Kata-kata yang terbit dari mulut mak ayah adalah doa untuk anak.

Kerana mulut mak ayah anak boleh ‘rosak’!  Ada mak ayah yang sedar dan tak sedar dengan kesilapan yang mereka lakukan. Kata-kata yang terbit daripada mulut mak ayah seperti doa. Itu kenyataan yang kita perlu sedar dan terima.

Kita mesti awasi setiap perkataan yang diucap kepada anak-anak. Saya lihat hari ini ramai antara kita menggelarkan anak dengan perkataan negatif seperti bodoh, bangang, gila, bebal dan sebagainya. Malah ada yang panggil anak sial dan celaka. Ya Allah! Tergamaknya…

Kata-kata negatif ini akan membuatkan anak-anak berasa sedih. Mereka malu, kecewa dan berasa serba kekurangan. Minda luar sedar mereka merakam semua ini, mesej yang mereka perolehi sangat negatif. Anak-anak percaya dengan sebakul kata-kata negatif yang kita lemparkan membawa maksud mereka tidak guna, lemah dan bodoh.

Punca Anak Dendam Pada Mak Ayah

Saya mahu tanya satu soalan…benarkah kita memang mahu zuriat kita menjadi insan yang bodoh, bebal, gila dan tidak senonoh? Saya sangat pasti jawapannya TIDAK. Mak ayah mana pun mahukan anak-anaknya cerdik, berakhlak mulia dan berjaya di dunia serta akhirat.

Jadi mengapa kita yang merosakkan impian ini. Mengapa kita melabelkan anak dengan gelaran-gelaran yang tidak baik. Anak-anak juga mempunyai perasaan, jika setiap hari dilempar kata-kata negatif. Anak-anak bukan sahaja down malah mereka boleh memendam rasa dan jangan terkejut jika ada anak-anak yang berdendam dengan ibu dan ayah.

Sebab itulah ada anak-anak yang tergamak melayan mak ayahnya dengan kasar. Bukan sahaja perbuatan malah percakapan. Jangan terus menghukum anak ini 100 peratus, kita perlu melihat bagaimana dia dididik.

IKLAN

Mungkin ketika kecil, dia dilayan sedemikian rupa sehinggakan tanpa sedar dia ‘membalas dendam’ kepada orang tuanya. Jika perkara ini terjadi memang sangat-sangat menyedihkan. Anak-anak rosak di tangan kita. Sedih dan sangat malang apabila kita yang Allah amanahkan mendidik anak-anak dengan baik gagal berbuat demikian.

Anak Tiru Perbuatan Kita

Semuanya jelas di depan mata, lihatlah semua ini dengan mata hati. Marilah kita sama-sama berubah. Layanlah anak-anak kita dengan penuh kasih sayang. Walaupun ketika anak-anak melakukan kesilapan jangan dimaki dan dicerca anak dengan panggilan tidak baik. Jangan didera emosi mereka. Bercakaplah dengan bahasa yang baik, didik mereka sejak kecil.

Kepada para isteri, layanlah suami dengan lemah lembut. Tuturkan kata dengan sopan dan tunjukkan akhlak yang baik. Begitu juga suami, layanlah isteri selayaknya. Anak-anak melihat semua ini, mereka lebih mudah meniru apa yang mereka lihat.

IKLAN

Ramai antara kita yang menasihati anak-anak bercakap sopan tetapi kita sendiri suka memaki hamun. Percayalah nasihat kita kadang kala sukar dihadam oleh anak-anak tetapi mereka lebih terkesan melihat contoh di depan mata.

Ucapan Baik Doa Yang Melatun

Setiap hari, ucapkan kata-kata yang baik kepada anak. Jika dia bersalah nyatakan sebab dan kesan perbuatannya. Panggil anak kita dengan gelaran yang baik seperti sayang, anak bertuah, buah hati dan sebagainya.

Kata-kata yang baik ini seperti doa yang melantun, insya-Allah anak-anak akan menjadi anak berjaya di dunia dan akhirat. Insya-Allah dia akan menjadi anak yang membahagiakan ibu dan ayahnya dan mendoakan kita apabila kita sudah tiada di dunia ini.

IKLAN

Peringatan ini saya tujukan khas untuk diri saya sendiri, suami saya dan pembaca semua. Semoga Allah sentiasa memberi rahmat dan hidayah untuk kita sama-sama berubah ke arah kebaikan. Amin.

Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI