Bila dah berkahwin, tentu sekali kita akan mengenali ahli keluarga suami. Suka atau tidak kenalah terima seadanya. Mungkin juga cara membawakan keluarga dia dengan keluarga kita jauh sangat bezanya.
Mungkin juga timbul rasa kekok sebab tidak tahu cara kehidupan mereka. Bila dah lama kahwin barulah tahu perangai dan peel masing-masing dari pihak keluarga suami/pasangan. Tak kisahlah apa pun cara mereka, paling penting kenalah hormat.
Sedih juga bila menantu dan ipar duai ‘tak seteru’, mulalah bermasam muka dan tak bertegur sapa. Tak perlulah nak burukkan orang lain sebab kita pun belum tentu sempurna.
Masa awal perkahwinan, antara nasihat bonda pada saya adalah keutamaan melebihkan ibu mentua berbanding ibu sendiri.
Ads
“Kami ni besarkan kamu, kenal kamu dari baby, insya Allah tak ada rasa kecil hati. Tapi ibu mentua baru nak kenal kamu, mudah terasa hati.”
Antara nasihat paling win dari bonda ialah:
“Kalau mentua tanya fasal suami, tanpa ada suami bersama jawab sahaja tak tahu. Bukan berkira tapi hal peribadi suami tak perlu keluar dari mulut isteri, ibu mentua nak tahu biarlah tahu dari mulut suami – anaknya sendiri.”
Saya lihat bonda tidak mengalami konflik menantu-mentua kerana almarhumah nenda seorang yang tak banyak cakap dan tak suka kalau anak-anak cakap buruk pasal ipar duai. Layan anak dan menantu perempuan tanpa kasta, baik yang berpelajaran tinggi atau tidak.
Tak Perlu Ambil Tahu Hal Orang
Bonda pula sejenis suka bercerita tapi tak suka bercakap hal orang lain. Bonda hanya suka bercakap fasal anak-anak sahaja, tak suka ambil tahu hal anak orang lain.
Ads
Syukur kerana mentua saya juga bukan jenis bossy atau mengatur kehidupan anak menantu.
“Kalau kita masuk dalam keluarga orang, jangan cakap buruk pasal adik-beradik orang. Adik-beradik kita pun bukannya sempurna. Nak buat jahat, jangan pula ajak semua orang buat jahat. Kalau nak buat baik, ajak semua buat baik. Kita ni bukannya baik mana pun, jadi jangan duk kata orang tak baik.”
Selalu bonda ingatkan.
Konflik berlaku bila masing-masing masih merasa kehidupan bujang dan lupa makin dewasa masing-masing berkeluarga.
“Kalau orang bercakap buruk fasal orang lain pada kita, orang tu pun boleh bercakap buruk fasal kita pada orang lain.”
Kurangkan bercakap, kurangkan meremehkan hal orang lain. Jaga mata, jaga telinga supaya lidah pun terjaga sama.
Ads
Mingguan Wanita : Seronok dan bahagianya bila mentua tak bandingkan dengan menantu lain dan tak mengatur kehidupan anaknya yang sudah ada isteri.
Orang ketiga punca rumah tangga runtuh, cetus konflik hingga jejas hubungan suami isteri. Kehidupan rumah tangga sepatutnya menjadi tempat di mana kasih sayang, kepercayaan, dan kesetiaan antara pasangan suami isteri dipupuk dan dipelihara.
Namun, dalam realiti kehidupan, tidak semua hubungan perkahwinan dapat bertahan dengan utuh. Salah satu punca utama yang sering menyebabkan keruntuhan rumah tangga adalah kehadiran orang ketiga.
Orang ketiga merujuk kepada individu luar yang mengganggu keharmonian sesebuah perkahwinan, sama ada secara sedar atau tidak sedar. Kehadiran orang ketiga ini boleh membawa kepada pelbagai konflik dan masalah yang akhirnya menjejaskan hubungan suami isteri.
Antara faktor yang menyebabkan kehadiran orang ketiga termasuklah:
Kurangnya Komunikasi
Komunikasi yang tidak berkesan antara suami isteri boleh membuka ruang untuk orang ketiga masuk. Apabila pasangan tidak lagi berkongsi perasaan, masalah, atau kebimbangan, mereka mungkin mencari pendengar lain di luar perkahwinan. Ini boleh membawa kepada perasaan keterikatan emosi dengan orang ketiga tersebut.
Kurangnya Perhatian dan Kasih Sayang
Setiap individu dalam perkahwinan memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada pasangannya. Apabila salah seorang merasa diabaikan atau tidak dihargai, mereka mungkin mencari perhatian dan penghargaan daripada orang lain. Ini boleh membuka pintu kepada hubungan sulit yang merosakkan rumah tangga.
