
Isi Kandungan
ToggleRamai isteri nak cari duit sendiri sebab konon buat persediaan awal, risau sangat kalau suami buat hal dan tak ada sumber pendapatan tiba-tiba.
Bagus fikir masa depan tetapi bak kata saudara Firdaus Shakirin, betulkan balik niat nak cari duit tepi tu.
Tak Salah Isteri Nak Cari Duit Tapi..
Kita ni orang perempuan, kena sediakan payung sebelum hujan. Kalau dah elok-elok kerja, jangan berhenti. Kalau sekarang dah jadi suri rumah, kena berniaga, kena ada pendapatan. Jangan jadi suri rumah yang mengharapkan duit laki saja.
Kalau dia cari lain, terkapai-kapai lah kita nak hidup. Masa tu baru nak start kerja? Masa tu baru nak berniaga? Saving pula kau tak ada, macam mana kau nak hidup?
“Jangan bila hujan baru terhegeh-hegeh nak cari payung…”
Betulkan Niat Nak Cari Duit
Nak sediakan payung sebelum hujan tu boleh, tak salah. Tapi jangan hidup dengan berfikiran, yang satu hari nanti suami awak akan tinggalkan awak.
Jangan set dalam kepala otak yang awak bekerja, berniaga sebagai persediaan untuk ditinggalkan, jangan!
Kalau awak fikir macam tu, maka dari awal lagi, awal tak perlu kahwin. Awak tak yakin dengan pasangan awak.
Perjalanan hidup kita adalah rahsia Allah… tiada siapa yang mengetahui apa yang dah kita lalui, sedang kita lalui dan akan kita lalui. Walau apapun yang dilalui, hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk setiap hambaNya.

Tawakal kepada Allah itu perlu lebih dari pengharapan kita pada pasangan. Kita tak boleh hidup dengan sentiasa bersangka buruk, memikirkan perkara-perkara yang negatif dan tak boleh ada rasa tak yakin dengan perancangan Allah.
Setiap hari Allah hidupkan kita, sebab DIA ada perancangan untuk kita pada hari tu. Dari pagi sampai malam, apa yang berlaku, apa yang kita buat seharian tu, semua atas izin-Nya. Laluilah hari-hari yang mendatang dengan bersangka baik, memikirkan perkara-perkara yang baik dan yakin dengan perancangan Allah.
Ini sebenarnya jalan yang terbaik untuk kita sebab kita tak tahu masa depan kita bagaimana.
Bekerjalah untuk membantu ekonomi keluarga, berniagalah untuk membantu ekonomi keluarga…ada pendapatan, ada simpanan untuk keluarga dan bukan untuk ditinggalkan satu hari nanti sebab tak ada yang berkahwin untuk berpisah. Kalau berpisah pun, Allah dah berfirman yang Dia akan mencukupkan bagi mereka yang berpisah tu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Anak Lancar ‘Speaking’ Macam Anak Hanis Zalikha, Buat Macam Ini

Isi Kandungan
ToggleIbu ini, Wawa Shauqi berasa seronok setiap kali melihat gelagat anak-anak selebriti Hanis Zalikha di instagram. Betapa comel dan petahnya mereka ‘speaking london’ dengan mak ayah.
Malah sewaktu anak-anaknya masih kecil, itulah juga impian ibu. Mahu melihat anak-anaknya petah berbahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Namun, seringkali tertewas kerana silap strategi. Rupanya ada cara betul nak ajar anak-anak seronok, dan lancar bertutur bahasa kedua ini.
Kongsinya. “Kalau tengok IG saya suka tengok lG Hanis Zalikha. Bukan tengok dia. Tapi seronok tengok anak dia.
Petah dan comel berkeletah.
Budak besar-besar ni, selain pipi, kepetahan diorang pun boleh jadi aset. Kan? Lagi pulak bila muka Melayu tapi speaking. Comel je!
Dulu bermimpi juga nak anak-anak saya speaking London macam Peppa Pig tu. Tapi apakan daya, cubaan sering gagal bertahan.
Kadang tu, adalah 10 minit cuba speaking. Lepas tu dah tercakap Melayu balik.
Tak keliru ke budak-budak kejap cakap BM, kejap cakap BI?
Jawapannya yang saya dapat dari sebuah ensiklopedia tentang otak,
TAK, KALAU :
- Kita ajar dwibahasa sebelum usia anak 12 tahun
- Dapat ransangan bahasa sebanyak 11 juta patah perkataan setahun (melalui pelbagai sumber) untuk satu bahasa.
Ini untuk dapatkan tahap petahlah! - Strategi yang betul.
Kalau kejap BM, kejap BI, kejap speaking Ghombau, kejap speaking Ganu, rasanya jiran sebelah dengar pun confuse.
Anak Speaking London, Kenapa Umur 0-12 Tahun?
Sebab, waktu tu, bahagian otak yang bernama Wernick & Broca sangat aktif.
Wernick & Broca adalah bahagian otak yang aktif berhubung, bila kita cuba cakap pelbagai bahasa. Especially dwibahasa.
- WERNICK adalah bahagian otak yang bekerja untuk bantu kita memahami maksud sesuatu ayat.
- BROCA area pula digunakan semasa bercakap. Ia akan membantu menjana arahan untuk menyusun ayat.
Tu sebab kita tengok anak yang dah biasa dwibahasa dari kecik, diorang jadi senang nak belajar bahasa lain. Bahagian otak yang 2 ni dah aktif dari kecik.
Kalau dah lepas 12 tahun baru nak belajar, boleh aje. Cuma bahagian otak ni dah tak seaktif masa kecik.
Macam nak lentur buluh bila dah jadi rebung. Keras sikit.
Nak ikut accent tu yang paling susah. Nak cakap Perancis, keluar nahu Ganu. Allahu.
Jadi, kalau ada anak bawah 12 tahun ni, jangan putus asa. Teruskan usaha. Biasakan 2 bahasa dulu. Dah power nanti, tambahlah bahasa apa-apa, insya Allah ok.
STRATEGI NAK ANAK PETAH SPEAKING
Strategi OPOL.
OPOL bermaksud, ‘One Parent, One Language’.
Kena buat keputusan, siapa nak cakap BM, siapa nak cakap BI. Tak apalah level BI kita tak setinggi Oxford. Tapi cubalah jangan campur-campur.

ML@H
Yang ini biasa diguna oleh orang yang duduk luar negara.
Anak kat sekolah dan dengan kawan-kawan cakap English / Arab/ bahasa komuniti.
Tapi kita kat rumah je bertutur Bahasa Melayu. Contoh.
T&P (Time & Place)
Dalam seminggu tu, kita boleh pilih hari apa untuk kita isytiharkan ‘Speaking Day’.
Contohnya hari Jumaat je ke. Atau setiap hari, waktu bermain bersama (bonding time) je kita ‘speaking’.
Kalau anak korang dah terer nanti, insya Allah cerah peluang mereka nak belajar luar negara. Seterusnya pulang bawa jodoh orang luar negara. Tiber.
Selamat mencuba!
Baca sini : Selepas umur 7 tahun fasih berbahasa Inggeris, ini usaha ibunya.
Sumber/Foto : Wawa Shauqi
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
MENANTU Dianggap ORANG LUAR. Tapi Dia TETAP Sebahagian Daripada Keluarga Kita

Isi Kandungan
ToggleMenantu, orang luar yang tidak ada pertalian darah. Namun, kerana kasih dan cinta salah seorang anak, ia menjadi sebahagian daripada keluarga. Tanpa tahu gaya hidup keluarganya, kita menerimanya sebagai ahli keluarga.
Untungnya bila menantu atau ipar duai boleh dijadikan ‘satu kepala’ dan menerima kekurang serta kelebihan bukan hanya pasangan sehidup semati tetapi ahli keluarga barunya. Namun, ada juga yang berkahwin bertahun-tahun sehingga sekarang masih menganggap seperti orang asing bila bersama keluarga mentua.
Memang betul, menantu atau ipar duai adalah orang luar yang bukan sedarah sedaging, dibesarkan dengan cara hidup yang berbeza. Namun, hormatilah caranya kerana kita hidup dengan orang yang pernah dia besarkan.
Itulah yang dikongsikan oleh Ezatul Marini tentang cabaran dalam rumah tangga bila melibatkan mentua dan ipar duai.
Apa Pun Kita Tetap Orang Luar
Ramai masih berpegang pada prinsip “menantu itu orang luar” dan “mentua serta ipar duai itu bukan saudara sedarah”. Dek berpegang pada kenyataan begini ramai menghadapi cabaran menangani ujian berumahtangga.
Bekerja sebagai pendidik, waktu paling seronok adalah tika kita dapat berkumpul beramai-ramai sambil menghadap bekalan selepas selesai kelas jam 10.00 pagi.
Macam-macam cerita yang kami bualkan. Hal anak- anak, cerita dalam kelas dan adakalanya berkongsi masalah pengurusan pelajar dan silibus.
Baru-baru ini, keluar kisah hubungan mentua – menantu dan sesama ipar duai. Kisah ini bermula apabila saya sendiri menceritakan keadaan diri saya setiap kali balik ke rumah mak kandung saya (baca: saya anak yang dari lahir dan tidak tinggal bersama ibu bapa kandung. Saya dipelihara oleh Arwah Aki dan Uwan).
“Akak kan, setiap kali balik rumah mak, akak ni macam tetamu. Bukan tak mahu buat apa-apa kerja tapi kekok. Rasa serba tak kena.”
“Eh, kak! Saya sekarang ni tiap kali balik rumah mak mentua, saya memang buat macam tetamu. Dah lama sangat jadi menantu dia kan, saya pilih untuk elakkan saya sakit hati kalau dia komen apa-apa bila saya usik barang di dalam rumah dia. Jadi, lebih baik saya terus tak buat apa,” seorang adik pula membalas.
“Kakak pun sekarang ni kalau balik rumah mentua pun dah tak berapa nak sangat cakap lebih-lebih. Maklumlah, adik-adik ipar pun ramai dah besar, dah ada keluarga. Cakap pun dah makin lantang, makin tak jaga, jadi akak pilih untuk tak mahu cakap lebih-lebih.” Sampuk pula seorang kakak.
“Ye lah kan, apa- apa pun kita ni tetap orang luar.” Bak dirancang, ramai yang sepakat komen begini.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bila Sudah Berkahwin, Pandai-Pandailah Bawa Diri Bukan Senang Jadi MENANTU
Kena Pandai ‘Beli’ Jiwa Ibu Mentua Kalau Diri Bukan Menantu Pilihan
Dapat Mak Mentua Baik Pun Rezeki, Bukan Semua Menantu Dapat Rasa
Info Lebih Menarik DI SINI
Syukuri Nikmat
Saya sebetulnya punya pandangan hampir serupa, cuma barangkali rezeki saya lebih baik kerana dikurniakan arwah ibu mentua yang menganggap tiga menantunya sama seperti dia menerima tiga anak baru. Jadi, sejak awal perkahwinan saya, kami tiada jurang. Kami bergaul baik dan mesra.
Bohonglah kalau saya katakan sepanjang tempoh itu tiada berkecil hati, terguris rasa sesama kami. Tetapi, kami ambil pendekatan selesaikan dengan cara perbincangan dan saya harus syukuri nikmat dihadirkan kakak-kakak ipar yang mahu menganggap saya sebagai ganti adik mereka yang telah lebih dulu dipanggil pulang ke sisi Allah SWT.
Sungguh, sebaik menerima mesej kakak ipar kedua yang mengatakan saya bukan lagi dianggap sebagai adik ipar tetapi mereka mahu saya terima mereka sebagai kakak kandung, hati saya jadi lapang. Diri terasa bebas dan tenang.
Menantu, Keluarga Berbeza
Rata-rata, tidak dinafikan ramai daripada kita masih mempunyai mentaliti “menantu itu adalah orang luar”. Entah mengapa, saya kurang bersetuju dengan kenyataan itu.

Ya, menantu itu datang daripada keluarga berbeza, dibesarkan dengan cara yang tidak sama, mempunyai kebiasaan tidak sekata dengan kebiasaan keluarga kita tetapi berhentilah menganggap mereka bukan sebahagian ahli keluarga kita.
Saya tidak selayaknya memberi hujah panjang lebar tentang perkara ini. Tidak adil barangkali kerana saya tidak teruji dengan keadaan seperti yang sesetengah kita terpaksa harungi, namun saya perlu siapkan diri untuk menghadapi keadaan serupa bila tiba masanya untuk anak-anak saya sendiri berkeluarga. Semoga saya mampu didik diri untuk berlapang dada menerima lebih dan kurangnya pembawakan diri seorang menantu itu dalam keluarga saya.
Para menantu juga seeloknya belajarlah sesuaikan diri apabila memasuki alam berumah tangga. Samalah juga bila kita mahu mentua dan ipar duai menerima banyak perbezaan kita berbanding cara hidup mereka, maka kita juga harus siapkan diri untuk biasakan diri dengan gaya hidup mereka.
Banyakkan toleransi dan cuba amalkan konsep faham-memahami dalam melayari alam rumah tangga. Sedih sebenarnya setelah berumah tangga sekian lama, masih ramai antara kita belum dapat mencari titik sefahaman dalam hubungan mentua- menantu- ipar duai ini.
Kembali kepada Allah, fahami konsep berkeluarga dan berukhuwah. Insya-Allah semuanya akan baik- baik sahaja. Allah pasti akan selalu menjaga kita terutamanya apabila kita tidak jemu meminta.
MW: Tetap orang luar tapi kenalah hormati cara keluarga mentua kerana kita hidup dengan pasangan yang pernah dia jaga dan didik sebelum ini.
Sumber: Ezatul Marini Mohd Ghazali
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebab Inilah Kos IVF Telan Belanja Tinggi, Walau Jaminan Berjaya Tidak 100 %

Isi Kandungan
TogglePasangan yang sudah lama berkahwin dan masih tidak memiliki anak pasti akan mencuba melakukan rawatan IVF atau persenyawaan in vitro sebagai jalan terakhir untuk mendapatkan zuriat. Umum sedia maklum, tidak ramai mampu melakukan rawatan IVF kerana perbelanjaan kos rawatan IVF menelan perbelanjaan tinggi.
Apa yang menyebabkan kos perbelanjaan rawatan IVF ini mahal? Mengapa terdapat perbezaan kos IVF? Perkongsian Dr Salleha Khalid, Pakar Fertiliti dan Sakit Puan ini boleh dijadikan sebagai panduan.
Kos semestinya merupakan faktor utama yang akan menentukan di manakah pasangan akan menjalani rawatan IVF. Satu kitaran rawatan IVF sememangnya menelan belanja yang tinggi.
Di Malaysia kos satu kitaran rawatan IVF adalah sekitar 9,000 sehingga 50,000. Malah ada yang lebih mahal dari ini. Ramai yang ketahui walau sejauh mana mahal pun rawatan IVF ini, ianya bukan tentu akan memberi 100 peratus jaminan yang rawatan akan berjaya.
Namun mengapakah terdapat perbezaan yang ketara antara satu pakej IVF dengan pakej IVF yang lain. Setiap pasangan perlu mengetahui apakah yang akan mereka terima sekiranya membiayai dengan jumlah tertentu. Dan ke mana kah wang tersebut digunakan dalam rawatan yang diterima.
1-Ubat Suntikan
Hampir separuh (atau lebih) kos rawatan ini digunakan untuk membiayai ubat suntikan hormon. Lebih banyak jenis hormon yang digunakan lebih mahal harganya. Begitu juga lebih tinggi dos yang digunakan lebih tinggi kos ubat tersebut.
Seperti yang kita ketahui, setiap wanita adalah berbeza. Ada yang hanya memerlukan dos yang rendah dan ada yang memerlukan dos yang tinggi.
Dan ada yang hanya memerlukan 10 hari suntikan, dan ada juga yang memerlukan lebih lama sehingga 15 hari suntikan untuk merangsang telur tersebut. Ada yang memerlukan ubat suntikan lain sebelum mula menggunakan ubat merangsang ovari.
Lain jenis ubat lain harganya. Sesetengah wanita memberi respon yang lebih baik dengan sesejenis ubat hormon. Ada yang memerlukan hanya satu jenis hormon. Ada yang memerlukan sehingga tiga jenis suntikan hormon pada masa yang sama.
Maka berbezalah kos antara satu kitaran rawatan IVF dengan kitaran yang lain. Sepanjang waktu rangsangan ini, respon setiap wanita akan diperiksa dengan menggunakan alat imbasan atau lebih dikenali sebagai ultrasound.
Dianggarkan paling kurang tiga kali ultrasound scan akan dibuat sepanjang tempoh rangsangan ubat diberikan.
2-Penggunaan Jarum ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection)
Perbezaan ICSI dan IVF adalah apa yang berlaku di dalam makmal. Rangsangan ovari yang berbentuk suntikan adalah sama bagi pasangan yang menjalani rawatan samada IVF atau ICSI. Tetapi apa yang berlaku di dalam makmal yang membezakan antara IVF dengan ICSI.
ICSI berlaku apabila sperma disuntik ke dalam telur. IVF pula berlaku apabila sperma dibenarkan bersenyawa dengan telur sendiri. Sperma yang kuat akan mampu bersenyawa dengan telur.Manakala sperma yang kurang memuaskan akan memerlukan teknik ICSI.
ICSI adalah satu teknik yang digunakan bagi mengatasi sperma yang tidak mampu bersenyawa dengan telur. Untuk ICSI berlaku ia akan memerlukan penggunaan jarum yang khas bagi membolehkan sperma disuntik ke dalam telur.
Seperti alat perkakas yang lain, jarum ini akan dipakai buang. Ianya tidak digunakan semula. Penggunaan jarum ini juga akan menambah kos kepada jumlah rawatan.
3-Penggunaan Alat Time Lapse
Inkubator Time Lapse adalah salah satu inkubator yang digunakan untuk memantau perkembangan embrio. Embrio terbentuk apabila telur berjaya disenyawakan oleh sperma. Apabila bersenyawa embrio akan membahagi dari dua sel ke empat sel, ke lapan sel dan seterusnya.
Perkembangan embrio memerlukan keadaan persekitaran yang kondusif dan optimum. Ini termasuklah keadaan suhu, kandungan gas dan juga kepekatan dan jenis nutrisi yang digunakan di dalam inkubator (rahim tiruan).

Bagi memantau perkembangan embrio, saintis (embryologist) di makmal akan mengeluarkan embrio tersebut dari inkubator dan memantau perkembangan embrio di bawah mikroskop. Apabila ia dilakukan, akan terdapat perubahan persekitaran di sekeliling embrio tersebut.
Ini termasuklah perubahan suhu, gas dan nutrisi. Walaupun waktu yang digunakan untuk proses pemantauan ini singkat namun terdapat perubahan persekitaran yang boleh menjejaskan perkembangan embrio ini.
Penggunaan inkubator Time Lapse untuk memantau perkembangan embrio tidak memerlukan embrio itu dikeluarkan untuk dipantau. Inkubator Time Lapse ini menggunakan kamera yang berkuasa tinggi untuk memantau perkembangan embrio secara berterusan tanpa memerlukan embrio dikeluarkan dari tempat persekitaran yang kondusif dan optimum.
Memberi Informasi Perkembangan Embrio Secara Berterusan
Dengan penggunaan Time Lapse ini, ianya mengurangkan perubahan persekitaran berlaku bagi pembesaran embrio akibat pemantauan di bawah mikroskop yang perlu dilakukan setiap hari atau selang sehari bergantung dengan kualiti embrio yang terbentuk.
Perkembangan embrio ini boleh diumpamakan dengan apabila kita masak kek di dalam oven. Sekiranya kita kerap buka oven untuk memastikan kek sudah masak atau tidak, kek tersebut akan terbantut sekiranya ia kerap dikeluarkan.
Selain itu Time Lapse juga memberi informasi perkembangan embrio secara berterusan. Perkembangan ini dirakam di dalam video yang boleh diulang semula. Pegawai embryologist dapat melihat semula perkembangan setiap embrio dan memantau dengan lebih dekat lagi bagi memilih embrio yang mana terbaik untuk diletakkan semula ke dalam rahim.
Sesetengah embrio membahagi dengan cara yang tidak normal. Perkembangan embrio yang tidak normal ini disesetengah kes tidak dapat dikesan sekiranya pemantauan embrio berlaku hanya pada waktu tertentu.
Dengan penggunaan Artifical Intelligence (AI), Time Lapse mampu memberikan gred tertentu kepada setiap embrio. Gred embrio ini memberi maklumat tambahan kepada embryologist embrio.
Ramai pasangan apabila diberitahu mengenai perkembangan embrio ingin melihat bagaimana embrio mereka membahagi dan berkembangan. Dengan adanya rakaman video di dalam Time Lapse ini, segala perkembangan embrio dapat ditunjukkan kepada pasangan.
4-Ujian Genetik Embrio
Sesetengah pasangan mungkin adalah pembawa penyakit genetik tertentu. Sebagai contoh penyakit Talasemia. Talasemia adalah sejenis penyakit genetik darah merah yang menyebabkan sel darah merah tidak terbentuk dengan normal.

Seorang anak boleh menerima gen dari ibubapanya. Oleh itu salah satu caranya ialah memeriksa genetik embrio yang terbentuk hasil daripada rawatan IVF. Jika embrio yang diperiksa kandungan genetiknya tidak mempunyai gen Talasemia, maka embrio tersebut adalah embrio yang sihat dan akan diletakkan semula ke dalam rahim.
Embrio yang mempunyai gen Talasemia tidak diletakkan ke dalam rahim. Dengan cara ini, anak yang bakal dikandung dan dilahirkan tidak mempunyai penyakit Talasemia. Kaedah memeriksa embrio ini dikenali sebagai Pre-Implantation Genetic Diagnosis (PGD).
Terdapat juga ujian Pre-implantation Genetic Diagosis (PGS) yang mana PGS ini digunakan untuk memeriksa sekiranya terdapat jumlah kromosom yang normal pada embrio tersebut. Sebagai contoh, PGS digunakan sebagai saringan memastikan embrio tidak mempunyai penyakit Syndrome Down. Teknik PGD dan PGS ini boleh meningkatkan kos IVF lebih tinggi dari pakej yang lain.
5-Perkhidmatan Kaunseling
Oleh kerana rawatan kesuburan ini memerlukan komitmen yang tinggi, ramai pasangan yang tertekan ketika melalui rawatan. Oleh itu sebagai inisiatif bagi mengurangkan tekanan bagi pasangan, sesetengah pusat kesuburan menawarkan perkhidmatan kaunseling sebagai salah satu rawatan yang termasuk dalam pakej kesuburan.
Walaupun ramai pasangan yang pada awalnya merasakan kaunseling mungkin tidak perlu, namun sekiranya rawatan yang diambil tidak berjaya dan mengambil masa yang lebih lama dari yang dianggarkan ianya sememangnya boleh memberikan tekanan yang amat bagi setiap pasangan suami isteri. Kajian juga menunjukkan kaunseling membantu pasangan mengharungi perjalanan rawatan kesuburan ini.
6-Pengiktirafan Sesebuah Pusat Kesuburan
Memperolehi pengiktirafan oleh badan atau organisasi tertentu adalah penting bagi memastikan standard, mutu dan kualiti perkhidmatan yang diberikan mengikuta piawaian yang ditetapkan. Ini termasuklah mendapatkan pengiktirafan dari badan antarabangsa. Dengan pengiktirafan ini, rawatan yang diberikan dapat dijamin bermutu tinggi dan berperingkat antarabangsa.
Oleh itu setiap pasangan perlu mengetahui apakah perkhidmatan yang termasuk dalam pakej IVF mereka. Terutamanya apa yang berlaku di dalam makmal selepas telur diambil dan disenyawakan.
Begitu juga, pasangan perlu mengetahui adakah terdapat apa- apa bayaran tambahan yang mungkin perlu dibuat selain daripada yang termasuk dalam pakej yang dipilih.
Semoga dengan pencerahan kos dan rawatan yang diterima dapat menjadikan perjalanan ke arah mencapai impian menimang cahaya mata menjadi lebih telus dan seperti yang diharapkan.
Dr Salleha Khalid merupakan Pakar Fertiliti dan Sakit Puan dan pada masa yang sama turut menulis berkenaan isu kesuburan di www.kernamu.com
Baca ini juga:
usah-salahkan-sesiapa-suami-isteri-tidak-subur-masih-ada-harapan-dengan-rawatan-ivf
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI