perasaan anak

Sekadar bertanya, macam mana mak ayah jaga perasaan anak setiap hari? Adakah kalian bahagiakan mereka dengan membelikan mainan, bawa jalan-jalan atau cukup dengan menyediakan segala keperluan yang si kecil mahu?

Untuk kesedaran bersama, cubalah fahami hati seorang anak-anak dengan perkongsian Puan Salwa Mohd Saleh ini…

Peristiwa ini berlaku sudah 4 tahun yang lepas. Tapi saya belum pernah beritahu kepada sesiapa pun.

Hari ini saya kongsi, kerana selepas baca anda akan nampak, saya hanya ada 1 point sahaja.

Kira-kira beberapa bulan selepas saya berhenti bekerja di pejabat dan menjadi WAHM, saya bermimpi sesuatu. Dalam mimpi tersebut, Imran dan I’jaaz yang ketika itu berusia 4 dan 2 tahun, menunggu saya pulang berkerja. Tetapi mereka tidak tunggu di taska sebaliknya menunggu dua beradik di sebuah stesen bas. Dan dalam mimpi tersebut, perkara itu berlaku setiap hari sebagai rutin, selazimnya kita setiap hari yang menghantar anak dan mereka menunggu kita pulang.

IKLAN

Cuma satu perbezaan ketara, dalam mimpi tersebut saya yang menjadi Imran. Dan saya memegang tangan I’jaaz, setia menunggu ‘Emak’ pulang dan mengambil. Orang lalu lalang. Jam sudah 5 petang. Sepatutnya Emak sudah datang ambil tapi masih belum muncul. Makin lama makin ramai orang lalu lalang. Saya makin resah. Risau. Masih memegang tangan ‘adik’ saya. Kenapa Emak ambil lambat hari ini? Emak akan datang ambil tak?

Sumpah, perasaannya saya sendiri sukar nak gambarkan. Takut, cuak, ternanti-nanti, risau, kesian pada adik semuanya bercampur aduk. Nak menangis air mata tidak keluar. Hingga akhirnya hampir jam 6 lebih kurang, baru ‘Emak’ datang mengambil saya dan barulah lega. Bayangkan, itu hanya 1 jam lewat.

Saya terjaga dari mimpi. Air mata saya tumpah seperti empangan. Mungkin boleh saya katakan saya bukan menangis tetapi meraung. Rasa yang saya rasa dalam mimpi tadi, amat pedih. Susah nak digambarkan tetapi sebenarnya itulah mungkin rasa Imran dan I’jaaz selama hari ini. Cuma mereka tak dapat luahkan dan beritahu. Setiap kali pulang bekerja dan ambil mereka, memang mereka tunggu di muka pintu dengan muka gembira bukan main. Emak mereka mahu ambil mereka pulang.

IKLAN

Dan dirumah saya akan terus dengan kesibukan saya dengan rutin memasak, mengemas dan marah-marah bila mereka buat perangai sedangkan mereka sudah seharian menunggu di rumah.

Saya kesal yang amat. Malah sewaktu menulis itu pun pedih dari mimpi yang sudah berzaman tersebut masih ada menghangatkan air mata. Keputusan saya berhenti kerja ada hikmah besar tapi saya tidak juga menidakkan keperluan ramai ibu di luar sana utk bekerja.

Point saya adalah, itulah perasaan anak-anak kita setiap hari. Mereka menunggu kita penuh sabar walau selalu lewat. Perasaan mereka tercalar, kecewa, sedih dan mengharapkan kita pulang melayan mereka.

IKLAN

Dan kerana itulah saya dahulu pernah lancarkan kempen 10 minit bersama anak-anak (baca lanjut di sini: http://www.salwasaleh.com/20…/…/kempen-10-minit-pertama.html ) Saya menyeru ibubapa, sesibuk mana pun 10 minit pertama menyambut anak tidak kira di taska, sekolah atau di rumah, luangkan dahulu masa mendengar cerita-cerita mereka. Peluk mereka dan dengar apa mereka nak kata. Raikan anak.

Saya juga berusaha seperti itu. Jika saya keluar untuk mengajar, atau saya ada urusan, pulang sahaja ke rumah anak-anak saya akan bergegas buka pintu dan sambut saya di kereta. Kerana mereka tahu ada buah tangan dan saya akan mendengar apa cerita mereka dahulu. Walaupun saya emak yang tegas dan garang juga orangnya, tapi saya tahu anak-anak sangat rapat dengan saya. Sebolehnya tidur pun semua berhimpit-himpit nak sebelah Emak, makan pun semua berebut nak duduk di tepi Emak.

Entahlah…
Saya pun tak tahu kenapa saya nak cerita semua ini.
Mungkin saya mengharapkan tiada anak-anak terlalu kecewa dan rasa pedih seperti saya rasa dalam mimpi tersebut walaupun hanya mimpi.

Atau saya mengharapkan saya dapat bantu ibubapa untuk buka mata, dan mula meraikan anak-anak mereka?