan semakin LICIN dan BERSINAR digosok kertas pasir. Tetapi kertas pasir itu sendiri akhirnya akan menjadi buruk dan tiada gunanya lagi.
Bertahun Mak Jaga Mentua Tanpa Rungutan
Terkenang bagaimana susah payah Mak menjaga ibu mertuanya @ nenek saya yang uzur tanpa mengeluh. Rumah keluarga saya dekat dengan rumah nenek, jadi secara automatiknya tugas menjaga kebajikan dan keperluan nenek jatuh kepada Mak dan Abah saya.
Entah di mana Mak kutip kekuatan, setiap kali tibanya waktu makan Mak akan berjalan kaki (10 minit) ke rumah nenek melalui jalan pintas yang semak untuk menghantar makanan dan selesaikan apa yang patut seperti mandi, tukar lampin pakai buang dan kemaskan rumah nenek.
Kemudiannya berjalan pulang ke rumah kami semula. Begitulah rutin Mak bertahun-tahun tanpa sebarang rungutan. Akhirnya nenek menghembuskan nafas terakhir pun di tangan Mak, menantu beliau.
“Mak tak penat ka hari-hari sejuta nam kali dok pi mai pi mai rumah Tok? Awat Mak yang dok susah payah, mertua ja kan?” tanya saya suatu ketika dengan penuh rasa kurang puas hati melihat tubuh kecil Mak tenang menyantuni nenek. Darah muda.
“Abah syurga Mak akak. Tok syurga Abah. Kalau Abah seronok tengok Mak dia dijaga dengan baik bermakna Allah swt pun seronok dengan Mak. Allah dah hidang jalan mudah untuk Mak pi syurga. Bukan semua orang dapat peluang lagu ni akak. Orang lain jenuh dok cari pahala. Mak tak payah pi mana pun. Dok ada depan mata Mak dah. Kita kena buat baik tak kira dengan sapa pun.”
Allah Beri Apa Kita Mahu
Mulianya hatimu Mak. Saya yang ketika itu masih muda, baru tamat belajar, darah mudah menggelegak, tak sempat lagi hati ini untuk berpaut dengan otak.
Dalam kepala saya ketika itu semuanya nak pakai konsep adil dan sama rata sahaja. Mana boleh Mak saya sahaja yang berhempas-pulas. Masa itu lah. Sekarang ini bila ingat balik semua itu buat malu saja perangai angin kus-kus saya itu.
Kalaulah semua hal di dunia ini boleh adil dan dibahagi sama rata dalam setiap perkara memang tak payahlah lagi ada syurga dan neraka. Sekolah pun tak payah pergi dah. Kehidupan adalah universiti paling mahal, rugi jika kita hanya mahu kutip yang negatif sahaja.
Allah swt beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Kalau ikut mahu, setiap dari kita semestinya mahu bulan dan bintang sahaja. Allah swt hantar kita ujian dan orang-orang yang sukar dalam hidup kita supaya kita belajar dan menjadi lebih baik.
Bukan setakat kita sahaja yang belajar, tetapi mereka yang dekat dengan kita juga belajar. Sekarang giliran saya tunjukkan teladan kepada anak-anak saya pula.
“Children learn from who you are, not what you teach.”
Jangan kita ingat anak-anak kita memerhati kosong tanpa menghadam, mereka semat erat apa yang kita lakonkan dan akan mereka pakai secara sedar atau tidak yang mana satu prioriti hidup yang mana satu tidak. Kerana itulah nilai hidup yang kita tanam sebagai ibu dan bapa.
Bila Adik Beradik Lepas Tangan, Tak Nak Jaga Ibu
Semalam ada perkongsian berkisar hal ini juga dari salah seorang rakan caregiver yang menjaga ibunya dan tidak mendapat kerjasama yang baik dari adik-beradik yang lain. Sudahlah beliau berkorban masa dan tenaga menjaga ibu, mereka yang sekali sekala pulang menziarah melemparkan kata-kata pedas pula seperti ibu tidak dijaga dengan baik oleh beliau.
Dan berbagai kekurangan lagi dipetik dikorek. Kemudiannya ramai lagi caregiver lain tampil berkongsi pengalaman yang lebih kurang sama. Akibat dari situasi sebegini kebanyakan dari caregiver dilanda keletihan emosi yang teruk. Sudahlah letih fizikal, letih emosi ini yang menambahkan lagi beban yang ditanggung.
“What Susie says of Sally, says more of Susie than of Sally.”
