Bercuti dengan keluarga adalah waktu yang ditunggu-tunggu. Perasaan seronok tak dapat nak digambarkan dan sebolehnya mahu memori indah ini dikenang sampai bila-bila.
Kalau dahulu, ada suami isteri yang hanya bercuti berdua saja. Leceh bawa anak, jadi tak tenang dan ada saja perangai anak yang boleh mak ayah hilang sabar.
Tapi sekarang, tidak lagi. Tak kisahlah ada anak kecil yang tak boleh berjalan lagi. Sebolehnya mak ayah ingin cipta memori indah untuk mereka. Sampaikan ada juga desas desus yang cakap bawa anak kecil rugi sebab mereka tak tahu apa-apa lagi.
Tak kisah apa pun orang nak cakap, paling penting mak ayah telah membina memori indah bersama keluarga. Seperti yang dikongsikan oleh Noor Afidah Abu Bakar ini.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bila Melawat Bayi, Jangan Bebankan Tuan Rumah & ‘Pandai-Pandai’ Beri Khidmat Nasihat
Ada Sebab Saintifik Perlu Bawa ANAK BERCUTI, Walaupun Hanya SETAHUN SEKALI
Info Lebih Menarik DI SINI
Cipta Memori Indah Dengan Anak
Saya tertarik melihat ‘trend’ sekarang ini di mana ayah ibu membawa dan ‘menggendong’ bayi dan anak-anak kecil bersama apabila bercuti dan makan angin baik di dalam mahupun ke luar negara.
Saya teringat lebih kurang 10 tahun lalu ‘trend’ yang dipopularkan oleh PEMPENGARUH MEDIA SOSIAL adalah bercuti berdua tidak membawa anak-anak.
Trend sudah berubah.
Anak-anak kecil tidak ingat perincian atau ‘detail’ percutian dan perjalanan tetapi kembara bersama mereka akan membina memori dan membina perapatan sesama ahli keluarga.
Setiap pengalaman yang baru akan menghubungkan sel-sel otak mereka dan membentuk keperibadian mereka.
Kita juga akan lebih mengenali pembawaan anak-anak.
Binalah memori indah bersama-sama anak-anak.
Keadaan kelam-kabut, tunggang-langgang, dan hiruk-pikuk dalam menguruskan mereka
ketika bercuti akan menjadi memori indah yang akan ditertawakan bersama-sama suatu hari nanti.
Percayalah.
Mingguan Wanita : Tak perlu bercuti di tempat yang jauh-jauh, kadang berkelah di tepi pantai pun dah buat anak seronok.
Sumber: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cerai Isteri Ketika Hamil, Ini Peritnya Alahan, Bersalin, Berpantang ‘Ex’ Kena Hadam
Ketika dilanda konflik rumah tangga kronik dengan isteri yang sedang hamil, wahai suami.. ingatlah bahawa hormon isteri anda ketika itu tidaklah stabil. Amatlah peritnya jika suami cerai isteri dalam keadaan isterinya hamil.
Kerana itu, anda sebagai ketua keluarga seharusnya bertindak wajar, lebih bijak dan perhalusi semula niat untuk melepaskannya. Biarpun, hukumnya harus lafaz cerai yang dilepaskan pada isteri mengandung dan jatuh talaknya, namun dimanakah kewajaran bagi seorang suami.
Apatah lagi, ketika itu isteri sedang mengandungkan zuriat suami dan terpaksa berdepan keletihan malah tekanan perasaan lagi-lagi melibatkan bayi dalam kandungannya.
Lelaki ini, BroOhsem, Akhtar Syamir berkongsi gambaran benar yang isteri hamil lalui. Sungguh prosesnya tak mudah, malah memeritkan.
Ini Sebab Cerai Isteri Ketika Hamil Tak Bertanggungjawab
Cerai isteri ketika hamil. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seorang lelaki.
Apa bezanya waktu lain dan semasa hamil? Kalau anda tak nampak perbezaan ini, maknanya hati dan mata anda sebenarnya telah buta. Sama ada buta ditusuk cinta dan sayang orang yang baru atau sememangnya dilahirkan tidak mengambil berat mengenai isteri.
Ini Yang Jadi Sebaik Isteri Tahu Dirinya Hamil
Proses kehamilan itu bukan sekadar hamil sahaja. Ianya bermula dengan sebelum terjadinya hamil itu. Sebelum hamil itu berdua. Kalau seorang sahaja memang tak jadi. Jadi, selalunya di tahap ini, indah dan seronok.
Kemudian tibalah tahap di mana isteri itu disahkan hamil. Segala hormon di dalam badan isteri berkecamuk umpama kapal yang sedang terbalik. Percayalah pada ketika ini, isteri sangat memerlukan suami.
Makan itu tak boleh, bau ini nak muntah. Kepala sentiasa pening, mood selalu tidak baik. Apabila makan pun tidak terurus, tenaga pun akan berkurangan ditambah pula dengan muntah yang berlarutan.
Di sini datangnya keperluan seorang suami untuk membantu isteri menjalani kehidupan yang normal dengan keadaan sebegitu. Isteri sangat memerlukan sokongan moral kerana pada masa inilah jiwanya terganggu.
Sewaktu Alahan Teruk, Nak Bangun Dari Katil Pun Susah..
Dari segi fizikal pula, si isteri yang mengalami alahan yang teruk tidak akan cukup nutrisi dan zat di dalam badan. Ini kerana isteri tidak berhenti muntah sehingga tidak terkira berapa kali sehari. Suamilah yang patut bantu masak atau menyediakan makanan.
Dari segi pakaian, dari segi kebersihan juga perlu dibantu. Ada kalanya nak bangun dari katil pun satu perkara yang sukar untuk dilakukan seorang diri. Inikan pula mandi. Suami yang prihatin, pasti akan mandikan isterinya.
Waktu Pemeriksaan Kehamilan, Isteri Perlu Sokongan Suami
Kehamilan tidak dapat lari dari kunjungan ke klinik kesihatan. Nampak seperti satu perkara yang mudah. Pergi klinik dan jumpa Doktor. Apa yang susahnya? Jika anda berfikiran sebegini, malanglah isteri anda.
Ini kerana proses pemeriksaan di klinik kesihatan adalah antara perkara yang paling menyusahkan dan memenatkan wanita yang sedang hamil. Dari masa pergi, daftar, menunggu, menunggu dan menunggu hinggalah akhirnya semua proses itu selesai berjam-jam selepas itu.
Itu belum campur jika ada keperluan lain seperti buat BSP yang pastinya memberi lebih tekanan kepada bakal ibu. Tanpa suami, terkontang-kantinglah isteri seorang diri menguruskan semuanya. Jika ada anak kecil pula, pastinya lebih teruk.
Proses menunggu waktu bersalin juga adalah fasa yang memenatkan. Jika tidak sakit, hati pasti akan sentiasa risau dan gundah gulana. Ada pula yang sentiasa rasa sakit tetapi badan tidak bersedia. Pada waktu ini, suamilah yang menjadi tempat mengadu dan menenangkan jiwa. Risau, takut dan ada yang kecewa kerana lebih dari tarikh yang sepatutnya sangat memberi tekanan.
Dalam Dewan Bersalin, Nyawa Isteri Bagi Dihujung Tanduk
Apabila sudah masuk di dalam dewan bersalin. Isteri akan ditinggalkan keseorangan memikir seribu persoalan di dalam kepala. Adakah semuanya akan selamat?
Bagaimanakah anak aku nanti? Pada waktu itu, sangat penting bakal ibu ditenangkan oleh suami.
Saya sendiri luka di tangan akibat digenggam dengan kuat oleh isteri. Biar dia luka, biar saya sakit. Saya tahu itu hanya secebis sahaja kesakitan yang isteri sedang alami.
Saat meneran juga antara saat yang terpenting dalam proses kelahiran. Nyawa isteri berada di hujung tanduk. Kekuatan bukan datang dari diri sendiri lagi kerana semuanya telah habis digunakan.
Kesakitan yang dialami tiada tolok bandingnya. Jika semua suami boleh merasai kesakitan itu, saya jamin tidak akan ada yang tergamak melayan isteri dengan buruk. Cuba bayangkan anda digunting dan dijahit tanpa bius. Bayangkanlah.
Selepas Bersalin, Luka Jahitan Ambil Masa Nak Sembuh
Selesai bersalin, masa pemulihan pun bermula. Jahitan akibat digunting perlu ambil masa untuk pulih. Si ibu akan sibuk menguruskan bayi. Jalannya tidak teratur. Langkahnya singkat. Perlu sentiasa berhati-hati kerana jika kesannya amat buruk jika tersilap langkah.
Jika ada anak lain pula yang perlu diuruskan, sememangnya satu tugas yang perit. Mungkin ada yang boleh buat semuanya, tetapi ramai yang benar-benar tidak mampu. Mana nak jaga diri, mana nak jaga anak lagi.
Masa Berpantanglah, Risiko Meroyan Boleh Terjadi
Faktor gangguan emosi juga sering terjadi selepas bersalin. Terlalu banyak kes depresi yang terjadi. Ada yang terlalu teruk sehingga timbul perasaan untuk mencederakan anak. Allahuakbar. Jika tiada peneman, tiada yang menenangkan, akibatnya amatlah buruk.
Begitulah serba sedikit perjalanan dari awal sehingga selepas hamil. Ini hanya sedikit gambaran kasar. Hanya yang melaluinya sahaja tahu betapa sukarnya mengandung dan melahirkan anak.
Manusia biasa pasti tidak tergamak membiarkan isteri melalui semua itu seorang diri. Manusia yang berakal akan cuba membantu sebaik mungkin untuk memudahkan segala urusannya. Perlu ingat, mereka jadi seperti ini disebabkan suami juga. Jadi, bertanggungjawablah atas perbuatan itu.
Kejamnya Lelaki Yang Menceraikan Isteri Semasa Hamil
Inilah sebabnya kenapa saya kata, lelaki yang menceraikan isterinya semasa hamil adalah lelaki yang sangat tidak bertanggungjawab. Tidak kiralah anda siapa. Anda seorang yang kejam.
Tidak kira perpisahan itu atas sebab apa. Sebagai seorang suami yang bersama-sama semasa proses bermulanya kehamilan, ianya perlu diteruskan sehingga selesai kesemua proses itu. Bukan ditinggalkan begitu sahaja.
Semoga kita dijauhkan dari keadaan seperti ini. Hargailah isteri anda. Tiada siapa yang boleh melahirkan zuriat sendiri selain isteri. Jadilah manusia yang bertanggungjawab.
Kongsikan penulisan ini buat pedoman semua. Ini bukan soal menyibuk hal rumah tangga orang lain. Ini soal memberi kesedaran. Jika tiada siapa yang beritahu, tidak semua akan faham apa yang isteri lalui.
MW : Jangan ingat wanita hamil ini semua kuat, mungkin hatinya kata kuat. Tapi siapa tahu apa yang ‘baby’ dalam perut itu sedang alami. Fikirlah sedalamnya sebelum buat keputusan mahu cerai isteri semasa hamil.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.
Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bukan Sekadar Satu Amalan Budaya, Ini Penjelasan Hukum Berkhatan Bagi Bayi Perempuan
Menjadi kelaziman dan amalan kebiasaan bayi perempuan yang baru lahir akan dikhatankan. Namun demikian, baru-baru ini timbulnya kritikan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung isu berkhatan bayi perempuan di Malaysia sebagai satu amalan budaya.
Menjawab segala persoalan, berkhatan buat bayi perempuan bukanlah sekadar satu amalan budaya, ini penjelasan hukum amalan ini yang dipetik daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai panduan;
AL-KAFI #419 : HUKUM BERKHATAN BAGI KAUM WANITA
Perbuatan berkhatan bagi wanita sudah menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat termasuk masyarakat Arab sejak dahulu kala. Pada zaman Rasulullah SAW, amalan ini berlaku dan Rasulullah SAW mengiktirafnya di samping meletakkan beberapa kaedah. Allah berfirman di dalam al-Quran:
ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.
Surah al-Nahl, (16:123)
Telah sabit daripada hadis bahawa Nabi Ibrahim melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Daripada Abu Hurairah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ
Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 3356) dan Imam Muslim (no. 2370) dalam al-Sahihain.
Sabitnya pensyariatan khatan ini juga dikuatkan dengan hadis daripada Humaid bin Bilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ
Maksudnya: Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.
Hadis riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih (no. 349).
Hadis ini menunjukkan bahawa wanita juga berkhatan, dan bukan sahaja lelaki. Dalam mazhab al-Syafie, hukum berkhatan bagi wanita adalah WAJIB mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).
Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ianya sunat.
Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi
Cara Yang Betul & Tidak Menyebabkan Kecacatan
Timbul isu dalam kalangan masyarakat bahawa khatan wanita mencacatkan anggota dan tafsiran bahawa khatan wanita itu tidak disyariatkan di dalam Islam. Sebenarnya kami berpendapat isu ini berpunca daripada pengamalan budaya yang bukan Islam dan kejahilan sebahagian orang yang mengendalikan khatan yang melampau sehingga mencacatkan fungsi kemaluan wanita.
Berkata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan / pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”[1]
Berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Berkhatan itu disyariatkan, dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting adalah hendaklah ianya disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” [2]
Tarjih dan Kaifiat Berkhatan
Kami mentarjihkan pendapat bahawa wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan. Adapun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:
- Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).
- Bagi perempuan, bahagian kulit diatas saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan.
Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation yang mana sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris. Bahkan perbuatan seperti itu diharamkan dalam Islam.
Ini berdalilkan hadis daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah bahawa perlaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum perempuan di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepada beliau:
لَا تَنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ
Maksudnya: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.”
Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan (no. 5271). Beliau mendaifkannya. Ini dipersetujui oleh Syeikh Syuaib al-Arnaut, tetapi disahihkan oleh Syeikh al-Albani.
Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/301-302) oleh Imam al-Nawawi.
Begitulah cara mengkhatan lelaki dan wanita yang betul. Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.
Wallahua’lam.
Nota hujung:
[1] http://www.qaradawi.net/new/Articles-4379
[2] http://www.umatia.org/ftawa12.html
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Ayah Jangan Biarkan Anak Dewasa Sebelum Waktunya, Hati-Hati Dengan Sindrom ‘Hurried-Child’
Kebanyakkan anak-anak menjadi dewasa sebelum waktunya juga berpunca daripada peranan mak ayah itu sendiri.Antaranya yang selalu kita lihat trend anak-anak sering digayakan oleh mak ayah dengan fesyen orang dewasa yang langsung tidak sesuai dengan peringkat usia mereka.Perkara ini sebenarnya dikaitkan dengan Sindrom ‘Hurried-Child’.Oleh itu sebagai mak ayah kena lebih berhati-hati dan jangan terpengaruh dengan sindrom ini.
Berikut merupakan penjelasan mengenai sindrom ‘Hurried-Child’oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar,Co-founder and Principal Consultant,Parent Connect Consultancy sebagai rujukan.
DEWASA SEBELUM WAKTUNYA
Sindrom ‘Hurried-child’ yang dikenalpasti oleh Dr. David Elkind yang pernah saya kongsikan tahun lalu bukan hanya melibatkan tekanan akademik yang terlalu awal di luar kemampuan perkembangan semulajadi anak-anak kecil, sindrom ini juga merebak ke dalam pelbagai aspek kehidupan seorang kanak-kanak masa kini.