Masalah Kewangan
Tekanan kewangan sering menjadi punca kepada pertengkaran dalam perkahwinan. Apabila masalah kewangan tidak ditangani dengan baik, ia boleh menyebabkan ketegangan dan kekecewaan yang seterusnya membuka peluang kepada orang ketiga untuk masuk dan memberikan sokongan emosi yang diperlukan.
Perbezaan Nilai dan Matlamat Hidup
Setiap individu mempunyai nilai dan matlamat hidup yang berbeza. Apabila pasangan suami isteri tidak lagi sehaluan dalam mencapai matlamat hidup mereka, perbezaan ini boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati. Orang ketiga yang berkongsi nilai dan matlamat yang sama dengan salah seorang pasangan boleh menjadi daya tarikan yang kuat.
Media Sosial dan Teknologi
Kemajuan teknologi dan penggunaan media sosial telah memudahkan komunikasi dengan orang luar. Hubungan yang bermula dengan perbualan yang nampak tidak berbahaya di media sosial boleh berkembang menjadi hubungan yang lebih intim dan akhirnya menjejaskan perkahwinan.
Memetik laporan Berita Harian, Peguam syariah, Nurul Izzah Zainol, berkata faktor usia tidak menentukan berlaku perceraian, berikutan punca terlerai ikatan boleh terjadi disebabkan berapa lama tempoh perkahwinan ditempuhi mereka.
“Memang diakui satu-satu masa trend menunjukkan pasangan muda bercerai, namun pada satu ketika, pasangan berkahwin dengan tempoh 20, 30 bahkan 50 tahun pula mahu berpisah, kerana perubahan didambakan bertahun-tahun terhadap pasangan tidak menjadi kenyataan.
“Sebagai contoh, anak guam saya berusia 70 tahun mahu bercerai, kerana masing-masing tiada lagi ruang kesefahaman, walaupun sudah membina rumah tangga lebih 50 tahun.
“Hal ini membuktikan usia bukan faktor penentuan sama terus bertahan atau berpisah, kerana perceraian dipilih apabila seseorang itu dicurangi, tidak diberi nafkah, dicederakan hingga tiba satu masa, mereka bertekad memfailkan perceraian kerana tidak mampu lagi bertahan,” katanya.
Beliau berkata, ramai pasangan memilih pendekatan untuk bertahan walaupun dari awal perkahwinan dirinya dipukul, dibiarkan menanggung sepenuhnya beban kewangan tetapi masih tidak mahu mengambil keputusan berpisah demi masa depan anak-anak.
“Wanita seolah-olah imun (kebal) walaupun mereka dikasari namun sampai satu masa, kesabaran sampai kemuncaknya, mereka mula sedar kembali bujang lebih menjanjikan kehidupan bahagia.
“Sebab itu perceraian tidak berlaku secara tiba-tiba hanya kerana dicurangi, tetapi disebabkan faktor lain seperti wujudnya parasit atau peranan yang tidak seimbang antara pasangan, memaksa golongan wanita perlu bekerja keras berikutan semua beban ditanggungnya sendirian,” katanya.
Namun, menurut Nurul Izzah, persepsi ramai apabila seseorang itu merujuk masalah rumah tangga kepada peguam, hubungan itu pasti berakhir perceraian, adalah kurang tepat.
“Sebenarnya kita bukan bulat-bulat mengusulkan perceraian, tetapi peguam menasihatkan anak guam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan haknya untuk bercerai. Pilihan menggunakan haknya di sisi undang-undang atau tidak adalah atas individu itu.
“Peguam berperanan memberikan maklumat undang-undang misalnya, tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak mohon cerai fasakh dan jika empat bulan tidak diberi nafkah, boleh memohon cerai ta’liq.
“Bagaimanapun, intervensi guaman biasanya menjadi penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil contohnya berkaitan isu nafkah, ada wanita hingga ke peringkat menderita tekanan mental.
“Jadi kita memberi saranan sepatutnya seperti tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak memohon cerai, khidmat guaman adalah penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil,” katanya.
Beliau berkata, perkahwinan sepatutnya kedua-dua pihak mendapat manfaat yang lebih dan ikatan itu sewajarnya lebih memperbaiki banyak keperluan dan gaya hidup serta mempertingkatkan potensi, kecemerlangan, karier dan kewangan lebih baik.
“Itu tujuan perkahwinan. Bagi saya, apabila perkahwinan itu tidak mencapai matlamat daripada pelbagai sudut dan berlaku kepincangan, maksiat, maka matlamat perkahwinan sudah tidak lagi tercapai.
“Justeru, penyelesaiannya adalah perceraian, apabila perkahwinan tidak lagi menjadi ladang pahala, bahkan lebih banyak kemungkaran dan dosa, kualiti hidup juga tidak semakin membaik. Apa lagi yang ditunggu?
“Perkahwinan tidak seharusnya memandulkan potensi dan produktiviti setiap orang. Jika kita dimandulkan oleh perkahwinan sehingga tidak memberikan perubahan yang positif kepada diri dan masyarakat, itu bukan perkahwinan yang dimahukan dalam Islam.
“Jadi asas kita untuk menilai wajarkan sebuah perkahwinan itu dipertahankan adalah dengan melihat apa nilai positif dan negatif yg wujud daripada perkahwinan itu.
“Sekiranya lebih banyak mudarat berbanding kebaikan, maka perpisahan adalah jalan yang terbaik,” katanya
Keruntuhan rumah tangga akibat kehadiran orang ketiga adalah sesuatu yang menyedihkan dan sering meninggalkan kesan yang mendalam kepada pasangan suami isteri serta anak-anak.
Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, pasangan perlu sentiasa menjaga komunikasi yang baik, memberikan perhatian dan kasih sayang yang mencukupi, serta berusaha untuk memahami dan menghargai satu sama lain.
Kesetiaan dan kepercayaan adalah asas yang kukuh dalam sesebuah perkahwinan. Dengan berpegang kepada nilai-nilai ini, pasangan boleh mengharungi cabaran dan dugaan dalam perkahwinan dengan lebih berkesan, sekaligus mengelakkan kehadiran orang ketiga yang boleh meruntuhkan rumah tangga mereka.
Waktu mula-mula nak ‘hidup’ di alam rumah tangga, isteri lah yang banyak bantu. Sokong baik emosi sampai bab kewangan, asalkan suami dapat terus bertahan, malah berjaya dalam kerjaya.
Bila dah nampak jalan kejayaan, isteri yang selalu di belakang ini mula dipandang tak lagi serasi dengan kedudukan. Diperlekeh serba serbi jasanya. Tak nampak dah baik pasangan itu.
Lalu, dicarilah orang baru yang sama serasi, kononnya itulah cinta hati yang selama ini dicari. Padahal itulah mabuk asmara tipudaya dunia.
Sedih Ustaz Ebit Lewapabila ada anak-anak muda yang sakitkan hati isteri sehingga sebegini. Senang-senang ceraikan, kerana alasannya dah jatuh cinta dengan wanita lain.
Hadamkan perkongsian ustaz,
Sedih bila lihat anak-anak muda yang sakitkan hati isteri mereka dan senang-senang ceraikan isteri. Ingatlah jika wanita itu mak kita. Anak perempuan kita. Orang buat macam tu. Marah tak kita? Sedih tak? Wanita ni selalu jadi mangsa keadaaan. Lepas kahwin semua berubah. Semoga Allah beri tanggungjawab pada saya dan semua lelaki diluar sana. Kita pemimpin dan akan ditanya atas apa yang kita pimpin.
Selalu sangat anak muda dan lelaki bila jumpa saya kata, saya jatuh cinta lagi dan wanita saya kenal ini mengubah hidup saya. Lepas tu cerita buruk isteri. Isteri saya begitu begini. Ada yang kata isteri tak pandai melawa. Isteri kasar. Tak taat. Isteri tak masak. Tak nak bersama. Tak layan dia baik-baik. Dia dah penat bersabar katanya. Wah penat betul yer bersabar.
Awak ke yang mengandung bersalin. Dulu kahwin jatuh cinta jugakan. Sekarang Jatuh cinta lagi. Oh gitu. Allahu sedihnya.
Saya bila lihat begini. Saya tahu lelaki begini tengah mabuk dan sedang diuji. Begini saudaraku, isteri dan anak ini amanah Allah. Doa pada Allah dan beri masa dekat diri pada Allah. Ingat mati. Mabuk arak teruk. Tapi mabuk begini pun tak tahu bila hilang sampai nak cerai dan hina isteri.
Orang Bila Tak Nampak Baik Pasangan, Hatinya Dah Mati
Bila kita ingat mati, ingat Allah kita mula fikir semula semuanya. Apa aku dah buat ni. Rasa suka dan minat ni biasa datang. Tapi adakah kita minat dan suka seseorang sehingga kita nak korbankan isteri dan anak-anak kita sendiri. Ya Allah. Dulu kita semua tak kisah. Takper sayang. Takyah masak. Takper sayang. Takyah melawa. Takyah itu ini. Sebab cinta.
Tapi sebab kita dah jumpa yang baru mulalah begitu begini. Semua letak kesalahan pada pasangan. Ish tak baik begitu.
Orang bila tak nampak baik pasangan bukan sebab dia tak baik. Tapi sebab hati dah mati tak syukur pada Allah.
Sifat orang beriman dulu hargai kenang jasa orang dan selalu sebut nama mereka dalam doa.
Syukur setelah sehari keluargasunnah. Ramai pasangan yang hampir bercerai kerana ada orang ketiga dan biasanya dah jauh dari Allah. Terlupa tujuan hidup. Tak nak berkorban. Mereka nak semua orang faham dan berkorban untuk faham apa dia nak. Sesi akhir ramai suami bangun dan peluk isteri masing-masing. Syukur pada Allah banyak pasangan tak jadi bercerai.
Dengar kisah Nabi saw dan sahabat rhum buat kita tersedar jauhnya kita dari perjuangan Islam dan dakwah ini. Zaman dulu tak berhenti orang peluk Islam. Suasana iman. Sekarang ramai belum tahu solat. Anak muda bawah jambatan tepi jalan dilorong dan club. Mereka rindu nasihat yang baik. Kitalah yang belajar Islam kena sebarkan Islam dan beri contoh yang baik.
Pohon doakan yer. Saya nak adakan sekali lagi keluargasunnah Perbaiki Diri 9 Feb ini di KL. Semoga Allah terima jadi asbab hidayah. www.transformjiwa.com
MW : Walau apa pun nikmat mahupun ujian tuhan beri, ucaplah Alhamdulillah.
Dalam membina rumah tangga bahagia, pancaroba pasti akan datang sebagai pengacau. Ia akan mengasak sama ada dari luar atau dalam rumah tangga itu sendiri.
Tugas si pengacau ini adalah untuk menguji iman pasangan, sejauh mana mereka mampu bertahan atau menyerah kalah sebelum usaha yang sebenar-benarnya dilakukan.
Saya percaya, dalam arus dunia makin menekan dan zaman dunia tanpa sempadan ini, dugaan dan pancarobanya makin mengganas. Ia tidak seperti era 20 tahun lalu.
Hari ini, orang boleh melenyapkan keutuhan rumah tangga hanya melalui hujung jari. Hati pasangan mudah rapuh jika tersilap melayan keyboard atau papan kekunci.
Sekarang ini setiap kali menghadiri majlis-majlis perkahwinan pasangan muda, di dalam hati saya berdoa dengan sesungguhnya, agar rumah tangga yang dilayari mereka akan kekal bahagia.
Agar mereka mampu mempertahankan diri daripada sebarang ancaman dalam rumah tangga dengan hati yang dingin dan fikiran matang. Ini kerana usahkan rumah tangga pasangan muda, rumah tangga pasangan yang sudah didirikan lebih dari 15 tahun kuat digoda cabaran.
Mengadu Masalah Di Ruang Terbuka, Seolah Membuka Ruang Terima Pendapat Yang Salah
Kalau dulu kita jarang mendengar rumah tangga pasangan berusia hancur di tengah jalan, tetapi hari ini ia sudah jadi biasa, walaupun mereka bukan daripada golongan pasangan popular.
Hati yang mudah terjebak, adalah punca segala masalah. Selalu mengadu masalah pada ruang terbuka, membuka ruang untuk mereka mudah menerima pendapat yang keliru sehingga masing-masing lebih banyak menggunakan emosi dalam pertimbangkan urusan rumah tangga.
Memberi ruang orang lain menjadi juri pada rumah tangga sendiri akan mengundangkan petaka jika juri itu juga jenis orang yang sukar mengawal perasaan dan tidak mampu membendung emosi pada sesuatu perkara. Ada yang menjadikan diri mereka sebagai contoh sebuah ketidakadilan dalam rumah tangga.
Saya pernah diberitahu oleh seorang wanita lewat 30-an, dia menggadaikan masa depan rumah tangganya di tempat yang salah apabila sudah tidak mampu menahan hati oleh sebab kecurangan suami dan campur tangan ipar duai.
Emosi pemberi nasihat mempengaruhi dirinya sehingga dia mengambil keputusan meninggalkan suami dan memfailkan perceraian, sedangkan masalahnya masih boleh diperbaiki kerana terbukti suaminya masih sayangkan dirinya dan rumah tangga mereka.