Maksudnya perkara buruk yang kita katakan tentang orang lain sebenarnya lebih banyak menggambarkan keburukan kita sendiri dari orang yang kita katakan itu. Jadinya tak usah peduli segala kata-kata orang.
Ada kalangan rakan-rakan caregiver bertanya bagaimana saya hadapi hari-hari saya, apatah lagi saya jauh dari keluarga saya. Pengalaman banyak mengajar saya, itu kelebihan yang saya ada.
Suami saya diserang strok secara on and off semenjak tahun 2010, jadinya berbagai pelajaran saya kutip. Mula-mula dulu hati tisu juga. La ni dah sado. Buat rakan-rakan caregiver yang baru harungi pengalaman sebegini, di doakan tips berikut dapat mengurangkan keletihan emosi kalian.
5 TIPS UNTUK MENGELAKKAN KELETIHAN EMOSI CAREGIVER
1. FOKUS
Fokus kepada kehidupan kita dan perkara yang berada di bawah kawalan kita sahaja. Diri kita sendiri perlu sihat, perlu happy, kita ada keluarga sendiri selain pesakit perlu kita peduli. Usah serabutkan diri pertikaikan kenapa ahli keluarga lain begitu begini, tidak buat begitu tidak buat begini.
Sebenarnya setiap hari sebagai caregiver secara automatik kita sudah ada jadual untuk menjalankan tugas sebagai caregiver dan kita berjaya lakukannya dengan baik tanpa menyusahkan sesiapa. Jadi kenapa perlu kita alihkan fokus kita memikirkan tentang contribution orang lain?
Jika ada manusia yang pelik-pelik peelnya hadir dalam hidup kita, diskaun terus mereka ini. Tak payah pening-pening, hidup sebagai caregiver sendiri dah cukup roller coaster dah. Bakpolah nak tambah lagikan? Hehehe.
2. ME TIME
Kena cari juga ME TIME ini. Tidak semestinya dengan bercuti, spa atau yang mahal-mahal sahaja. Kalau ada peluang why not. Saya sendiri setiap hari saya pastikan saya dapat ME TIME dalam 15 minit pun sudah mencukupi untuk recharge.
Waktu saya keluar ke kedai atau sebagainya saya akan berehat sebentar dengan mendengar lagu atau tidur sebentar di dalam kereta. Rehat sebentar atau tidur sebentar yang pure, tanpa gangguan.
3. KUMPULAN SOKONGAN
Kumpulan sokongan dari kalangan caregivers adalah amat penting untuk kita berkongsi pengalaman, ilmu, informasi terkini serta meluah rasa. Terdapat banyak kumpulan sokongan di sosial media yang dapat kita manfaatkan. Jika disimpan berseorangan lama-lama ianya akan membengkak dan meletus dengan tidak terkawal.
4. AKTIVITI SENAMAN DAN RELAXATION
Cuba juga untuk curi masa lakukan aktiviti senaman secara langsung atau tidak langsung seperti berkebun dan sebagainya setiap hari. Sudah terbukti di dalam banyak kajian senaman dan aktiviti berkaitan dapat mengurangkan stress dan membantu sistem pernafasan seterusnya membuatkan kita merasa lebih segar. Jika kita mampu bersusah payah menguruskan fisio terapi untuk pesakit, kita harus berlaku adil kepada tubuh kita juga.
5. BERSOSIAL
Caregiver perlu bersosial. Libatkan diri dengan apa-apa aktiviti serta terus berkomunikasi dengan rakan-rakan. Jangan putuskan hubungan dengan dunia luar dan limitkan diri kepada skop caregiver sahaja. Caregiver bukan superhero. Caregiver perlukan kehidupan normal seperti orang lain juga.
Didoakan ada manfaatnya.
Sekali lagi saya ulang, “Dalam hidup ini jika kita ditakdirkan bertemu dan perlu hadapi orang yang sukar (mean people), anggap sahaja mereka ini seperti KERTAS PASIR. KITA akan semakin LICIN dan BERSINAR digosok kertas pasir.
Tetapi kertas pasir itu sendiri akhirnya akan menjadi buruk dan tiada gunanya lagi.“
Bukan mudah untuk mengemudi sebuah ikatan perkahwinan apatah lagi untuk mengekalkan kebahagiaan tersebut dalam suatu tempoh yang panjang. Adakalanya dipenuhi dengan ranjau yang berliku dan setiap pasangan perlulah sentiasa bersabar dan mengharunginya bersama-sama.