Jika kita mengikuti perkembangan semasa tentang kanak-kanak di seluruh dunia, salah satu isu besar yang mendapat kecaman pelbagai pihak adalah ‘trend’ memaksa kanak-kanak untuk berbusana seperti orang dewasa.
Trend ini lebih ketara bagi kanak-kanak perempuan yang sering dieksploitasikan untuk berpakaian seksi dan kasut bertumit tinggi yang tidak sesuai usia. Dengan adanya rangkaian pakaian kanak-kanak yang didewasakan, kanak-kanak dipaksa untuk menggayakan fesyen pakaian dan dandanan seperti orang dewasa.
Walau apa saja yang dipakai oleh kanak-kanak, mereka tetap comel dan penyejuk mata. Walau bagaimanapun trend yang sebegini menyebabkan berlakunya dua kemungkinan:
2 Kemungkinan
1) Dengan berfesyen yang sedemikian, secara tidak langsung mereka juga diharapkan agar berkelakuan seperti orang dewasa. Harus diingat kanak-kanak bukan ‘mini adults’. Perkembangan fizikal, sosial, emosi, intelektual dan spiritual mereka belum capai ke tahap orang dewasa. Mereka seumpama ‘work in progress’ yang masih perlu dipupuk dan dibaja.
2) Dengan berfesyen yang sedemikian, didapati ada kanak-kanak yang memaksa diri mereka sendiri untuk berkelakuan seperti orang dewasa. Mereka bertutur menggunakan perkataan orang dewasa yang ada kalanya tidak manis disebut, mereka menonton rancangan tv dan mendengar lagu-lagu yang tidak sesuai untuk kanak-kanak. Mereka cenderung untuk meniru orang dewasa kerana ia bersesuaian dengan imej yang dipaksakan ke atas mereka.
Jika ini berlaku, rugilah kanak-kanak yang ‘hurried’ atau digesa-gesakan ini kerana mereka terlepas zaman riang kanak-kanak yang tidak mungkin akan berulang kembali. Apabila mereka dewasa nanti, zaman inilah yang akan dikenang dengan ungkapan “Seronoknya menjadi kanak-kanak”. Jika mereka dipaksa melalui zaman kanak-kanak mereka dengan menjadi orang dewasa, kenangan ‘good old days’ itu tidak ada.
Trend ini bukan hanya melibatkan kanak-kanak yang dipaksa berpakaian seksi, berdandan dan mengenakan mekap yang tidak sesuai usia, ada juga yang ‘dipaksa’ berfesyen menutup ‘aurat’ sebelum tiba usia kerana comel.
Baby tidak perlu bertudung. Trend anak perempuan dipaksa berpakaian sedondon ibu dengan fesyen fishtail, peplum, jubah beropol dan sebagainya kerana ia menghasilkan imej yang layak-Insta (Insta worthy) juga adalah sebahagian dari sindrom ‘Hurried Child’ ini.
Kanak-kanak menjadi tua sebelum waktunya kerana memenuhi impian ibubapa yang terpedaya dengan tipu daya peniaga dan pengiklan yang suka mengambil kesempatan ke atas kealpaan kita yang tidak memahami perkembangan kanak-kanak.
Berpada-pada dan berhati-hatilah.
Pesanan: Harap pembaca membaca setiap ayat yang saya tulis supaya tiada salah faham sebelum komen. Terima kasih
Oh ya, ramai ‘followers’ yang menghantar mesej kepada saya bertanya tentang buku-buku yang saya baca. Bagi yang berminat dengan topik ini , boleh baca buku ‘The Hurried Child: Growing Up Too Fast Too Soon’ oleh David Elkind.
Nanti saya sarankan buku-buku lain lagi insya Allah.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Kredit Foto: Brunette Diaries dan koleksi sendiri.
Sumber: Parent Connect
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI