Kejutan dan kesedihan yang hadir tatkala kehilangan orang tersayang memang sukar digambarkan perasaannya. Sesekali ianya datang seperti mimpi buruk dan kita ingin lupakan cepat-cepat. Namun kala kasih sayang Allah melebihi segalanya, apalah daya kita. Hanya berserah dan pasrah menjalani ujian dari-Nya.
Begitu jua situasi yang dilalui Ezatul Marini Mohd Ghazali, 46 tahun yang berasal dari negeri Pahang ini. Sesungguhnya kemalangan yang meragut nyawa suaminya dan juga membuatkan dia hilang upaya untuk kembali bergerak aktif bukanlah sebuah kenyataan yang mudah ditelan.
Mengimbau kejadian yang berlaku pada 23 November 2018, Ezatul Marini atau mesra dengan panggilan Ezatul bersama keluarga sepatutnya menyertai aktiviti lawatan dan juga hari keluarga anjuran tempatnya bekerja iaitu, Politeknik Sandakan Sabah ke Kudat.
“Dalam perjalanan, bas kami terlibat dengan kemalangan akibat masalah brek. Suami saya beserta tiga orang rakan sekerja dan anak kepada rakan sekerja meninggal di tempat kejadian. Suami saya, almarhum Mohd. Khaizuzafarin Bedalib meninggal akibat kecederaan serius pada kepala.
“Kebanyakan penumpang lain mengalami kecederaan. Saya juga mengalami kecederaan agak serius, tulang femur berkecai dan retak di beberapa bahagian sebelah kiri badan. Mulanya saya dibawa ke Hospital Kota Marudu sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu.
“Anak perempuan saya, Syahirah Nafeesa juga mengalami luka dan kecederaan tendon yang agak serius dan dirujuk ke Hospital Likas sebelum turut dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 manakala anak bongsu Syakir Naeim yang turut serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” ceritanya mengimbau tragedi yang menimpa keluarganya.
Arwah Suami Termenung Panjang
Sudah tentu, Ezatul teruja untuk mengikuti lawatan yang dianjurkan. Begitu juga arwah suaminya. Suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum dirinya dijemput Ilahi. Cuma menurut Ezatul, ketika di dalam bas semasa menghampiri Telupid, arwah termenung panjang dan sayu.
Kelihatan juga air mata bergenang di matanya. Namun apabila Ezatul cuba berbahasa-basi, suaminya katakan tiada ada apa- apa. Malahan jelas wanita yang telah 20 tahun menetap di Tanjung Malim, Perak, suaminya sangat riang sepanjang perjalanan.
Ads
Arwah teruja kerana ianya merupakan kali pertama mereka akan meneroka kawasan percutian di Sabah. Maklumlah ketika itu, Ezatul baharu sahaja dua bulan berpindah ke Sandakan.
Menambah kegembiraan arwah kerana tidak lama selepas itu, iaitu pada 26 November, dia bakal balik bercuti ke semenanjung. Jelas Ezatul, suaminya tidak sabar hendak kongsikan gambar dan cerita tentang Sabah dengan keluarganya. Tetapi siapa sangka, kegembiraan yang dicipta pada awalnya berakhir dengan tragedi yang meremukkan hati.
Arwah suami Ezatul bersana dua kakaknya, dahulu kakak ipar sekarang ibarat kakak sendiri.
Bukan Seorang Yang Terkorban
“Kemalangan ini tidak hanya meragut nyawa suami saya tetapi juga meragut nyawa kawan- kawan yang setiap hari bekerja bersama. Sedih bila mendapat khabar kawan- kawan saya juga terkorban. Pedih menelan kenyataan.
“Tidak mudah memujuk hati menerima sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Kejadian ini bak mimpi ngeri buat kami sekeluarga. Anak- anak hilang abah yang mereka sayang. Saya pula kehilangan suami. Kakak- kakak ipar kehilangan satu- satunya adik lelaki mereka.
“Arwah memang pengidap epilepsi akibat darah beku pada saraf kepala. Sudah puluhan tahun sejak usianya 18 tahun. Tetapi kami tidak pernah menyangka begini aturan Allah. Dari ketika memandang tubuh kaku arwah, kakak pujuk hati bahawa inilah janji Allah,” ungkapnya sebak.
Ads
Jelas Ezatul, di awal kejadian berlaku, dirinya ternyata masih kuat untuk menahan rasa tetapi tatkala tibanya hari jenazah suaminay dibawa pulang ke Semenanjung, hatinya gundah dan tidak mampu menahan rasa. Hiba itu hadir kerana suaminya tinggalkan dirinya dengan mengejut dan menjadi sangat pilu pabila dia tidak dapat menatap wajah suaminya buat kali terakhir kerana masih menerima rawatan saat itu.
“Kemudian saya cuba pujuk hati. Saya katakan pada diri, Allah sayangkan arwah jadi dalam perebutan kasih ini pastilah saya tak mampu nak kalahkan sayang Allah. Jadi akhirnya saya mula terima suratan ini,”tambahnya lagi.
Kesan Kemalangan
Menurut Ezatul, dirinya kini masih dalam rawatan. Terdahulu pada 30 November tahun lalu, pembedahan implan telah dilakukan namun ia gagal. Kemudiannya pada 28 Februari lalu, dirinya telah menjalani pembedahan bagi menggantikan pinggul.
Ads
“Kini saya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan tidak pasti berapa lama lagi perlu begini. Pasti sedih kerana tidak mampu aktif seperti sebelum ini. Kecewa? Kakak perlu pujuk diri setiap hari dengan katakan Allah rancang semua ini dan pastinya kerana Allah cintakan kami sekeluarga.
“Anak- anak pun sangat positif. Sungguh kami tak mampu telan kehilangan orang tersayang tapi kami percaya semua ini ada hikmahnya. Allah tidak jadikan sesuatu itu sia- sia,” luahnya positif.
Selain keluarga, kawan-kawan antara pendukung utama Ezatul untuk teruskan hidup dan lupakan segala kesedihan.
Terharu Dengan Kasih Sayang
Sebenarnya sumber kekuatan Ezatul diserap daripada kasih sayang, doa dan sokongan kaum keluarga dan kawan- kawan. Di saat, kakak- kakak iparnya mengatakan padanya yang dia menjadi “pengganti” kepada adik mereka, secara tidak langsung sudah buat Ezatul cukup gagah.
Pergorbanan adik beradik, ibu- ibu saudara, sepupu dan saudara mara yang sentiasa membantu sudah tentu tidak mampu dibalas Ezatul. Kehadiran kawan- kawan yang sanggup terbang ke Kota Kinabalu semasa dirinya dirawat di Sabah dan juga ketika di pulang ke Semenanjung menjadikan kekuatannya semakin luar biasa.
“Kini sudah hampir 3 bulan dia pergi(ketika temubual dijalankan) dan terus- terang saya masih menangisi ketiadaan dia. Dia bak sahabat baik yang sentiasa ada untuk saya. Menyokong apa yang saya buat. Menegur apa yang salah dan bagaimanalah saya nak padamkan semua memori dengan dia. Anak- anak juga tidak putus- putus bercerita tentang Abah mereka. Saya pasti mereka rindukan Abah mereka.
“Untuk hilangkan sedih saya menulis. Menulis di laman FB, menulis anekdot. In syaa Allah sempena PBAKL 2019 buku tulisan saya dan tiga orang kawan yang lain, Mrs. PAPA akan dilancarkan. Buku itu saya dedikasikan untuk suami. Manuskripnya ditulis semasa dia masih ada.
“Saya berdoa setiap hari agar saya dan anak sembuh seperti sedia kala. Saya juga tidak putus doakan agar semua yang telah bersusah payah sepanjang kami dirawat dikurniakan pahala berpanjangan dan sejahtera selalu. Paling utama saya doakan kami terus kuat dan Allah kurniakan segala kekuatan dan kecukupan rezeki serta kesihatan untuk menghadapi hari mendatang,” ungkap ibu kepada Syamil Nuqman, 20 tahun, Syahirah Nafeesa 15 tahun dan Syakir Naeim, 13 tahun.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila dah sah pasangan laki bini, kebanyakan isteri semampunya nak layan suami macam raja. Senang cerita, nak suami balik kerja tengok semua dah teratur macam orang dulu-dulu.
Makan dah ada atas meja, anak dah siap mandi dan rumah kemas tinggal nak baring saja. Tetapi realitinya, hidup zaman sekarang isteri tak sempat nak pulun semua benda dek sibuk mencari duit tepi demi mengurangkan beban suami dari sudut menjaga ekonomi rumah tangga.
Jadi masih relevan ke nak merajakan suami sampai diri sendiri pun tak sempat nak makan? Haaa… jawapannya ada dalam perkongsian Puan Nurul Ilyaniini, jemput baca.
Nak Layan Suami Macam Raja
Layan suami macam raja, tapi jangan sampai jadi raja ‘bersiong’!
Si ibu asyik tidur. Lemah. Awal-awal mengandung memang begitu. Sekejap-sekejap dia bangun masak ringkas. Bagi anak makan. Rumah bersepah macam tongkang pecah. Nak jalan pun tak mampu. Suami tolong tengok anak. Sambil main handphone. Anak yang sulung main game di handphone. Ada handphone sendiri. Yang nombor 2 main. Yang nombor 3 tengok juga handphone ibu. Yang nombor 4 jalan sana jalan sini, merengek kepada si ayah.
Begitulah sepanjang hari. Sampai waktu solat si ibu mula tegur anak yang sulung solat. Merajuk sebab tidak pernah ditegur. Si ayah tidak ambil tahu. Si ibu yang tidak larat itu jugalah yang sana sini ingatkan.
Sampah penuh satu tong sampah besar. Andai si ibu tidak ingatkan, tidak suruh si ayah, sampai berulatlah sampah itu di situ. Begitulah hidup mereka sepanjang hari apabila waktu cuti. Hidup tiada pembantu rumah. Kedua-dua bekerja. Lebih parah si ibu mengandung anak kelima dan tidak mampu lagi mengurus rumah kerana mabuk.
Sampai malam semua sudah tidur suasana lega dan aman. Pukul 4 pagi, si ayah bangun tengok bola. Pukul 5 pagi si ibu bangun siapkan makanan anak dan keluar bekerja. Si ibu memang isteri yang baik. Suami memang ‘dimanjakan’ sejak kahwin. Semua dilakukan sendiri. Mengurus rumah, mengurus anak. Suami hanya buat apabila di suruh atau tidak mampu buat.
Apa Salahnya Kalau Suami Tolong Sudut Ini
Andai suami ada common sense, bawa anak keluar ke taman luangkan masa daripada semua menghadap telefon. Biar isteri berehat.
Jika suami ada common sense, buang sampah, tolong kemas rumah daripada main telefon. Barulah isteri rasa aman sedikit dan kurang bebannya.
Andai suami ada common sense, alang-alang bangun awal pagi tengok bola, basuh kain, sort kain, vakum rumah. Isteri bangun, sejuk hati dia.
Andai suami ada common sense, ingatkan anak solat. Jangan asyik harap isteri. Isteri pun kadang-kadang lupa. Itukan tanggungjawab bapa juga?
Kawan,
Situasi itu adaptasi kisah benar. Ia mungkin lebih kurang sama dengan kisah kehidupan pasangan lain.
Kawan,
Benar, mahu masuk syurga mudah, taat suami. Namun, benar juga, untuk suami masuk syurga ‘dorong’ suami supaya menjadi orang yang ada ‘common sense’ dan tanggungjawab supaya tidak menyakitkan isteri.
Jika tidak, wanita yang akan penat. Wanita yang akan depress. Wanita yang akan sengsara. Akhirnya wanita menyalahkan suami.
Kadang-kadang, asalnya sikap suami terhadap isteri adalah hasil dari kurangnya komunikasi betul antara isteri kepada suami. Beritahu. Luahkan. Dorong. Wanita bukan kuli. Bukan juga hamba abdi.
Ya, benar jika suami asalnya datang memang spesis lelaki tidak reti-reti, semua harapkan isteri, takkan kita nak kutuk mak mertua pula. Jadi, jalan terus, dorong dia untuk berubah.
Sayang suami, ingat-ingatkan tanggungjawabnya. Wanita, kerana dirimu begitu berharga. Jagalah dirimu. Dirimu sumber kebahagiaan rumah tangga.
Akhir kata, layan suami macam raja tapi jangan sampai jadi raja ‘bersiong’.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hidup berumah tangga bukan sekadar melayari alam perkahwinan bersama pasangan. Ini akan melibatkan hubungan mentua-menantu. Sekiranya tidak didasari oleh toleransi yang baik, akan mengundang masalah. Inilah dilema salah seorang wanita selepas berkahwin yang hidup sebumbung dengan mentuanya. Ikuti luahan hatinya…
Dah Berumah Tangga Kena Duduk Sebumbung
Usia saya kini 32 tahun dan melayari alam rumah tangga selama 10 tahun. Awal perkahwinan tidak banyak mendatangkan masalah kerana saya duduk tanpa kehadiran keluarga mentua dan juga keluarga saya. Tetapi semua mulai berubah apabila saya mengikut suami pulang ke kampungnya dan menetap di sana.
Segala episod baru bermula dan saya mengambil masa hampir setahun bagi menyesuaikan diri dengan keluarga mentua. Saya menganggap mentua dan adik ipar seperti ibu dan adik sendiri. Namun itu hanya di pihak saya.
Masalah banyak berpunca dari sikap adik-beradik ipar saya yang tidak pernah menghargai dan menghormati saya. Hampir enam tahun saya duduk bersama mentua dan pelbagai masalah yang timbul.
Suami pual banyak mendiamkan diri kerana tidak mahu keadaan bertambah rumit. Saya lebih suka mengambil langkah berdiam diri. Namun, sebagai manusia biasa saya tidak dapat menjadi orang yang sentiasa sabar. Ada kalanya sikap mereka melampau batas.
Kalau nak dikira pertengkaran dengan suami memang tidak terkira banyaknya. Segala keputusan selalu di pihak mentua. ‘Nak buat macam mana saya menumpang dengan orang’, kata-kata itu sering saya tekankan pada diri saya sendiri.
Oleh kerana saya suka mendiamkan diri, adik-beradik ipar bagaikan mengambil kesempatan. Saya lakukan semua tugasan di rumah walaupun saya bekerja. Suami bekerja sendiri dan kebanyakan duit banyak dilaburkan untuk adik-adiknya yang masih belajar.
Saya sanggup berkongsi duit gaji sekiranya duit tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan adik-adiknya. Bila salah seorang adiknya tamat belajar di universiti dan mulai bekerja, dia merasakan dirinya terlalu bagus sehingga sanggup bersikap kurang ajar dengan saya.
Tersinggung
Seorang lagi adiknya berperangai tidak senonoh dan melakukan perkara-perkara yang mengaibkan ibu bapa. Mentua meminta saya campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu namun niat yang baik untuk menjaga nama keluarga mentua disalah tafsir. Adiknya yang seorang lagi sanggup mengatakan saya betina yang menghasut ibunya dan saya yang menyebabkan ibunya menangis.
Saya merasa pelik dan saya berbincang dengan suami untuk mencari jalan keluar. Akhirnya saya merasakan tiada guna saya berbuat baik kerana akhirnya orang hanya nampak saya yang jahat. Semenjak itu saya nekad tidak mahu mencampuri urusan keluarga mentua. Saya berasa tersinggung kerana selama ini apa-apa keperluan mereka masa belajar saya cuba penuhi.
Memang sepatutnya dari awal lagi saya dan suami duduk sendiri memandang ibu mentua saya tidak sihat saya akur dan ikhlas untuk menjaganya. Namun, kadangkala saya juga tidak faham dengan ibu mentua saya.
Bila kesalahan orang terlalu cepat ditegur tapi bila anak-anak sendiri sanggup menutup mata. Dalam pakaian untuk anak-anak ia akan menjadi perkara yang terakhir kerana terlalu mementingkan anak-anaknya. Keperluan saya sendiri, saya yang uruskan tapi saya bersyukur kerana masih bekerja. Saya terfikir bagaimana nasib anak-anak kalau saya tidak bekerja.
Di sini saya ingin meminta nasihat dan pandangan puan kerana saya dan suami telah memutuskan untuk duduk sendiri tapi dalam masa yang sama saya tak mahu mentua tersinggung apabila saya keluar dari rumah mereka.
Memang bila kita cuba menjaga hati dan perasaan orang namun tidak semua orang boleh berfikir sama macam kita. Hanya pada Allah saya berdoa agar adik-beradik saya diberi hidayah dan sedar akan kesilapan diri masing-masing. Begitu juga saya, saya cuba untuk berubah dan berharap rumah tangga saya akan diredhai Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Mak ayah, kalau ada anak jangan terlalu yakin yang anak-anak akan jaga anda bila tiba waktu tua. Anak anda anak yang baik tetapi pasangan mereka mungkin lain perangainya.”
Ini antara perkongsian Hafiz Mustapge CuteCarry (Certified Image Consultant DLKM (JPK) Tahap 5, yang akan buat anda berfikir dalam-dalam. Kerana, dalam soal masa depan sememangnya amat sukar untuk diduga.
Awak Tiada Anak, Esok Tua Siapa Hendak Jaga?
Seorang wanita tanya saya “awak tiada anak esok tua siapa hendak jaga?”
Saya ketawa tanya dia balik “puan confident ke bila dah tua esok anak-anak puan akan jaga puan?”
Saya dah biasa diajukan soalan ini dan oleh itu sedikit pun tidak sentap. Serious saya okay je.
Saya pernah ke Pusat Penjagaan Orang Tua. Bila ditanya 90% daripada warga tua tersebut ada anak. Mana pergi anak mereka dan kenapa dihantar ke rumah orang tua?
Jika ada anak jangan terlalu yakin mereka akan menjaga anda bila tua nanti. Anak anda anak yang baik tetapi pasangan mereka mungkin lain perangainya.
Simpanlah duit untuk hari tua. Betapa ramai warga tua yang sudah pencen kena bekerja kembali kerana duit habis sebab bagi anak.
Seorang pakcik berusia 65 tahun pinjam sana sini sebab duit pencen habis bagi modal anak buka kedai runcit. Tapi anaknya jenis budak main-main buat business. Habis duit sampai tutup kedai.
Jika Anak Jaga Waktu Tua, Itu Bonus
Kisah lagi satu ialah makcik yang semua anak perempuan. Masa muda makcik dan arwah suami susah payah habis duit untuk anak-anaknya untuk universiti. Tapi semua anak kahwin awal dan tak bekerja jaga anak. Makcik tu pun nasib baik survive dengan duit pencen. Simpanan pun takde sangat. Taklah merasa senang sangat bila dah pencen.
Jangan belanja habis tau duit gratuiti, golden handshakes, KWSP dan sebagainya. Simpanlah.
Waktu tua sepatutnya relaks bukan stress duit tak cukup sebab anak-anak.
Jika anak anda jaga waktu tua itu adalah bonus. Saya tidaklah anak yang baik sangat.
Setakat ini saya hanya mampu beri my parents rumah semi D sebiji, kereta sebiji dan duit poket empat angka seorang untuk ibu bapa. Cukuplah untuk mereka belanja hari-hari. Bapa pun ada pencen. (mungkin lebih dari cukup kut).
So ingat lah jangan obses confident ada anak. You’ll never know your future.
Tapi jika orang tanya anak berapa janganlah meroyan mungkin dia hanya nak bersembang. Rezeki keturunan akan datang tepat pada masanya.
Positif tau. Saya pun positif yang perempuan tu hanya concern about my future. Jangan marah-marah tau.
Ada pengalaman ditanya soalan macam tu?
Share sikit.
Love Hafiz #cutecarry
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...