
Kalau suami masuk penjara, siapa nak tanggung nafkah anak tambah mentua lepas tangan.
Bila suami masuk penjara, bukan saja isteri hilang tempat bergantung… anak-anak juga tiba-tiba menjadi mangsa keadaan. Ada yang terpaksa menanggung sewa rumah sendirian, ikat perut demi membeli susu anak malah lebih menyakitkan apabila keluarga mentua memilih untuk berdiam diri seolah-olah cucu sendiri bukan tanggungjawab mereka.
“Kalau suami dah masuk penjara dan tak mampu bagi nafkah, kepada siapa saya boleh tuntut hak anak-anak ini?”
Itulah persoalan yang sering diajukan oleh ramai wanita hari ini.
Menurut Peguam Syarie dan Panel Hakam, Muhammad Amirul Akmal Ismail dari Amirul Akmal & Associates, isu nafkah anak tidak pernah dianggap ringan dalam Mahkamah Syariah kerana ia melibatkan hak anak yang wajib dipelihara walau apa pun keadaan si bapa.
Kalau Suami Masuk Penjara, Siapa Nak Tanggung Nafkah Anak?

Nafkah Anak Tak Gugur Walaupun Bapa Dipenjara
Jelas beliau, ramai menyangka apabila seorang suami dipenjarakan, maka terputuslah tanggungjawab nafkah terhadap anak-anak. Sedangkan dalam Islam, hak anak tetap wajib dipenuhi.
“Apabila kita bercakap soal nafkah, isteri atau bekas isteri sering menjadi pihak yang paling terkesan akibat sikap suami yang culas menjalankan tanggungjawab.
“Namun persoalannya, bagaimana pula jika bapa benar-benar hilang kemampuan seperti sakit kronik, terlalu uzur, hilang tanpa dikesan atau dipenjarakan?” katanya.
Menurut beliau, dalam keadaan tertentu, Mahkamah Syariah boleh mempertimbangkan perpindahan tanggungjawab nafkah kepada waris lain yang layak menurut hukum syarak.
Mentua Boleh Dipertanggungjawabkan?
Berdasarkan perbahasan ulama Mazhab Syafie dan Hanbali seperti Al-Syirbini, Al-Zuhaili dan Al-Buhuti, nafkah anak boleh dipindahkan kepada ahli waris lain sekiranya bapa benar-benar tidak mampu.
Antara yang boleh dipertanggungjawabkan termasuk:
- Datuk dan nenek
- Saudara lelaki sebelah bapa
- Ahli keluarga yang mempunyai hubungan faraid
“Ramai mentua anggap bila anak lelaki mereka masuk penjara, maka selesai tanggungjawab keluarga mereka. Sedangkan dalam hukum syarak, ada keadaan tertentu yang membolehkan waris dipertanggungjawabkan membantu nafkah anak,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, konsep itu selari dengan hukum faraid kerana mereka yang menerima hak pusaka juga mempunyai tanggungjawab membantu ahli keluarga yang memerlukan.

Mahkamah Akan Nilai Kemampuan Semua Pihak
Namun begitu, Mahkamah Syariah tidak akan terus memerintahkan ahli keluarga membayar nafkah tanpa penelitian.
Sebaliknya, ibu perlu mengemukakan bukti bahawa:
- bapa benar-benar tidak mampu,
- anak-anak memerlukan nafkah,
- dan waris yang dinamakan mempunyai kemampuan membantu.
Jika Mahkamah mendapati waris juga tidak berkemampuan, ibu masih boleh memohon bantuan daripada Baitulmal Negeri untuk mengambil alih tanggungjawab nafkah anak melalui perintah mahkamah.
Anda mungkin berminat dengan
Ada Peruntukan Dalam Undang-Undang
Menurut Muhammad Amirul Akmal lagi, perkara tersebut telah diperuntukkan di bawah Seksyen 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor yang menyatakan nafkah boleh menjadi tanggungan pihak lain yang berkewajipan menurut hukum syarak apabila bapa hilang kelayakan.
“Perkara ini bukan teori semata-mata. Memang sudah ada kes sebegini yang difailkan di Mahkamah Syariah,” katanya.
“Nafkah Anak Bukan Sedekah”
Dalam masa sama beliau menegaskan, masyarakat perlu berhenti menganggap nafkah anak sebagai ihsan atau bantuan sukarela.
“Nafkah anak bukan sedekah. Itu hak anak yang wajib dipenuhi.
“Yang paling menyedihkan bukan hanya apabila bekas suami hilang tanggungjawab… tetapi apabila seluruh keluarga memilih untuk menutup mata terhadap nasib darah daging sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan ibu yang berdepan situasi rumit agar mendapatkan bantuan Peguam Syarie supaya proses tuntutan lebih tersusun dan hak anak dapat diperjuangkan dengan lebih baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