Jiwa sedang kacau ini, jangan dibelenggu lagi dengan asakan atau campur tangan orang lain, jika mahu perbaiki keadaan.
Bila Duit Dah Banyak, Cari Perempuan Lain
Seorang wanita lain pula bercerita, dia terpaksa mencari `ubat guna-guna’ untuk menjinakkan suami yang semakin liar bila poket sudah penuh kerana projek yang dijalankan mencapai kejayaan.
“Bila duit dah banyak, cari perempuan lain lebih cantik dan muda. Masa susah dulu, akulah yang dikepit. Ke sana sini bersama, mencari pinjaman bank dan pinjaman orang persendirian.
“Rumah kami yang sebuah dan tanah sekangkang kera itulah dijadikan jaminan. Bila dah berjaya dan maju, aku dah tak boleh ikut ke sana sini lagi. Suruh duduk rumah jaga anak-anak dan jaga rumah tangga je.
“Dia keluar kononnya dengan pembantu, last-last ada skandal… Awak rasa patut ke dia buat macam tu?”
Jujurnya, saya rasa memang tak patut si suami buat hal macam tu. Masa susah bersama isteri, bila dah senang cari pula orang lain.
Tapi gunakan ubat guna-guna untuk tundukkan suami pun salah juga kerana selain dilarang di sisi agama, ia juga belum tentu menjamin kebahagiaan dapat dicipta semula tanpa keredhaan.
Mempercayai ubat guna-guna mampu `membeli’ semula kasih sayang dan mampu menundukkan perasaan orang lain, seolah-olah kita sudah hilang keyakinan pada diri sendiri dan kepercayaan pada Allah, dalam membentuk kebahagiaan rumah tangga.
Jangan Ajar Hati Menjadi Jahat
Jangan ajar hati menjadi `jahat’! Kerana sifat inilah yang membentuk diri seseorang untuk tersasar tujuan. Sejauh mana kita dapat menentukan perkara-perkara khurafat itu mampu `membeli’ semula kasih sayang seorang suami?
Pada pendapat saya, membeli hati seorang suami adalah dengan hati juga. Sekiranya, kita mampu `menundukkan’ hatinya dengan kasih sayang yang jujur, kebahagiaan itu bukan sahaja dapat kita kecapi di dunia ini tetapi akan membawa terus ke akhirat kelak.
Ada pelbagai cara dan usaha boleh dibuat dalam memenangi hati suami tanpa melibatkan orang yang tidak bertauliah atau berharap pada pertolongan ilmu yang salah.
Banyak panduan telah diberikan untuk diamalkan. Seorang isteri yang setia, sentiasa mengutamakan keinginan suami, memberikan kepercayaan dan menghormati suami serta menjaga tingkah laku dengan baik. Memiliki sifat-sifat seperti ini pastinya si isteri itu akan menjadi idola suami.
Jangan Mudah Melenting Ketika Diuji Masalah
Suami juga manusia biasa. Dia dilahirkan dengan segala kelebihan dan kelemahan. Menerima kelebihan dan kelemahan suami, akan membuatkan kita menyiasat diri sendiri, bahawa kita juga tidak sempurna sebagai seorang isteri.
Jadi sebaik-baiknya kita berkongsilah kelebihan masing-masing dan saling tegur-menegur dengan kelemahan yang ada, dalam mengeratkan kasih sayang.
Jangan mudah melenting atau mengikut perasaan jika dilanda masalah. Menarik semula hatinya harus seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Seorang suami pula jangan terlalu mengikut perasaan ego atau terlalu mementingkan diri sendiri sehingga isteri tidak tertahan dengan tingkah laku anda.
Rasa tertekan itulah kadangkala menjadi punca seorang isteri bertindak di luar kebiasaannya. Suami adalah pembimbing dan pelindung. Dan akan ditanya di akhirat kelak, jika gagal melaksanakan tanggungjawab penting ini.
Jangan belitkan isteri dengan derita sedangkan di hadapan tok kadi dulu anda berjanji untuk menjaga dan melindunginya.
Dalam rumah tangga, apa yang penting adalah masing-masing menjaga hati kerana kejayaan menjaga hati adalah punca penyelesai banyak masalah, baik di dunia mahupun akhirat.
Satu pesanan, jangan terlalu terdedah atau mendedahkan masalah rumah tangga di laman sosial kerana benda yang terdedah akan mengundang bahaya. Lindunginya dari menjadi bahan perdebatan., atau bahan tarikan `mangsa’…
Penulis : Nuri Supian, kolumnis ruangan Elok Budi majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...