
Tawaran gaji RM10,000 tapi interview di kedai makan, wanita pesan anak muda muda hati-hati dengan job scam.
Tawaran kerja dengan gaji mencecah RM10,000 sebulan sememangnya cukup mengujakan apatah lagi buat anak muda yang sedang mencari peluang mengubah nasib keluarga. Namun, jangan kerana terlalu teruja dengan janji pendapatan lumayan. Segala perkara diterima bulat-bulat tanpa usul periksa.
Itulah kebimbangan seorang wanita apabila secara tidak sengaja terdengar perbualan antara dua lelaki yang dipercayai sedang menjalani sesi temu duga pekerjaan di sebuah restoran The Chicken Rice Shop (TCRS).
Menerusi perkongsian di media sosial, Azrina Razali menceritakan bagaimana dia duduk betul-betul di belakang seorang lelaki berbaju putih yang sedang menawarkan peluang pekerjaan di Singapura kepada seorang pemuda Melayu berbaju hitam.

Menurut Azrina, kejadian berlaku sekitar pukul 1 lebih dan dia dapat mendengar dengan jelas perbualan kedua-dua individu berkenaan.
Apa yang menarik perhatiannya bukan sekadar tawaran gaji tinggi tetapi cara lelaki tersebut meyakinkan pemuda berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.
Gaji RM10,000, Siap Hostel Dan Elaun Makan
Menurut Azrina, lelaki berkenaan begitu petah berkata-kata ketika menerangkan peluang pekerjaan yang kononnya mampu memberikan pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.
Malah, bakal pekerja turut dijanjikan kemudahan penginapan dan elaun makan sekali gus memberi gambaran bahawa sebahagian besar pendapatan boleh disimpan setiap bulan.
Lebih menarik, lelaki tersebut turut menggunakan sentimen agama untuk meyakinkan pemuda berkenaan bahawa wang simpanan hasil bekerja di Singapura boleh digunakan bagi menunaikan ibadah haji.
“Memang lelaki Cina itu pandai berkata-kata. Katanya, ada kerja kosong di Singapura. Gaji boleh cecah RM5000 -RM10,000 sebulan, ada hostel dan ada elaun makan.
“Lelaki Cina itu juga gunakan agama sebagai tarikan dengan mengatakan confirm boleh simpan gaji bersih RM3000 – RM5000 sebulan dan bolehlah guna duit itu ke haji!” kongsinya.
Malah, lelaki tersebut turut membuat pengiraan mengenai jumlah wang yang boleh dikumpulkan sekiranya pemuda itu bekerja selama beberapa tahun.
“Untuk menarik lagi umpan scam, dia mengatakan kalau gaji sebulan RM6000 je pun, setahun dah dapat RM60,000. Kalau kerja 10 tahun?” tulis Azrina.
Bagaimanapun, tawaran yang kedengaran terlalu menarik itu menyebabkan Azrina mula berasa curiga.
Interview Di Kedai Makan, Mana Pejabat Syarikat?
Antara perkara yang paling mengundang persoalan Azrina ialah lokasi sesi temu duga yang berlangsung di sebuah restoran, bukannya di pejabat atau premis syarikat.
Walaupun temu duga di tempat awam bukan sesuatu yang mustahil, Azrina merasakan terdapat beberapa perkara lain yang wajar diperiksa sebelum seseorang menerima tawaran pekerjaan di luar negara.
“Kenapa saya syak lelaki Cina itu adalah agent job scammer?
“Interview pada hari cuti? Interview di TCRS? Kata gaji beribu-ribu, takkan office tak ada?” soalnya.
Selain lokasi temu duga, Azrina turut mempersoalkan mengapa hanya seorang calon dilihat menghadiri sesi berkenaan dan mengapa makanan pemuda itu dibelanja oleh individu yang menawarkan pekerjaan.
Lebih membimbangkan, menurut pemerhatiannya, tiada perbincangan mengenai pasport dan visa, sedangkan pekerjaan yang ditawarkan melibatkan negara jiran.
Malah, pemuda tersebut juga didakwa tidak diminta mengisi sebarang borang permohonan pekerjaan sepanjang perbualan yang didengarinya.

Bagi Azrina, perkara-perkara tersebut sudah cukup untuk menimbulkan tanda tanya, terutama apabila tawaran gaji yang lumayan dikaitkan dengan pekerjaan kilang.
Bimbang Anak Muda Terpedaya, Wanita Sempat Beri Amaran
Apa yang lebih menyentuh hati, Azrina bukan sekadar memerhati atau mendengar perbualan tersebut.
Melihatkan pemuda berbaju hitam itu seolah-olah berminat dengan tawaran yang diberikan, dia mengambil keputusan untuk berkongsi supaya lebih berhati-hati.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya harap budak lelaki baju hitam itu tak terpedaya dengan scammer itu. Nanti bukan kerja kat Singapore, tapi dipaksa jadi scammer kat Cambodia! Tapi nampak sangat budak lelaki itu macam berminat.
“Apa-apa pun, saya sempat bagi tahu budak lelaki itu yang lelaki Cina itu kemungkinan adalah job scammer, suruh dia hati-hati,” tulisnya.
Kebimbangan Azrina jelas memperlihatkan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan anak muda yang mungkin mudah tertarik dengan peluang pekerjaan bergaji tinggi.
Bagaimanapun, identiti individu yang menawarkan pekerjaan serta kesahihan tawaran berkenaan belum dapat dipastikan. Tiada bukti dikemukakan bahawa lelaki tersebut benar-benar terlibat dalam kegiatan penipuan pekerjaan.
Jangan Kerana Gaji Tinggi, Terus Percaya
Perkongsian Azrina wajar dijadikan peringatan kepada ibu bapa dan anak muda agar sentiasa berwaspada ketika menerima tawaran pekerjaan khususnya di luar negara.
Sebelum bersetuju, pastikan identiti majikan, alamat syarikat, kontrak pekerjaan, permit kerja dan syarat pengambilan pekerja disemak melalui saluran rasmi.
Temu duga di restoran atau pada hari cuti tidak semestinya menunjukkan sesuatu tawaran itu palsu. Namun, kegagalan memberikan maklumat majikan yang boleh disahkan atau penjelasan mengenai dokumen pekerjaan merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan.
Dalam keadaan anak muda sedang berusaha mencari rezeki dan membina masa depan, jangan sampai impian memperoleh gaji besar akhirnya membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Kadangkala, satu teguran daripada orang yang tidak dikenali mungkin cukup untuk menyelamatkan seseorang daripada membuat keputusan yang bakal dikesali seumur hidup.

download sekarang!
