‘Kami Akan Jaga Amanah Ditinggalkan Arwah Along & Isterinya Dengan Baik’.Ajal dan maut ketentuan tuhan. Kehilangan keluarga tersayang yang ‘pergi’ akibat kemalangan maut memang cukup memeritkan. Apatah lagi turut meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Amanah dan tanggungjawab dipikul sebaiknya, dalam membesarkan anak-anak saudara yatim piatu ini.
Bukan saja kehilangan abang sulungnya, wanita ini turut kehilangan kakak ipar yang juga sahabat baiknya selepas dua insan kesayangan itu meninggal dunia dalam kemalangan, tahun lalu.
Ambil Tanggunggjawab Jaga 3 Anak Saudara
Norhaziantie Zailani, 33, kini mengambil alih tugas dan tanggungjawab menjaga tiga anak pasangan itu yang kini meneruskan kehidupan dengan kasih sayang dan perhatiannya serta keluarga.
Abangnya, Mohamad Shafiq Zailani dan isteri, Faieznoor Mansor serta bayi mereka berusia 10 bulan, Daryan Marwa meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 200 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di sini, 19 November tahun lalu.
Tiga anak mereka yang selamat dalam kejadian itu ialah Mohamad Danish Uqasha, 10, Dhia Medina, 6, serta Damiaa Melissa, 3.
Hubungan Sangat Rapat
Norhaziantie berkata, hubungannya dengan abang, Mohamad Shafiq yang dipanggil Along memang sangat rapat selain kakak ipar, Faeiznoor adalah sahabat baiknya, malah mereka juga tinggal di kawasan perumahan sama dan bersebelahan.
Ads
Menurutnya, sejak pemergian dua insan tersayang itu dia mengambil tanggungjawab menjaga tiga anak saudara dengan kerelaan diri sendiri dengan persetujuan suami Khairul Haznizam Roslan, 37.
“Suami juga mahu menjaga semua anak Along, malah dia juga sahabat baik Along sejak dari dulu dan selalu menghabiskan masa bersama.
“Mereka juga selalu meminta kami menjaga semua anaknya dan tak sangka apa yang selalu dikatakan itu akhirnya terjadi juga.
“Alhamdulillah, ketiga-tiga anak Along berada dalam keadaan baik dan mereka menerima kehilangan ibu bapa biarpun perit, namun kehilangan itu bukan saja dirasai mereka tetapi seluruh keluarga kedua pihak,” katanya tinggal di Bukit Sagu 2, di sini.
Tinggal kenangan.. arwah Mohamad Shafiq Zailani dan isteri, Faieznoor Mansor bersama anak-anak tersayang pada Aidilfitri lepas.
Anggap Seperti Anak Sendiri
Katanya, anak sulung abangnya, Mohamad Danish Uqasha adalah anak susuannya dan kanak-kanak itu bersama dua lagi adiknya memang memanggil dirinya dan suami dengan panggilan ibu dan papa.
Ads
“Saya menjaga mereka dengan ikhlas dan tidak pernah berasa terbeban langsung, malah memang menganggap mereka seperti anak sendiri sejak Along dan Kak Long masih ada lagi. Saya layan anak mereka sama seperti anak kandung, tiada beza.
“Saya masih ingat pada hari pertama along dan isterinya meninggal dunia, acah (nama panggilan untuk anak sulung) cakap ‘abah dan mama sudah tiada. Acah tahu ibu sayang acah, boleh tak sayang adik macam acah?’. Itu memang menyedihkan saya kerana saya sayang mereka semua tiada beza.
“Kami akan jaga amanah yang ditinggalkan Along dan isterinya dengan baik dan akan cuba berikan pendidikan dunia dan akhirat yang lengkap untuk mereka sama seperti tiga anak kami,” katanya yang berniaga dalam talian dan menjahit barangan kanak-kanak seperti bantal dan tilam kekabu.