Tun Dr Mahathir berkata toleransi serta perlunya menimbangkan perasaan pasangan dan masa depan anak-anak juga faktor penting dan kunci kepada hubungan mereka yang indah dan manis yang dikagumi oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Tun M : Saling Menerima Keadaaan Pasangan
Dalam wawancara eksklusif oleh The Third Age Media Association dan Bernama News Channel (BNC) tak lama dulu di Yayasan Kepimpinan Perdana, beliau berkata tiada siapa akan mampu mengubah pasangan mereka, sebaliknya mereka saling menerima keadaan masing-masing sebagai cara untuk menjalin hubungan yang sihat dan seimbang.
Dengan wajah tersipu-sipu dan senyuman manis, katanya beliau sentiasa terkenangkan kehidupan indah di waktu muda bersama-sama Tun Dr Siti Hasmah yang juga menjadi tulang belakang kejayaannya.
“Ya, isteri saya selalu berkata di belakang seorang suami yang berjaya ialah seorang isteri, bukan sekadar seorang wanita,” kata Perdana Menteri berusia 93 tahun itu (ketika wawancara dilakukan).
“Pada awalnya sudah pasti, semasa kami masih muda, kami ada perbezaan, ketegangan dan semua itu. Tetapi apabila anda bertambah tua anda sedar bahawa anda tidak boleh mengubah banyak diri pasangan anda dan beliau juga tidak boleh mengubah banyak diri saya dan kami belajar untuk saling menerima dan itulah diri sebenar seseorang itu,” katanya.
Saling Bertoleransi
Tatkala beliau menghabiskan banyak masa dalam politik, Tun Dr Siti Hasmah sentiasa menemaninya walaupun tidak terlibat dalam politik.
“Beliau menemani saya dan jika saya terpaksa tinggalkannya kerana saya ada kerja, beliau bertolak ansur dengan saya. Begitu juga saya akan bertolak ansur dengannya bagi perkara tertentu yang beliau lakukan, jadi saya fikir perlu ada toleransi,” katanya.
Dr Mahathir turut menekankan akan perlunya menimbangkan perasaan anak-anak kerana adalah satu bencana bagi keluarga apabila ibu bapa berpisah dan berkahwin lain.
“Anak-anak tidak akan mempunyai kehidupan yang baik. Jadi anda perlu prihatin terhadap anak-anak anda,” katanya.
Pasangan itu bertemu di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura (kini sebahagian National University of Singapore) pada 1947 dan berkahwin pada 1956.
Dr Mahathir pertama kali menjadi perdana menteri dari 1981 sehingga 2003, menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, sebelum kembali menjawat jawatan nombor satu itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun 2018.
Dan melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada Februari 2020.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita dalam mengekalkan kebahagiaan dan ikatan perkahwinan.
Suami isteri yang pakai baju sedondon memang nampak romantis, sehati dan sejiwa. Tak kiralah pakai sedondon baik pergi jalan-jalan, kenduri kahwin atau apa-apa majlis. Biasanya para isteri yang suka tetapkan tema warna dan pakai baju sedondon ni berbanding golongan suami. Berita baik, boleh teruskan rutin ini dalam rumahtangga kerana ia adalah salah satu tip suami isteri kekal bahagia.
Tips Kekal Bahagia
Ini dibuktikan oleh sepasang warga emas dari California, Amerika Syarikat (AS) yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-68 bulan depan, berkongsi tips rahsia mereka untuk kekal bahagia.
Francis dan Rosemary Klontz masing-masing berusia 87 tahun berpasangan sejak zaman sekolah menengah.
Menurut pasangan berkenaan, antara rahsia perkahwinan bahagia mereka ialah berpakaian sedondon sejak sebelum mendirikan rumah tangga pada usia 19 tahun.
“Ibu saya membelikan kami baju sedondon ketika zaman sekolah tinggi, saya yang memilih pakaian tersebut dan sejak itu kami berpakaian sama,” kata Rosemary kepada KOVR-TV.
Tak Kisah Isteri Sediakan Pakaian
Suami Rosemary, Francis pula berkata, dia tidak kisah isterinya menyediakan pakaiannya setiap hari.
“Dia menyediakan pakaian saya dan saya tidak perlu bimbang tentang apa-apa,” kata Francis.
Pasangan terbabit yang juga bekas pastor gereja berkata, agama turut memainkan peranan penting dalam perkahwinan mereka.
MW: Tak sangka suami isteri yang pakai baju sedondon juga antara tips untuk kekalkan keharmonian dan kebahagiaan dalam rumahtangga. Jadi buat pasangan suami isteri bolehlah amalkan selalu. Selain nampak romantis, ia sebenarnya menzahirkan kesepakatan, toleransi dan kepercayaan pada pasangan.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...