Acara perjumpaan ahli keluarga memang seronok dan sentiasa dinanti-nanti. Cuti persekolahan dan cuti sempena Maal Hijrah ini tentu ramai yang ambil peluang untuk berkumpul bersama dalam sebuah keluarga besar iaitu mak ayah dan adik-beradik yang masing-masing sudah berkeluarga. Mungkin hendak ke lokasi percutian tertentu rasa bimbang juga lebih-lebih kalau ada warga emas dan bayi.
Halangan Percutian
Selain itu, ada yang menghadapi bajet yang ‘ketat’. Nak pergi bercuti ke mana-mana tempat percutian pasti perlukan belanja yang bukan sekadar seratus dua ratus saja. Mana taknya, duit minyak. Duit tol, duit penginapan. Belum lagi bajet makan. Aduh, pening memikirkannya.
Jangan risau, masih ada aktiviti yang boleh dilakukan untuk eratkan silaturahim antara ahli keluarga. Maklumlah, cuti panjang begini barulah masing-masing ada masa untuk berjumpa. Mungkin tip yang MW kongsikan ini boleh diambil perhatian.
Bincang Sama-Sama Acara
Yang penting, BERBINCANG antara keluarga. Jangan risau, tak perlu bersemuka pun. Kan ada grup whatsapp ahli keluarga. Bincang secara terbuka di dalam grup. Tanya dan minta pandangan masing-masing apa aktiviti yang nak dilakukan.
Sekiranya ramai ahli yang mengaku tidak ada bajet cukup untuk acara cuti-cuti keluarga, mungkin boleh tukar ke acara yang lebih simple tapi tetap meriah. Yang paling penting dapat kumpul sama-sama mengeratkan silaturahim.
Setelah kata sepakat diambil, bolehlah senaraikan pula acara yang boleh dibuat. Contoh mudah, acara BBQ di rumah. Ha..sekarang pilih pula rumah siapa yang nak dijadikan tempat berkumpul. Sama ada rumah mak ayah atau salah seorang daripada adik-beradik. Yang penting, selesa untuk berkumpul dan mungkin lokasi strategik untuk dikunjungi ahli keluarga yang lain.
Ads
Kemudian senaraikan secara bersama apa makanan yang akan dihidangkan dalam acara tersebut. Biarlah mencukupi untuk semua yang bakal hadir. Senaraikan juga barangan lain yang perlu disediakan seperti bekas makanan/minuman yang besar serta alatan untuk membakar serta kelengkapan untuk makan seperti sudu, pinggan dan cawan. Seeloknya beli saja yang plastik. Tak perlu susah-susah nak cuci.
Setelah itu, barulah bajet akan diketahui dan tiap keluarga/kepala perlu sumbangkan berapa RM. Kalau bajet lebih, bolehlah makan mewah sikit. Tak gitu?
Lantik Ketua
Kemudian, lantik beberapa orang untuk membeli makanan dan kelengkapan yang diperlukan. Semua duit yang dikumpulkan perlu diserahkan kepadanya. Jadi, kena pilih orang yang bijak uruskan duit dan pandai berjimat cermat membeli. Jangan yang boros, nanti tak cukup bajet!
Aktiviti Lain Untuk Meriahkan Acara
Tentu tak seronok kalau setakat acara makan-makan saja. Untuk anak-anak, boleh senaraikan aktiviti yang boleh mereka lakukan. Mungkin tak perlulah setarat sukan neka, cukup ada aktiviti. Misalnya ada permainan monopoly atau apa saja yang membuatkan anak-anak seronok untuk mengambil bahagian.
Ini pun penting! Jangan masing-masing lepas makan, terus balik. Tinggalkan lokasi bersepah. Aduh, kasihan empunya rumah. Penat juga tu. Apa salahnya, masing-masing ajak keluarga masing-masing ringankan tangan, gotong-royong kemas dulu sebelum balik. Tidaklah nanti tuan rumah akan terbeban.
Tak kiralah apa aktiviti yang dipilih sepanjang cuti ini, yang penting jangan lupa SOP dan jaga kesihatan diri dan keluarga ye!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Adik beradik, kalau marah, geram dan gadh dan sakit hati macam mana sekalipun, ia tetap darah daging kita. Ayah yang sama dan berkongsi rahim mak kita. Janganlah bila dah berkeluarga dan mempunyai anak, adik beradik terus dilupakan. Hidup dengan keluarga sendiri.
Kena ingat, masa kecil-kecil dulu siapa yang berada di sisi kita. Bermain, bergurau dan bergaduh. Lepas tu, bila masa makan tetap berkumpul bersama dan tidur di dalam rumah yang sama.
Memang kalau ikutkan hati geram dengan perangai adik beradik masing-masing. Malas nak bertegur sapa dan biarkan dengan caranya. Tapi sampai bila, esok-esok kita akan perlukan bantuan, dengan adik beradik jugalah kita minta tolong.
Begitu juga dengan perkongsian dari Farizal Radzali tentang adik beradik ini.
Orang kata adik beradik jangan duduk dekat-dekat, nanti banyak bunyi.
Keadaan ini boleh berlaku apabila maka ayah sudah tidak ada dan sering dengar cerita pergaduhan adik beradik.
Dulu, masa mak ayah ada, semuanya baik. Tahu tak kenapa? Sebab masa mak ayah ada, mereka selalu doakan anak-anaknya lepas solat. Bila perginya mak ayah, tertutup sudah pintu doa mak ayah. Jadi, kita sbg anak-anaklah kena teruskan doa mak ayah.
Sebenarnya, boleh saja duduk dekat-dekat tapi jangan tinggal bersama. Bunyi tetap ada walau tinggal di mana, menipulah kalau kata tak pernah tersinggung mahu pun berkecil hati, mesti ada. Cuma masa marah itu, marahlah. Bila sudah sejuk tu elok balik. Buang ego masing-masing.
Walau keluar dari rahim yang sama, mak ayah yang sama, membesar dalam keluarga yang sama, makan dari hasil yang sama, tapi perangai masing-masing tetap tak sama.
Ada yang lembut, berlagak, ada yang loyar buruk, kuat sentap, ada yang kuat ngusik, disiplin, ada yang cincai, macam-macamah namun lagi banyak perangai lagi meriah sebenarnya. Kalau semua samasahaja, jadilah beruang panda dalam sangkar, semua sama.
Bila masing-masing sudah berkeluarga, jangan dilupa adik beradik. Kalau dulu satu keluarga kena dijaga, lepas berkahwin, dua keluarga perlu dijaga. Semua org macam tu, jangan rasa hanya kita yang susah. Semua orang lalui perkara yang sama.
Jangan gah mengatakan tanpa adik beradik pun kita boleh berjaya. Kita jadi gah bila kita ramai kawan dan sahabat hingga adik beradik nampak buruk dan jahat. Kawan datang & pergi.
Tapi, adik beradik, walau sejauh mana dia pergi, dia tetap saudara yang berkongsi rahim yang sama sebelum kita lahir ke dunia & berjumpa dengan insan lain di luar sana.
Bila gaduh, tersinggung atau berkecil hati, ingat balik masa kita kecil. Masa keluarga kita tak sesenang sekarang. Masa kita kena marah dengan mak dan masa kita gaduh berebutkan mainan.
Masing-masing bersubahat buat salah, berebut makanan yang sikit. Semua itu kenangan kita. Mee segera sebungkus pun kita boleh merasa 5-6 beradik. Indah kenangan tu.
Buruk manapun adik beradik, jahat manapun adik beradik, ketahuilah, di masa pengkebumian kita, nama adik beradiklah yang orang sebut. Bukan kawan-kawan yang duduk gelak sakan dengan kita.
Paling penting, kena terima keburukan masing-masing sebagaimana kita harap orang lain terima keburukan kita. Melainkan kita rasa kita tak ada keburukan. Hormat menghormati, sayang menyayangi, tolong menolong dan jangan gaduh. Masa rasa nak gaduh, pergilah balik rumah masing-masing. Esok lusa kita jumpa makan sama ok.
MW: Air dicincang tak akan putus. Begitulah yang boleh dikatakan dengan adik beradik, darah daging sama. Mengadu masalah dan susah senang bersama.
Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.
Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama ?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan bolehkah menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Semakin cantik dan tampal manis, pelakon Salina Saibi kini tampil berhijab selepas pulang menunaikan umrah pada bulan Syawal lalu tanpa niat awal untuk berhijab.