Jadi insan yang memberikan manfaat kepada orang lain yang ada di sekelling kita. Mari kita telusuri kehidupan harian ini. Siapa kita, di mana kita berada, apa kerja yang kita lakukan saban hari, itulah kehidupan yang perlu dilalui hingga ke penghujungnya.
Sabar Jadi Penawar
Tentu kita bahagia jika bahagian kehidupan itu serasi dengan kehendak dan cita-cita hidup kita. Jika belum serasi lagi maka kesabaran adalah penawarnya.
Walau apa situasi kita lalui, kehidupan mesti diteruskan secara positif dan penuh makna. Isteri atau suami harus berbakti kepada pasangan selagi mereka masih hidup. Ibu bapa terus berbakti kepada anak-anak hingga mereka dewasa dan berdikari. Pekerja harus terus berkhidmat kepada majikan selagi mereka berstatus sebagai pekerja.
Jadi Isteri Berbakti Pada Suami Kerana Allah
Sebagai seorang isteri, kebaktian kepada suami merupakan tanggungjawab yang amat mulia. Oleh itu berbaktilah kepada suami anda dengan sebaiknya. Taati kemahuan suami selagi tidak melanggar perintah syarak. Dengar nasihat dan teguran suami dengan penuh ketaatan kerana syurga isteri berada di bawah tapak kaki suami. Maruah suami dipelihara. Makan-minum suami dijaga dengan baik. Pakaian dan hiasan luaran suami dipersiapkan dengan secantiknya.
Dengan kata lain, isteri memberi khidmat yang terbaik kepada suami demi mencari keredaan Tuhan. Kepatuhan kepada suami disempurnakan hanya kerana Allah SWT, walaupun kehidupan yang dilalui serba kekurangan.
Sebagai seorang suami, lakukan kebaktian yang terbaik untuk isteri. Isteri merupakan amanah kepada suami. Sempurnakan nafkah kepada isteri mengikut kemampuan yang sepatutnya. Jaga tutur-kata agar tidak mengguris hati isteri. Jaga tingkah-laku agar isteri selesa berada di sisi suami.
Jika anda dan pasangan dikurniakan anak-anak, maka jadilah ibu bapa yang berbakti kepada anak-anak. Insya-Allah anda bakal beroleh kebahagiaan dengan amalan mulia itu. Jika anak-anak masih bersekolah, kejutkan mereka di awal pagi. Siapkan pakaian dan sarapan mereka.
Beri motivasi ketika mereka mahu melangkah ke sekolah. Iringi pemergian mereka ke sekolah dengan doa kepada Allah SWT agar mereka beroleh ilmu yang bermanfaat demi kejayaan masa depan mereka.
Sekiranya anak-anak sudah dewasa, teruskan berbakti kepada mereka. Kendalikan komunikasi dengan mereka secara baik dan berhikmah. Rangsang mereka ke arah kejayaan yang mereka impikan. Selalu mendoakan mereka agar beroleh keberkatan dan kejayaan dalam bidang kehidupan yang mereka pilih.
Ads
Jadi Pekerja Atau Majikan Yang Berbakti
Sesungguhnya kebaktian yang dilakukan oleh pekerja dan majikan akan menambah kecemerlangan organisasi. Rangsang nilai-nilai kebaktian di dalam diri setiap pekerja dan majikan demi memacu keseronokan dan kesungguhan dalam bekerja.
Alam pekerjaan bukan sekadar tempat untuk memperoleh sumber rezeki bagi menyara diri dan keluarga, tetapi ia merupakan medan untuk seseorang memanfaatkan ilmu, pengalaman dan kepakaran diri yang Tuhan anugerahkan. Ilmu, pengalaman dan kepakaran itu suatu anugerah untuk dimanfaatkan kepada orang lain mengikut bidang pekerjaan yang diceburi. Organisasi merupakan medan untuk pekerja menyalurkan apa yang dimiliki kepada persekitaran di luar sana.
Maka lakukan kebaktian di dalam organisasi anda. Walau di mana posisi anda, alam pekerjaan menjadi medan untuk individu menyempurnakan tanggungjawab ibadah dan tanggungjawab fardu kifayah melalui amal baik yang dikongsi bersama rakan-rakan sekerja dan pelanggan-pelanggan.
Nilai Diri Dengan Amal Bakti
Tidak rugi bila meletakkan kebaktian sebagai amalan hidup. Selagi masih bernafas, individu meletakkan dirinya sebagai seorang yang memberi manfaat untuk orang lain. Hidup kita hanya untuk berkhidmat dan menyumbang hal-hal positif untuk orang lain di sekeliling kita. Bukankah dalam Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa orang yang paling baik adalah orang yang banyak memberi manfaat untuk orang lain.
Dengan berpegang dengan prinsip hidup hanya untuk berbakti ini, insan meletakkan keredaan Allah SWT sebagai matlamat hidupnya. Faktor persekitaran tidak akan menjejaskan kualiti dan fokus amal-amal bakti yang dilakukan. Insan meyakini bahawa bila keredaan Ilahi menjadi matlamat hidup maka motivasi diri akan kekal positif. Hidup akan sentiasa dipimpin dan dipermudahkan oleh-Nya.
Sumber: Dr. Muhamad Jantan, Perunding Motivasi dan Psikologi RMJ Holistic Solution
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Waktu pagi adalah waktu yang cukup berkat. Waktu inilah dibuka pintu rezeki setiap orang. Sebab itu, orang tua cakap, bangun seawal pagi supaya rezeki masuk. Rugilah bagi yang kerap bangun lewat.
Ini antara bait-bait yang dikatakan oleh Khairul Syazwan. Moga ia menjadi panduan dan amalan untuk kita semua.
Pagi diciptakan Allah sangat indah.
Waktu satu jam sebelum subuh dan satu jam selepas subuh adalah sangat yang paling dekat manusia itu dengan Tuhannya.
Sebab itu, siapa yang mengusahakan segalanya di awal pagi, insyaAllah dia akan tenang melalui kehidupan ini walau banyaknya diuji.
Rahsia Yang Maha Esa
Maka, pagi-pagi ni ada rahsia Allah yang akan diberikan kepada kita. Yang mana, kalau kita lakukan, insyaAllah. Kita benar mendapat apa yang terbaik dalam hidup ini.
1. Pagi itu berkat.
Berkat ni maksudnya cukup. Siapa yang bangun awal, solat subuh awal waktu, tidak tidur selepas subuh, itulah kecukupan yang akan mencukupkan semuanya. Soal rezeki, soal rumahtangga, soal kerja dan segalanya. Itulah powernya waktu pagi. Waktu dimana Nabi kita sendiri mendoakan umatnya.
2. Pagi itu sihat.
Bangun pagi, buka tingkap dan angin yang masuk ke dalam rumah itu, menyegarkan dan menjadikan ahli rumah itu positif. Malah, kalau kita jogging ke, buat senaman di luar rumah pun, memang kita akan rasa segar dan sihat. Embun yang turun di waktu pagi itulah, yang paling segar.
3. Pagi itu kuat.
Kalau kita lihat orang yang kaya, orang yang berjaya, orang yang ada jutaan followers, hidup mereka memang dari awal pagi. Mereka orang yang tahu dari mana nak dapatkan kekuatan itu. Suami isteri yang kuat itu, walaupun semalam penat, tapi bila mereka positif di awal pagi, mereka lah pasangan yang paling kuat sepanjang hari.
Dari Abu Hurairah R.A,
Bahawa Nabi SAW bersabda: “Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang dari kalian saat tidur dengan tiga ikatan ia akan membisikkan kepadamu bahawa malam masih panjang, jika ia terbangun lalu berzikir pada Allah lepaslah satu ikatan, jika ia berwuduk maka lepaslah dua ikatan, dan jika ia melanjutkan dengan solat, maka lepaslah seluruh ikatan itu, sehingga pada pagi harinya ia mulai dengan penuh semangat dan jiwanya pun sihat, namun jika tidak, maka dia akan memasuki waktu pagi dengan jiwa yang keji dan penuh kemalasan.” [HR Bukhari]
Berpagi itu berkat!
MW: Waktu pagi nie, ramai yang tarik selimut untuk tidur kembali. Kita tak tahu, inilah waktu pagi yang cukup berkat untuk kita.
Ikutkan mulut memang sedap mengata itu dan ini lagi-lagi kesalahan orang lain. Cuba bayangkan suatu hati dengan kuasa Allah apa yang berlaku itu terjadi pada kita, barulah hilang kata-kata.
Oleh sebab itu bila nampak salah orang jangan mengata sebaliknya berdoa, hidup umpama roda nanti akan berpusing pada kita. Beringatlah sebelum menuding dan menghina kesalahan orang itu dan ini.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam betul-betul:
Nampak Salah Orang Jangan Mengata
Kalau nampak satu kesalahan di depan mata, ingatlah kita, anak-anak dan cucu cicit kita boleh jadi terlibat kesalahan yang sama.
Jika nampak satu kesusahan di depan mata, ingatlah kita pun boleh berada dalam keadaan itu nanti.
Kalau nampak satu kesenangan di depan mata yang bukan kita punya, ingatlah nanti Tuhan boleh beri yang sama buat kita.
Setiap yang kita nampak, semuanya boleh berlaku pada kita juga. Hidupkan macam roda. Kadang yang berlaku pada orang lain, berpusing dan berlaku pada kita pula.
Maka,
1. Elakkan mengata atau menghina mereka yang bersalah tetapi doakan. Doakan juga kita dan keluarga tidak terlibat dosa yang sama akan datang. Ketenangan akan hadir dalam doa kita.
2. Bantulah sekali pun kita dalam keadaan tak cukup. Bahagia itu datang setiap kali kita membantu orang lain.
3. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Kerana apa yang ada inilah yang sangat sesuai untuk kita buat masa ini. Berbahagialah.
Begitulah hidup ini. Kena sentiasa bersederhana. Selamat pagi kawan-kawan semua.
MW: Lumrah manusia mengata tanpa sedar, jadi sebaiknya setiap kali tersedar daripada kesilapan cepat-cepat bertaubat dan memohon ampun. Hiduplah dengan cara bersederhana, bersyukur dengan setiap kurniaan-Nya. Insyallah bahagia dunia dan akhirat.
Adakalanya bagaimana kita berusaha pun, seolah-olah rezeki semakin sempit, kehidupan semakin sukar.Jika ketika ini, ada yang buntu dan kesempitan dalam hidup cuba amalkan 3 tip asas dalam menjemput rezeki ini. Semoga rezeki semakin mencurah-curah, ibarat lautan dan air zamzam yang tak pernah putus hendaknya.
Usahawan berjaya Syukor Majidini ada kongsikan tip asas menjemput rezeki sebagai panduan.
Hari ni abang nak kongsikan 3 tips menjemput rezeki. Tips ini dikongsikan oleh sahabat abang, seorang ustaz beberapa tahun lalu.
Sekadar berkongsi, mana tau dapat membantu mereka yang sedang buntu.
Pertama, SEDEKAH
Percayalah, semakin banyak kita memberi, semakin banyak Allah bagi.
Janji Allah, tidak akan berkurang harta seseorang bila dia bersedekah, malah Allah akan gantikan dengan rezeki yang lebih baik.
Utamakan dahulu ibu bapa, isteri-isteri, adik beradik dan anak-anak.
Cubalah untuk selalu bersedekah. Besar atau kecil nilai sedekah bukan ukuran, yang penting ikhlas.
Anda faham kan maksud ikhlas? Kita sedekah dengan rela, bukan berkira-berkira, bukan minta balasan, bukan kerana nama. Semuanya niatkan kerana Allah.
Kedua, SYUKUR
Allah janji bila kita bersyukur, Allah akan beri lebih lagi nikmat.
Kadang-kadang kita terlalu mengejar kehendak duniawi sampai terlupa untuk bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah beri.
Jika anda rasa Allah tidak adil, hidup tidak bertuah, penuh dengan masalah, berhentilah dongak ke atas.
Mari tunduk lihat ke bawah, lihat bagaimana orang lain lebih tidak bertuah, lebih banyak masalah, jauh lebih sengsara hidupnya. Automatik rasa syukur anda akan datang menjelma.
Ketiga, SOLAT
Solat itu kan tiang agama. Kalau tiang tak sempurna, maka runtuhlah agama.
Cuba amalkan solat dhuha dan tahajud. Allah kan maha mendengar. ‘Sembanglah’ dengan Allah apa yang kita hajati, apa yang kita idamkan, apa yang kita nak sangat-sangat.
Mintak dengan Allah, jangan mintak dengan orang. Allah yang mengatur segalanya. Kalau Dia nak bagi kadang-kadang sampai tak masuk akal apa yang kita dapat. Bila Dia nak bagi segalanya nampak mudah saja.
Cubalah apply 3 tips menjemput rezeki ini. Cuba secara serius, anda pasti takkan menyesal.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi amalan kita. Semoga dengan banyakkan bersedekah, bersyukur dan solat ia dapat menjemput rezeki seluas lautan buat kita.
Isteri ditinggalkan suami selepas derita kanser payudara, tak mampu bekerja sara dua anak. Berat ujian seorang isteri apabila dia ditinggalkan suami selepas mengambil keputusan...