Aidilfitri Berbeza
Norhaziantie yang kini mendapat hak penjagaan sepenuhnya tiga anak saudaranya itu mengakui tahun pertama Aidilfitri tanpa dua insan tersayang itu sangat berbeza terutama kepada anak arwah.
Ads
“Tahun pertama tanpa along sangat berbeza untuk keluarga kami. Kakak ipar pandai memasak, dia boleh dianggap ketua tukang masak keluarga. Along pula seorang yang manja, ceria dan suka berkongsi cerita dengan adiknya dan rakan.
“Kami sekeluarga sedih tetapi kami sepakat tidak menunjukkan perasaan itu di depan anak Along sebab kami tak mahu mereka juga berasa sedih dan merasai kekosongan itu,” katanya.
Mingguan Wanita: Mulia hati ibu saudara ini dalam menjaga amanah anak-anak saudara yatim piatu ini. Semoga dipermudahkan segala urusan dan menjadi tauladan buat kita juga.
“Ada Isteri Buatlah Cara Ada Bini, Ada Suami Jagalah Akhlak Macam Ada Tok Laki!” Inilah antara pesanan daripada saudara Shauqi Hasan menerusi perkongsiannya di Facebook yang memberi kesan di hati.
Hari ini bila kita baca berita pelbagai kisah kurang enak yang berlaku terutamanya pada pasangan yang berkahwin muda. Tak kurang juga kisah rumah tangga selebriti popular yang mengharungi kemelut dalam perkahwinan hingga terpaksa naik turun mahkamah. Yang isteri menuntut cerai yang suami pula tidak mahu melafazkan talak.
Begitu juga kisah masyarakat biasa yang pelbagai kisah keretakan rumah tangga didedahkan.
Menerusi nasihat daripada saudara Shauqi Hasan ini banyak kebaikan yang boleh dijadikan panduan buat masyarakat di luar sana. Ikuti tujuh nasihat yang bermakna ini! Semoga rumah tangga kita akan aman damai dan berkekalan hingga ke jannah.
“12 tahun membina masjid. 6 orang anak. Umur pun dah 40 tahun. 7 nasihat Abang untuk anak muda yang bakal berkahwin esok lusa.
Bercakaplah dengan ilmu. Mendengar dengan akal. Nak tegur isteri ada caranya, Allah dan Nabi dah ajar. Gunalah syuro sebagai laluan menyampaikan pandangan dan terguran.
Ingat, setiap hubungan unik, tak ada formula ajaib yang boleh jamin kejayaan perkahwinan.
Tapi kalau kau ada komitmen, saling bertoleransi dan satu faham, sentiasa berusaha bersama-bersama dan bukan one-man show, kau boleh bina hubungan yang bahagia.
Remember this Dik, KEBAHAGIAAN TU KITA RASA DI HATI BUKAN YANG NAMPAK DI MATA.
Selamat menikmati perjalanan hidup berumahtangga!” kongsi saudara Shauqi Hasan.
Beruntungnya bila ada mentua dan menantu yang cukup rapat. Anggap menantu ni macam anak sendiri. Macam-macam dibual bila berjumpa. Kadang-kadang ‘terbalik’ pula sebab anak sendiri macam tak berapa nak rapat kan!
Namun, tak semua dapat rezeki seperti ini. Bergantung pada seseorang itu juga nak rapat, baik dan anggap macam anak sendiri. Menantu ok, mentua pula terlebih cerewet dan sebagainya. Ada juga mentua ok, tapi menantu pula tak ok.
Tak dinafikan, ada menantu dan mentua tinggal berpuluh tahun bersama serumah. Alhamdulillah semuanya tiada masalah, dah dianggap seperti anak sendiri. Tapi, ada juga yang tinggal bersama, menantu makan hati pula atau sebaliknya.
Ada satu rahsia nak tahu menantu dan mentua rapat macam anak sendiri. Pesanan daripada mentua ini adalah jangan tinggal sekali. Duduklah asing-asing.
Kawan aku (perempuan) ajak aku pergi ke rumah dia untuk beraya.
Aku nampak hubungan dia dengan mak mentua cukup rapat. Ibarat ibu dan anak kandung.
Jadi, aku pun tanyalah kawan aku,
“Rapat gila kau dengan mak mentua. Siap boleh bergurau macam mak sendiri.”
Dia respons, “Kalau nak tahu rahsia ini, hang pi direct tanya mak mentua aku.”
Jadi, aku pun pergi tanya mak mentua dia. Aku tanya dalam nada bergurau.
“Mak cik, rapat betul noh mak cik dengan menantu. Kongsi rahsia sikit. Haha”
“Mai, mak cik nak pesan sikit,” dia mula berkongsi.
“Lepas kahwin, mak cik memang akan suruh anak menantu dok jauh dari mak cik. Jangan tinggal sekali dalam serumah.”
“Pasal apa?”, aku tanya lagi.
Dia sambung bercerita,
“Kalau tinggal serumah, silap haribulan menantu dan mak mentua boleh banyak makan hati. Bahaya tuh.”
“Tapi kalau tinggal jauh, depa cuma makan jem (sesak) bila nak balik rumah masa raya. Itu takpa, tak bahaya.
Fuh, deep sungguh pesanan mak cik ini!
Mingguan Wanita : Bersyukur dan beruntungnya bila anak mentua dan menantu yang ‘satu kepala’.
“Hampir 90% Rumahtangga Berakhir Penceraian, Pergaduhan Mereka Yang Mengabaikan SOLAT” . Itulah antara fakta yang diberikan oleh Mantan Perundingcara Keluarga, Ustazah Asma’ binti Harun menerusi perkongsian di akaun Facebooknya.
Solat adalah tiang agama. Jika tiada solat maka runtuhlah agama ibarat rumah yang tidak bertiang.
Pasangan suami isteri yang gagal mempertahankan keharmonian rumah tangga sehingga berlaku penceraian didapati berpunca daripada sikap keengganan menunaikan solat lima waktu.
Menurut Ustazah Asma’ punca perpecahan dan penceraian suami Isteri adalah daripada masalah ‘hubungan intim’ tetapi ia bukan punca paling tinggi. Sebaliknya punca utama dan terbesar adalah kurangnya pegangan dan amalan agama – kayu ukur utama adalah Solat dan Rukun Islam yang lain.
“Saya bukan nak ambil kesempatan dengan isu ini, lagipun dah agak terlambat, sekarang dah mula sejuk, ia panas ketika saya dalam misi kemanusiaan di sempadan Syria tempoh hari. Saya membuat catatan ini dalam perjalanan daripada airport Jeddah menuju ke Madinah, dalam 1 jam lagi akan tiba.
“Berkaitan seorang pembimbing/penasihat ilmu ‘hubungan intim’ suami isteri, sudah banyak pihak bersuara, pihak berwajib telah mengeluarkan kenyataan, dan pihak berkenaan juga sudah memohon maaf secara terbuka.
“Saya sebenarnya nak mengulas isu ni sebagai seorang yang berpengalaman menjadi Perundingcara Rumahtangga sepenuh masa, daripada tahun 2008 – 2013 (4 tahun lebih), Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam (Ketua Unit Rundingcara), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM yang bertugas di NS.
“Pertama, memang benar di antara punca perpecahan dan penceraian Suami Isteri adalah daripada masalah ‘hubungan intim’. Tetapi ia bukan punca paling tinggi.
‘Kedua, punca utama dan terbesar adalah kurang pegangan dan amalan agama – kayu ukur utama adalah Solat dan Rukun Islam yang lain.
“Hampir 90% rumahtangga yang berakhir dengan penceraian atau menghadapi syiqaq (pergaduhan) berpanjangan adalah mereka yang mengabaikan SOLAT, walaupun pasangan datang mengadukan isu lain seperti orang ketiga, keewangan, hubungan intim dll. Ramai yang tidak nampak perkaitan solat dengan semua masalah yang timbul.
“Semua ni ada kajian ilmiah berdasarkan analisis setiap kes, fokus kepada punca masalah melibatkan ribuan kes dalam tempoh saya bertugas.
“Ketiga, masalah ‘hubungan intim’ ada kalanya menjadi sebab utama, tapi kebanyakannya adalah kesan akibat bila syariat Islam diabaikan.
“Contoh mudah faham, seorang suami yang tidak solat, pasti cenderung abaikan juga tanggungjawab asas sebagai suami, dan mempunyai sikap yang tidak menyenangkan, paling utama hilang berkat dalam hubungan dan terhalang rahmat Allah, maka hubungan intim yang sepatutnya sebagai Ibadah yang indah boleh bertukar menjadi musibah.
“Begitu juga dengan seorang isteri yang tidak solat, jika kewajipan paling utama sebagai muslim diabaikan dan tidak rasa berdosa, maka apa sangat nak rasa berdosa bila menolak ajakan suami tanpa sebab kukuh, walaupun amaran yang sangat berat.
“Keempat, sebagai perundingcara, memang saya berdepan langsung dengan ramai pasangan yang ada masalah dengan ‘hubungan intim’. Saya cuba bantu dengan dua keadaan, pertama, menjawab kepada soalan yang berkait hukum hakam hubungan intim. Kedua, saranan yang perlu mereka lakukan, saranan agama dan rawatan perubatan.
“Sebenarnya sangat banyak saranan agama, bahkan ada banyak kitab penulisan alim ulama berkait ilmu ini, termasuk yang sangat asas iaitu bacaan doa, inipun ramai yang tidak beramal, sedangkan ia adalah benteng kepada gangguan Iblis dan Syaitan yang nak rosakkan hubungan suami isteri melalui jalan ini.
Daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma , bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya maka bacalah:
Maksudnya: “Dengan nama Allah, ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami.”
Sesungguhnya jika ditakdirkan (Allah) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudharatkan oleh syaitan selamanya.” [Riwayat al-Bukhari (6388)]
– Rezeki ketika hubungan Intim suami isteri bukan sahaja anak, termasuk juga kasih sayang dan kemesraan yang terhasil daripadanya.
“Namun banyak juga punca yang turut memerlukan rawatan perubatan, dan ia sangat membantu kes klien bila dirujuk. Terutama wanita yang trauma selepas bersalin atau faktor umur yang telah mula menggangu hormon dll. Begitu juga para suami yang bermasalah.
“Apa yang saya nak nyatakan, ilmu ini memang sangat penting, ia boleh diperolehi daripada sumber fitrah semulajadi, atau dipelajari secara tidak langsung dengan capaian ilmu dari persekitaran atau boleh juga secara formal.
“Bila secara formal ni, samada melalui individu, penulisan atau rakaman video. Yang menjadi perhatian utama adalah CARA DAN ISI ILMU YANG DISAMPAIKAN, ilmu ni seolahnya tidak spesifik kepada yang ada kelayakan tertentu, sebenarnya ramai lagi selain individu yang panas dibicarakan ini aktif menyampaikan topik ini.
“Baiklah, saya tidak mahu menyelak kesilapan, tapi lebih kepada saranan kepada semua pihak yang mahu membantu pasangan suami isteri yang menghadapi masalah ini ;
1- Tidak mencampurkan antara lelaki dan wanita secara umum di dalam satu group media sosial atau bersemuka. Seeloknya lelaki diberi nasihat oleh lelaki, kecuali jika sesi itu melibatkan pasangan suami isteri berdua sahaja (sesi rundingcara/kaunseling pasangan).
2- Menggunakan ayat yang tidak menyebabkan kecenderungan untuk membayangkan secara jelas hingga boleh menaikkan syahwat.
3- Tidak mendedahkan aib pasangan masing-masing walaupun sudah tidak lagi sebumbung atau sehaluan, bahkan walaupun diberi alasan tiada siapa yang tahu dirinya siapa. Kerana boleh jadi pasangannya tahu atau ia boleh berlaku ketirisan maklumat.
4- Tidak perlu menceritakan secara teliti tentang kaedah pelaksanaan hubungan intim, kerana ia adalah sesuatu yang sedia maklum, atau berikan sahaja sumber rujukan ilmiah atau jika perlu kepada yang terlalu naif, diberikan perincian secara bertulis dan khusus / tertutup.
5- Tidak menyarankan perkara yang membawa kepada melanggar syariat Islam atau melampaui batasan norma, kerana ia akan memberi kesan buruk seperti dorongan fantasi yang berlebihan sehingga memaksa pasangan untuk melaksanakan diluar kesanggupan.
6- Konsultasi yang dilaksanakan diurus dengan penuh tatatertib kerahsiaan yang tinggi dan tatacara yang bermaruah.
7- Turut menjemput individu yang bertauliah seperti doktor, kaunselor, perundingcara rumah tangga, peguam dll yang berautoriti dalam bidang ini. Mereka yang diberi latihan khusus untuk mengendalikan serta memberi konsultasi yang berkaitan. Cara ini juga akan mengukuhkan keabsahan ilmu dan kedudukan pihak penyampai ilmu tersebut.
“Buat saudari, saya faham asal tujuan niat dihati untuk membantu, bahkan sudah banyak pasangan yang kembali harmoni. Apa yang baik boleh diteruskan, yang sebaliknya boleh dibaiki.
“Pesanan buat semua pasangan, dalam berusaha menyelesaikan apa jua masalah rumahtangga, ingatlah bahawa perunding, penasihat, kaunselor atau pegawai agama mahupun sesiapa yang dipercayai adalah perantaraan sahaja, paling utama peliharalah hubungan dengan Allah, maka Allah akan memelihara hubungan sesama kita.
“Yakin dan kembalilah kepada Allah SWT, patuhi perintah dan tinggalkan laranganNya, lalu berusaha dan berdoa kepadaNya. Dialah Allah Ya Fattah yang Maha Membuka dan memberi jalan keluar dengan tepat dan sempurna. Allahumma aamin.
PESAN NABI SAW BERKAIT MEMBUKA AIB PASANGAN
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sungguh manusia yang paling buruk kedudukannya pada hari kiamat menurut Allah adalah orang lelaki (suami) yang bercampur (bersetubuh) dengan isterinya kemudian menyebarkan rahsia yang terjadi di dalamnya.” (HR Muslim, hadis sahih)
Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa HARAM hukum bagi seorang lelaki menyebarluaskan apa yang terjadi antara dia dan isterinya pada saat bercampur (hubungan intim), memberikan gambaran terperinci, termasuk apa yang terjadi pada seorang wanita pada saat melakukannya baik dari ucapan dan perilaku bercampuran ataupun yang lainnya”.
(Rujuk Syarah Shahih Muslim: 10/9)
Walaupun hadis tersebut menyebut tentang sikap suami, tetapi ulama’ menyebut HUKUM INI JUGA TURUT TERPAKAI BUAT ISTERI DAN JUGA MERUPAKAN PERINGATAN KERAS BUAT KEDUANYA SEKALI.
“Tidak salah ingin berkongsi tips kekeluargaan, rumah tangga bahagia, tapi bila sampai menjadi perbualan saling membuka aib pasangan, cerita pengalaman sendiri sebagai panduan atau menjelaskan kaedah yang sangat terperinci sehingga boleh dibayangkan dll ia adalah dilarang.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ، فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya: “Jika engkau tidak ada lagi rasa malu, maka buatlah sesuka hatimu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Ayat “buatlah sesuka hatimu” itu bukan bererti Rasulullah SAW beri kebebasan kepada kita untuk lakukan sewenangnya, tapi ia merupakan satu sindiran yang amat pedih bagi mereka yang memiliki iman. Kita bimbang jika Allah dan Rasulullah sudah TIDAK LAGI PEDULI PADA KITA sedangkan Syurga-Nya dan syafaat Baginda yang kita tagihkan.
“Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada semua yang berlaku,” kongsinya.