Gambar perkahwinan yang terpampang di facebook milik rakan sekerja ku, satu persatu aku lihat dengan penuh teliti. Bahagia dan berseri-seri si pengantin meraikan hari bahagia mereka. Kedua-duanya nampak sepadan. Tetapi mata ini lebih tertumpu kepada pengantin perempuan. Aku benar-benar yakin dan kenal dengan sosok pengantin perempuan itu.

Dia jandaku… yang hampir lima tahun menghilangkan diri. Maafkan aku Jun…maafkan semua khilaf ku kerana gagal menjadi suami yang baik. Hati ku belum terbuka untuk memperisterikan sesiapa pun kerana cintaku telah lama dibawa pergi oleh Jun, mantan isteriku. Selamat pengantin baru Jun.

Imbas kembali lima tahun lalu…

Perkahwinan yang dibina di antara aku dan Jun berlangsung sederhana tetapi meriah. Perkenalan singkat di kafe pejabatku, mencambahkan bunga-bunga cinta antara aku dan Jun. Di pendengaranku, ada cakap-cakap yang mengatakan Jun itu janda yang kematian suami akibat kemalangan jalan raya seminggu selepas mereka bernikah.

Paling tragis apabila allahyarham suaminya dalam perjalanan ke rumah orang tua Jun untuk menemuinya, memandangkan suaminya bekerja di Tangkak, Johor manakala Jun menetap bersama keluarganya di Tengkera, Melaka. Belum pun merasai manisnya berumah tangga, Jun sudah pun berstatus balu. Ada juga suara-suara nakal yang mengatakan Jun janda berhias.Ahhh… aku tak peduli semua itu, kerana aku benar-benar menerimanya seadanya.

Jun lapan tahun lebih tua dari ku, dia mempunyai perniagaan sendiri yang diusahakan sendirian. Pertemuan kami di kafe itu berlaku secara tak sengaja, kerana kebetulan Jun sedang menunggu kenalannya disitu. Jun pandai bergaya, tidak seperti teman-teman seusianya. Aku anak muda yang ketika itu baru berusia 24 tahun. Tapi keperibadian Jun dan kerajinannya serta kematangannya membuat aku berminat untuk lebih dalam mengenalinya.

Pernikahan tanpa restu

IKLAN

“Tak ada lagi ke perempuan lain di dunia ini yang engkau boleh jadikan isteri, Zain? Perempuan yang berumur dan janda tu juga yang engkau gila-gilakan!,”tempelak ibu Zain; Hajah Rahmah wanita berusia pertengahan 50-an. Cerita Zain lagi ibunya membantah sekeras-kerasnya hasrat untuk memperisterikan Jun memandangkan dua perkara itu, usia dan status Jun.

Awal-awal lagi Jun terangkan pada aku untuk berfikir sebaiknya mengenai hubungan aku dan dia. Katanya aku bujang dan dia juga lebih berusia dari ku dan berstatus janda pula itu. Walaupun bukan atas kehendaknya dia bergelar balu, Jun tidak punya upaya untuk menghalang atau beria-ia mempertahankan hubungannya dengan Zain kerana sedia maklum dengan penolakkan bakal ibu mertuanya.

Setelah puas memujuk ibunya, Zain akhirnya berjaya memperisterikan Jun. Majlis pernikahan mereka berdua berlangsung seringkasnya di rumah keluarga Jun. Sebaik bernikah, kelihatan wajah Hajah Rahmah mencuka tanpa segaris senyuman. Dia juga tak menunggu lama dan segera mengajak abang sulung Zain segera menghantarnya pulang.

Malam pertama kami, dengan penuh esak tangis…Jun melutut di kaki ku. Pada ku dihamburkan semua kegelisahan dan gusar hatinya mengenai penerimaan ibu ku. Katanya lagi, ini kali pertama dia mempunyai ibu mertua memandangkan allahyarham suaminya dulu anak yatim piatu. Melihat reaksi ibu ku selepas majlis pernikahan kami pagi tadi, Jun tahu kehadirannya tidak direstui ibu ku.

IKLAN

Perlahan-lahan aku yakinkan dia, betapa aku sedaya upaya untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami sebaiknya. Yakini aku, bantu aku dalam menawan hati ibu ku. Doakan agar perkahwinan ini dilalui baik tanpa adanya sengketa berlanjutan antara ibu dan lebih-lebih lagi Jun.

Dua tahun yang menguji

Setelah dua tahun bersama, Jun isteri yang serba sempurna. Air tangannya sedap, cekapnya dia menguruskan perniagaan dan keluarga dalam waktu yang sama. Dia menjaga penampilannya seperti yang aku tetapkan. Batas pergaulannya dijaga baik. Jika perlu berurusan dengan pembekal berlainan jantina, Jun pasti meminta aku menemaninya bagi mengelakkan berlakunya fitnah. Anak sulung kami Rizky, mendapat kasih sayang sebaiknya memandangkan Jun memang menyukai anak kecil. Pendek kata tak ada satu pun kurangnya Jun dalam menyantuni aku sebagai suami.

Tetapi tidak di mata ibu ku dan abang sulungku, Along. Jun isteri yang baik, walaupun kebaikannya di tolak mentah-mentah ibuku…Jun tidak pernah mengadu domba pada ku penolakkan demi penolakkan yang dilakukan ibuku di belakang ku. Sesekali ibu seperti sengaja membangkitkan isu lama, mempersoalkan usia Jun dan statusnya.Ibu juga seakan tidak senang, apabila aku melayan Jun sebagai isteri selayaknya. Ada saja isu remeh berbangkit mengenai Jun yang sengaja dikorek ibu bagi membuatkan aku dan Jun bertelagah.

IKLAN

Along, isteri dan anak-anaknya menetap bersama ibu ku. Isteri Along, Kak Seri jarang-jarang mencampuri urusan Along dan ibu ku terutamanya apabila mereka saling mencari keburukan Jun. Pernah sekali Kak Seri menyatakan rasa kasihan melihat layanan yang diberikan ibuku terhadap Jun kepada ku. Kata Kak Seri lagi, jangan berat sebelah apabila berada di situasi ini. Hati-hati kerana Kak Seri yakin ada pakatan tidak baik dirancang untuk merosakkan hubungan aku dengan Jun.

Bercerai akhirnya

Aku menjadi tertekan, di sana ibu di sini isteri. Sesekali aku melemparkan kata-kata keras kepada Jun hanya kerana isu remeh. Aku juga menghilangkan diri berhari-hari apabila ada isu yang berlaku antara aku dan Jun. Aku lupa semua janji-janji ku pada Jun. Aku abaikan tanggungjawab ku sebagai suami dan bapa kepada Rizky.

Jun juga merasa tempiasnya. Cubaan demi cubaan menjernihkan hubungan kami disambut dingin oleh aku. Jika dulu secara sembunyi-sembunyi Jun dimalukan ibuku. Kini ibu dan Along lebih lantang memalukan isteri aku walaupun kami ada disitu. Ibu juga acapkali mendesak ku bercerai. Katanya tak rugi pun melepaskan perempuan macam Jun. Sejujurnya bukan ini pengakhiran yang aku mahukan dalam hubungan kami suami isteri.

Jun sudah tawar hati, tiada lagi rakaman voice note ditinggalkan Jun untuk memujukku. Katanya dia pasrah dan redha kalau perpisahan itu membuatkan aku kembali menjadi kesayangan ibu dan asalkan dia bersama Rizky.

Desakan ibu dan ugutan anak derhaka membuatkan aku gagal mempertahankan mahligai yang dibina. Aku lepaskan Jun, perginya membawa diri bersama Rizky. Jun kemudian menyekatku dari mengakes apa saja info berkaitan dirinya. Puas ku bertanya pada keluarga bekas mertua khabar Jun dan anak kami. Mereka menyatakan Jun tidak mahu ada kaitan lagi dengan aku. Hampir lima tahun aku mencarinya. Perginya Jun gagal untuk ku kesan.