Malam Terakhir Sebelum Ke Hospital, Arwah Isteri Ajarkan Doa Untuk Dibaca

Melewati 15 hari ustazah kesayangan ramai, Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas meninggalkan alam yang fana ini. Biar pun sedang berehat di alam abadi, masih ada lagi yang bertanyakan tentang hukum fiqh di whatsApp mahu PM facebook arwah isteri ustaz MK Azman.

Begitulah baik budi ustazah, tetap diingati ramai orang yang pernah mendapat sentuhan didikannya. Bukan saja anak muridnya sama terkesan, malah suami arwah, Ustaz MK Azman juga mengibaratkan Allahyarham isteri ibarat gurunya.

Sebagai isteri, Allahyarham sentiasa mengingatkan suami mahupun anak-anak tentang doa. Malah ketika keluarga ini terlibat dalam kemalangan kereta dua tahun dulu pun arwah ustazah membaca doa malah memulakan doanya dengan lafaz asma alhusna. Terang ustaz, insyaAllah mustajab doanya.

Allahyarham Ustazah Shadiya ini seorang yang menghafal banyak doa. Dan diamalkannya. Kongsi Ustaz lagi, pada malam terakhirnya bersama ustazah pun, isterinya itu sempat memintanya membaca doa sebelum ke hospital.

Malam Terakhir Sebelum Ke Hospital, Arwah Isteri Ajarkan Doa Untuk Dibaca
Doa ni almarhumah bidadari saya Shadiya Abbas praktiskan ketika mengalami kemalangan pada tarikh ini (11.4) 2 tahun yang lalu. Selepas kemalangan, terdetik di hati untuk membacakan doa dan beliau memulakan doa dengan ayat di bawah. Beliau memohon kepada Allah agar kami semua selamat dan dipanjangkan umur. Alhamdulillah kami semua selamat. Doa ini terus diajar oleh almarhumah kepada jemaah masjid dan surau.
Ustazah Asni Mansor mengabadikan doa ini dalam satu potret yang dilukis sendiri, kini menjadi hiasan indah di rumah kami.
Mulai doa kalian dengan lafaz asma alhusna, insya allah mustajab doa. Semoga ia memberi manfaat kepada semua..

Dia Guruku, Punyai Khazanah Doa Yang Ma’thur

Ada anak muridnya yang berasa ingin tahu lalu bertanya mengapa dia menggelar isterinya sebagai guru. Akui ustaz,

IKLAN

Saya merujuk dahulu pada beliau apa yang perlu saya ajarkan pada jemaah masjid atau surau sebelum saya menyampai kuliah atau ceramah. Dia yang ajarkan cara penyampaian dan pengkritik tetap saya dalam aspek penyampaian ilmu agama.

Dia guru saya sebab dia mempunyai khazanah doa-doa yang ma’thur. Dia hafal banyak doa dan dia amalkan. Seringkali dia akan ajarkan saya dan ingatkan saya supaya amal. Bukan saja pd saya, juga pada anak-anak. Sebab tu biasa penutup kuliahnya dia akan ajarkan doa² kepada jemaah untuk diamalkan.

Tanpa Bayaran Tetap Bersemangat Mengajar

Dia guru saya sebab penyampaiannya sentiasa segar walaupun pada waktu petang. Dia akan turun bersama-sama saya ataupun berseorangan untuk mengajar penghuni-penghuni Pusat Bina Diri JKM Sungai Buloh. Dia bersemangat untuk mengajar walaupun tanpa bayaran kerana baginya adalah amal jariah. Jika saya datang berseorangan ke sana, pasti ada ibu-ibu di sana bertanyakan tentang ustazah Shadiya. Ramai yang menyatakan rasa rindu. Kata mereka ustazah mengajar best.. Allahu.. Aku yakin mereka belum tahu ustazah yang menjadi kerinduan mereka sudah tiada.

IKLAN

Orang kuat Emkays Future Training & Consultancy yang saya tubuhkan adalah Ustazah. Dialah yang kerap menyampaikan ilmu biarpun dia keletihan. Ada sahaja perkara yang dia nak kongsikan. Tiada lagi guru, mungkin tiada lagi.

Arwah Isteri Sempat Berpesan Supaya Baca Doa

Dia guru yang sering menegur salah silap saya samada sikap, perasaan dan ibadah saya. Naik kenderaan pasti dia akan ingatkan saya dan anak-anak baca doa.. Malah malam terakhir saya bersama beliau ke hospital pun dia sempat berpesan supaya baca doa. Saya sakit, dia ajarkan doa untuk saya baca dan amalkan. Alhamdulillah mustajab doa yang dibaca.

IKLAN

Sebab itulah saya menggelar dia sebagai GURU. Nanti anak muridmu ini akan menyusul bersamamu wahai GURUKU.

Begitulah bakti seorang isteri yang benar-benar ikhlas mengerjakan amanahnya. Sehingga ke akhir hayat pun tetap mendapat kasih sayang yang tak berbelah bagi daripada suami dan anak-anak.

MW : Marilah ambil teladan dari secebis kisah arwah ustazah. Semoga, Allah menjadikan hati-hati ini sentiasa tenang berdepan setiap ujianNya. Al Fatihah.. di doakan semoga Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas ditempatkan di taman-taman syurga di samping orang-orang yang soleh.

Sumber/Foto : MK Azman

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI