Indahnya percintaan yang diakhiri dengan perkahwinan kerana pasangan idaman telah menjadi pelengkap kehidupan dengan ikatan yang sah. Macam sekarang ini, ramai yang berkahwin kerana suka sama suka dan bukannya paksa rela.

Tetapi, persoalannya adakah dengan adanya cinta, maka barulah lengkap sebuah perkahwinan? Adakah sebuah perkahwinan itu tidak bahagia apabila tiada rasa cinta di hati? Inilah yang dikongsikan oleh Nor Hanita Mohd Shariff, Pengasas TWINsTALK Training & Counselling Services, Merangkap Ketua Perunding Psikologi & Kaunseling TWINsTALK Studio tentang hal ini.

Dari mana pula datangnya cinta? Cinta itu pada mulanya datang dari satu perasaan yang positif iaitu suka kemudian timbul perasaan kasih sayang yang mendalam diikuti dengan perasaan rindu dan sebagainya lalu perasaan positif tersebut disimpulkansebagai cinta.

Perkahwinan sebenarnya….

Satu ikatan antara seorang lelaki yang bergelar suami dengan seorang wanita yang bergelar isteri di mana ikatan yang sah tersebut menyempurnakan kehidupan manusia. Secara fitrahnya, lelaki memerlukan kasih sayang wanita, begitu juga wanita, sangat memerlukan kasih sayang seorang lelaki.

Apabila perkahwinan menjadi sangat indah, aura yang terpancar ialah energi kebahagiaan yang mendorong suami dan isteri menjadi insan yang sihat dan hebat untuk menjalani kehidupan yang sangat mencabar. Walaupun perlu meredah pelbagai onak dan duri, apabila aura kebahagiaan itu sangat kuat, maka segala dugaan dapat diatasi atau diuruskan dengan baik kerana tenaga positif yang wujud, memberi kekuatan kepada pasangan untuk berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran yang dihadapi.

Cabaran Rumah Tangga

Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari segala bentuk ujian kehidupan. Terdapat pelbagai bentuk ujian perkahwinan yang ditempuh iaitu seperti isteri sukar hamil, suami mati pucuk, keluarga mertua mengongkong kehidupan, kewangan, masalah di tempat kerja yang terbawa-bawa ke rumah, kesihatan terganggu, gangguan pihak ketiga, panas baran, isteri tidak gemar memasak, suami tidak memberi nafkah dan lain-lain lagi.

Faktor-faktor ini, jika tidak diuruskan dengan baik, maka ia akan menjejaskan rasa cinta iaitu aura kebahagiaan yang mengundang aliran tenaga negatif dalam perhubungan suami isteri dan anak-anak.

Berikut adalah isu-isu yang sering dihubungkaitkan atau mempengaruhi ketidakharmonian rumah tangga:

a) Emosi

  • Isteri atau suami yang kecewa dengan pasangan masing-masing akan berasa tawar hati, kesal, benci, geram, dendam atau merana sehingga boleh mencetus masalah tekanan yang melampau lantas mempengaruhi tahap kesihatan seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung, penurunan atau pertambahan berat badan yang drastik, kanser dan migrain yang serius.

b) Kepercayaan

  • Apabila berlakunya pergolakan dalam rumah tangga terutamanya yang melibatkan isu pihak ketiga (suami atau isteri ada hubungan dengan orang lain) tonggak kepada rapuhnya masjid yang dibina ialah faktor kepercayaan kepada pasangan. Apabila kepercayaan hilang, ia boleh mengganggu hubungan intim suami isteri. Dan pastinya secara langsung akan mempengaruhi kasih sayang yang dahulunya sangat subur.

c) Maruah Diri

  • Perkahwinan yang diuji, selalunya akan menyebabkan tekanan kerana suami atau isteri berasa malu untuk berkongsi cerita dengan individu lain kerana ia melibatkan maruah diri serta keluarga. Justeru itu, pasangan yang menjadi ‘mangsa keadaan’, akan memberi kesan terhadap keceriaan diri mereka.

d) Ego

Apabila berhadapan dengan konflik atau masalah rumah tangga, yang menjadi halangan ialah faktor ‘ego’ yang ada pada diri suami atau isteri yang mula mempertahankan diri dengan memberi alasan masing-masing (helah belah diri).

e) Masa Depan Anak

  • Kebiasaannya, apabila berlaku konflik atau masalah dalam rumah tangga, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Apabila persekitaran anak-anak mempamerkan tingkah laku konflik dalam rumah tangga, ia akan menjejaskan emosi anak-anak dan berpotensi mereka berkelakuan sepertimana mereka melihat apa yang berlaku di depan mata mereka pada masa akan datang.

Urus Masalah Rumah Tangga…

a)Pengurusan Emosi

Buang perasaan yang boleh mengundang kehancuran rumah tangga. Semai dan suburlah emosi yang boleh memperbaiki hubungan. Pengurusan emosi memerlukan masa dan perlu bersungguh-sungguh bagi memperbaiki keadaan ke arah yang lebih positif. Elakkan diri dari berbincang perkara yang boleh mencetus kemarahan atau rasa tidak puas hati.

b) Komunikasi

  • Komunikasi secara bersemuka sangat penting kerana ia mampu meningkatkan semula perasaan kasih sayang dan mampu mendekatkan jarak emosi yang wujud. Sentiasa berhubung untuk semarakkan rasa cinta seperti telefon, menghantar mesej, email dan sebagainya.

c) Bina Semula Kepercayaan

  • Jangan sorok apa-apa maklumat dengan isteri atau suami. Bersikap terbuka dan berterus terang dalam apa jua keadaan kerana hakikatnya hendak membina semula kepercayaan adalah amat sukar.

d) Luangkan Masa Bersama

  • Walaupun pasangan sibuk dengan tugas-tugas seharian, tetapi cubalah luangkan dan banyakkan sentuhan seperti pelukan, ciuman, usapan kepala, mengurut dan lain-lain.

e) Wujudkan Aktiviti Bersama

  • Aktiviti bersama amat penting bagi ‘mencipta memori’. Wujudkan aktiviti yang boleh membuatkan sesebuah perkahwinan yang sudah pudar, kembali ceria dan bahagia seperti sembahyang berjemaah bersama, mengaji bersama, bersukan, menonton wayang, memasak, membeli keperluan dapur, berkebun dan melancong.

f) Keinsafan dan Kemaafan

  • Muhasabah diri. Dengan adanya keinsafan, maka akan ada pula kemaafan. Faktor ini berkait rapat dengan faktor ego. Dengan adanya kemaafan, ego diri direndahkan agar mahligai yang dibina dapat diselamatkan dan diwarnai semula dengan pelbagai memori indah.

g) Hargai Pasangan

  • Tidak ada manusia yang sempurna. Jadi, hargailah pasangan masing-masing walaupun ada kalanya kita rasa tidak selesa dengan perlakuan pasangan. Tegur menegur secara berhemah dan bimbing antara satu sama lain adalah cara terbaik dalam mengukuhkan sebuah perkahwinan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI