Jangan Bersedih Bila Diuji, Pandanglah Orang Lain Yang lebih Berat Ujiannya

Jangan bersedih. Tiap orang yang hidup di dunia ini pasti menghadapi pelbagai jenis ujian. Namun, andai kita larut dalam kesedihan, diri sendiri yang akan lebih merana. Oleh itu, carilah penawar kesedihan itu.

Jangan Bersedih, Kaji Penyebab

Jika kita ditakdirkan merasai kekecewaan berpunca daripada perangai anak yang lebih banyak menghadap telefon berbanding berkhidmat kepada ibu bapanya, memang sedih! Mereka seolah-olah hanyut dalam dunianya sendiri. Abaikan orang tua, lupakan ilmu, lalai mengejar kesenangan dan hiburan.

Kesedihan lain yang kerap dirasai wanita adalah berpunca daripada suami mereka, berjodoh dengan lelaki miskin amatlah perit menanggung kesusahan tetapi dapat suami kaya pula suka menghinakan, memerli sesuka hati, egonya pula melangit tinggi. Kemudian tiba-tiba penyakit datang, bertambah lagi derita hidup yang mesti ditelan, seolah-olah dunia ini isinya hanya ujian.

Benarlah sungguh firman-Nya: “Allah, dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kalian siapa di antara kalian yang paling baik amalannya.” (Surah al-Mulk ayat: 2)

Ada insan yang tak dapat tidur berfikir tentang jalan keluar untuk mengakhiri ujian yang dideritai. Ada yang tak lalu makan, tak kering wajah daripada air mata, tak mampu tersenyum walau seketika. Akhirnya jika dia tak kuasa menasihati hatinya untuk bersabar boleh jadi penyakit jiwa akan menewaskannya. Kita berlindung kepada Allah SWT dari segala keburukan yang dideritai hati yang terlampau sedih.

Lagi artikel di sini:

Pujian Suami Boleh Jadi ‘Penawar’ Rasa Kurang Yakin Diri Isteri

Setiap Kita Diberi Ujian Hidup Berbeza, Sentiasalah Bersangka Baik

IKLAN

Ikuti kami di Instagram Mingguan Wanita:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

 

Jangan Bersedih Bila Diuji, Pandanglah Orang Lain Yang lebih Berat Ujiannya

Bagaimana Menasihati Hati Supaya Kekal Bersabar Sampai Ke Syurga?

PUJUK HATI LIHAT KEPADA UJIAN YANG DIDERITAI ORANG LAIN

Setiap hari ada saja deraan yang diterima hati kita, yang ringan hingga berat semuanya terpaksa diharungi dengan susah payah. Sedih ketika suami suka memerli dengan perkataan yang menyakitkan? Kecewa dengan isteri yang perangainya kasar dan tidak menghormati suami? Sakit hati melihat anak-anak yang wajahnya penuh kebencian apabila bermuamalah dengan ibu bapa? Dendam kepada majikan yang kejam memerah tenaga tanpa rasa prihatin?

Bila sedih, ubat pertama adalah lihat orang lain yang lebih teruk kesedihan dan ujiannya.

Sedangkan Nabi s.a.w kekasih Allah SWT juga disentuh kesedihan dan ujian yang berganda-ganda lagi sakitnya apatah lagi kita insan biasa yang jahil lagi miskin amal. Kita rasa susah tapi Nabi lebih hebat susahnya, dihina, diboikot, dirampas hartanya, diancam bunuh, sehingga mengorbankan isteri dan anak-anaknya dalam perjuangan dakwah baginda.

Tengoklah juga kehidupan orang-orang yang lebih teruk lagi diuji pada zaman sekarang. Insya-Allah kesedihan hati bertukar menjadi rasa syukur sebab kita lihat apa yang kita derita lebih ringan dari orang lain.

JANGAN SEDIH, TERIMA HAKIKAT DAN TAKDIR 

Jangan bersedih. Segala jalan yang kita tempuh telah tergaris dalam catatan takdir yang Allah tuliskan sebelum Dia mencipta kita. Jadi jangan sedih kerana ia satu catatan yang perlu dijalani seorang hamba, tak payah salahkan orang lain jika kita rasa sedih.

Hadapinya dengan penuh kerelaan dan ketaatan seorang hamba kepada ketentuan Allah SWT. “Allah telah menulis segenap takdir manusia (di lauh mahfuz) 50.000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi.” (Hadis riwayat Muslim)

Jika kita masih menyalahkan orang lain nescaya hati selamanya tidak akan tenang, namun berserah diri dan reda kepada Allah sememangnya menjadi senjata untuk mengakhiri segala kepiluan.

INGATLAH MATA AIR PAHALA YANG SENTIASA MELIMPAH

Ada pahala yang tak pernah kering sentiasa mengalir selagi kita diuji iaitu pahala sabar. “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan ukuran yang tak terkira.” (Surah al-Zumar ayat: 10)

Kalau isteri mengomel, suami dapat pahala sabar. Begitu juga suami yang cerewet menjadi sebab isteri dilimpahi pahala sabar. Bila pasangan berhenti menyakiti maka berhenti jugalah pahala sabar untuk kita.

Oleh itu reda dan bergembiralah dalam hati kerana pasangan anda sedang menghadiahkan pahala kepada anda. Apatah lagi yang diuji dengan musnahnya harta benda dan anak-anak, betapa penuh melimpah pahala yang diterima. Rasulullah s.a.w bersabda: “Ujian tetap menimpa atas diri orang mukmin dan mukminah, anak dan juga hartanya sehingga dia bertemu Allah dan pada dirinya tiada lagi dosa. (Hadis al-Tirmizi)

Kemudian sabda Nabi s.a.w lagi: “Tidaklah seorang mukmin ditimpa sakit, letih, demam, sedih, sehingga risau yang mengusiknya melainkan Allah mengampuni dosa-dosanya.” (Hadis Al-Bukhari dan Muslim)

JANGAN SEDIH, ASBAB DIANGKAT DOSA

Allah timpakan ujian dengan bersebab supaya diangkat dosa dan dilimpahinya si hamba dengan pahala yang mencurah-curah.

Tidak mengapalah hati diuji, sedih sesekali kerana nanti di syurga ramai malaikat yang mengucapkan selamat kepada kita: “Sedang malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu sambil mengucapkan selamat ke atasmu kerana kesabaran kamu dahulu. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu (syurga).” Surah al-Ra’ad ayat: 23-24

Sungguh dalam tangisan ada mata air syurga yang kita kumpulkan.

Artikel: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam.