Buat mak ayah yang berhasrat untuk menghantar anak-anak berumur 12 tahun ke bawah tinggal di asrama, sewajarnya pertimbangkanlah sebaik-baiknya keputusan tersebut. Tak kiralah atas apa juga pendirian yang dirasakan betul.
Ini kerana anak-kanak berusia di bawah 12 tahun masih tidak sesuai untuk tinggal di asrama. Sama ada alasan untuk mengajar mereka hidup berdikari mahupun atas tujuan pendidikan. Pada usia ini anak terlalu mentah untuk menguruskan diri sendiri dan tempat paling sesuai untuk mereka adalah di rumah bersama keluarga dengan bimbingan ibu bapa sepanjang masa.
Perlu Sentuhan Kasih Sayang Mak Ayah
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata pada usia ini kanak-kanak memerlukan sentuhan kasih sayang ibu bapa bagi membolehkan proses tumbesarannya seimbang, terutama dari segi emosi dan pemakanan.
Beliau berkata, anak perlukan perhatian, bimbingan dan kasih sayang sebagai sokongan untuk membesar dengan sempurna.
Katanya, selepas mencecah usia 12 tahun ibu bapa perlu menilai semula tumbesaran fizikal dan emosi anak, mereka perlu rasional membuat keputusan sama ada membenarkan anak tinggal di asrama atau sebaliknya.
Ads
“Usia tujuh hingga 12 tahun adalah fasa usia kanak-kanak melalui proses pembesaran yang kritikal. Mereka mudah dipengaruhi rakan sebaya sekiranya ditempatkan di asrama tanpa bimbingan ibu bapa.
“Hubungan dan kasih sayang bermula dari rumah membantu mematangkan fikiran mereka.
“Berbekalkan bimbingan dari rumah, apabila keluar nanti, anak dapat menilai perkara baik dan buruk,” katanya mengulas isu kanak-kanak tujuh tahun maut akibat didera pelajar senior di sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.
Ads
Kematian Pelajar Tahfiz
Kematian pelajar tahfiz, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, baru-baru ini dipercayai akibat cemburu sehingga tercetusnya pergaduhan. Mangsa yang juga pelajar paling muda dan bersikap manja dengan pasangan suami isteri yang juga pentadbir pusat terbabit, dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pelajar lain.
Terdapat beberapa kesan lebam di bahagian badan mangsa dipercayai dipukul. Susulan itu, tiga pelajar berusia 13 tahun di pusat tahfiz terbabit termasuk abang tiri mangsa ditahan reman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan.
Rumah Sebaik-Baik Sekolah
Noor Aziah berkata, ketika ini ramai ibu bapa cenderung menghantar anak ke pusat tahfiz dengan harapan anak mendapat pendidikan agama sempurna.
Ads
Katanya, pada masa sama, mereka lupa kerana rumah adalah sebaik-baik sekolah dan ibu bapa sepatutnya bertindak sebagai guru agama dalam membentuk rohani dan jasmani anak untuk menjadi insan sempurna.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Renung-renungkanlah kembali, tujuan sebenar dan kesannya jika menghantar anak-anak seawal usia berjauhan dengan keluarga dan tinggal di asrama. Benar, sesungguhnya sebaik-baik ‘sekolah’ adalah didikan yang bermula di rumah sendiri.
Betullah tu, mak mentua yang baik pun satu rezeki untuk seorang menantu. Dan tak semua menantu dapat anugerah sebegitu. Bila sudah miliki, belajarlah untuk hargainya.
Inilah yang dilalui Puan Firda Ashaary bila mana doanya mahu mentua yang baik Allah makbulkan.
Aku baru terbaca kat wall sorang cikgu yang agak glemer tadi. Suka pulak nak tulis juga tentang topik ni.
Katanya :
“Dapat Mak Mertua yang baik juga adalah satu rezeki. Bukan semua orang dapat rasa.” Aku setuju dengan cikgu ni. Bukan semua orang dapat rasa nikmat rezeki yang satu ni.
Dulu aku selalu berdoa semoga Allah temukanlah aku dengan seorang lagi mak yang aku boleh bercerita, berkongsi rasa, menumpang kasih dan sayang anak-anak aku macam darah daging sendiri.
Yang aku tak kekok bila berdua dengan dia.
Awal perkenalan aku dengan Encik Suami, aku dah tanya dia. Mak dia agaknya boleh ke terima aku? Aku tau dia anak kesayangan. Sebab tu aku tanya.
Kalau rasa Mak dia tak boleh terima, we better stop earlier aku kata.
Aku pesan suruh bagitau aku awal-awal. Aku terima dengan hati terbuka. Kononnya. Walau kompom menangis 7 hari 7 malam. Dah la aku dah mula sayang dia tapi mana boleh tunjuk sedih depan dia.
Dulu aku memang seorang yang ego. Aku tak suka orang nampak aku sedih. Aku tak suka orang dapat baca hati aku. Selagi boleh sorok, aku akan sorok. Aku cover dengan senyum. Nanti time dok sorang, baru nangis.
Back to the story, aku tamak tau. Aku nak kahwin dengan anaknya tapi mak dia pun aku nak juga.
Aku takmau sorang sahaja tapi aku nak kedua-duanya. Sebab tu awal lagi aku dah tanya.
Aku dah pernah ada pengalaman mak mertua tak redho ni, kucar kacir lah hidup rumah tangga nanti. Dan aku serik dah. Aku belajar dari pengalaman lalu. Jadi aku lebih berhati-hati.
Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan impian dan doa aku. Dia kirimkan aku seorang mak mertua yang penyayang, lemah lembut dan mudah bawa berbincang. Sayang anak-anak aku macam cucu sendiri. Tiada berbelah bagi.
Like mother like son!
Syukur. Complete set aku dapat. Aku menang jackpot besar seumur hidup aku tahun tu.
Sungguh!
Bukan setakat dapat mak mertua yang baik tapi keseluruhan “keluarga besar” mak mertua aku menerima kehadiran kami dengan baik.
Senyuman di wajah anak-anak aku dah cukup buat airmata syukur aku mengalir. Bahagia yang aku cari selama ni adalah demi senyuman di wajah mereka. Rezeki anak-anak aku dapat merasa hidup dalam keluarga besar.
Hadiah terindah Allah kirimkan pada aku diakhir sebuah kisah airmata yang panjang.
Gais, Ingat ya mak mertua adalah anugerah Allah pada kita dan wajib dilayan macam mak sendiri juga.
Jangan bermusuh atau cemburu dengan dia. Kita kena ingat kita dah “pinjam boyfriend ” dia. Jadi kita kena mengalah lah sikit.
Walau dia tidak melahirkan kita tapi kalau bukan kerana dia yang bertarung nyawa melahirkan dan membesarkan jodoh kita.
Tak mungkin kita akan dapat jodoh sebaik hari ni.
Kita juga ada anak lelaki. Suatu hari nanti kita juga akan rasa bagaimana sedihnya bila “boyfriend” kita, orang pinjam terus.
Terima kasih Mak.
Sayang Fida dan anak-anak.
Sumber/Foto : Firda Ashaary – Semoga kita semua juga akan jadi seorang mak mertua yang baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bila mana anak sulung ada adik baru, dia terpaksa belajar mengalah. Belajar jadi kakak atau abang yang diharapkan mak ayah untuk menjaga adik-beradik yang lain. Termasuklah berkorban hati dan perasaan.
Ada mak ayah sedar akan emosi yang anak sulung rasakan. Namun, mak ayah pun tidak punya pilihan. Kerana, bagi mak ayah kasih sayang untuk anak-anak tetap sama rasa. Hakikatnya, perasaan kesamarataan kasih sayang itu tak semua anak dapat fahami.
Macam mana cara mak ayah perlu tunjukkan agar setiap anak, termasuk si sulung ini dapat fahami. Tip yang dikongsikan Counsellor/Psychotherapist di Pahang Skill Development Centre (PSDC), CR Mohamad Afizan Ghazali boleh dijadikan panduan.
‘Jangan pandang remeh soalan anak walaupun simple’
Anak sulong saya berumur 5 tahun. Dia ada adik 2 orang; umur 3 tahun dan 1 tahun.
Seperti biasa. Anak sulung antara anak yang banyak menyimpan perasaan terutama bab membahagi kasih sayang dengan adik-adik.
Apabila ibu ayah mula tidak sengaja menzahirkan tindakan kasih sayang melebihi pada adik-adik yang kecik.
Selalu dukung adik.. peluk adik.. kakak nangis dan dalam masa yang sama adik nangis, pujuk adik lebih. Tidur pun peluk yang kecik.
Si kakak walaupun tidak menunjukkan perasaan rasa tersisih atau diabaikan mula memendam perasaan.
Perasaan ini bahaya jika tidak diselesaikan terus. Lama kelamaan akan jadi lekatan dalam diri. Dengan kata lain, mengikut teori gestalt dikenali sebagai “unfinished business”.
Oleh yang demikian.. kadang-kadang ibu ayah kena sedar dari awal.
Tanda-tanda anak mula timbul perasaan tersinggung dengan ibu ayah.. rasa ibu ayah mengasihi adik melebihi dia.
Kemudian.. kakak tadi akan selalu mengamuk.. menangis yang melampau walaupun isu tak seberapa. Merajuk atau “tantrum”.. itu biasa luahan perasaan anak-anak lakukan pada ibu dan ayah.
Jarang anak-anak luahkan melalui pertanyaan atau kata-kata.
Kebetulan anak saya dia suka luahkan melalui kata-kata.
Semalam dia tanya,
“Baba.. kenapa baba sayang adik.. kakak baba tak sayang..”
Soalan ini nampak biasa. Tapi bahaya jika salah memberi jawapan.
Biasa ibu ayah akan jawab soalan ini macam ni, “sebab kakak kan dah besar.. adik kecik lagi”
Jika jawab macam ni, anak akan rasa.. “kenapa aku besar dah” “Orang besar tak boleh disayangi lagi ke?” “Kenapa ada adik yang kecik rampas kasih sayang aku.” Sebab tu anak-anak yang ada adik akan meluahkan melalui tindakan yang kita tak senangi seperti di atas. Tantrum. Merajuk.. menangis melampau-lampau.
Sebenarnya kita yang menyebabkan anak-anak kita rasa tak puas hati dengan jawapan kita.
Dia dah la rasa kurang disayangi. Kita jawab menyalahkan keadaan pula iaitu Sebab dia dah besar.. lagi la dia reject jawapan kita walaupun kita nampak dia accept.
So ibu ayah. Macam mana cara nak bagi jawapan supaya anak kita rasa dia juga disayangi seperti adik-adik dia.
Ada banyak cara. Salah satu. Kita ungkit apa yang telah kita lakukan pada dia sebelum ini.
Contoh; “Eh tak.. baba bukan sayang adik sorang. Baba juga sayang ke kakak. Sebab tu baba beli ice cream ke kakak semalam. Baba peluk kakak nak tidur malam tadi.” Dan banyak lagi kita boleh kait.
Kaitan ini akan menyebabkan anak anda terbayang di mindanya dan memberi respon senyum sampai ke telinga.
Atau jika anda tak pernah buat perkara di atas.
Anda boleh buat macam ni,
“Kakak.. sambil-sambil pergi dekat dengan dia.. peluk dia.. cium dia kat pipi. Dahi.. kepala.. gosok-gosok belakang dia. Terus ucap ke dia, “kakak.. baba sayang kakak.. anak baba baik.. cerdik.. Pandai.. sebab tu baba sayang kakak.”
Anda akan hilangkan “unfinished business” dalam diri dia dan dia akan hidup dengan penuh kefungsian sebagai manusia yang dihargai.
Kakak.. Baba sayang kakak.
Anak Sulung Banyak Berkorban.
TAHNIAH anak sulung.
MW : Itu orang kata, anak sulung ini matang.. sebab sarat tanggungjawab.
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Tapi saya paling sedih bila suami sendiri menuduh saya mandul!
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah, bermakna saya tak mandul. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki pada saya.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, mandul. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir?
Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah kerana memikirkan mungkin suami ingin rasa seperti memiliki anak sendiri. Tapi saya dapat ‘mengesan’ sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua.
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab oleh Z.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya.
Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri. Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Onak duri, ombak badai mainan harian. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Puan yang dirahmati Allah. Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangannya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Saya kurang pasti adakah puan dan suami mahu mengambil anak angkat. Dalam keadaan suami telah ada wanita lain untuk dikahwini, mungkinkah puan tidak berhasrat ke arah itu? Tahukah puan ramai dalam kalangan pasangan yang tidak dikurniakan zuriat mengambil anak angkat sebagai penghubung kasih antara suami isteri.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan Tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, sentiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solatlah malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat, solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selepas lebih dua minggu menghilang bersama anak mereka, Khairul Azhar Ahmad dan Siti Zulaikha Ahmad Sabri akhirnya menyerah diri kepada polis sebelum direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan urusan duit kutu.