Tular satu video di facebook…mengenai isi perbualan antara sepasang suami dan isteri. Rata-rata komen yang ditinggalkan mencemuh tindakan suami yang seolah-olah merendah-rendahkan maruah isteri dengan sengaja mencari isu demi isu, atas nama ‘prank’.
Menurut Ustazah Isfadiah Ahmad Dasuki yang dihubungi MW petang tadi, sebenarnya gurauan antara suami isteri itu ada waktunya berbunyi agak kasar dan kedengaran menyakitkan hati. Walau bagaimanapun ianya adalah gurauan normal dikalangan mana-mana pasangan suami isteri.
Gurauan ini akan menjadi sebaliknya, sekiranya dirakamkan dan dimuat naik ke platform media sosial. Sekaligus ia membuka ruang untuk orang luar meninggalkan komen, membuat penilaian dan menghentam perbuatan itu.
Tambah Ustazah Isfadiah lagi, jangan kerana mahu mengejar ‘like’ dari manusia, kita sampai jadi manusia yang lupa mengejar ‘like’ Allah SWT.
“Pada pandangan saya ini merupakan perkara yang berkaitan suami isteri yang sepatutnya tak perlu pun didedahkan kepada umum. Ia termasuk dalam perkara yang harus dihijab atau ditutup oleh pasangan suami isteri dan bukan untuk bahan pengisian dalam media sosial. Mungkin bahasa gurauan tersebut hanya difahami oleh pasangan itu sahaja.
“Sebaliknya apabila dikongsikan di media sosial, kita khuatir ia menjemput penyakit hati, mengundang emosi marah dan menjadi perkara yang mengaibkan. Janganlah kerana mengejar ‘like’ dari manusia, kita sampai terlupa mengejar ‘like’ dan keredhaan dari Allah SWT,”pesan beliau.
Ads
Berpada-padalah berkongsi hal rumah tangga di media sosial kerana ia perkara yang perlu disimpan dan bukan untuk tatapan umum
Elakkan mengikut budaya negatif
Budaya prank ini adalah satu bentuk gurauan melampau bertujuan untuk menunjukkan perangai dan sisi lain seseorang. Elakkanlah terikut-ikut dengan budaya yang tak memberi manfaat. Sebaiknya dalam mengejar redha Allah, suami mahupun isteri haruslah saling sakinah, rahmah dan mawaddah dalam sesebuah perkahwinan.
Inilah sebahagian cita-cita dan tujuan perkahwinan itu sendiri, benarlah firman Allah SWT:
Maksudnya:“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir”.
(Surah Al-Rum: 21)
Demikianlah indahnya ungkapan ayat-ayat al-Quran yang menyatakan, betapa perlunya kepada perkahwinan dan bagaimanakah terhasilnya perlindungan, kebahagiaan dan ketenteraman.
Menurut Ustazah Isfadiah lagi, suami haruslah menjadi pelindung dan pemimpin yang baik kepada isteri serta rumah tangga. Kita berkahwin untuk dapatkan redha Allah, bukan hanya cinta semata-cinta. Berhati-hatilah dalam bergurau.
Ads
“Budaya ‘prank’ kan pasangan masing-masing ini telah menjadi popular sejak akhir ini. Budaya gurauan melampau ini perlu dielakkan. Elakkan melakukan perkara yang lagha, sia-sia sama ada di dunia mahupun akhirat. Sebaiknya sama ada suami atau isteri kedua-duanya haruslah menjaga aib yang sepatutnya dalam rumah tangga dan bukan sebaliknya. Berpadalah dalam bergurau,”ulasnya.
Elakkan mengecam
Budaya berkongsi perkara lagha terutamanya mengenai hal ehwal serta isu rumah tangga ke media sosial ini sangat tidak baik dan menakutkan kerana ia boleh menjatuhkan maruah keluarga sendiri. Melakukan perkara lagha (perkara sia-sia yang tak membawa faedah) demi nak popular di media sosial bukanlah perkara yang diunjurkan dalam Islam.
“Sebaiknya jadikan isu ini sebagai panduan. Elakkan mengecam, sebaliknya titipkan nasihat yang baik-baik. Apa yang membimbangkan orang yang kita kecam itu, mana tahu satu hari nanti…Allah pula akan mengangkat darjat mereka dan menjadikan mereka manusia yang lebih baik dari apa yang kita sangka. Wallahualam,”ulas Ustazah Isfadiah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap anak-anak memang ada ‘perangai’ masing-masing. Ada anak yang mudah diurus, ada pula yang sebaliknya. Jenis memberontak tak reti diam. Pengacara Yatt Hamzahmenggunakan pendekatan sabar dalam mendidik anak-anak. Terutama anak kedua nya, yang dimaklumkan ada ciri-ciri itu.
Yatt Hamzah yang lebih selesa membahasakan dirinya ‘Bonda’ di instagram dikurniakan tiga orang cahayamata, Suci Hanania Malika, Humaira Iqlima dan Suci Hayfaa Media. Ketika ini, Yatt sedang hamilkan anak keempatnya.
Menerusi instagramnya Yatt berkongsi tip keibu bapaan; bagaimana seharusnya mak ayah melayani anak-anak jenis memberontak ini. Pendekatan sabar itu lah kuncinya. Nak dapatkan sabar itu, mak ayah kena buat 5 tip yang Yatt kongsikan ini.
“Bonda faham sangat jika ada ibu bapa yang stress didik anak-anak yang XTRA AGRESIF, TAK RETI DIAM/HYPER & REBELLIOUS. Sebab anak Bonda yang no. 2 pun macam.
“Tapi SABARLAH, kerana SABAR je kuncinya.”
“YES, it’s THE ONLY KEY TO HANDLE AGGRESSIVE CHILD. Kalau kita guna kekerasan, macam siram petrol pada api. Makin teruk dan buruk bukan makin elok.
“Yang penting BERSYUKUR, Allah bagi anak, Anugerah yang tak ternilai ini. Bayangkan jika hidup kita tanpa mereka. Pasti jauh lebih buruk. Maka, bersyukur dan bersabar.”
5 Tip Yatt Hamzah ‘Handle’ Anak-anak Dengan Sabar
“Ni Bonda share beberapa tips untuk handle anak-anak Agresif dengan cara psikologi dan Islamik. Moga bermanfaat.”
1. Jangan Jerit Pada Anak
Kenapa perlu jerit bila boleh cakap baik-baik dengan anak? Buang masa dan sakitkan tekak je. Kajian menunjukkan anak-anak lebih taat bila ibu bapa bercakap dengan nada yang baik dan lembut.
Menjerit pada anak-anak hanya buat mereka rasa down, takde harga diri dan malu. Lebih-lebih lagi jika depan orang lain. Mereka akan lebih degil dan memberontak.
Lebih teruk, mereka akan ikut perbuatan kasar kita dan buat pada orang lain dan ahli keluarga. Boleh tinggikan sedikit tone suara menunjukkan ketegasan bila menegur. Tapi jangan sesekali menjerit dan menengking.
2. Jangan Pukul Anak Dari Lutut Ke Atas
Kawal diri sebagai ibu bapa. Elak pukul anak dari lutut ke atas. Kalau marah sangat, pukul tapak kaki anak. Jangan sesekali pukul badan, tangan, lebih-lebih lagi bahagian muka dan kepala.
Percayalah ini hanya beri kesan negatif pada anak, lebih teruk mereka akan jadi trauma kerana dipukul bila buat silap. Rapatlah dengan anak. Nasihat dulu, baru pukul (jika perlu).
3. Jangan Guna Tangan/Kaki Untuk Pukul Anak
Walaupun kita mungkin pernah alami perkara ni, jangan sesekali menampar anak dengan tangan. Ia akan jadi lebih buruk.
Anak akan lebih nakal dan degil. Worse, ada ibu bapa guna kaki untuk tendang anak-anak. Ini bukan mengajar tapi mendera dan sangat ditentang ISLAM.
4. Jangan Mengeluh Depan Anak
Jangan mengeluh dalam membesar dan mendidik anak-anak. Keluhan adalah racun yang rosakkan hubungan ibu bapa dan Anak. Keluhan akan buat anak-anak rasa diri mereka beban.
5. Jangan Tipu Anak
Na’udzubillah. Ibubapa kena bijak explain pada anak-anak tentang sesuatu agar mereka faham. Bagitahu kebenaran dan mengelak dengan bijak jika kebenaran itu akan memudaratkan mereka.
MW : Dapatkan tipnya mak ayah, masih sempat untuk kita perbaiki mana yang kurang dalam mendidik anak-anak ya mak ayah.
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ammar dan anak bongsunya, Zahraa.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selama ini, tujuan makan madu selain nak sihat tentu-tentulah nak sembuhkan penyakit. Tapi kenapa walau dah habis berbotol madu, sakitnya masih ada.. tak jadi ubat. Rupanya cara minum madu itu yang salah.
Dr Hisham bin Hashim, seorang herbalis dan gemologis memaklumkan petua bukan sekadar apa yang difikirkan sebagai tinggalan orang dulu-dulu. Petua itu sebenarnya adalah daripada Rasulullah SAW.
Mengamalkan pemakanan sunnah sepatutnya memberi kesan yang cukup baik. Antara makanan sunnah adalah habbatus sauda, madu lebah dan minyak zaitun. Tapi mengapa pemakanan yang disebutkan dalam al Quran mahupun hadis dengan kesan penyembuhan ini tetap tidak memberi kesan penyembuhan dalam diri seseorang?
Maka itu, perlunya petua dirujuk kembali. Kerana antara petua dan ilmu itu, petua juga sama penting. Andai ada ilmu yang banyak sekalipun, tanpa cara betul mengamalkan petua, Petua tetap tidak menjadi ubat.
Kredit foto : cakrawalasehat.blogspot.com
Madu lebah mempunyai kesan penyembuhan yang hebat. Yang mana lebah-lebah akan bekerja mengumpulkan nektar dengan berpandukan wahyu Allah. Haiwan kecil ini menggunakan laluan pergi dan balik seperti yang Allah arahkan. Punyalah hebat ciptaan Allah ini.
Setiap nektar yang mahu dimasukkan ke sarang lebah itu pun ditentukan dahulu kualitinya oleh Ratu Lebah. Hanya yang terbaik saja yang lepas. Malah ketika nektar mahu dimasukkan ke dalam sarang, setiap makhluk berzikir. TAPI KENAPA BILA KITA MAKAN TETAP TAK JADI UBAT?
Ini kerana apa yang kita amalkan itu tidak betul caranya. Memakan madu untuk tujuan penyembuhan perlu ada cara dan waktu makan yang tepat mengikut jenis-jenis penyakit yang mahu dirawat.
“Sebab Allah cipta alam ini ada gelombangnya yang tersendiri. Ada elektro magnetnya. Allah jadikan bumi ini tidak terpisah. Jika anda jumpa kunci pembukanya (orang yang nak buka) untuk penyakit. Frekuensinya kena betul, insyaallah madu akan menjadi ubat.”
Sebelum Ambil Madu, Betulkan Dulu Cara Hidup Anda
Sekiranya seseorang betulkan cara hidup, dia hampir-hampir tak perlu makan ubat. Ini cara betulkan kembali ‘way of life’ kita.
1. Betulkan Cara Makan
Perut adalah rumah penyakit. Ini yang Rasulullah lakukan sebelum makan. Baginda akan mencubit sedikit garam dengan menggunakan ibu jari dan jari manis. Lalu cubitan kecil tadi diletakkan pada bahagian lidah yang paling masin, iaitu di tepi lidah. Ketika garam menyentuh lidah, air liur akan keluar dan merembeskan asid.
Bermakna sebelum nasi masuk ke mulut, asid sudah keluar dulu. Asid inilah nanti akan ke bawah dan makanan berada di atasnya untuk dicernakan.
Kredit foto : cikgufieqa.blogspot.com
Sebaik selesai makan, ambil semula garam dengan cara sebelum makan tadi. Cara ini membuatkan makanan berada dalam badan tak melebihi 20 jam. Semua makanan yang melebihi 20 jam akan menyebabkan berlaku keracunan dalam perut. Menjadi amalan sunnah juga untuk hisap hujung jari selepas makan.
Bermula dari ibu jari sampai jari kelingking dan ke ibu jari semula. Ini adalah fitrah yang telah Allah tentukan untuk menjaga keseimbangan hormon manusia.
2. Makan Buah Dengan Betul
Buah perlu dimakan sebelum ambil makanan yang berat. Konsepnya sama seperti di atas, untuk mengelakkan pengumpulan gas dalam perut yang boleh mengakibatkan keracunan.
3. Tidur Dengan Cara Yang Rasulullah Ajar
Sebelum tidur, kibas-kibas dahulu tempat tidur. Baca doa tidur, 3 Qul (Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas) dan sebagainya. Badan mengiring ke kanan kerana ia ada bersangkutan dengan paru-paru.
Ketika bangun, menggeliat dulu kanan dan kiri serta tengah dan melonjakkan kaki. Kemudian minum air secawan. Jangan sesekali minum berdiri. Minum secara duduk untuk elakkan sakit lutut ketika usia mencecah 40 tahun.
Rasulullah juga amalkan makan daging kambing dari kaki kanan yang bahagian hadapan. Sebab di situ tiada kolesterol.
4. Cara Mandi Untuk Elakkan Rebah Dalam Bilik Air
Sebelum masuk bilik air, langkah dengan kaki kiri, baca doa untuk masuk ke dalamnya. Dalam bilik air suhu gelombangnya tak sama macam ruang lain di rumah anda. Dalam itu, banyak benda tak elok suka duduk.
Dah masuk, jangan terus jirus kepala. Siram dulu dari kaki sampai kepala lutut. Beralih pula ke pinggang naik ke bahu. Patah semula jirus ke kaki. Masa yang sama anda akan rasa haba panas keluar dari celah ketiak. Bila haba panas dah keluar habis, barulah jirus kepala.
Kalau masuk bilik air terus jirus kepala, itu yang boleh jadi darah tinggi. Nak keluar bilik air pula langkah dengan kaki kanan. Baca doa keluar bilik air.
Apabila ‘way of life’ ini dapat dikembalikan dengan cara yang betul. Baik anda sedang makan ubat-ubatan dari hospital, mahupun herba, ia akan memberi kesembuhan yang lebih sempurna.
Cara Betul Minum Madu Sampai Jadi Ubat Untuk Sembuhkan Penyakit
1. Pilih Madu Yang Asli, Caranya..
Hati-hati ketika membeli madu. Ini kerana, 60 peratus madu yang ada di pasaran banyak yang tiruan. Banyak petua dikongsikan untuk mengesan madu asli. Misalnya, tengok yang paling likat, tak dihurung semut dan sebagainya. Tapi dengan kepandaian sekarang semua itu boleh direka.
Kredit foto : diarialyn.blogspot.com
Cuma satu cara ini, manusia tak boleh tiru. Caranya : Ambil piring, tuangkan madu satu sudu kecil di atasnya. Kemudian, siramkan air suam. Goncang. Jika madu asli, anda akan nampak ia membentuk corak sarang lebah atau heksogan.
2. Minum Madu Untuk Rawat Sakit Di Bahagian Kepala
Penyakit yang dialami di bahagian kepala seperti migrain, madu hendaklah diminum terus. Jangan dicampur air. Oleh sebab penciptan bumi dan manusia yang daripada tanah ini tidak terpisah, ada gelombang yang berputar 24 jam maka jadual makan madu perlu tepat. Untuk rawatan di bahagian kepada, ambillah selepas waktu subuh tapi sebelum habis waktu dhuha.
2. Untuk Rawatan Bahagian Badan
Masalah berkaitan perut, usus untuk capai nikmat kesembuhan maksima minumlah madu dengan air suam. Madu walaupun sejenis cairan ia mengandungi atom yang kuat. Sebab itu, dia kena dicairkan dengan air.
Cara minum : Ambil satu sudu teh saja pada waktu selepas dhuha ke zohor. Biar sedikit asalkan istiqomah.
Kacau madu ikut arah lawan jam. Ini kerana semua benda yang lawan jam akan menghasilkan tenaga. Manakala yang ikut jam akan menguraikan energi dan tak jadi ubat. Contoh paling mudah, ketika orang bertawaf dan pokok yang menjalar.
3. Ambil Madu Untuk Rawat Bahagian Pinggang Ke Bawah
Cara minum : Masa yang perlu diambil ketika ambil madu antara waktu zohor ke asar.
4. Rawatan Bahagian Bawah
Waktu minum madu adalah antara asar ke maghrib. Sebab gelombang pada waktu ini menurunkan sistem imun badan kita.
Kredit foto : honeycity.com.sg
Tip Ini Penting!
√ Penyakit ini datang sebab adanya suhu panas dan sejuk. Bila kita sakit, majoriti suhu badan akan meningkat. Ketahanan badan pula menurun.
√ Macam mana nak tahu sama ada badan kita sedang panas atau sejuk. Check cuping telinga. Kalau cuping telinga sejuk bermakna badan kita tengah panas dan kalau cuping telinga panas, bermakna badan anda sejuk.
√ Sebab itu, campuran air dan madu pun kena betul. Untuk dapatkan madu yang panas, kena tuang air dulu dalam gelas baru letak madu. Manakala untuk dapatkan madu sejuk, letak madu dulu dalam gelas barulah tuang air.
Jika Badan Panas
Cara minum madu -> madu dulu dalam gelas baru campur air = madu sejuk
Dan bila diminum dengan cara ini ia akan sejukkan badan.
Jika Badan Sejuk
Ini cara minum madu -> tuang air dulu dalam gelas baru campur madu = madu panas
√ Selepas minum madu, jangan makan campuran ikan dengan susu. Elakkan makan ikan dengan daging. Ini yang dikatakan laut jangan bertemu darat. Tak bagus untuk perut.
√ 1 sudu kecil madu kelulut bersamaan dengan 10 sudu kecil madu biasa. Ini kerana lebah kelulut itu kecil, ia boleh masuk sampai ke rongga bunga. Tapi hati-hati ketika membeli madu kelulut. Jangan cari yang berwarna susu kerana dibimbangi ada campuran buah laici yang masam.
√ Madu mentah ini boleh ‘boost’ energi seseorang. Jika mahu memandu jarak jauh katakan pukul 4 petang nak bergerak, jam 8 pagi dah kena minum.
√ Jangan letak madu di tempat yang akan mengubah molekul madu. Dalam peti ais misalnya.
√ Madu juga boleh jadi ubat mata yang mujarab. Campurkan dengan air hujan dan titiskan di mata. Nanti akan ada rasa pedih. Titikkan antara waktu selepas subuh dan sebelum dhuha. Kenapa ikut prinsip minum madu yang dinyatakan di atas untuk rawatan di bahagian kepala.
Kalau tidak ikut waktu yang tepat, ia menghilangkan rasa sakit tapi tidak menghilangkan penyakit.
Dr Hisham Hashim
Kenali Dr Hisham Hashim
Anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang. Ketika ini bertugas sebagai penyelidik Mineral di Jabatan Mufti Brunei Darussalam, Bahagian Penyelidik Artifak ke bawah Duli Tuanku Sultan Haji Hassanal Bolkiah Brunei Darussalam, Pengerusi Kelab Pengumpul Batu Permata Utara Malaysia dan Pengasas Total Health Management.
Pengkhususan beliau berkaitan batu permata dan nilai perubatan. Pengetahun berkaitan herba bermula daripada salasilah keluarga dari Mesir yang ahli herba. Yang bersamaan dengan Ibnu Sina. Dari Mesir datuk dan nenek beliau berhijrah ke India, seterusnya Indonesia dan akhirnya Pulau Pinang.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...