
Kejayaan anak dijadikan trofi ibu bapa, Dr Rizal dedah punca anak menjauh bila dewasa.
Pernahkah kita tertanya-tanya, mengapa ada anak-anak yang semakin menjauh daripada ibu bapa selepas dewasa dan berjaya? Sedangkan sejak kecil, mereka diberikan pendidikan terbaik malah ribuan ringgit dibelanjakan demi memastikan masa depan anak-anak lebih terjamin.
Isu ini sebenarnya cukup dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini. Di sebalik kejayaan yang dibanggakan, ada ibu bapa yang akhirnya terpaksa menelan kepahitan apabila hubungan dengan anak-anak semakin dingin.
Menerusi satu perkongsian dari Pakar Psikologi Kesihatan Klinikal, Dr Rizal Abu Bakar menceritakan mesej menyedihkan yang diterimanya daripada seorang ibu.

Wanita itu meluahkan rasa terkilan apabila anak-anak yang sudah dewasa seolah-olah tidak lagi mengambil peduli tentang dirinya. Sedangkan dahulu, dia bersama suami berhempas pulas membesarkan anak-anak dan melakukan pelbagai pengorbanan demi memastikan mereka berjaya. Namun, apabila anak-anak sudah dewasa dan mencapai kejayaan, hubungan mereka pula semakin renggang.
Menurut Dr Rizal, kisah sebegini bukanlah sesuatu yang terpencil sebaliknya turut berlaku dalam banyak keluarga. Persoalannya, mengapa keadaan ini boleh terjadi?
Pakar psikologi kesihatan klinikal ini berkongsi satu penyelidikan dari Universiti Cornell yang menurutnya dijalankan selama bertahun-tahun bagi memahami mengapa sesetengah anak dewasa memutuskan hubungan dengan ibu bapa apabila dewasa sedangkan yang lain kekal rapat.
Menurutnya, punca anak menjauh bila dewasa bukan semata-mata berkaitan jumlah wang yang dibelanjakan untuk pendidikan, kekerapan percutian keluarga atau sama ada ibu bapa terlalu tegas mahupun berlembut.
Sebaliknya, ada ibu bapa yang terlalu obses mengatur setiap perincian kehidupan anak demi memastikan mereka berjaya.
Pelbagai aktiviti disusun, anak-anak didaftarkan ke pusat tuisyen dan dihantar mengikuti kelas tambahan. Namun, di sebalik segala usaha itu, ibu bapa masih tertanya-tanya sama ada pengorbanan mereka sudah mencukupi.

Kejayaan Anak Dijadikan Trofi Ibu Bapa
Ibu bapa mana yang tidak berbangga melihat anak naik ke pentas menerima anugerah kecemerlangan? Meraih tempat pertama dalam peperiksaan, memperoleh keputusan cemerlang atau menggenggam segulung ijazah, semuanya diraikan sebagai detik paling bermakna.
Tidak kurang juga yang berkongsi pencapaian tersebut di media sosial sebagai lambang kejayaan membesarkan anak-anak.
Namun, menerusi kajian yang dikongsikannya, Dr Rizal menjelaskan bahawa sikap ibu bapa yang terlalu mengaitkan pencapaian anak dengan kejayaan diri sendiri boleh menjejaskan hubungan emosi sehingga anak memilih untuk menjauh apabila dewasa.
Keadaan ini dikenali sebagai parental enmeshment iaitu keterikatan emosi yang keterlaluan apabila identiti ibu bapa terlalu bergantung pada pencapaian anak-anak.
“Bahasa sekarang ialah kejayaan anak naik pentas adalah tropi untuk mak ayah. Bukan untuk anak. Mak ayah jadikan ia medan menjulang nama mak ayah di media sosial.”

Menurut perkongsian Dr Rizal, semakin kerap anak dilayan seperti sebuah projek yang perlu disempurnakan, semakin besar kemungkinan mereka mahu melepaskan diri daripada kawalan ibu bapa apabila dewasa.
“Penyelidikan menunjukkan bahawa semakin kerap tuan/puan melayan anak tuan/puan seperti projek yang perlu dioptimumkan, semakin tinggi kemungkinan mereka akan ‘memecat’ tuan/puan sebagai pengurus mereka sebaik sahaja mereka dewasa.”
Membina Resume, Bukan Hubungan
Dr Rizal turut menekankan bahawa membiarkan anak menjadi diri sendiri bukannya sentiasa mengawal hala tuju kehidupan mereka merupakan perkara penting dalam mengekalkan hubungan kekeluargaan.
Pendekatan ini dikenali sebagai autonomy support iaitu sokongan terhadap kebebasan anak membuat pilihan sendiri.
“Inilah hakikat yang pahit: jika anak tuan/puan hanya menghubungi tuan/puan semata-mata kerana rasa bersalah, tuan/puan sebenarnya telah pun kehilangan mereka.”
Menurutnya, apabila ibu bapa terlalu mengutamakan pencapaian anak berbanding keperibadian mereka sebagai manusia, hubungan yang dibina akhirnya lebih menyerupai usaha menghasilkan sebuah resume cemerlang.
“Apabila tuan/puan mengutamakan pencapaian mereka melebihi keperibadian mereka sebagai manusia, tuan/puan sebenarnya bukan sedang membina hubungan sebaliknya sedang membina sebuah resume.”
Hakikatnya, anak-anak tidak mahu setiap keputusan hidup mereka sentiasa ditentukan oleh ibu bapa.
“Mereka tidak mahukan seorang pengurus; mereka mahukan seorang teman dalam hidup mereka.”
Beralih Daripada Kawalan Kepada Ikatan Jiwa
Bagi memperbaiki hubungan tersebut, Dr Rizal menyarankan ibu bapa beralih daripada sikap terlalu mengawal kepada usaha membina ikatan emosi yang lebih erat dengan anak-anak.
Anda mungkin berminat dengan
Antara langkah yang boleh dilakukan ialah memberi anak kebebasan menyuarakan pandangan, termasuk dalam perkara kecil seperti memilih pakaian atau menentukan hobi yang diminati.
“Sekiranya mereka tidak berasa selamat untuk berbeza pendapat dengan tuan/puan dalam perkara-perkara kecil, seperti apa yang ingin mereka pakai atau hobi yang ingin mereka pilih, mereka tidak akan pernah berasa selamat untuk berkongsi perkara-perkara besar dengan tuan/puan kelak.”
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya menerima anak sebagai individu yang mempunyai pendirian dan pilihan sendiri bukannya seseorang yang perlu dibentuk sepenuhnya mengikut kehendak mereka.
“Layan mereka sebagai individu berasingan yang sedang tuan/puan kenali bukannya sebuah produk yang cuba tuan/puan siapkan.”
Bina Jambatan Kasih Sayang, Bukan Trofi Kejayaan
Dalam mengakhiri perkongsiannya, Dr Rizal menitipkan pesanan agar ibu bapa belajar melepaskan keinginan untuk menguasai kehidupan anak-anak.
“Tanggungjawab kita bukanlah membina trofi untuk dibanggakan kepada dunia; tanggungjawab kita adalah membina jambatan yang benar-benar ingin mereka seberangi.”
Menurutnya, sekiranya ibu bapa mahu anak-anak terus berada dalam kehidupan mereka pada masa hadapan, kebebasan dan pilihan anak perlu dihormati sejak awal.
Ini kerana apabila anak-anak diberi ruang untuk mencorakkan kehidupan sendiri, mereka juga akan lebih rela memilih untuk terus mengekalkan hubungan dengan ibu bapa apabila dewasa.
Kejayaan anak sememangnya membanggakan, namun hubungan kekeluargaan yang terpelihara jauh lebih bermakna daripada sekadar deretan anugerah dan pencapaian untuk dipamerkan kepada dunia.

download sekarang!
