Keluarga desak bercerai sedangkan pasangan tersebut tidak terlintas pun nak bercerai! Bukan sedikit rumah tangga yang punah dan hancur akibat campur tangan daripada pihak keluarga si isteri atau si suami.

Wanita ini misalnya, telah menghantar e-mel untuk meminta pandangan dan nasihat daripada puan Hajah Maimunah Hj Mohamad, Kaunselor dan juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, berkenaan masalah yang sedang dihadapinya. Ikuti luahan hatinya.

Saya seorang isteri muda, berusia 27 tahun. Terus terang, saya seorang gadis yang agak liar ketika remaja. Mungkin kerana saya terlalu dimanjakan oleh mama dan papa. Maklumlah, saya anak perempuan tunggal dalam keluarga dan saya memiliki tiga orang abang.

Langkah saya makin panjang bila masuk ke IPT. Tinggal berjauhan daripada keluarga membuatkan saya makin bebas. Cuma sejahat saya, tak pernah minum arak dan ambil dadah.

Terlanjur

Ketika di tahun tiga, saya mula serius dengan seorang jejaka satu universiti, S. Orangnya memang tampan dan saya rasa bertuah kerana dapat takluki hatinya. Saya sanggup menyerahkan kehormatan saya padanya. Timbul penyesalan selepas itu namun S pandai memujuk dan berjanji akan mengahwini saya kelak.

Tuhan masih sayangkan saya dan tidak mahu saya terjebak dengan lebih teruk dalam dalam lembah maksiat. Saya mengandung dan ia satu tamparan sangat hebat bagi diri saya. Yang buat saya makin hilang arah tujuan, bila S tiba-tiba menghilangkan diri dan rupanya dia menyambung pelajaran ke luar negara. Saya tahu itu cara dia nak lepaskan diri.

Saya sangat terpukul bila dibuang begitu saja oleh S. Nak tak nak, saya terpaksa berterus terang dengan keluarga kerana saya sangat buntu. Papa hampir bunuh saya malam itu namun sempat ditenangkan oleh abang-abang saya dan mama.

Abang Angkat

Dalam masa yang sama, saya ada seorang abang angkat, M, yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan. M abang angkat saya sejak di sekolah menengah lagi. Fb menemukan kami kembali dan sejak itu sering juga kami berhubung.

Dengannya saya boleh bercerita apa saja dan dia tak pernah pandang rendah pada saya walau pun saya liar. Bahkan sentiasa cuba menasihati saya dengan lemah lembut.

IKLAN

Pak Sanggup

Bila saya ceritakan keadaan diri pada M, dia rela memperisterikan saya demi menjaga maruah saya. Puan, saya sangat terkejut dan tak bersetuju. Tapi dia sanggup datang berjumpa keluarga dan melamar saya. Akhirnya saya menerima M apabila didesak keluarga yang ingin tutup malu.

Majlis diteruskan walau pun seminggu sebelum pernikahan, saya keguguran. Ketika itu, keluarga saya minta saya batalkan pernikahan itu tapi saya berkeras untuk teruskan kerana saya tak sanggup memalukan lelaki sebaik M dan keluarganya.

Bahagia

Ternyata, saya sangat bahagia selepas berkahwin dengan M walau pun saya rasa diri saya tak layak untuk lelaki sebaiknya. Sebab itu saya tekad untuk berubah menjadi wanita dan isteri terbaik untuk dirinya. Dia juga membimbing saya untuk dekatkan diri dengan Allah.

Namun yang menyedihkan, keluarga saya tak habis-habis minta saya minta cerai daripada M. Katanya saya akan dapat lelaki yang lebih kaya, apatah lagi saya kini berjawatan tinggi daripada M.

Saya sedih dan marah dengan keluarga yang tak mengenang budi dan bersyukur. Mereka lupa, M yang ‘kutip’ saya dan sanggup terima keburukan saya. Apa yang patut saya lakukan puan?

Saya benar-benar sayangkan M. Dia terlalu baik untuk saya Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan. Saya juga sedang hamil anak pertama kami selepas tiga tahun berkahwin. Lebih sedih keluarga minta saya gugurkan kandungan ini kerana mereka tak nak saya terus terikat dengan M!

IKLAN

Zee, Setiawangsa

Keluarga Desak Bercerai, Suami Bukan Menantu Pilihan

Jawapan:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Dalam keadaan puan yang ditimpa musibah dek kerana lelaki dan juga kesilapan yang puan lakukan, masih ada insan bernama lelaki yang sudi menjadi “pak sanggup” untuk puan dan masa depan yang puan akan lalui.

Tidak ramai orang yang bernasib baik kerana kebanyakan lelaki banyak pilihan untuk mencari jodoh yang terbaik buat mereka. Namun puan dikurniakan lelaki yang sanggup menerima puan dalam keadaan yang kritikal yang juga boleh menjejaskan imejnya juga sebagai lelaki. Tetapi dia tetap menerima puan. Alangkah bertuahnya nasib puan…

Taat Dan Setia Pada Suami

Apabila seorang wanita itu berkahwin, maka semua ketaatan dan kesetiaannya hanyalah kepada suami, selagi suaminya menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah, Rasul dan ahli keluarganya.

Malah jika suami tidak mengizinkan berjumpa dengan ahli keluarga isteripun, si isteri perlu mentaatinya. Begitu tingginya penghormatan terhadap suami. Berbalik kepada suami puan, kalau suami sebaik yang puan katakan itu tidak ditaati, adakah wajar puan menjadi isterinya?

IKLAN

Adalah keterlaluan sehingga ahli keluarga menyuruh gugurkan kandungan. Puan harus punya prinsip hidup tersendiri. Cuba beri kesedaran kepada mereka, adakah apa yang mereka suruh itu dilarang oleh agama? Pastinya berdosa bukan? Tidak mentaati suami, tanpa sebab yang kuat untuk tidak taat, berdosa kan?

Campur Tangan Keluarga

Tahukah puan, hampir 25% (mungkin lebih) masalah keruntuhan rumah tangga adalah berpunca daripada campur tangan ahli keluarga. Semasa saya menjalani praktikum selama 26 tahun yang lalu di sebuah pejabat agama, hampir 60 % masalah suami isteri diperkuatkan dengan campur tangan ahli keluarga yang menyebabkan mereka sukar untuk berbaik semula.

Justeru, puan perlu ada pendirian sendiri untuk tidak mengizinkan keluarga mencampuri hal puan suami isteri. Apatah lagi sehingga ke tahap mohon cerai daripada suami hanya kerana pendapatan yang rendah daripada puan.

Puan perlu bertegas bahawa keluarga tidak boleh mencampuri urusan puan dan suami. Dengan kata lain puan perlu ada pendirian bahawa puan ada kehidupan sendiri yang keluarga tidak boleh mencampurinya.

Nyatakan Pendirian Pada Keluarga

Kebergantungan puan kepada keluarga sendiri perlu dikurangkan dan puan sendiri perlu nyatakan bahawa puan telah ada kehidupan sendiri dan puan bahagia dengan kehidupan puan bersama suami.

Minta kepada keluarga agar jangan sekali-kali mencampuri urusan puan dan suami. Puan perlu bertegas, dan jika mereka masih mendesak, puan boleh beri beberapa syarat seperti puan tidak mahu pulang ke rumah keluarga jika mereka mengeluarkan lagi kenyataan suruh memohon cerai.

Jangan Takut Pada Keluarga

Jangan takut kehilangan ibu bapa hanya kerana desakan mereka untuk memohon cerai daripada suami. Mungkin puan boleh renggangkan hubungan buat semetara waktu dengan ahli keluarga jika mereka kerap mendesak puan untuk mohon cerai. Ketaatan puan kepada ibu bapa perlu ada selagi mana mereka taat kepada perintah Allah dan Rasul.

Puan perlu nyatakan secara berhikmah dan melayani keluarga dengan cara yang baik. Paparkan tingkahlaku dan akhlak puan yang sudah berubah sejak puan berkahwin dengan suami. Cara pakaian, adab, dan lain-lain yang ada perubahan pada diri puan perlu menunjukkan ke arah yang positif. Akhir sekali banyakkan berdoa agar ibu bapa puan lembut hatinya dan menerima puan suami isteri.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI