Seronoknya bila anak dapat teruskan pembelajaran di sekolah berasrama. Tapi bila tiba masanya, berat hati mak ayah nak lepaskan anak ke asrama. Kadang-kadang terfikir bolehkah anak buat sendiri bila tinggal di asrama.
Setiap mak ayah pastikan lalui ‘perpisahan sementara’ bila anak ditawarkan belajar di sekolah berasrama. Nak tak nak kena lepaskan untuk mereka mendapat ilmu pelajaran sebaiknya.
Namun, apa yang menyedihkan di awal-awal anak ke asrama tentu macam-macam emosi terutamanya bila anak itu adalah anak pertama yang tak pernah berpisah dan tak kurang juga anak yang banyak membantu mak ayah di rumah.
Semua ini berbalik kepada tentang rindu dan homesick untuk anak-anak. Bila keadaan macam ini, mak-mak tak sampai hati. Tapi kena kental demi anak untuk mengejar ilmu.
Bagi anak yang homesick, apa yang patut mak ayah lakukan. Inilah yaang boleh dijadikan panduan hasil perkongsian daripada Bonda Nor.
Mak ayah yang hantar anak-anak ke asrama, terutama yang pertama kali berpisah, kena alert dengan situasi dan emosinya. Okey atau tidak. Stabil atau tidak.
Semalam, saya dan suami berkejar ke asrama anak keempat kami. Berdebar sepanjang perjalanan. Terngiang-ngiang suaranya di telefon yang abahnya buat loud speaker.
Dengar suaranya yang sebak itu, serasa mahu terbang segera mendapatkannya. Memeluknya. Menenangkannya.
Dia anak yang bijak. Yang naik ke pentas terima hadiah kecemerlangan. Dia anak yang kuat semangat. Yang masih boleh selamba ketawa walaupun kena ‘bahan’ kawkaw dengan abang kakaknya.
Tapi saya tahu, adakala dia juga gagal kawal emosinya. Mengamuk juga!
Jadi kali ini, apa? Dia mengamuk ke? Bergaduh dengan kawan ke? Allah. Hati berdegup kencang!
Peraturan asrama, tidak boleh lawat anak-anak hingga cuti raya. Tapi ini kes special. Kami sudah pun minta izin ustaznya untuk bertemu dia. Terpaksa!
Ads
Sampai saja ke asrama, dia sudah menunggu. Dalam hujan itu, dia masuk ke dalam kereta. Mendung ketara pada wajahnya. Jelas tampak ada beban rasa yang sedang ditanggung.
“Baim okey ke?” Sepatah soalan saya tak berjawab. Dia diam, tunduk memendam. Saya ambil songkoknya dan letak atas dashboard. Saya usap rambutnya. Kemudian, saya rangkul tubuhnya, cuba menyalurkan sokongan dan kasih seorang ibu. Hujan lebat di luar menambah lagi suasana syahdu. Aduhai.
“Baim tak boleh sekolah kat sini. Baim tak suka asrama. Baim nak tukar sekolah!”
Akhirnya terluah juga apa yang dia pendam. Tegas dan nekad benar bunyinya. Tukar sekolah? Allah. Baru 5 hari!
“Kenapa nak pindah? Ada orang buli?” soal abahnya. Dia geleng.
“Tengok muka mama. Cakap yang betul, jangan tipu-tipu. Baim ada masalah apa? Mama nak tolong Baim… ,” pujuk saya.
Dia mula angkat muka, melihat saya. Air mata mula bergenang.
“Baim rindu mama. Baim nak duduk kat rumah,” luahnya. Mula teresak. Saya peluknya lebih erat. Sekali lagi rambutnya saya usap perlahan. Kemudian tangan kanan saya berhenti seketika di ubun-ubun kepalanya, menghadiahkan Al-Fatihah buatnya sambil berdoa di dalam hati agar Allah tenangkan hati anak ini.
Saya dan suami mula perlahan-lahan mengorek cerita sebenar, mengapa dia tidak betah berada di asrama itu.
Tentang guru? Bukan.
Tentang kawan? Bukan.
Tentang buli? Bukan.
Rupa-rupanya tentang rindu. Homesick!
Ads
Subhanallah. Padahal dia bukan anak yang manja, yang selalu nak berkepit saja dengan saya. Bukan juga anak yang selalu perlu saya uruskan keperluannya.
Seawal darjah satu, sudah mula basuh dan gosok baju sendiri. Dia suka memasak. Saya ralit menulis dalam bilik, dia datang hantarkan nasi goreng. Tekun dia berada di dapur menunggu satu persatu arahan saya untuk belajar masak spageti.
Ya, saya boleh kata, dia seorang anak yang berdikari!
“Baim nak sekolah biasa je. Yang boleh balik hari-hari!” luah dia lagi.
Nah, itu masalahnya, homesick! Rindu suasana di rumah. Tak ‘boleh masuk’ dengan rutin dan suasana tempat baharu.
Perbetulkan Fahaman Anak Tentang ‘Perpisahan Sementara’
Sebagai ibu bapa, apa perlu kita buat apabila berdepan dengan situasi seperti ini?
1. Biarkan dulu anak luah apa yang dia rasa sepuasnya. Benarkan saja segala apa yang dia kata. Dia rindu, dia benci, dia tak suka, whatever luahan hatinya, kita setuju saja. Dah memang itu yang dia rasa, tak perlulah kita nafikan apa-apa, jangan sampai dia rasa kita tak faham dia.
“Betullah, sama! Mama pun dulu masa mula-mula duduk asrama pun rasa macam tu. Ya Allah, tak sukanya. Dahlah kena bangun awal pagi. Nak solat pun kena pergi surau.”
2. Tunjukkan yang kita berada di pihaknya. Kalau dia kata dia rindu kita, bagitau dia yang kita juga rindu pada dia.
“Mama asyik tanya abah, Baim ada call tak? Teringat sangat kat Baim. Nak telefon tak boleh, nak melawat tak boleh. Allah… rindunya kat anak mama.”
Tunjukkan yang kita berada di pihaknya. Kalau dia kata, ada budak yang dia tak suka, kita beritahu dia yang kita akan bela dia jika berlaku apa-apa. Buat dia rasa selamat.
3. Kemudian, pelan-pelan, mula betulkan pemahaman dia.
Beritahu dia tentang sebab dan akibat. Tentang rasional sesuatu peraturan. Kenapa perlu bangun awal pagi. Kenapa perlu solat di surau. Kenapa begitu. Kenapa begini.
Ads
4. Beritahu dia tentang PROSES. Ya, hidup ini is all about proses. Mula-mula baby, lepas tu kena pergi tadika, sekolah rendah.
“Sekarang Baim dah makin besar. Dah nak jadi orang dewasa macam abah. Lepas sekolah menengah ni, nanti masuk universiti, kerja, kahwin, ada anak. Semua orang lalui benda yang sama.”
5. Beritahu dia tentang hakikat UJIAN. Hidup ni memang Allah akan uji kita. Bukan semua perkara kita suka, tapi kita tetap kena buat juga. Memang kadang kita akan marah, kita sedih, kita menangis.
“Apa Baim rasa ni normal. Mama pun pernah rasa. Abah pun pernah rasa. Jadi, betul dah apa Baim rasa ni. Kena sabar sikit ya. Insya-Allah lepas ni akan okey. Lepas tu, mungkin akan ada masalah lagi, lepas tu akan okey balik. Selang seli suka dengan duka. Kita takkan bahagia sentiasa sebab yang bahagia sentiasa tu ada kat syurga je.”
5. Tegas berhikmah. Kita tak akan ikut keinginan dia untuk tukar sekolah sebab kita tahu apa yang dia fikir itu tidak sepatutnya. Namun tawarkan diri untuk bantu ringankan beban perasaan dia.
“Baru 5 hari Baim kat sini. Mama abah baru habis duit beribu bayar yuran, beli baju, beli buku. Kalau Baim nak tukar sekolah sekarang memang tak boleh. Tapi cuba Baim cadangkan… apa mama boleh tolong Baim supaya Baim tak stres macam ni? Mama hantar makanan selalu, nak tak? Nanti Baim ambil kat pondok guard. Atau mama bagi duit syiling banyak sikit supaya Baim boleh selalu call rumah ya?”
Ya, whatever! Tunjukkan empati kita untuk ringankan beban emosi dia. Itu yang dia perlu sebenarnya. Perhatian kita, empati kita, pengertian kita.
Jangan Lupa Tanya Khabar
Alhamdulillah, pertemuan semalam yang bermula dengan tangisan, akhirnya berakhir dengan senyuman dan senda gurau yang membahagiakan. Leganya saya dan suami melihat anak yang murung itu lebih ceria sewaktu kami tinggalkan.
Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah berkenaan bahana perpisahan.
Satu hal yang pasti tentang perpisahan ialah KITA TIDAK MAHU DILUPAKAN. Jadi, bagi ibu bapa yang menghantar anak-anak ke asrama, pastikan kita tidak lupa bertanya khabarnya, bagitau dia yang kita rindu dia, rumah jadi sunyi dia tak ada.
Ya, setidak-tidaknya dia patut lega kerana asrama buatnya bebas daripada jeritan mama yang selalu ingatkan dia suruh solat, kemas rumah, dan buang sampah!
Mingguan Wanita : Emosi mak-mak pun tak ada kurangnya. Mulalah terasa sunyi kat rumah, walaupun ada lagi anak-anak lain peneman. Mula fikir anak buat apa, makan apa kat asrama. Begitulah mak-mak.
Makan satu dulang ini sunnah yang diajarkan rasulullah SAW. Masih adakah keluarga yang praktikkan. Cara didikan menerusi gaya makan rasulullah ini dapat mewujudkan ‘bonding’ yang kuat antara adik beradik.
Inilah yang dipraktikkan oleh bapa anak 4 semasa menikmati hidangan bersama ahli keluarganya. Sebenarnya mereka makan berenam termasuklah isteri. Nak tahu apa rahsia ‘bonding’ di sebalik makan satu talam ini, baca perkongsian Ahmad Affzan Bin Abdullah.
Amalan Makan Dalam Dulang Bermula Di United Kingdom
Anak aku taklah ramai sangat, 4 orang saja. Tapi macam mana pun makan dalam dulang ini hampir pasti dibuat setiap kali makan.
Jarang-jarang aku makan asing, melainkan bila ada yang sakit, tak nak menyebarkan kuman. Kalau tidak, beginilah kami makan hari-hari.
“Aku mulakan amalan makan dalam dulang ini sejak di UK lagi. Ketika itu kami baru bertiga. Sekarang dah berenam, alhamdulillah masih boleh sendal lagi. Muat juga makan ramai-ramai.”
Kau pernah baca saranan seorang artis yang kata suami isteri kalau gaduh pun jangan tidur asing-asing?
Samalah juga macam makan dalam dulang.
“Ia merapatkan hubungan yang kadang-kadang ada terusik perasaan atau terkedu.
“Anak-anak kadang-kadang tengah merajuk. Namun bila panggil makan, hilang merajuknya sebab perut pun dah lapar. Mau tak mau, kena makan sama-sama juga. Akhirnya senyum pun terukir.”
Makan dalam dulang juga menggalakkan sikap bertolak ansur dan berlebih kurang. Kau tau bahagian nasi depan mata kau. Sama ada kau nak tolak pada orang keliling atau kau nak kaut lebih banyak.
Ini kau belajar waktu makan. Kalau nampak orang sebelah macam lapar lebih, kau tolaklah nasi sikit pada dia. Kalau ada yang susah nak habis, kau tolong habiskan.
Perkara mudah tapi banyak yang kau boleh guna dalam interaksi sesama manusia.
Tak Adalah Mata Ke TV
Bila makan ramai-ramai, macam-macam benda kau boleh bincang bersama. Waktu inilah kau boleh selitkan pelajaran dalam hidup pada anak-anak. Bagaimana menghargai rezeki, hidup muafakat dan lain-lain.
Tak adalah mata masing-masing ke TV waktu makan, atau buat hal sendiri. Kau nak tegur pun susah.
“Inilah juga waktu “bonding” antara kau dengan anak-anak dan isteri. Anak-anak akan bercerita tentang aktiviti seharian mereka. Isteri pun ada gossip terkini. Kau pula buat lawak sikit-sikit lalu masing-masing tergelak.”
Sedar tak sedar, habis satu dulang kau kerjakan. Perut kenyang, hati pun gembira.
Selain dari jimat lauk, pinggan pun tak payah basuh banyak-banyak. Sekali makan, basuh dulang itu sajalah. Ini kalau masing-masing makan tak sama timing, letih nak mengemas.
Yang Kata Tak Hygenic Tu Fahamkan Ini
“Ada juga orang kata kotorlah, tak hygienic. Yalah, kalau kau tak basuh tangan, kotorlah jadinya. Kau kena pastikanlah semua jaga kebersihan, potong kuku, gosok gigi. Yang sakit, kita bagi makan asing. Insya-Allah selamat semua tak sakit perut.”
Aku cadangkan kalau ada masa, bolehlah cuba makan sama-sama dalam dulang. Banyak kebaikannya untuk kehidupan kau sekeluarga.
Selagi badan masing-masing masih muat nak duduk keliling tu, Insya-Allah aku akan teruskan amalan begini.
Mudah-mudahan dari aktiviti makan pun Tuhan turunkan rahmat dan ketenangan pada keluarga kita.
Sumber/Foto : Facebook Ahmad Affzan Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Alhamdulillah… Doa di bulan puasa mustajab akhirnya semalam bayi kena culik dah dijumpai tapi sampai lembik bayi 17 bulan ini diikat. Cuba bayangkan anak sekecil ni, kena ikat, lapar susu lepas tu nyamuk, semut dan spesies kerengga banyak di pokok.. Allahuakbar!
Namun semalam pihak keluarga mengesahkan bayi perempuan berusia 17 bulan, Nur Aisyah Hasmizan yang dibawa lari oleh individu tidak dikenali dari rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, Muar berjaya diselamatkan oleh pihak polis dan kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Lelaki terbabit ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dan Polis Daerah Muar di sebuah rumah kongsi di Kampung Bukit Treh kira-kira jam 9 pagi tadi bersama-sama dengan sebuah telefon bimbit yang turut dilarikan dalam kes berkenaan.
Hasil penahanan suspek dan soal siasat yang dilakukan kemudiannya membawa kepada penemuan bayi perempuan berkenaan di satu kawasan belukar kira-kira satu kilometer dari rumah keluarga mangsa kira-kira jam 3.45 petang.
Pihak polis juga masih melakukan siasatan menyeluruh terhadap kes terbabit. Kes disiasat mengikut Sekyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Sekyen 457 kanun yang sama kerana pecah masuk kediaman.
Luahan Dari Pihak Ibu Mangsa
Dalam keadaan sedih, ibu mangsa, Diela Yusofe menghargai orang ramai yang mendoakan anaknya dan atas usaha PDRM cekap mengambil tindakan sampai anaknya dijumpai semula semalam…
Assalamualaikum
Kepada semua warga malaysia terima kasih atas doa kalian. Terima kasih sangat-sangat untuk skuad #PDRM dari semua unit dia atas segala tindakan anda. Alhamdullilah aisya selamat walaupun muka beliau teruk.
Tak pe kita boleh rawat ya sayang. Nanti aisya comel semula, saya tak sempat balas kesemua komen dari anda, PM dari anda kerana terlalu banyak.
Terima kasih pada semua yang membantu. Buat kesemua customer saya hp saya masih tidak ditemui dan segala detail anda saya tiada. Tapi kesemua barang saya memang dah pos..kepada customer biskut saya insyaah saya usahakan sebelum raya untuk hantar. Harap faham keadaan saya sekeluarga di duga sebegini.
Kepada semua mohon terus berdoa untuk aisya kembali sihat, beliau masih dalam trauma.
Kalau ikutkan memang rasa geram bila tengok keadaan anak kecil itu yang dah digigit serangga, kasihan yang amat! Namun apa pun, syukur Alhamdulillah sebab bayi kecil itu dah dijumpai. Moga anak kecil itu cepat-cepat sihat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau ditanya siapa yang tidak mahu menjadi kaya. Tentu saja jawapannya semua orang mahu menjadi kaya. Cuma rasa kaya yang bagaimana yang diri inginkan?
Adakah dengan melihat kehidupan orang lain yang lebih baik di media sosial, lalu kita pun menginginkannya. Atau bila melihat suami orang lain lebih romantik, maka mula memaksa suami pun jadi sebegitu.
Bak perkongsian Siti Suryani Yaakop ini, jika begitulah keinginan hati. Maka, penatlah kita nanti.
Lama Tak Buka Facebook, Orang Tunjuk Macam-macam
Semalam kawan saya bagitahu. Lama dia tak tengok FB. Sebab dia boleh jadi stress. Orang tunjuk macam-macam. Tapi suami dia sedang ada masalah dalam kerja. Jadi untuk bagi tenang, dia tak tengok. Takut boleh jadi teringin nak juga.
Betul lah tu.
Saya ingat. Ada satu masa tu, ada seseorang ajak saya join dia bisnes. Dia kata saya nampak macam memerlukan.
Saya cuba buat tak tahu. Tapi entah. Malam tu, tak boleh brain dah. Asyik terfikir apa maksud dia. Akhirnya saya tanya juga pada suami.
Suami saya gelak je. Entah macamana dia boleh rasa benda tu lucu saya pun tak tahu. Bila saya tanya, dia cuma jawab,
“Hanya sebab orang kata awak nampak memerlukan, tiba-tiba pulak awak rasa memerlukan. Sedangkan selama ni awak tak pernah kata apa pun. Rasa okay. Rasa cukup. Maknanya kalau begitulah, awak masih hidup bergantung pada pandangan makhluk. Penat tu“.
Betul. Pun betul.
Saya pakai kereta Malaysia.
Beg pun main sauk apa yang ada.
Kasut pun jenis pakai yang sama saja.
Barang kemas pun tak bergayut mana.
Baju pun takdak jenama apa.
Biasa je semua.
Mungkin hidup kita yang biasa ni nampak miskin di mata orang. Tak pun kita rasa kita miskin di mata orang. Padahalnya kita okay je. Tapi sebab orang kata. Dan sebab kita tengok. Boleh saja perasaan ‘kaya’ tu hilang habis ke mana-mana.
Lalu Rasa Kaya Itu Macamana
Perasaan kaya tu apa?
Rasa kaya tu rasa cukup.
Cukup.
Selama ni cukup. Walau tak banyak tapi takda apa yang kurang. Nak buat apa pun semua senang. Boleh lagi bantu orang. Nak memberi ni bukan nak kena tunggu harta bergunung ganang. Yang takda cumalah sebanyak-banyak dan semewah-mewah barang.
Tapi begitulah.
Mudahnya mata, telinga, rasa, nafsu dan ingin kita berubah dek mata, telinga, rasa, nafsu dan ingin orang lain. Kita okay je selama ni. Takda masalah apa. Tapi sikit je orang kata, habis hilang rasa syukur dan redha. Dan betapa mudah juga mata, telinga, rasa, nafsu dan ingin kita berubah dek tengok orang lain.
Suami kita baik. Dia okay. Walau bukan jenis reti buat kerja rumah tapi bila minta tolong, dia tolong. Dia takda la bagi duit nafkah sampai beribu tapi kita tak pernah lagi makan sampai bercatu. Memang dia tak bagi emas berkati tapi dia juga tak pernah sakitkan kita punya hati.
Anak kita baik. Dia okay. Walau dia bukan top student tapi dia takda masalah di sekolah. Walau dia bukan budak paling cemerlang tapi semangat nak belajar tak pernah hilang. Walau kadang dia buat kita marah tapi ada masa dia bantu urusan kita jadi mudah.
Kawan kita baik. Dia okay. Biasa la kalau dia bergurau kasar, terkutuk, terkata. Kita pun faham dia. Tak kisah mana. Dia pun ada baiknya juga. Dah kita pun bukan lah sesuci mana. Kita anggap benda macam tu biasa.
Kita faham. Dunia ini ujian. Ada benda kita dapat. Ada benda kita cuma boleh lihat. Dan kita aman sampailah kita dengar apa orang kata. Kita baca apa orang tulis. Kita takut apa orang fikir. Kita malu apa orang tengok. Padahal takda apa yang salah pun dengan hidup kita. Dan kita pun tak buat salah juga.
Akhirnya begitu saya belajar. Boleh lihat dengan mata. Boleh dengar dengan telinga. Boleh baca di mana-mana. Tapi bukan kena ikut semua.
Kita tak boleh kawal orang.
Yang boleh dikawal, kita.
Yang baru jenguk tahun 2022,
Siti Suryani Yaakop
#kaknis
Mingguan Wanita : Bila mana rasa syukur mengatasi segala, lihatlah apa pun yang terhidang depan mata. InsyaAllah, hati akan lebih berdamai dengan rezeki dan ketentuan tuhan.
Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi, rempuh Proton Saga. Seorang lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Bukit Grebar, pagi Rabu.