Pelakon kecil molek yang berstatus isteri kepada Muhammad Faliq Amirudin dan ibu kepada Fahad Ibrahim (Yem) baru selesai membintangi teater klasik Mak Yung ‘Raja Besar Maha Gading’ bersama barisan pelakon lain seperti Rosnan Rahman, Naque Ariffin, Izzue Islam dan Issey yang bertempat di Istana Budaya.

Terbaru, Nad Zainal diamanahkan untuk menghidupkan watak Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dalam filem biografi serta percintaan, ‘Hasmah Bila Deh Bertemu Det’ yang bergandingan dengan Hasnul Rahmat sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad akan bakal ditayangkan pada tahun 2020.

Di sebalik lakonannya, dia juga tidak dapat lari daripada kritikan dan komen oleh peminat-peminatnya yang melibatkan hal-hal peribadi. Sejauh manakah Nad Zainal menakis kecaman ini?

IKLAN

MW: Terlebih dahulu, boleh ceritakan bagaimana Nad terlibat dalam teater klasik Mak Yung?

Sebenarnya, saya memang minat dengan teater-teater tradisional dan sudah lama tidak melibatkan diri dalam teater. Alhamdulillah, dalam tahun ini saya berkesempatan dan diberi peluang untuk membintangi teater klasik Mak Yung.

MW: Sejauh manakah Nad yakin dengan potensi diri dalam menjiwa watak yang diberi?

IKLAN

Syukur, saya turut diberi peluang untuk membawa watak tokoh negara, Tun Dr Siti Hasmah. Malah, sebelum memulakan penggambaran saya sudah habiskan membaca buku biografinya dan pergi kelas untuk belajar.

Tidak dinafikan dengan tawaran ini, ia membantu saya untuk mengetahui sejauh mana potensi diri saya. Jadi, dalam dunia lakonan yang kita ceburi ini, jangan berhenti belajar, sentiasa mencari skil baru dan yang paling penting sebagai pelakon, kita perlu belajar, melihat dan mendengar.

MW: Memandangkan Nad sibuk dengan lakonan, siapa yang menguruskan anak?

Saya sangat bertuah dan bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga, baik keluarga sendiri mahu pun keluarga mentua. Merekalah yang membantu menguruskan anak semasa bekerja. Begitu juga dengan suami yang sangat memberi sokongan dan sudah tentu dengan kerjasama daripada keluarga dapat melancarkan kerja saya.

IKLAN

MW: Agak-agak bila hendak tambah keluarga lagi?

Sebenarnya, saya tidak merancang dan terserah pada rezeki. Jika ada, adalah… Memandangkan saya dan suami daripada keluarga yang kecil, sudah tentu kami mahukan anak yang ramai dan keluarga yang besar. Perancangannya, saya ingin mendapatkan anak perempuan pula. Apa pun, kita hanya merancang, yang penting anak itu sihat.

MW: Baiklah, boleh Nad komen tentang isu seksi semasa bercuti bersama kawan selebriti baru-baru ini?

Seperti yang semua tahu, sangat jarang update tentang personal atau gambar bercuti di media sosial, jika ada pun lebih kepada gambar-gambar kerja saya. Waima, itulah diri saya dan kawan-kawan saya, sehinggakan ada yang memberitahu saya berkawan dengan sesetengah artis yang memberi pengaruh buruk.

Tentang berpakaian seksi pula, mungkin netizen yang tidak suka melihat cara saya berpakaian. Saya juga turut mengambil kira pandangan daripada suami dan akan memperbaiki pada masa akan datang.