Kekeluargaan

Isteri ‘Bertukar’ Jadi Orang Gaji Selepas Berkahwin, Masa Banyak Dihabiskan Untuk Keluarga

Share

Menyedihkan apabila suami menjadikan isterinya ‘orang gaji’ yang menguruskan rumah tangga bersendirian. Dalam sebuah perkahwinan suami isteri itu perlu saling bekerjasama agar rumah tangga jadi harmoni. Natijah daripada perkahwinan adalah mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan juga rahmah yang melahirkan cinta dan kebahagiaan.

Isteri ‘Bertukar’ Jadi Orang Gaji Selepas Berkahwin

 

Pada masa kini ramai wanita keluar bekerja bagi membantu meringankan beban kewanga suami. Sebagai penyumbang ekonomi keluarga maka sewajarnya seorang suami itu turut membantu meringankan tugas isteri dalam mengurus rumah tangga.

Tiada istilah semua kerja rumah dan menjaga anak-anak tugas isteri seorang. Suami tidak patut berkira untuk membantu isteri. Jika isteri sanggup keluar bekerja membantu mencari nafkah mengapa tidak sang suami juga dengan rela hati membantu isteri mengurus rumah tangga.

Berikut perkongsian bermakna Akhtar Syamir  Nor Azman 

“Sudikah kau menjadi orang gajiku?” Saya bagi situasi. Anda fikirkan logik dia. Dikongsi dari pm. Suami jarang bagi nafkah. Bila bagi, selalu minta balik. RM10, RM10, RM20.

Nampak kecil tapi bila kerap, nafkah yang diberi itu umpama dipulangkan semula. Duit yang diberi kena sentiasa ada apabila diminta.

Isteri dimarahi guna duit dekat pakaian dan keperluan lain. Duit barang dapur habis beli barang dapur pun dipersoalkan kenapa habiskan. Isteri buat bisnes kecil-kecilan. Duit keuntungan yang sedikit itu pun selagi tak habis, dia akan minta sedikit demi sedikit.

Apabila duit berkurangan, isteri dipersalahkan. Salah isteri kerana tak pandai menyimpan. Penjagaan diri isteri semakin terabai. Beli barang-barang kecantikan, dikatakan membazir.

Isteri pergi kelas bisnes untuk tambah ilmu dan terpaksa hantar anak-anak ke rumah mak kerana suami sibuk bermain game, tak boleh diharapkan untuk jaga. Ini pula dikatakan lebih mementingkan bisnes dari anak-anak. Anak-anak terabai katanya.

Game sudah menguasai diri. Balik kerja game. Masa dengan isteri, masa dengan anak sudah tiada. Tidur lewat, bangun lewat. Merungut tekanan tempat kerja.

Bila isteri tidak sihat pun dimarahi kerana tiada siapa yang nak uruskan anak dan buat kerja rumah. Masa bagi isteri sentiasa tidak cukup. Rumah, anak-anak, bisnes untuk tambah pendapatan keluarga.

Isteri rindu nak peluk suami macam dulu. Nak berbual-bual dan bermanja. Tiada langsung masa berbicara, berbincang. Suami cakap zaman itu sudah berlalu.

Isteri tertekan. Emosi tidak terjaga dan tidak dipedulikan. Kadang-kadang terlepas kemarahan kepada anak dan menangis menyesal selepas anak dimarahi dan dipukul.

Suaminya harapkan isteri yang kemas teratur bila dia balik kerja. Anak-anak makan elok-elok tak main-main, tak sepahkan barang. Rumah perlu sentiasa kemas tiada kotor satu pun bila dia balik. Isteri tak boleh sakit kalau boleh. Isteri tak boleh mengadu penat.

Masa Banyak Dihabiskan Untuk Keluarga

Serabut? Ini realiti para isteri sekarang. Jangan cakap benda sebegini tak berlaku. Saya banyak terima pm macam ini.

Kesimpulannya, isteri ditukar menjadi orang gaji selepas berkahwin.

Suami: Cari rezeki, main game, rehat. Emosi isteri kena jaga. Masa perlu dihormati.

Isteri: Cari rezeki, uruskan rumah, uruskan suami, uruskan anak. Emosi tak perlu jaga.

Itu semua memang tanggungjawab seorang isteri. Masa isteri perlu dihabiskan untuk keluarga.

Berubahlah. Jangan aniaya isteri sendiri. Jangan tukar orang yang anda cintai menjadi orang gaji. Sekurang-kurangnya orang gaji pun akan dapat gaji. Tapi isteri jadi lebih teruk dari itu.

Fikir semula anda nak kahwin untuk apa? Untuk ada teman seumur hidup atau untuk ada orang gaji seumur hidup?

Kepada isteri yang di dalam keadaan sebegini, anda perlu lebih tegas. Suami perlu tahu apa yang bakal dia hadapi dan hilang jika anda tiada lagi. Kadang-kadang orang tidak sedar sampailah masa bila dia kehilangan segala-galanya.

Jangan terasa jika anda bukan begini. Ini saya tunjukkan apa yang dilalui isteri yang di dalam perhubungan toksik begini. Saya tidak pukul rata. Harap faham. Perkongsian ini untuk dijadikan sempadan.

Sumber: Akhtar Syamir  Nor Azman 

Artikel berkaitan: Orang Gaji Boleh Jadi Insan Ketiga Dalam Rumah Tangga, Hubungan Suami Isteri Berantakan

Suami Jangan Kedekut Sedialah Simpanan Kecemasan, Bila Sakit Isterilah Dicari Bukan Orang Gaji!

Suami Bukan Majikan Isteri, Isteri Pula Bukan Orang Gaji Suami

IKLAN