Benarlah hidup ini satu perjudian, tidak semua yang kita harapkan dan rancang akan berlaku seperti yang diimpikan. Begitu juga kehidupan dalam berumah tangga. Mahligai indah yang dibina oleh Nony Suhaily Saidin, 39, bersama bekas suami diharapkan akan berkekalan hingga hujung nyawa, tapi ketentuan Allah itu melebihi segala. Ternyata ada hujan yang menyinggah di pertengahan kehidupan rumah tangga mereka.

Reda dengan apa yang melanda, wanita yang mesra dengan panggilan Ally ini akur dengan suratan yang telah tertulis untuknya. Baginya kehidupan perlu diteruskan walaupun agak pahit untuk ditelan namun dengan sokongan dan dorongan daripada keluarga dan teman terdekat membuatkan dirinya terus kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang bersama tiga orang anak yang pernah menjadi penyeri kehidupan rumah tangga dia dan bekas suaminya.

Pernikahan yang berlangsung atas dasar saling mencintai ternyata tidak menjanjikan sebuah kebahagiaan dalam perhubungan. Mungkin ini ujian yang perlu dilalui oleh Ally, tapi itu semua mematangkan dirinya dalam perhubungan dengan insan yang bergelar lelaki.

“Selepas tamat belajar saya dan bekas suami terus kahwin. Memang saya kahwin dalam usia yang muda. Bekas suami juga ketika itu berusia awal 20-an. Rumah tangga kami biasalah ada ketika bergolak dan ada ketika kami bahagia. Lama juga kami hidup bersama, hampir 17 tahun sebelum kami ambil keputusan untuk berpisah dengan cara yang baik.

Jual Nasi Lemak Seringgit Untuk Tanggung Kehidupan Tanpa Suami Di Sisi
Keluarga yang sentiasa ada untuk Ally

“Bukan tak pernah cuba untuk perbaiki hubungan yang ada, tapi saya rasa inilah jalan yang terbaik untuk kami berdua. Kami berpisah cara baik dan masih mengekalkan hubungan yang baik walaupun setelah berpisah.

Sepanjang hidup bersama, kami dikurniakan 3 orang anak. Dua lelaki dan seorang perempuan. Setelah berpisah dua orang anak pertama dan kedua tinggal bersama bekas suami kerana masih bersekolah. Selepas tamat sekolah dan bekas suami pun sudah mempunyai keluarga baru, anak-anak tinggal dengan saya di Ampang sehingga kini,” ujarnya mengimbas kembali kehidupan bersama bekas suami suatu masa dahulu. 

IKLAN

Tanggung Kehidupan

Meskipun anak-anak tidak tinggal bersama, hidup tetap memerlukan wang ringgit untuk kelangsungan hidup. Apatah lagi mempunyai anak-anak yang sedang membesar, sedikit sebanyak perlu juga Ally bekerja untuk menampung apa keperluan anak-anak tersayang. Lantas pelbagai pekerjaan telah dilakukan bukan sahaja untuk dirinya sendiri malah untuk keluarga tercinta.

“Ketika masih berkahwin, saya tidak mempunyai pekerjaan tetap. Adalah buat kerja sambilan itupun hanya ketika diperlukan. Jadi masa berpisah memang saya tiada punca pendapatan tetap. Tapi saya perlu buat sesuatu untuk tanggung kehidupan saya dan anak-anak. Memanglah anak-anak tidak tinggal dengan saya, tapi sedikit sebanyak saya perlu juga kerja untuk tampung keperluan dan beri pada mereka setiap kali berjumpa.

“Alhamdullilah walaupun tiada pekerjaan tetap, rezeki dari Allah itu sentiasa ada dan cukup untuk saya dan anak-anak. Sehinggalah kini yang menjadi pendapatan tetap untuk saya adalah menjual nasi lemak seringgit, jual mihun goreng dan sebagainya untuk menampung kehidupan saya dan anak-anak. Anak sulung pun dah mula bekerja tapi maklum sahajalah anak baru nak belajar hidup sendiri pasti ada sahaja yang belum cukup,” jelas Ally yang berasal dari Perak.

IKLAN
Jual Nasi Lemak Seringgit Untuk Tanggung Kehidupan Tanpa Suami Di Sisi
Ally bersama dua daripada tiga orang anaknya

Sentiasa Beri Sokongan

Menurut Ally, ketika berpisah dia seakan mempunyai kekuatan untuk teruskan kehidupan sendiri walaupun tiada suami di sisi kerana keluarganya banyak memberi sokongan dalam meneruskan hidup.

“Arwah ibu dan adik-beradik saya memang menjadi sumber kekuatan saya dalam meneruskan kehidupan selain anak-anak. Merekalah yang sentiasa memberi sokongan bukan sahaja dari aspek kewangan, malah juga sokongan moral yang tak pernah berbelah bahagi.

IKLAN

“Syukur juga saya mempunyai ramai kawan. Walaupun mereka tidak membantu secara terus dari sudut kewangan, daripada merekalah saya belajar selok-belok berniaga. Malah mengurut juga saya belajar dari kawan-kawan yang pada mulanya mengajak saya untuk jadi pembantu mereka. Kebetulan pula kawan-kawan saya memang kebanyakannya ibu tunggal, jadi kami sama-sama belajar hidup sendiri tanpa seorang lelaki yang bergelar suami di sisi,” ujarnya lagi.

Jual Nasi Lemak Seringgit Untuk Tanggung Kehidupan Tanpa Suami Di Sisi
Rakan-rakan yang sering beri dorongan dan nasihat

Rapat dengan keluarga dan mempunyai teman-teman yang sentiasa positif membuatkan Ally terus bertahan dan kuat dalam menjalani kehidupan sendirian tanpa suami di sisi. Mujur juga perniagaan penghantaran makanan yang telah dibuat sejak beberapa tahun lalu semakin hari semakin maju, malah setiap hari ada sahaja tempahan yang diterima membuatkan kehidupannya bersama anak-anak semakin bertambah baik.

Ally juga bersyukur mempunyai anak-anak yang baik dan senang untuk dijaga. Hidupnya bagaikan dipermudahkan Allah Yang Maha Esa, justeru menurutnya menjadi ibu tunggal bukanlah satu masalah, laluinya dengan penuh reda dan kembali kepada Allah supaya semua urusan dapat dipermudahkan.

“Bagi saya kita perlu reda dengan apa yang berlaku, jangan pernah persoalkan ketentuan Allah pada kita, itu semua ada hikmahnya. Berusahalah untuk memajukan diri demi kelangsungan hidup bersama anak-anak. Kalau boleh jangan belajar berhutang, sebab kelak membebankan kita kembali. Belanja semampunya sesuai dengan keperluan kita, walau tak mewah cukup segalanya dan dapat jalani hidup dengan bahagia itu sudah memadai,” titipnya sebagai nasihat buat ibu tunggal yang senasib dengannya.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI