64 Tahun Hidup Bersama, Tun M Dedah 2 Kunci Utama Rumahtangga Kekal Bahagia Dengan Tun Hasmah!

Bukan mudah untuk mengemudi sebuah ikatan perkahwinan apatah lagi untuk mengekalkan kebahagiaan tersebut dalam suatu tempoh yang panjang. Adakalanya dipenuhi dengan ranjau yang berliku dan setiap pasangan perlulah sentiasa bersabar dan mengharunginya bersama-sama.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin tertua di dunia, mendedahkan rahsia perkahwinannya yang kekal bahagia dengan teman sehati dan sejiwanya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selama 64 tahun.

Tun Dr Mahathir berkata toleransi serta perlunya menimbangkan perasaan pasangan dan masa depan anak-anak juga faktor penting dan kunci kepada hubungan mereka yang indah dan manis yang dikagumi oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Tun M : Saling Menerima Keadaaan Pasangan

Dalam wawancara eksklusif oleh The Third Age Media Association dan Bernama News Channel (BNC) tak lama dulu di Yayasan Kepimpinan Perdana, beliau berkata tiada siapa akan mampu mengubah pasangan mereka, sebaliknya mereka saling menerima keadaan masing-masing sebagai cara untuk menjalin hubungan yang sihat dan seimbang.

Dengan wajah tersipu-sipu dan senyuman manis, katanya beliau sentiasa terkenangkan kehidupan indah di waktu muda bersama-sama Tun Dr Siti Hasmah yang juga menjadi tulang belakang kejayaannya.

“Ya, isteri saya selalu berkata di belakang seorang suami yang berjaya ialah seorang isteri, bukan sekadar seorang wanita,” kata Perdana Menteri berusia 93 tahun itu (ketika wawancara dilakukan).

IKLAN

“Pada awalnya sudah pasti, semasa kami masih muda, kami ada perbezaan, ketegangan dan semua itu. Tetapi apabila anda bertambah tua anda sedar bahawa anda tidak boleh mengubah banyak diri pasangan anda dan beliau juga tidak boleh mengubah banyak diri saya dan kami belajar untuk saling menerima dan itulah diri sebenar seseorang itu,” katanya.

64 Tahun Hidup Bersama, Tun M Dedah 2 Kunci Utama Rumahtangga Kekal Bahagia Dengan Tun Hasmah!

Saling Bertoleransi

Tatkala beliau menghabiskan banyak masa dalam politik, Tun Dr Siti Hasmah sentiasa menemaninya walaupun tidak terlibat dalam politik.

IKLAN

“Beliau menemani saya dan jika saya terpaksa tinggalkannya kerana saya ada kerja, beliau bertolak ansur dengan saya. Begitu juga saya akan bertolak ansur dengannya bagi perkara tertentu yang beliau lakukan, jadi saya fikir perlu ada toleransi,” katanya.

Dr Mahathir turut menekankan akan perlunya menimbangkan perasaan anak-anak kerana adalah satu bencana bagi keluarga apabila ibu bapa berpisah dan berkahwin lain.

“Anak-anak tidak akan mempunyai kehidupan yang baik. Jadi anda perlu prihatin terhadap anak-anak anda,” katanya.

IKLAN

Pasangan itu bertemu di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura (kini sebahagian National University of Singapore) pada 1947 dan berkahwin pada 1956.

Dr Mahathir pertama kali menjadi perdana menteri dari 1981 sehingga 2003, menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, sebelum kembali menjawat jawatan nombor satu itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun 2018.

Dan melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada Februari 2020.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita dalam mengekalkan kebahagiaan dan ikatan perkahwinan.

Sumber: Sinar Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI