Indahnya rumah tangga andai ketua keluarga selalu ajak orang rumah solat jemaah bersama, nak-nak pula kalau yang sudi bawa ke masjid bersama anak-anak.
Namun kesibukan dalam mencari rezeki hari ini banyak merampas waktu bersama suami isteri untuk menunaikan solat berjemaah bersama.
Tak mengapa… kalau dapat melakukan sekali sehari pun, itu lebih dari cukup. Apa kesannya pada suami isteri, anda boleh baca perkongsian daripada saudara Afnan Rosli yang mana dia sendiri dapat peluk aura bahagia bersama isterinya…
Petua Lembutkan Hati Pasangan
Pagi tadi lepas Solat Jemaah, belum sempat wirid tahu-tahu wife saya dah landing atas riba. Mungkin penat sangat jaga Baby semalam kot. Takpela saya pun teruskan wirid dan doa sampai habis.
Lepas doa, saya nak bangun, tapi bila tengok balik muka wife yang keletihan ni, tak sampai hati nak kejut. Maka saya biarkan lah dia tidur kejap.
Tengah duk termenung sambil tenung muka bidadari saya ni, saya terfikir, macamana budak ni boleh jadi baik sangat ya?
Fikir punya fikir, akhirnya saya dapat. Rupanya Jawapan pada Solat Jemaah. Dulu kami jarang solat Jemaah. Masing-masing, kalau tak sependapat kira nak gaduh je. Saya pun Ego jugak, kira nak betul kita je kan.
Tapi bila dah mula berjemaah, cakap apa pun semua boleh cakap baik-baik. Cakap apa pun semua dia ikut. Rupanya Solat Berjemaah ni memang Power!
Ada beberapa concept yang ramai tak faham dalam rumah tangga. Antara basic nya ialah, lelaki ni dia nak Di HORMATI. Manakala wanita pula dia nak di SAYANGI. Apa yang terjadi pada ramai pasangan. Diorang expect dapat benda-benda itu dari pasangan mereka dulu.
Kena Saling Menghormati
Maksud nya, kalau u sayang i, i hormat u. Macamtu jugak lah pada lelaki. U hormat i, i sayang u. Sebenarnya, the key is kita kena mula dengan diri kita dulu. Kalau kita lelaki, kita yang mula tunjuk kasih sayang pada Isteri kita dulu, nescaya isteri akan timbul rasa hormat pada suami. Automatic!
Dan yang best nya, benda ni ada dalam SOLAT JEMAAH. Bila solat jemaah, Automatic Sense of HORMAT pada suami tu akan terbentuk dalam Jiwa Isteri. Sebab suami jadi Imam, apa suami buat semua isteri ikut, patuh dan taat. Bila suami doakan apa-apa hajat pun semua isteri amin kan. Maka dua2 ada matlamat yang sama, ada doa yang sama. Senang nak capai Kejayaan & Matlamat kalau sama-sama berdoa ni.
The cycle will continue, Bila suami Dihormati, dia Automatic akan rasa bersalah kalau tak mencintai. Isteri bila di Cintai Automatic timbul rasa Hormat. Begitu lah seterusnya kitaran Emosi dalam Perkahwinan, asbab Solat Jemaah.
Jadi, kalau ada pasangan yang asyik-asyik nak gaduh, asyik-asyik tak sependapat, asyik-asyik suami nak marah. Ajak dia solat Jemaah. Susah lah kalau dah solat Jemaah hari-hari, nak gaduh jugak. Tak percaya cuba dulu 40 hari.
Bila kasih sayang ada dalam rumah, Rahmat Allah tu turun mencurah-curah. Allah Redha suami isteri yang berkasih sayang. Rezeki melimpah limpah-limpah Allah turun kan InsyaAllah.
Curi Masa Bawa Anak Ke Masjid
Paling bagus pergi masjid bawak anak-anak sekali. Tapi kalau sibuk sangat mulakan di rumah dulu Subuh, Maghrib, Isya. Yela, waktu lain masing-masing dah busy dengan urusan masing-masing kan. Waktu ni lah nak berkumpul family pun.
Macam kes kami, Alhamdulillah laki bini tak kerja. So, kami ada plenty of time together.
InsyaAllah itu jela perkongsian harini. Moga bermanfaat selamat beramal.
Apa lagi? Ajak hubby solat jom.
-Afnan Rosli-
Exclusive Calligraphy Artist
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
Perubahan Sikap Anak Dan Tanda ‘Separation Anxiety’
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
SUKAR BERENGGANG
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
RASA TIDAK PERCAYA
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
TAKUT PADA ORANG LAIN
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
KERAP MENJERIT
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
SUKA MENANGIS DAN MERAJUK
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
Dengan 5 Cara Ini Ibunya Atasi ‘Separation Anxiety’ Anak
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
VISUAL DIRI SEBAIK MUNGKIN
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
TIDAK BERBOHONG
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
PENGGANTI YANG BAIK
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
TIDAK MEMAKSA
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
KUKUHKAN HUBUNGAN
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Berbakti pada orang tua bukan hanya memberi duit semata-mata sekadar untuk membalas jasa mereka yang menjaga anak sejak dari kecil. Tanpa mak ayah, siapalah kita. Mereka sanggup bersusah payah demi anak-anaknya.
Sebab itulah, jangan sesekali kita sebagai anak lupa jasa dan lepas tangan untuk berbakti pada mereka.
Sementelah apabila anak sudah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri. Langusng lupa untuk berbakti pada orang tua. Apa yang difikirkan hanya untuk keluarga sendiri. Paling ditakutkan lebih-lebih lagi anak lelaki yang ada setengahnya lebih suka menurut kemahuan isteri.
Selalunya apa yang kita dengar anak lelaki bila sudah berisiteri mula lupa untuk berbakti pada orang tuanya. Lebih menyedihkan bila isteri sendiri tidak suka dan tidak membantu suami untuk berkhidmat pada orang tua.
Jangan begitu, syurga seorang isteri adalah pada suaminya. Tapi suami, syurga baginya terletak pada restu dan doa mak ayah. Sebagai isteri, sentiasalah ingatkan suami tentang khidmatnya pada mak ayah.
Seperti apa yang dikongsikan oleh Liza Idris ini, boleh dijadikan panduan untuk suami isteri di luar sana.
Masa dengar ceramah baru ni, saya sangat terkesan dengan ayat “isteri bantulah suami untuk dapat kunci ke syurga.”
Bagaimana?
Bantu suami berkhidmat untuk ibu dan ayahnya. Bila suami dapat kunci ke syurga insya Allah turut dibawa kita bersama.
Usah kita jadi penghalang atau batu api untuk suami berbuat kebaikan pada ibu ayahnya.
Kadang suami terlepas pandang, beri hadiah pada isteri macam-macam, namun ibu ayah di kampung tidak dimanjakan.
Kita selesa dengan kereta mewah, rumah banglo, ibu ayah di kampung pula rumah nak roboh.
Buatla kebaikan sebanyak mana pun dalam dunia ni, jika tak jaga hati mereka dan terguris maka tiada keberkatan dalam hidup.
Sebab tu dalam kisah Ulama Hassan Al Basri.
Seorang sahabat telah tanya pada beliau, dia sedang belajar Al Quran, ibunya pula sedang tunggu untuk makan malam.
Jawab Hassan Al Basri. “Pergilah makan dengan ibu mu. Gembirakan dia. Aku lebih suka daripada kamu buat Haji Sunnat.”
Masya Allah, di situ bertapa tingginya darjat ibu dan ayah.
Buat suami, keutamaan adalah ibu dahulu, kemudian isteri seterusnya anak. Buat isteri, keutamaan adalah suami dahulu, kemudian ibu dan seterusnya anak.
Namun hari ini, suami utamakan isteri lebih dari ibunya.
Balas Jasa Orang Tua
Kawan.
Jika kita masih ada ibu ayah berkhidmatlah kepada mereka. Duit yang ada berbelanjalah untuk mereka selagi kita mampu.
Biarpun mak ayah kita berada dan berharta, hulurlah setakat yang mampu demi balas jasa mereka. Usah berkira-kira. Allah akan gantikan dengan pelaburan yang lain.
Jika tak berkemampuan sumbanglah kerahan tenaga untuk mereka.
Gembirakanlah mereka kerana redha Allah terletak pada redha ibu ayah. Ia jambatan kita ke syurga.
Sedikit pun terguris hati mereka, maka tiada keberkatan dalam hidup.
Masa kita kecil dulu mak ayah jaga dan tatang kita. Apa kita nak, mereka cuba tunaikan.
Ada yang bergolak gadai semata-mata mahu anaknya sambung belajar. Ada juga yang sanggup pinjam Along demi beli gajet untuk anaknya belajar.
Namun, lepas tamat belajar kita pun bekerja. Kemudian berkahwin. Ada kehidupan sendiri.
Kita sibuk dengan pasangan dan anak-anak.
Lebih parah suami dikawal oleh isteri. Kita semakin jauh dari mereka. Kita lupa pengorbanan mereka.
Isteri yang hebat sayang pada suaminya sehingga dia menyayangi orang yang disayangi suaminya.
Malah, isteri yang baik akan ingatkan suaminya supaya berbakti dan berhubung dengan ibu ayah.
Suami yang soleh juga akan berkasih sayang dengan ibu ayah juga mertua. Layanan dibahagikan sama rata.
Korbanlah apa sahaja untuk ibu ayah dengan syarat dalam kemampuan kita.
Beruntung Masih Ada Mak Ayah
Hari ini beruntung lah jika masih ada ibu dan ayah, kerana 2 kunci pintu syurga masih tersedia.
Sekiranya salah seorang telah tiada, kita masih dikurniakan 1 kunci pintu ke syurga.
Bagaimana jika keduanya telah tiada?
Panjangkan hubungan silaturrahim bersama sanak saudara dan sahabat ibu ayah kita.
Anak yang soleh akan sentiasa mendoakan ibu ayah di alam sana.
Minta mereka doakan kita sementara mereka masih ada, kerana doa mereka tiada hijapnya.
Mingguan Wanita : Jangan sesekali lupa tentang jasa mereka. Berbakti pada mak ayah selagi mereka masih hidup.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Tidak dinafikan kita juga manusia tidak sempurna, dalam keadaan tertentu mak ayah alpa lalu marah anak dengan teruk sekali penuh emosi.
Sesungguhnya keadaan ini akan memberi kesan negative kepada perkembangan emosi anak-anak. Mereka menjadi kurang yakin diri, berasa tidak disayangi dan lebih buruk berdendam dengan mak, ayah.
Padahal tujuan utama mak,ayah adalah untuk mendidik, namun lain pula penerimaan anak-anak.
Oleh itu, mak ayah perlu elakkan diri marah dengan emosi, dalam keadaan tidak tenteram jauhkan diri daripada anak. Cuba ambil masa sebaiknya.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami penjelasan yang cuba disampaikan:
Elakkan Marah Dengan Emosi
Antara sebab anak menjauh ialah sikap kita yang suka marah anak dengan emosi. Kata-kata dan perbuatan kita akan penuh dengan emosi.
Ini akan mendorong kita untuk menghukum juga dengan emosi.
Ini bahaya.
Sesuatu yang dipenuhi dengan emosi akan menghiris hati anak-anak. Ibarat pisau yang cukup tajam, dengan hirisan nipis sudah meninggalkan luka yang amat pedih.
Keadaan Tidak tenteram Jauhkan Diri Daripada Anak
Bukan untuk anak-anak sahaja, kita sendiri kalau kena marah dengan kata-kata penuh emosi, turut sama akan menjauh hati.
Keadaan yang sepatutnya menjadi hukuman yang ada didikan ke anak-anak, jadi sebaliknya. Paling ditakuti keterlaluan emosi marah boleh membawa kepada anak itu dipukul teruk. Ini yang jadi kes dera anak.
Ingat kawan-kawan, anak-anak adalah amanah buat kita. Tidak semua yang dah berkahwin macam kita dapat rezeki ada zuriat.
Kadang berbelas tahun kahwin, tak ada rezeki lagi.
Jadi hargai anak-anak dengan mendidik mereka, diberi kelembutan dan kasih sayang.
Satu lagi yang perlu diingat, kita juga manusia. Sangat tidak sempurna. Lagi lah anak-anak yang kecil. Mereka cuma belajar dengan cara melihat dan mendengar.
Entah-entah yang kita marahkan sangat dekat anak itulah teguran Tuhan buat kita. Tuhan nak bagitahu itulah kamu. Tengok dekat anak tu.
Allahu.
Bila Sudah Tenang Barulah Tegur Anak
Jadi elakkan marah dengan emosi. Kalau kita rasa kita sedang dalam keadaan yang tidak tenteram, jauhkan diri daripada anak-anak. Takut kita marah luar daripada batas.
Bila perasaan kita dah tenang balik, baru datang semula dekat anak tadi. Pegang mereka dan tegurlah dengan kata-kata yang paling lembut dan sesuai. Dari hati.
Ini lebih berkesan daripada kata-kata keras dan tinggi suara.
Seperti menyatakan cinta, mesti dengan suara yang lembut dan ayat yang tersusun indah ye dak? Begitulah.
Sekian.
Firdaus Mokhtar,
Kita sama-sama belajar jadi ayah.
MW: Biarpun tak mudah, ayuhlah kita belajar menjadi mak dan ayah yang baik untuk anak-anak. Insyallah.
Nabila Razali Hamil Anak Sulung. Terbaru penyanyi dan pelakon yang sudah setahun melayari bahtera perkahwinan, Nabila Razali mengumumkan sedang hamil anak sulung.Malah Nabila juga berkongsi...