Suatu petang yang syahdu, hanya dengan niat ingin membeli pelembut pakaian untuk mencuci baju raya, akhirnya Marziah Che Omar, 27 tahun, pergi buat selama-lamanya.

Berkali-kali ibunya melarang supaya anak daranya itu matikan sahaja niat untuk ke kedai kerana cuaca gelap dan hampir lewat petang. Tetapi tanpa sedar, dia hilang dari pandangan.

Masih jelas di ingatan, Antilah Md Isa, 55 tahun, ketika itu umat Islam sedang menantikan sambutan hari raya aidiladha. Sebagai ibu, dia tidak sangka perbualan singkat dengan Marziah pada petang itu adalah perbualan terakhir mereka. Walaupun perit untuk menelan kenyataan, tetapi dia reda dengan takdir yang menimpa.

Pada bulan Ogos yang lalu, telah berlaku tiupan angin kencang yang melanda negeri di bahagian utara tanahair. Taufan yang dikenali sebagai taufan Lekima telah membadai timur negara China seterusnya memberi tempias ke negara berdekatan seperti Thailand dan Malaysia apabila ekor taufan berkenaan turut menghempas negeri-negeri di utara.

Ekoran kejadian yang tidak terduga dan jarang berlaku ini, Marziah salah seorang menjadi mangsanya. Anak bongsu dari lima beradik ini maut apabila motosikal yang ditungganginya terkena sekeping zink besi yang diterbangkan ribut di depan Masjid Sharifah Fatimah, Batu 13, Jitra, Kedah.

Menurut ibunya, Marziah yang menunggang bersendirian terjatuh selepas terkena zink besi terbabit sebelum digilis sebuah kereta yang berada di bahagian belakang motosikalnya.

Tambahnya, angin yang kuat telah menerbangkan sekeping zink dan terkena Marziah menyebabkan dia jatuh. Zink yang sama kemudiannya mengenai dan menutup cermin depan kereta yang berada di belakang motosikal mangsa lalu menjejaskan penglihatan pemandu. Tanpa sengaja pemandu kereta tergilis Marziah yang terjatuh sebelum itu.

“Saya dan suami dapat tahu yang Marziah kemalangan daripada jiran, jadi kami ke hospital. Walaupun saya tak sedap hati tapi di fikiran saya mungkin anak saya cedera sahaja. Dalam keadaan kalut, saya masih lagi terfikir kalau Marziah kena tahan di wad, mungkin selepas ini kami balik rumah semula. Macam-macam saya fikir dalam perjalanan ke hospital.

“Sampai di hospital, saya minta suami turun dahulu untuk lihat keadaan Marziah. Memang perasaan saya berat sangat nak turun tetapi akhirnya saya beranikan diri turun dari kereta. Ketika itu suami beritahu yang “adik” sudah tiada. Memang terus saya rasa lemah, lutut rasa lembik.

“Terus datang perasaan sebak dan air mata saya mula meleleh sedih. Saya memang tak mampu nak tengok wajah anak saya, takut tak dapat kawal perasaan,” luah Antilah sebak mengenangkan peristiwa yang melenyapkan kegembiraan hidupnya.

Berubah Laku

Syawal lalu Marziah telah mengikat pertunangan dengan pilihan hatinya, namun belum sempat mengecap bahagia anak manja ini pergi dahulu sebelum ibunya. Mengikut perancangan, majlis perkahwinan bakal berlangsung Mac tahun depan, tetapi ternyata Allah lebih sayangkan Marziah.

Anak kelima ini sesungguhnya anak yang ceria, peramah dan suka melawak. Setelah bertunang, dia banyak menghabiskan masa di rumah kerana tidak bekerja. Lagi pula dia memang rapat dengan ibu, bapa dan adik beradiknya. Semua orang menyenangi sikap ceria Marziah.

“Selama ini Marziah memang suka dengar lagu-lagu anak muda zaman sekarang. Tetapi sebelum kematiannya, dia banyak dengar ayat-ayat Al-Quran. Saya dan suami memang perasan perubahan anak kami yang cukup manja ini. Pernah juga saya mengintai dia di bilik, dia sedang mendengar ayat Al-Quran.

“Saya suarakan pada suami, tetapi kemudian terfikir mungkin Marziah berubah sebab akan menjadi isteri orang tidak lama lagi. Jadi lama-lama kami anggap ia perkara biasa.

“Lagi satu Marziah pernah juga mengeluh dengan saya setelah dua kali jatuh motosikal. Kali pertama kejadian itu berlaku sudah lama dan menyebabkan kaki dia retak. Manakala kali kedua pula, tumitnya koyak. Katanya mungkin dia selamat kemalangan pada kali pertama dan kedua. Kali ketiga tidak tahulah apa nasibnya dan ketika kemalangan kali ketigalah dia pergi buat selamanya,” ujarnya sedih.

Mangsa Ribut Zink Terbang Pernah Beritahu Ibu, ‘Kalau Jatuh Lagi Mungkin Umur Tak Panjang’
Hanya kenangan manis bersama Marziah dapat dikenang ibunya kini.

Semakin Rindu

Jelas Antilah, pada peringkat permulaan dia rasakan kehilangan anak bongsunya seakan bermimpi. Namun setelah selesai majlis pengebumian dan tetamu mula pulang, dirinya anak beranak berkumpul seterusnya menangis beramai-ramai. Ketika itu tiada kata yang terluah, hanya air mata yang mampu melegakan perit di hati.

Kini setelah dua minggu (ketika temubual berlangsung), perasaan rindu pada Marziah semakin membuak-buak. Kadang-kadang jika terlalu mengikut hati, Antilah menjadi larut dalam perasaan sedih. Melihat bilik anaknya dan pakaian-pakaian anak bongsunya membuatkan ibu ini hiba.

Tetapi sebagai hamba-Nya dia redha dengan pemergian anak kelimanya itu. Barangkali waktu sahaja dapat mengubati kesedihan dan kerinduan yang melekat di hati. Sikap Marziah yang gemar mengusik menjadikan malam Antilah sunyi dan sepi kini.

“Kebiasaannya setelah balik dari kerja, selepas solat, makan dan mandi, saya akan habiskan masa bersembang dengan Marziah. Memang di rumah hanya tinggal kami bertiga. Saya, suami dan arwah. Dia memang suka buat lawak, kami bersembang dan gelak-gelak hinggalah larut malam.

“Saya akan melayan sahaja perangainya sebab hanya tinggal dia sahaja di rumah, yang lain semua telah berkahwin dan miliki keluarga sendiri. Sikap Marziah itu kadang-kadang ditegur suami saya kerana bimbang saya letih kerana akan bekerja keesokan harinya. Tetapi kami abaikan dan teruskan bersembang.

“Sebelum dia pergi saya masih ingat, dia beberapa kali mencium saya katanya dah beberapa hari tak dapat cium bondanya ini. Memang saya rindukan dia sangat, sebab itu saya ambil keputusan untuk bekerja seperti biasa. Sekurang-kurangnya apabila bersama kawan-kawan, saya dapat lupakan seketika,” katanya lagi.

Mangsa Ribut Zink Terbang Pernah Beritahu Ibu, ‘Kalau Jatuh Lagi Mungkin Umur Tak Panjang’
Marziah bersama abang kandungnya ketika bercuti di Pulau Langkawi.

Turut Mengidap Talasemia

Di samping itu, menurut Antilah, anaknya turut menghidap talasemia dan perlu menambah darah pada setiap bulan di hospital. Dia juga pernah menjalani pembedahan membuang limpa akibat daripada kesan transfusi darah sebelum ini. Selama ini ibu ini bimbang akan kesihatan anaknya, namun tidak pernah menyangka yang anaknya pergi buat selamanya bukan disebabkan oleh masalah kesihatan sebaliknya kemalangan jalan raya.

Kini, tenanglah duhai Marziah di sana, mungkin hari ini dia tidak perlu lagi menjalani rutin tranfusi darah lagi buat selamanya. Setiap kali rindu bertandang, Antilah akan sedekahkan Surah Al-Fatihah kepada anaknya.

Suaminya, Che Omar juga seringkali mengingatkan dirinya agar tidak terlalu mengikut perasaan dan bersabar dengan ujian dari Allah. Mungkin kali ini giliran Marziah, esok lusa mungkin dia pula akan menyusul.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI