Sungguh malang tidak berbau. Keseronokan bermandi manda di pantai, sementara menanti hari diijabkabulkan dengan yang tersayang berakhir dengan tragedi.
Bakal pengantin lelaki dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kelulut, di sini, petang semalam.Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, hari ini.
Pasangan itu dijadualkan bernikah di kediaman Fatin Nabilah Huda di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong, pada 10 pagi.Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dikatakan mandi sebelum ditarik ombak pada 6.40 petang.
Harap Segera Ditemui
Bapa pengantin perempuan, Ismail Awang, 61, berkata, dia yang sedang memasang khemah untuk majlis berkenaan dimaklumkan oleh anaknya mengenai kejadian menimpa tunangnya.
“Kami bergegas ke tempat kejadian selepas solat Maghrib dan berjumpa dengan ahli keluarga besan.
“Kita reda dengan apa yang berlaku dan berharap mangsa segera ditemui,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ads
Ismail berkata, pasangan itu bertunang bulan lalu selepas berkawan selama beberapa tahun.
“Mereka sampai di sini semalam dan segala persiapan sudah dibuat,” katanya.
Operasi Pencarian Dilakukan
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kini difokuskan di kawasan pesisir pantai dengan pencarian merangkumi jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Beliau berkata, keadaan laut bergelora dan ombak kuat menyebabkan selain keadaan cuaca yang gelap menyebabkan operasi dibuat pesisir pantai masih gagal menemui petunjuk baharu setakat 10 pagi hari ini.
Ads
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pencarian sejak 7 pagi itu bermula di pesisir pantai dari Kuala Marang ke Kuala Dungun sejauh 52 kilometer (km).
“Operasi SAR di Kelulut pagi ini akan menggunakan bot Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana ia lebih sesuai dengan persekitaran pantai dengan ombak yang kuat ketika ini.
“Seramai 43 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), APMM dan Rela terbabit dalam operasi di Pantai Kelulut pagi ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Ads
Kejadian pertama berlaku di Pantai Jambu Bongkok apabila bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.37 petang semalam, manakala kejadian kedua di Pantai D’Marang Village, Kelulut, hanya beberapa minit selepas itu.
Bagi kes di Pantai Jambu Bongkok, mangsa ialah Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, yang beralamat di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, manakala bagi kes di Pantai D’ Marang Village, Kelulut mangsa dikenali sebagai Naim Hariri Kamaruddin, 31, beralamat di Kuala Lumpur.
Difahamkan Naim Hariri sepatutnya melangsungkan perkahwinannya di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung, pagi ini. Keluarga Naim Hariri dan tunangnya yang ditemui pemberita, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.
Mw: Didoakan semoga pengakhiran yang baik buat keluarga mangsa dan bakal pengantin ditemui dengan selamat hendaknya.
Ibu keluar ambil barang, kereta terkunci secara automatik.’ Kanak-kanak dua tahun terperangkap daam kereta. Mujurlah tindakan pantas bomba dapat menyelematkan kanak-kanak ini.
Kadang-kadang mak-mak tiada pilihan terpaksa tinggalkan anak di dalam kereta , namun malang tak berbau. Syukur anak ini dapat diselamatkan.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terkunci di dalam sebuah kereta Honda ketika ibunya keluar mengambil barang di Taman Kesidang, Bachang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah.
Kereta Terkunci Secara Automatik
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Ismail berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.34 pagi dan sepasukan enam anggota bersama-sama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi kita dapati seorang kanak-kanak lelaki telah terkunci di dalam kereta jenis Honda dan kerja-kerja menyelamatkan mangsa dilakukan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira sembilan minit kemudian dalam keadaan selamat dan diserahkan semula kepada penjaganya,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat, kejadian dikatakan berlaku ketika ibu kanak-kanak tersebut keluar dari kenderaan untuk mengambil barang.
“Selepas keluar, kereta itu secara tiba-tiba terkunci secara automatik menyebabkan anaknya terperangkap.
“Kes sebegini kerap berlaku dan kita meminta agar para penjaga lebih bertanggungjawab dan tidak meninggalkan anak masing-masing seorang diri di dalam kereta,” katanya.
Mingguan Wanita : Semoga mak ayah lebih berhati-hati dan menjadikan kisah ini sebagai panduan agar tidak mengambil mudah dalam menjaga keselamatan anak-anak.
Wanita hebat…itu gambaran sesuai bagi kegigihan seorang wanita Afghanistan yang menduduki peperiksaan menjawab soalan sambil memangku bayi diribanya.
Jahan Taab, 25, dilaporkan mengambil peperiksaan Kankor, iaitu peperiksaan kemasukan kursus sains sosial di Insititut Pengajian Tinggi Nasirkhosraw di bandar Nilli.
Menurut seorang pensyarah di universiti yang memantau ujian itu, Yahya Erfan, Taab bangkit dari meja ketika bayinya yang berumur dua bulan itu mula menangis, beliau kemudian duduk bersila untuk mendodoikannya sambil terus menjawab peperiksaan.
Erfan sempat mengambil foto wanita tersebut dan dimuatnaik ke akaun Facebook. Walaupun gambar itu kini telah dipadam, foto tersebut menjadi tular dan dikongsikan ribuan netizen di Twitter.
“Wanita itu mempunyai tiga anak, sanggup berjalan lebih enam jam untuk sampai ke bandar Nilli.”
“Sungguh luar biasa dan semua rakan sekelasnya amat kagum dengannya,” kata Erfan kepada CNN.
Walaupun Taab telah lulus ujian kemasukan universiti dan mahu memasuki Fakulti Sains Sosial namun beliau bimbang tidak mampu membayar yuran pengajian.Taab berkahwin dengan seorang petani dan berasal dari keluarga miskin.
Oleh yang demikian, Persatuan Belia Afghan telah melancarkan kempen ‘GoFundMe’ sebagai satu inisiatif untuk membiayai pengajian Taab.
“Tujuan kempen ini adalah untuk membuktikan tiada apa yang boleh menghalang seorang wanita yang begitu berusaha untuk mengambil peperiksaan dengan anak berusia 2 bulan,”ujar Shokryah Mohammadi kepada CNN.
MasyaAllah.. alangkah beruntungnya guru ini. Biarpun semasa hayatnya, tidak dikurniakan nikmat penglihatan zahir, guru ini tak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuknya mewaqafkan seluruh hidupnya mengajar Al-Quran.
Sesungguhnya inilah pemergian yang dicemburui. Ribuan anak murid dan para jemaah tabligh, malah pengajar pondok mengiringi ‘perjalanan akhir’ Allahyarham Ustaz Musa bin Al Hafidz di Yala, Thailand.
Sebagaimana yang dikongsikan oleh Iman Muda Asyraf dalam instagramnya, Allahyarham yang berasal dari Terengganu ini telah mengajar ribuan murid dari pelosok negara. Malah, lebih 500 orang khatam hafazan 30 juz Al-Quran dengannya.
Tulisnya,
انالله وانا اليه راجون
Telah pulang ke rahmatullah Ustaz Musa bin Ali Al Hafidz. Seringkali saya membawa kisah beliau ketika kuliah Nuzul Quran baru-baru ini.
Tuan guru berasal dari Terengganu. Seorang OKU (Tidak mampu melihat) sejak lahir. Belajar sekolah sewaktu kecil di Johor. Menyambung ke Kuala Lumpur. Kemudian belajar Tahfiz di Maahad Tahfiz Kubang Bujuk di Terengganu. Sambung belajar Golok Thailand.
Seorang guru yang sudah mewaqafkan seluruh umurnya untuk mengajar Al-Quran. Selama 30 tahun mengajar di Madrasah Markaz Yala Thailand dan beberapa Madrasah Tahfiz di Malaysia. Ribuan murid beliau tersebar di Thailand, Kemboja, Vietnam, Filipina, Brunei, Malaysia dan Indonesia.
Walau Uzur Penglihatan, Ribuan Anak Muridnya
Walau penglihatan beliau uzur tapi ribuan anak muridnya. Bahkan lebih 500 orang yang khatam hafazan 30 juz Al-Quran dengan beliau. Juga seramai 107 orang telah menyelesaikan Syahadah khatam ( Pakar ).
Arwah selamat dikebumikan di Markaz Yala Thailand kelmarin.
Semoga ALLAH merahmati beliau dan memasukkan beliau ke syurga tertinggi.
خيركم من تعلم القرأن وعلمه “Sebaik-baik kamu ialah sesiapa yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”
Lebih 1000 Murid Dan Jemaah Tabligh Solat Jenazah
Dalam ruangan komen posting berkenanan, pengguna akaun syukurmustafa berkongsi pengalamannya yang turut serta dalam urusan pengebumian jenazah.
“Alhamdulillah ana dapat kesempatan hadir bersama solat jenazah beliau sampai di Markas Yala sejak zohor lagi. Lebih 1000 para murid dan para jamaah tabligh dan para pjr pondok ustaz 2 yang menunggu solat jenazah beliau.
“Alhamdulilah beratus. Murid yang syahadah 30 juzuk dengan beliau dari Malaysia, Thailand, Comboja dan lain-lain. Beliau antara orang awalun warga Malaysia yang sanggup banyak qurban masa untuk para huffaz.”
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.