Masih ada lagi tak, suami isteri yang tinggal dengan ibu bapa atau sebumbung dengan mentua. Faktor ekonomi boleh menjadi sebab sssuami isteri tinggal bersama orang tua. Atau mungkin baru berkahwin dan masih mencari rumah yang sesuai.
Namun, ada juga yang selesa tinggal dengan orang tua, mahupun mentua. Ada baik buruknya. Mungkin untuk bermesra suami isteri tidak bolehlah keterlaluan. Segan. Berbanding dengan rumah sendiri, apa benda nak buat pun tak kisah.
Ini ada pandangan daripada Hayat Muhamad tentang pasangan suami isteri yang tinggal sebumbung dengan orang tua dan ingin tinggal asing. Boleh dijadikan panduan buat suami isteri.
Isteri aku dia mintak nak duduk rumah sendiri, asing dari mak ayah aku. Apa aku nak buat?
Jawapan:
Kalau isteri tak selesa duduk dengan kita bersama mak ayah kita, pindah terus rumah sendiri.
Tak salah isteri nak rumah asing.
IKLAN
Faktor Utama
1- Susah sebab aurat. Kau ada adik beradik kau. Pada setiap masa, isteri kau kena bertudung litup. Kalau rumah sendiri, tak kisan nak buat dan pakai apa pun.
2- Dapur. Keputusan nak makan apa hari ini tidak dapat dibuat oleh isteri. Tekak lain- lain. Kalau duduk rumah mentua, isteri kau akan makan apa yang ada pada hari tersebut. Kalau rumah sendiri, nak makan apa- apa pun terpulang . Periuk Noxxa kan ada. Apa susah.
3- Isteri dia ada naluri ingin memiliki. Nak ada dapur sendiri. Nak ada air fryer Amway, nak ada set pisau, Pinggan corelle. Barang- barang ni pulak dia nak letak dalam kabinet kaca. Pastu dia nak ada bilik dia deco sendiri. Benda tu kan tak leh nak buat kat rumah mak ayah kau.
4- Kebebasan masa. Ada rumah yang dia nak semua orang ada sebelum maghrib. itu contoh. Jadi banyak lagi peraturan rumah kau, ayah kau dah set. benda tu isteri kau payah nak ikut. Maybe famili dia suka shopping malam.
IKLAN
Jadi kalau duduk rumah asing, mak ayah macammana?
1- Duduk asing, bukan bermaksud tinggalkan mak ayah. Kita boleh melawat dia, boleh je kita dan isteri set makan sekali lunch atau dinner. Siap boleh beli ayam pusing beli lauk tambahan.
2- Sebenarnya tiada yang berubah. Ketaatan pada ayah dan mak tak lari. Sama sahaja. Kecualilah kalau mak ayah kita dah tak boleh bangun, itu lain cerita.
3- Isteri kita, orang yang menyokong hidup kita, berilah apa yg dia nak setakat mana mampu.
4- Apa yang isteri nak, sebenarnya itulah yang mak nak dari ayah kita. Kebahagian bermula dari situ.
5- Bayangkan kehidupan seorang isteri yang semua benda kita tak bagi dan halang. Kita gelapkan kehidupan dia. Lepas tu kalau dia lawan, kita ingatkan tentang ketaatan pada suami. Isteri mesti tak best. Hidup dia macam dalam Oven.
IKLAN
6- Teliti dan fikirlah setiap apa yang isteri mahu. Allah beri dia kat kita, untuk kita gembirakan dia. Bukan nak suruh dia jadi hamba abdi.
Esok kau cari rumah sewa lain ok. Perabot beli slow- slow. Beli katil dulu. Pastu siapkan dapur. Yang lain pelan- pelan ok.
MW: Kalau ada rumah sendiri, pandailah kita nak hidup suami isteri. Seronok. Sebab inilah kebahagiaan yang kita idam-idamkan.
Artikel ini disunting dan diterbitkan dengan keizinan penulis.
Tanda lahir pada anak ada perkaitannya dengan sawan. Tapi mak ayah perlu jelas tak semua tanda lahir itu berisiko menyebabkan sawan. Tanda lahir itu sendiri pelbagai bentuk, warna dan ada jenis-jenisnya yang dikaitkan dengan sawan. Pengalaman yang dilalui Puan Rohafiza Abdullah, 35 semasa menjaga anak keduanya, Adam El Rais, 3 yang diwadkan boleh dijadikan panduan.
“Anak saya mula-mula masuk hospital kerana sawan. Bila dah discaj, esoknya masuk pula KTS untuk diagnos Influenza A.”
Dan inilah yang dikongsikan semasa menjaga anak bongsunya Adam di wad selepas diserang sawan pada 13 April 2018 kira-kira jam 2.30 pagi.
“Sangat menakutkan mami. Sampai hari ini, bila teringat keadaan Adam waktu itu, terasa panik kami sekeluarga. Laju je air mata ini mengalir.” ujar ibu 2 anak, Rania Eryna Anas Hazizul, 8 dan Adam El Rais
Ibu ini tak dapat melupakan pengalaman waktu mula-mula sampai di hospital sampailah diwadkan, doktor bertanyakan soalan yang sama beberapa kali.
“Dari waktu di Kecemasan, Ward 6EF, dan dipindahkan ke ward 2A, semua doktor yang merawat Adam pasti akan bertanya tentang tanda lahir di kaki Adam. Soalan seterusnya mereka bertanya ada lagi tak tanda lahir kat bahagian lain.”
Ini Pula Soalan Ibu Dekat Doktor
“Apakah benar bayi atau kanak-kanak yang mempunyai tanda lahir lebih mudah unyuk mendapat sawan?”
Jawapan Doktor, secara kajian IYA. Tapi tak semua boleh dapat sawan. Bagaimanapun, bayi yang lahir dengan tanda lahir lebih berisiko mendapat sawan dan perlu lebih berhati-hati.
Tanda lahir besar atau kecil sama sahaja risikonya.
Mereka berisiko mendapat Sawan Demam lebih tinggi.
Biasanya, sawan ini boleh terjadi kepada kanak-kanak sehingga berusia 6 tahun. Secara amnya, selepas 6 tahun masih lagi mendapat sawan, mereka akan dirawat sebagai pesakit “Penyakit Sawan” dan perlu ubat serta rawatan yang betul.
Anak Diserang Sawan, Mak Ayah Cepat Lakukan Ini
Sekiranya berlaku lagi sawan di rumah, jangan panik ( agak susah untuk tidak panik sekiranya langsung tak tahu pasal sawan macam kami). Ini yang ibu perlu lakukan :
√ Mengiringkan anak ( supaya semua yang ada dalam mulut termasuk air liur akan meleleh keluar).
√ Jangan masukkan sebarang objek ke dalam mulut seperti sudu kerana ianya boleh menyebabkan kecederaan lebih serius.
√ Lihat jam dan ingat berapa minit waktu kejang (penting untuk rawatan seterusnya)
√ Sekiranya badan terlalu panas, jerlum dan boleh masukkan ubat punggung. Sekiranya kejadian kejang adalah lebih dari 5 minit, call ambulans atau terus ke hospital.
Semoga info ini bermanfaat juga untuk ibu-bapa sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Lengkapkan diri juga dengan ilmu kecemasan.
Kami bernasib baik kerana jarak hospital dan rumah dekat, dan kejadian berlaku tengah malam. Keadaan lalu lintas sangat tenang. Kami mengambil masa 10 minit untuk bersiap dan sampai ke hospital HSNZ dan terus dirawat di bahagian semi kritikal.
“Semoga Anak mami Adam EL Rais akan semakin sihat dan sawan tidak akan berulang lagi. Amin” Mingguan Wanita juga mendoakan si comel Adam sihat dari sebarang serangan sawan.
Bagi seorang suami, apabila menatap gambar dua ekor ikan goreng itu. Logik akalnya akan mengiyakan, itulah gambar 2 ekor ikan goreng. Ketahuilah wahai suami, apabila anda melaksanakan tanggungjawab menguruskan isteri dalam pantang, gambar di atas bukan sekadar ‘2 ekor ikan goreng saja’.]
Dan inilah yang dikongsikan Dr. Taufiq Razif. Kisah nyata yang dilalui Doktor Taufiq ini sendiri, akhirnya mengubah logik akalnya selama ini. Pintu emosinya semakin memahami apa sebenarnya yang isteri telah lalui demi untuk menyediakan walau satu hidangan ikan goreng untuk keluarga.
Serius! Dulu Saya Pun Nampak 2 Ekor Ikan Je
Sejak isteri saya tak boleh buat kerja berat sebab dalam pantang ni, saya ambil alih tugas dapur dan rumah.
Untuk siapkan 2 ekor ikan ni saya perlu bangun di waktu semua orang masih tidur. Yela, bila bangun je semua orang banyak pula mahunya kan. Sorang pampers dah penuh. Sorang nak minta mandi, sorang pula minta dukung. Haru jadinya kalau tak buat kerja ikut jadual yang betul.
Sebelum tu, mula-mula nak kena pergi pasar dulu.. Nak pergi pasar pula kena tengok dulu duit dalam dompet cukup ke tak. Eh tak cukup! Kena pergi ATM lagi untuk cucuk duit. Dah sampai rumah nak kena kemas dapur lagi. Yela, mana ada mood nak masak kalau dapur tak setel. Nak masak kena ada mood, salah mood kang jadi terlebih masin pula lauknya.
Baru Nak Goreng Ikan..
Baru je nak goreng, bunyi anak menangis pula. Kena pujuk anak tidur dulu. Eh, dah habis pujuk sorang, yang lain pula meragam. Otak dah macam pecah empat belas sebab ada empat belas benda nak kena fokus pada satu satu masa!
Dah setel semua, baru lah ikan ni selamat masuk di kuali. Eh dah selamat ke? Tak lagi, sepanjang goreng ikan tu ada berbelas belas kejadian lagi yang berlaku tapi saya tak nak tulis.
Kenapa?
Saya nak korang tanya sendiri mak dan isteri korang selama ni. Serius, bagi kita orang laki ni nampak 2 ekor ikan je tapi bagi yang alami dan buat semua ni, ni bukan cuma 2 ekor ikan!
Gambar Ikan Goreng Ini Ada Segalanya
Dalam gambar ni ada air mata, kepenatan, kesakitan, gembira, tawa, duka, cinta, setia dan pengorbanan yang tak dapat dilihat oleh mata saya selama ni.
Sungguh, korang rasa lah sendiri buat semua kerja rumah. Seminggu pun jadi lah. Masa tu la korang takkan nampak dah gambar ni cuma gambar 2 ekor ikan je. Korang akan nampak benda lain. Serius tak tipu.
p/s : Tu lah kenapa saya tak komen sangat masakan orang. Kita tak tahu berapa titis air mata, keringat dan pengorbanan fizikal dan jiwa yang ditempuh untuk menghasilkan masakan tu.
1 of 4
5 Gajet Ini Mampu Hilangkan Penat Suami Menjaga Isteri Berpantang
Tadi saya sempat ajar seorang kawan saya yang baru pertama kali jaga isterinya berpantang.
Ni 5 gajet yang suami kena ada kalau tak nak penat sangat bila jaga isteri berpantang :
1. Iron philips – serius mudah kerja ada iron ni. Sekali gosok, bahagian belakang pun ikut licin sekali. Kedut degil bahagian kolar pun cepat je hilang.
2. Air Fryer – yang ni subhanallah penyelamat paling hebat bila suami tak ada skill memasak. Tinggal letak dan tekan je. Buka buka je dah masak. Sihat pulak tu sebab tak guna minyak sangat kan.
3. Dryer – Mana mana jenama pun tak apa. Ikut bajet je. Memang letrik naik sikit la tapi Return of Investment ( ROI ) kalau guna dryer ni memang berbaloi. Masa yang suami guna untuk sidai baju tu boleh kita gunakan untuk buat benda lain. Mandikan anak ke, urut isteri ke.
4. Dryer + Washing Machine – Ni paling berbaloi la sebenarnya. Sekali cuci, angkat tu dah kering dah. Cuma hati hati la cuci najis baby tu. Hilangkan dulu najis fizikal yang melekat baru boleh campak masuk.
5. Periuk Noxxa – Ni masyaAllah sangat best. Tekan tekan beberapa minit je dah siap masak. Daging seliat apa pun bila dah kena Noxxa ni memang cepat empuk! Boleh la nak masukkan dalam diet isteri berpantang tu nanti.
Hadam Pesanan Doktor Ini
√ InsyaAllah suami yang ada 5 gajet ni takkan mudah mengalah untuk jaga isteri berpantang. Jangan pelik, suami pun pandai meroyan kalau letih tau. Tahu pun letih kan jaga baby + urus rumah.
√ Semua suami memang kena rasa sekali jaga isteri berpantang walau sekali baru la akan timbul rasa empati pada pengorbanan seorang isteri.
Sumber/Foto : Taufiq Razif , Bukan suami terbaik dunia tapi suami yang nak jadi yang terbaik buat anak dan isterinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Intan Ladyana beruntung suami rajin bantu dalam pantang, lelaki muda tapi matang urus rumahtangga. Di sebalik ada kisah rumahtangga yang keluh kesah kerana ketidak...