Dia seorang suami yang sangat baik. Dia sayang kepada anak-anak dan tidak ada keraguan tentang kesetiaannya kepada anda. Dalam ayat lain, dia suami yang sangat sempurna kecuali satu perkara. Bermulut terlalu rajin mengkritik anda dan kata-katanya tajam menusuk kalbu.
Apabila ada sesuatu dalam rumah yang dia tidak berkenan maka dia akan ‘membuli’ perasaan anda dengan ayat-ayat pedas. Dia bukan mengherdik atau menengking anda tetapi dia ada kuasa sihir yang menjadikan setiap perkataan yang dia ucapkan itu sangat menyakitkan hati.
Apabila bersuamikan lelaki begini, kata-kata nasihat seperti ‘cakaplah elok-elok dengan dia’, ‘jangan derhaka pada suami’ atau ‘jangan lawan cakap suami’ tidak memberikan apa-apa makna.
Anda hanya isteri biasa yang merasa telah cuba sebaik mungkin untuk bersabar. Namun kadangkala tindak balas spontan kepada kata-kata tajam suami menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk.
Sebagai contoh hampir setiap hari suami menembak cara anda menegur sikap anak-anak. Hati mana yang tidak panas lalu anda pun membalas “..kalau abang dah tahu saya tidak pandai kenapa tidak abang sendiri yang tegur budak-budak tu?”
Hujah anda itu dibalas semula dengan sindiran betapa anda tidak mahu mendengar nasihat dan belum habis dia bercakap, anda sudah membalas semula.
Sudah tentu keadaan itu memberi anda tiket khas ke neraka. Sekadar kata-kata nasihat ‘jangan derhaka’ memang mudah diucap tetapi yang anda lebih perlukan ialah bagaimana untuk menghadapinya.
Ads
Betul bukan? Oleh itu dalam nota ini saya kongsikan beberapa teknik untuk berhadapan dengan sikap suami yang gemar mengkritik dan merendah-rendahkan anda.
Dr Syed Yusainee Syed Yahya
2 Cara Nak Hidup Dengan Suami Mulut Laser
Fahami Suami Jika Anda Menjadi Dia
Pertama, fahami suami jika anda menjadi dia. Anda kata dia mengkritik anda dengan kata-kata bisa. Ya mungkin betul pada ketika itu tetapi bagaimana sebelum ini?
Adakah dia terus menyembur anda atau dia sudah bercakap elok-elok tentang isu itu sebelum ini? Mungkin kata-kata dia pedas tetapi adakah dia benar-benar maksudkan begitu?
Ads
Anda dapatkan lebih maklumat tentang apa yang sebenarnya dia maksudkan. Sebagai contoh “Cuba Abang buat Ina faham, apa sebenarnya maksud Abang tadi?”
Jangan Simpan Kata-kata Suami Bermulut Laser Dalam Hati
Kedua ialah jangan simpan kata-kata lasernya itu di dalam hati. Dia suami anda dan merupakan pintu anda ke syurga nanti.
Setiap hari dia bekerja kuat setiap hari mencari rezeki. Jika terpaksa dia tidak akan berfikir dua kali untuk mengorbankan nyawanya demi mempertahankan anda dan anak-anak.
Jika nyawa jadi tanda sayangnya dia pada anda, takkanlah kata-katanya yang terlepas itu anda terus tangkap dan simpan dalam hati.
Ads
Anda kata dia ‘mulut laser’ bila menegur tetapi adakah anda pernah cuba memahami maksud dia yang sebenarnya. Mulutnya tajam tapi dia setia pada anda.
Dia selalu menegur masakan anda yang kurang menyelerakan tetapi setiap bulan semua duit gaji dia serah pada anda. Maksud saya ialah lihatlah pada hatinya sebagai suami. Bukan kata-kata lasernya itu.
Selama ini anda telah lihat cukup bukti betapa dia sayangkan anda. Dia juga seorang ayah yang baik kepada anak-anak. Oleh itu kenapa anda lebih sensitif tentang bagaimana dia menegur anda berbanding dengan apa yang dia tegur itu?
Sembilan daripada sepuluh teguran dia anda ambil secara negatif. Adakah benar dia suka mengkritik anda atau anda yang tidak boleh ditegur? Maksud tidak boleh ditegur ini ada dua.
Pertama, ego tinggi dan merasa diri sentiasa betul.
Kedua, tidak peduli dan tidak mengambil berat tentang perkara yang ditegur oleh suami.
Bertanggungjawablah di atas sikap kepada suami. Cara dia menegur mungkin tidak kena tetapi apa yang dia tegur itu adalah betul. Suami sangat sayangkan anda maka eloklah anda mengambil berat apa yang dia cakap. Kecualilah anda memang mahu menyakitkan hatinya maka belailah ego anda itu.
Penulis : Dr Syed Yusainee Syed Yahya, Promind Training And Consultation, kolumnis Nota Untuk Isteri majalah Mingguan wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada sesetengah suami, cukup memahami kaum isteri. Tengok isteri macam marah-marah dan diam, terus dibaginya ‘me time’ kepada isterinya yang telah banyak buat kerja seharian.
Nilai ‘me time’ bagi kaum mak-mak tak sama, ada yang dapat guling-guling kejap di rumah tanpa di ganggu pun dah OK. Dan ada yang nak ‘me time’ dengan cara keluar shopping bersama kawan-kawannya.
Terpulang.
Namun kali ini ada cara ‘me time’ yang lebih manis andai dipratik, cuma di rumah dan perlu dihayati. Jom godek perkongsian saudara Muhammad Ahmad…
Inilah ‘Me Time’ Yang Cukup Mudah Buat Isteri
‘Me time’ yang terbaik buat seorang isteri adalah dapat baca Al-Quran, zikir, solat tanpa gangguan dari suami dan anak-anak. Saya ambil peluang ini jaga anak sementara isteri habiskan amalan dia.
Prinsip saya. Untuk isteri taat suami, berusahalah agar isteri taat الله dan Rasul terlebih dahulu. Sibukkan isteri dengan amal ugama, bukan sibukkan mereka dengan drama TV dan jangan sibokkan mereka dengan kerja rumah yang takpernah habis.
Percayalah. Isteri itu anugerah terhebat dari الله. Dialah penyeri hidup seorang suami, dialah sumber pahala buat suami, dari dia jugalah akan lahirnya anak yang soleh solehah.
Suami Kena Selalu DOA
Kita suami jangan lupa doa;
“ ya Allah jaga isteri saya, ampunilah dosa-dosa dia, jauhkankanlah dia dari fitnah akhir zaman, kurniakan dia syurga tanpa hisab…”
Hah, macam mana? Hakak-hakak nak pilih jalan ‘me time’ yang mana satu untuk tenangkan emosi yang penat? Moga pilihan itu terbaik dan membahagiakan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Inilah istimewanya seorang wanita, sebaik bergelar isteri. Hidupnya bukan lagi untuk dirinya semata-mata, malah diserahkan kepada suami dan anak-anaknya. Sebab itulah isteri boleh ingat segala benda yang ada di rumahnya.
On the very first day dia jadi seorang isteri kepada suaminya, dia telah melakukan kehebatan demi kehebatan, satu persatu sehingga ke akhir hayatnya.
Dia serahkan diri dan seluruh kehidupannya kepada seorang lelaki yang asing. Dia sendiri pun tidak pasti adakah pilihannya itu tepat. Harapannya tinggi agar lelaki itu menjaganya sepenuh hati sehingga ke helaan nafas yang terakhir.
Dia sanggup menjadi suri di dalam rumah suaminya. Segala makan pakai dan urusan suaminya perlu diatur dengan sebaik mungkin. Segala perkara yang asalnya dia tak perlu ingat dan ambil tahu, pun dia akan ambil tahu. Semuanya dilakukan atas dasar sayang dan tanggungjawab.
Dia akan terjun sepenuhnya dalam keluarga besar suaminya. Dia kena ambil tahu bukan saja tentang siapa ipar duai dan biras-birasnya, tapi juga saudara-mara jauh dan dekat sebelah suaminya. Dan dia tidak pernah failed untuk mengingat siapa mereka semuanya.
Dia akan mengandungkan anak-anak suaminya satu persatu. 9 bulan 10 hari dengan segala penat, lelah dan alahan akan ditempuh dengan kesabaran. Tak pernah walau sedetik pun dia berenggang dengan perutnya. Sabar sungguh dia meniti hari demi hari menanti saat bayi akan dilahirkan.
Dia akan bertarung nyawa ketika melahirkan anak-anak suaminya. Antara hidup dan mati saat di bilik bersalin. Koyak kulit dan putus urat bermandi darah tak pernah dia kesahkan. Semuanya akan hilang saat mendengar tangisan bayi yang sekian lama didambakan.
Dia akan berikan sepenuh masa membesarkan anak-anak suaminya. Bermula dari tempoh menyusu sehinggalah si anak mampu berjalan dan berlari. Tak pernah satu pun permintaan anak-anak yang dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi. Ketika ini dunianya adalah anak-anak yang membesar di depan matanya.
Dia akan berjaga sepanjang malam bila anak-anak sakit. Kadang-kadang akan ambil cuti kerja untuk bawa anak-anak ke klinik. Sebab itu para ibu tidak boleh sakit. Kerana ada orang sakit lain yang mesti dijaganya sepenuh hati iaitu suami dan anak-anak.
Dia akan ambil tahu segala urusan anak-anak. Apa yang mereka belajar, siapa yang mereka berkawan, kerja rumah apa yang mereka dah pandai lakukan… dan macam-macam lagi. Pendek kata, takde wanita yang bergelar isteri dan ibu, maka tak teruruslah seluruh isi rumah.
Dia akan uruskan segala keperluan anak-anak bila suami tiada di rumah. Kalau terpaksa drive kereta, dia akan drive. Masuk kedai sini, panjat pejabat sana. Walau takut dan bimbang, tetap juga dia usahakan demi keperluan anak-anak.
Dia akan pastikan rumah sentiasa kemas, bersih dan teratur. Kalau takde orang nak tolong sekali pun, dia pasti akan buat sorang-sorang. Menyapu sampah, vacuum, mop lantai, basuh baju, jemur kain, lipat pakaian, basuh pinggan dan lain-lain. Penat dia, ditelan seorang. Nyenyak tidurnya kerana keletihan.
Dia akan masak untuk suami dan anak-anak pagi, tengahari dan petang. Walaupun kadang-kadang ada pembantu rumah, ada si suami yang tetap nak rasa hasil air tangan isterinya. Digagahkan juga walau penat macamana sekalipun.
Kalau dia seorang yang berkerjaya, dia akan melakukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Kerja hakiki dibereskan dengan senang hati. Kerja rumah diselesaikan tanpa banyak bunyi. Inilah kehebatan tahap dewa yang tidak ternafikan oleh sesiapa sekalipun.
Dia mampu bertahan di saat cintanya diuji oleh suami yang nakal. Dia mampu bersabar di saat hatinya disakiti oleh anak-anak yang kurang ajar. Pedihnya dia tanggung seorang diri. Lagaknya seperti biasa seakan-akan menyembunyikan segala kepedihan.
Isteri Boleh Ingat Segalanya
Ini paling best. Dia akan ingat benda-benda kecil macam nombor, tarikh lahir dan tarikh special. Dia akan jumpa barang yang suami dan anak-anak terkial-kial mencarinya tak jumpa-jumpa. Dia akan ingat peristiwa lepas dengan baik.
Cumanya yang dia lemah sikit nak ingat ialah jalan nak pergi ke mana-mana. Yang tu memang dia perlukan seorang lelaki bergelar suami. Ngeh ngeh ngeh.
Sebab itu kita katakan isteri memang wanita hebat.
Hebat dunia hebat akhirat.
Wahai seorang wanita, darjatmu diangkat tinggi oleh Allah kerana kehebatanmu. Sehingga Allah meletakkan syurga hanya di tapak kakimu.
Syurga suamimu di telapak kaki ibunya. Syurga anak-anakmu di telapak kakimu. Kedua-duanya adalah kaki seorang wanita.
Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf seorang ibu 3 kali ganda lebih tinggi dari seorang ayah. Anak-anak mesti taat kepada ibu terlebih dahulu sebelum daripada taat kepada ayah.
Rasulullah SAW juga memberi tawaran yang tidak diberinya kepada orang lelaki.
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
“Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”.
[Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]
Ya Allah… jadikan isteri kami wanita yang solehah. Mereka menjaga solat 5 waktu. Mereka berpuasa pada bulan Ramadhan. Mereka menjaga maruah. Mereka taat kepada kami.
Ya Allah… masukkan isteri kami ke dalam syurgaMu yang paling tinggi dari mana-mana pintu yang mereka kehendaki.
Amin.
#KAB
Mingguan Wanita : Betul tu, bila suami atau anak-anak lupa. Isteri boleh ingat segalanya termasuk keperluan suami dan anak-anak.
Suami adalah pemimpin kepada isteri dan anak-anaknya. Tanyalah pada lelaki, mereka boleh menjadi suami namun tetapi belum tentua semuanya boleh menjadi suami yang hebat. Malah, sebagai isteri tentu sekali dia dambakan suami yang hebat itu mempunyai personaliti unggul yang memukau jiwa dan raga isterinya.
Tidak dinafikan, nilai suami yang memukau mata isteri adalah seorang lelaki yang dapat memikul anggungjawab bukan pada isteri tetapi keluarga. Sebab itulah, sebelum berkahwin, ilmu-ilmu rumah tangga perlu ada demi untuk membina keluarga bahagia hingga ke syurga.
Menurut Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga, nilai seorang suami yang memukau, ia perlu diterangi dan disuluh minda setiap orang. Ini adalah bertujuan untuk membantu lelaki yang sudah berkahwin atau belum, mahupun untuk wanita yang sudah atau belum berkahwin dapat muhasabah kendiri demi membina mahligai cinta yang bahagia.
Suami Yang Lemah
Dalam pemerhatian, kebanyakan wanita yang telah berkahwin mengadu, rasa tidak bahagia mereka selepas berumah tangga adalah berpunca daripada sikap suami yang memiliki personaliti seperti:
Tidak romantik
Tidak sabar sebaliknya pemarah
Tidak bangun malam untuk solat tahajud
Tidak mengambil berat akan keselamatan isteri
Tidak berjimat sebaliknya boros berbelanja
Tidak pimpin isteri dan anak-anaknya bersolat jemaah
Tidak cekap mencari duit untuk kegunaan seisi keluarga
Tidak menunjukkan kepimpinan sebagai pencinta masjid/surau
Tidak bersikap lembut sebaliknya mengasari isteri dan anak-anak
Tidak peka akan kesihatan kendiri, misalnya perokok tegar dan suka melepak lewat malam.
Imej Suami Hebat
Realitinya, suami akan kelihatan berimej hebat pada pemerhatian isteri apabila dia senantiasa menampakkan:
Suami yang penyayang
Bijak membelai minda dan emosi isteri
Pendengar yang setia
Suka memberi pelbagai hadiah istimewa kepada isteri tanpa dijangka
Sering memberi nasihat dengan kata-kata yang ringan namun membina jiwa dan terserlah keterampilannya
Gigih dan fokus mencari rezeki yang mampan dan halal buat kebajikan isteri dan seisi keluarganya.
Senyuman seorang suami yang baik pekerti akan menyerlahkan lagi imej romantik suami dan menampakkan nilai keimanan, ketulusan, kesetiaan, kegigihan dan ketekunannya untuk memimpin isteri.
Trait Personaliti
Dalam menjadikan suami, seorang personaliti yang hebat, dia mesti merasionalkan para isteri berhubung setiap perkara dan kebaikan kepada isteri. Contohnya, menutup aurat supaya isteri itu kelihatan sebagai orang yang baik-baik dan mencegah dirinya daripada diganggu oleh lelaki yang berhidung belang.
Daripada aspek psikologi wanita pula, suami yang hebat mesti ingat bahawa “Setiap isteri itu sangat berkeinginan untuk disayangi setiap masa, menjadi buah hati suaminya, dihargai dan dihormati.”.
Begitulah juga seorang suami yang hebat pada perspektif wanita
“Dia seorang suami yang menjadi ayah yang soleh dan teladan terbaik buat anak-anaknya. Suami yang hebat juga selalu membawa kegembiraan buat seisi keluarganya”.
Bagi perspektif ilmu kaunseling Islam pula, terdapat 7 ciri personaliti suami yang hebat iaitu;
Empati tinggi
Bertanggungjawab
Penyayang tidak pemarah
Solatnya sempurna 5 waktu
Berkemampuan menyara seisi keluarga
Tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup
Penampilannya bersih sedap mata memandang
KESIMPULAN
Suami yang miliki persona ialah merujuk kepada karisma seseorang suami yang beriman dan berhati mulia.
Keimanan menerbitkan hati yang suci dan kesucian hati menerbitkan perasaan yang harmoni dan keharmonian perasaan menghasilkan personaliti seseorang yang berwibawa. Seterusnya kewibawaan itulah yang merupakan aset utama seseorang suami untuk menjadi pemimpin yang dihormati dan dipatuhi oleh setiap ahli keluarganya khususnya isteri.
Tanpa iman dan hati yang mulia, seseorang suami itu akan sukar untuk:
Mengotakan katanya
Arahannya dipatuhi,
Pandangannya dipercayai
Fikirannya dirujuk
Minatnya dihargai
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri ditinggalkan suami selepas derita kanser payudara, tak mampu bekerja sara dua anak. Berat ujian seorang isteri apabila dia ditinggalkan suami selepas mengambil keputusan...