Malu Ibu Gendong Hingga Darjah Enam, Rosmini Paksa Diri Jadi Atlet

Tidak mampu berjalan, perlu digendong atau berlari selincah rakan sebaya membuatkan wanita ini memencilkan diri. Dilahirkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) bukanlah satu dugaan yang kecil buat Rosmini Mamat, 52 tahun. Sejak kecil bergantung dengan orang lain untuk bergerak ke sana, sini membuatkan dia lelah.

52 tahun lalu, bukanlah seperti sekarang. Kala itu, ibu dan bapa hanya ikhtiar yang termampu untuk pastikan anak mampu menjadi seperti orang lain. Apabila disuruh bersabar tatkala anak yang dilahirkan masih tidak mampu berjalan biar pun berusia dua tahun, mereka akur. Namun sama sekali tidak pernah menyalahkan takdir.

Rosmini beruntung biar pun dilahirkan kurang upaya tetapi keluarga sentiasa berada di sisinya. Ibunya, Rahimah Jusoh dan ayahnya, Mamat Mohamed, tidak pernah sekali pun meminggirkan keperluan Rosmini seperti mana mereka menjaga tiga anak yang lain. Bayangkan sejak di darjah satu, ibunya yang mengendong Rosmini ke sekolah, dari darjah satu hingga darjah enam.

Rosmini Dilahirkan Dengan Masalah Saraf, Tak Mampu Berjalan

“Ibulah yang menggalas tugas untuk menghantar dan menjemput saya pulang dari sekolah. Manakala di sekolah, abang sulung pula ambil alih tugas mendukung saya untuk ke kantin atau tandas. Bayangkan hendak makan pun perlukan bantuan orang lain.

“Saya memang dilahirkan dengan masalah saraf dan tidak mampu berjalan. Dalam tahun 70-an, manalah mampu keluarga saya untuk dapatkan kerusi roda. Jadi ke mana-mana memang berdukung. Pergerakan saya memang terbatas dan saya rasa susah sangat.

“Lebih-lebih lagi apabila usia meningkat, saya jadi segan dengan orang sekeliling. Saya pun makin bertambah berat, tidak sampai hati melihat ibu dan abang dukung saya. Saya bersyukur ketika saya berusia 13 tahun pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang ke rumah memberi bantuan kerusi roda dan saya juga ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Pusat Pemulihan Cheras(PPC), Kajang.

IKLAN

“Pada mulanya, saya dan keluarga bayangkan adalah sekolah kemahiran dan juga akdemik, rupa-rupanya kemahiran sahaja. Oleh itu setelah mendalami kursus jahitan selama empat tahun dari 1980, saya berhenti. Ibu minta saya sambung belajar di sekolah khas di bawah JKM untuk ambil Sijil Pelajaran Malaysia(SPM),’ ungkapnya memulakan bicara.

Malu Ibu Gendong Hingga Darjah Enam, Rosmini Paksa Diri Jadi Atlet
Biar pun bergelar OKU, Rosmini aktif dalam sukan boling dan terlibat dalam beberapa pertandingan boling di pelbagai peringat.

Cuba Mengubah Hidup

Usai SPM, wanita kelahiran Ketereh, Kelantan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengubah nasib. Alhamdulilah rezeki murah apabila Rosmini diterima bekerja sebagai tukang jahit sepenuh masa.

Setelah bertahun-tahun bergelumang dengan benang dan jarum, timbul pula rasa bosan di hati Rosmini. Setiap hari membelek kain dan pakaian membuatkan dirinya tidak bercampur dengan dunia luar.

Oleh sebab itu, dia mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan lain. Rezeki barangkali setelah memohon jawatan di sektor kerajaan pada tahun 1990, permohonannya diterima. Rosmini sangat bersyukur diberi peluang biar pun bergelar seorang OKU. Baginya inilah peluang untuk dia berkerja seperti orang lain, mampu ke pejabat dan bergaul dengan dunia luar.

IKLAN

Aktif Sukan

Kini hampir 25 tahun Rosmini bekerja sebagai Pembantu Operasi di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Kesibukan tugas-tugas di pejabat membuatkan Rosmini tercari-cari apakah perkara yang menyeronokkan yang boleh dia lakukan di waktu lapang.

Hinggalah suatu hari, kawan sekolah lamanya memberi idea untuk bergiat aktif dalam bidang sukan. Biar pun pada awalnya dirinya sendiri keliru untuk memilih sukan apa, akhirnya setelah berfikir panjang, Rosmini rasakan sukan boling adalah paling ideal dengan kemampuan dirinya.

Setelah mendapat tunjuk ajar dari jurulatiH dan semangat yang tinggi untuk mencuba, akhirnya Rosmini menjadi wakil untuk perlawanan boling di sukan Paralimpik. Dirinya merupakan wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setiap kali kejohonan boling dianjurkan.

IKLAN

Ternyata penglibatannya dalam sukan membuatkan Rosmini lebih gembira dan buktikan pada diri bahawa dia juga mampu lakukan perkara di luar kemampuan dirinya. Tidak dinafikan pada awalnya, dia sendiri gementar untuk menyertai sukan boling tetapi akhirnya kini Rosmini menarik nafas lega.

Malu Ibu Gendong Hingga Darjah Enam, Rosmini Paksa Diri Jadi Atlet

Seperti mana orang lain, Rosmini sentiasa berdoa dianugerahkan kesihatan yang baik agar dirinya tidak menyusahkan dan membebankan orang lain. Malahan, dia juga bercita-cita untuk berniaga online setelah bersara kelak kerana dari sekarang dirinya telah mula berjinak-jinak dengan bisnes online.

#mingguanwanita

#temansetiapwanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI