Ibarat air dicincang yang takkan putus, begitulah istimewanya hubungan adik beradik.Namun yang membuat rasa terkilan, apabila adik beradik semakin meningkat dewasa, usia semakin bertambah dan masing-masing sibuk mengejar impian serta cita-cita masing-masing.Hubungan yang pernah erat ini semakin renggang dan menjauh.
Mungkin ada adik beradik yang berjaya dalam hidup dan mungkin ada juga yang kecundang. Namun, janganlah sampai kita mengabaikan hubungan adik beradik meskipun sudah berbeza haluan. Kenangkan kembali zaman kanak-kanak kita membesar bersama-sama di bawah bumbung rumah yang sama dan berkongsi rahim yang sama.
Adat adik beradik ada kala terjadinya perselisihan faham dan perselisihan pendapat. Bila dah bermasam muka dan tidak bertegur sapa, nak berbaik semula tu yang susah.Buanglah yang keruh ambillah yang jernih.Jagalah hubungan sesama adik beradik, saling bermaafan dan menghormati. Kadang kala mengalah bukan sebab kalah, kita mengalah sebab hormatkan dengan hubungan yang ada.
Sebenarnya bila adik beradik bergaduh sebenarnya telah hilang rahmat Allah dalam keluarga tu sebab tu penting jaga hubungan dengan adik beradik.Kalau kita tengok ada adik beradik kita susah sikit dan Allah bagi kita rezeki lebih.Bantulah adik beradik kita.Bukan kah sebaik baik sedekah adalah kepada ahli keluarga yang terdekat.
Ini antara 10 tip yang boleh dipraktikan bagi merapatkan lagi hubungan antara adik beradik.
Tip Jaga Hubungan Adik Beradik:
1. Solat Berjemaah
Jika masih tinggal serumah, rebut peluang solat secara berjemaah sesama adik beradik. Apatah lagi selepas bersolat kita akan bersalaman sesama adik-beradik dan berdoa bersama-sama. Dengan itu hubungan kekeluargaan akan lebih diberkati oleh Allah SWT. Jika berjauhan,jadikan amalan solat berjemaah ini sebagai rutin setiap kali berkumpul bersama.
2. Makan Bersama
Waktu makan ialah waktu yang tepat bersama-sama atau berkumpul beramai-ramai. Tambahan lagi jika melibatkan adik beradik dan ahli keluarga yang ramai, tetapkanlah satu waktu dan keraplah makan bersama-sama. Selain itu, boleh juga sesekali makan didalam dulang dengan adik beradik. Selain merupakan sunnah ia mampu mengeratkan lagi hubungan adik beradik, apabila dapat bergurau senda dan makan bersuap pasti menambah kemesraan. Bahkan jika terdapat apa-apa majlis seperti kenduri dan keraian, berkunjunglah agar hubungan sesama adik-beradik setiasa rapat dan tidak terputus.
Ads
3. Berkongsi Masalah Dengan Adik-Beradik
Berbanding kawan-kawan, adik beradik, mak ayah dan keluarga kita lah antara orang yang paling boleh dipercayai. Ini kerana mereka lebih mengenali kita berbanding orang lain dan dapat memberi nasihat yang lebih tepat dan yang terbaik untuk kita sebagai ahli keluarganya.
4. Melakukan Aktiviti Bersama-Sama
Jangan selesa apabila bersendirian tanpa keluarga dan adik-beradik. Lakukanlah apa-apa jua aktiviti secara bersama-sama. Ambillah waktu untuk bercuti bersama-sama ataupun melakukan aktiviti riadah dengan ahli keluarga seperti berkelah,bersenam, membeli-belah dan sebagainya. Paling terbaik, adakan hari keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan.
5. Menyambut Hari Penting
Ahli keluarga juga boleh mengeratkan hubungan dengan meraikan hari-hari penting bagi setiap ahli keluarga. Contohnya meraikan ulang tahun setiap adik-beradik, ulang tahun perkahwinan mak ayah dan sebagainya.Tindakan ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi sebagai tanda penghargaan kepada ahli keluarga tersebut. Mereka juga akan berasa bahagia dan gembira.
Ads
6. Memberi Hadiah Dan Buah Tangan
Jika ada rezeki lebih, contohnya jika pulang dari bercuti atau melancong, belilah apa-apa sahaja untuk ahli keluarga, biarlah tidak mahal tetapi tetap ada untuk mereka.Jenama, harga dan rupa tidaklah penting, tetapi pemberian tersebut yang ikhlas akan memberi kesan.
7. Sentiasa Berhubung
Seringlah berhubung antara satu sama lain walaupun berada di tempat yang berjauhan. Dengan kemudahan teknologi hari ini sudah tidak ada alasan lagi untuk tidak berhubung.Contohnya aplikasi whatsapp, facebook yang memudahkan kita menghubungi adik-beradik dan keluarga bila-bila masa sahaja. Tidak seperti zaman dahulu yang memerlukan sepucuk surat sampai berhari-hari lamanya.
8. Saling Menghormati
Hal yang sangat perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah rasa hormat antara satu sama lain, terutamanya bagi adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT. Namun ni tidak bermakna abang dan kakak tidak perlu menghormati adik-adiknya. Hormat menghormatilah antara satu sama lain daripada aspek percakapan, perbuatan menjaga perasaan dan sebagainya. Jangankan kita sahaja mengharapkan orang lain menghormati kita tanpa kita menghormati orang lain terlebih dahulu.
Ads
9. Menghargai Dan Mencari Kelebihan Mempunyai Adik-Beradik
Mak ayah sewajarnya mendidik anak-anak untuk bersyukur kerana diberi adik-beradik. Ajarlah mereka mensyukuri apa yang ada dan membandingkan diri dengan mereka yang tidak mempunyai adik-beradik.Jangan sesekali berasa tertekan dan mengangap bilangan adik beradik yang ramai sebagai bebanan dan sukar, sebaliknya anggaplah kehadiran adik-beradik sangat memeriahkan dan tidak sunyi.
10.Mudah Memaafkan
Adalah perkara biasa jika terdapat perselisihan antara adik-beradik. Namun, hal tersebut jangan dipanjangkan dan segera diselesaikan daripada dibiarkan berlarutan. Segeralah memohon maaf dan mudahkanlah menghulurkan kemaafan. Jangan ego dan terlalu meninggi diri dengan adik-beradik, tetapi keraplah bertolak ansur dan bersangka baik. Jika ada perkara salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan cara yang berhikmah dan lemah lembut. Cara itu adalah lebih baik dalam menjaga keharmonian kekeluargaan.
Menjaga keharmonian institusi keluarga sangat penting dan dituntut dalam agama. Walaupun sering berselisih faham, bergaduh dan berebutkan benda, adik-beradik tetap mempunyai hubungan yang istimewa antara satu sama lain.
Aduhai! Nak masuk tengah malam saja perut jadi lapar. Doktor pula dah bagi amaran siap-siap, jaga makan kalau tak nak kena kencing manis masa mengandung. Mulalah susah hati. Kejadian lapar ni sebab nafsu ke memang betul-betul lapar sebenarnya. Ke sebab mak nak kunyah-kunyah atau ‘baby’ yang nak makan.Buntukan fikir puncanya…
Masa hamil inilah sebenarnya mak kena jaga pemakanan. Jangan jadikan ‘baby’ teringin sebagai alasan nak makan lebih. Bimbang terlebih ambil boleh sebabkan obesiti dan kehadiran penyakit yang lain.
Kena Tahu Punca Lapar Menjelang Malam
Stres
Ramai di antara mak mengandung asyik hendak makan terutama waktu malam. Ketika kepala penuh masalah, alternatif dicari untuk menimbulkan rasa gembira. Makanan akan membuatkan seseorang berasa kenyang dan puas hati. Lama kelamaan ia menjadi tabiat dan akan menyebabkan kenaikan berat badan yang banyak.
Salah Tafsir Pun Bahaya
Otak tidak dapat membezakan rasa haus dengan lapar. Jadi sebelum mencari makanan pada waktu malam, minumlah air kosong dahulu. Jika masih juga lapar, barulah mencari makanan yang sesuai pula.
Makan Ikut Suka, Tak Kena Pula Dengan Cita Rasa
Makan tidak tetap atau makanan yang diambil pada waktu siang tidak memuaskan kehendak diri. Maka timbullah rasa lapar pada waktu malam. Bagi mengatasinya baik anda sediakan makanan dari rumah atau beli makanan yang disukai dn bawa sebagai bekalan di pejabat. Aturkan juga untuk makan lima kali sehari dengan jumlah kalori sebanyak 400 kalori sahaja setiap kali makan. Dengan mengawal kekerapan jenis pemakanan, mak mengandung boleh menjaga jumlah kalori menjadi 2000 sehari. Misalnya jika suka makan nasi lemak, pastikan hidangan nasi sebesar mangkuk kecil, pilih telur rebus, bukannya telur goreng dan banyakkan timun atau kangkung sebagai bahan sampingan.
Awas! Gula Memudaratkan
Jika anda suka makanan manis pada waktu pagi, tengah hari dan petang, badan anda pasti akan ketagih gula. Akibatnya pada waktu malam, ibu hamil teringin makanan yang manis atau berkarbohidrat. Gantikan gula dalam makanan dengan buah-buhan dan mengunyah gula-gula getah ataupun mendisiplinkan diri untuk tidak makan makanan yang bergula.
Amalan Mudah Elak Lapar Sebelum Tidur
Makan makanan berserat tinggi.
Minum air kosong secukupnya.
Ambil susu sebelum masuk tidur, ia boleh mengenyangkan sehingga anda bangun esok hari.
Makan makanan jejari seperti biskut atau buah-buahan selepas menikmati makan malam.
Cara Kontrol Nafsu Makan Masa Hamil
Tak perlu makan secara berlebihan sebaik disahkan hamil sampailah minggu ke-26. Anda cuma perlukan kira-kira 2000 kalori sehari
Bermula dari minggu ke-27 sampai nak bersalin, keperluan wanita hamil akan meningkat kepada 2200 kalori sehari sahaja. Jika anda mengambil makanan sehingga jumlah kalori yang dimakan berlebihan, sudah pasti berat badan akan naik berlebihan juga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri penat mental dan emosi, jadi cepat hilang sabar, sensitif. Apabila berbicara tentang penat, tidak kira lelaki atau perempuan, masing-masing mempunyai beban dan keletihan tersendiri.
Isteri Penat Mental & Emosi, Jadi Cepat Hilang Sabar, Sensitif
Bagaimanapun perbezaan antara penat lelaki dan perempuan terletak pada punca dan cara menanganinya.
Penat Lelaki: Fizikal
Kebanyakan lelaki mengalami penat fizikal disebabkan oleh penggunaan tenaga dan anggota badan untuk melakukan kerja. Penat fizikal ini boleh dirawat dengan mendapatkan rehat yang secukupnya, mengambil suplemen, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga pemakanan, dan tidur yang mencukupi. Aktiviti seperti bersenam dan makan makanan berkhasiat juga dapat membantu mengurangkan penat fizikal.
Penat Perempuan: Mental dan Emosi
Sebaliknya, penat yang dialami oleh perempuan lebih banyak berkaitan dengan mental dan emosi. Keletihan ini sukar dirawat jika pasangan tidak memahami keadaan mereka. Penat mental dan emosi ini melibatkan perasaan serta emosi yang mungkin tidak diluahkan untuk menjaga hati orang lain, terutamanya pasangan.
Memendam Perasaan
Memendam perasaan adalah punca utama penat mental dan emosi dalam kalangan wanita. Tanda-tanda bahawa isteri mengalami keletihan ini termasuk cepat marah atau meninggi suara atas kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak, seperti tertumpah minuman, terjatuhkan barang, atau tidak memberi respons apabila dipanggil. Isteri yang cepat hilang sabar menunjukkan bahawa bukan kesalahan anak-anak itu yang besar, tetapi mental dan emosinya yang sudah penat.
Tanda-tanda Isteri Penat Mental dan Emosi
Apabila kita mendengar isteri mula meninggi suara kepada anak-anak, ketahuilah bahawa dirinya sudah penat mental dan emosi. Ini mungkin kerana suami membiarkan isteri bertungkus-lumus dan berperang seorang diri dengan anak-anak, sementara suami hanya duduk menonton televisyen atau bermain telefon bimbit.
Menghadapi Keletihan Emosi
Isteri yang penat mental dan emosi juga akan menunjukkan tanda-tanda seperti hilang mood untuk bergurau senda, tidak mempamerkan riak wajah gembira atau sedih, menjadi kurang ramah, menjauhkan diri dari suami, mengasingkan diri di dapur atau bilik, dan menangis tanpa sebab. Isteri menjadi cepat sensitif kerana dalam hatinya bergelora, fikirannya serabut, dan banyak perasaan bercampur aduk.
Cara Merawat Penat Mental dan Emosi
Penat mental dan emosi ini hanya dapat dirawat jika suami menolong meringankan beban yang ditanggung isteri, berkomunikasi dan menyelami isi hati isteri, menghargai apa yang telah dilakukan dalam rumah tangga, serta membawa isteri keluar atau bercuti seketika untuk menjauhkan diri dari persekitaran yang sama setiap hari. Jangan biarkan isteri menghadapi keletihan ini seorang diri jika kita masih perlukan kehadiran dirinya dalam hidup kita.
Dengan memahami dan menghargai perbezaan antara penat fizikal lelaki dan penat mental serta emosi wanita, kita dapat mencipta suasana yang lebih harmoni dan menyokong antara satu sama lain dalam rumah tangga.
“Ayah sempat minta maaf, pesan jadi isteri yang baik.” Lelaki ini meninggal dunia selepas nikahkan anak-anaknya.
Semoga keluarga ini tabah mendepani ujian berat ini. Kehilangan bapa bukan sesuatu yang mudah ditelan, apatah lagi di hari bahagia. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Lelaki Meninggal Dunia
Majlis kenduri kahwin yang dirancang untuk meraikan dua beradik perempuan sempena pernikahan mereka bertukar kepada majlis tahlil dan bacaan Yasin apabila bapa mereka tiba-tiba rebah lalu meninggal dunia selepas mereka diijabkabulkan.
Kejadian pada pukul 12 tengah hari 25 Disember lalu itu berlaku sebaik Zainol Baharom, 57, tiba di rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob Karang, Kulim, Kedah selepas menyaksikan pernikahan dua anak gadisnya, Siti Nor Akashah, 22, dan Siti Nor Amira, 21, di Pejabat Agama Kulim.
Selepas Nikahkan Anak
Mengimbau semula kejadian itu, Siti Nor Akashah memberitahu, bapanya tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketika mereka sama-sama pergi ke pejabat agama untuk majlis pernikahan.
Bagaimanapun, katanya, ketika ingin pulang dengan menaiki kereta, bapanya kelihatan tenat sepanjang perjalanan pulang dan terus rebah sebaik mereka tiba di rumah.
“Bapa sempat meminta maaf kepada kami kerana hanya boleh menjadi wali dan tidak dapat menikahkan kami kerana faktor kesihatan dan hanya menyerahkan kepada jurunikah di pejabat agama.
“Setelah selesai akad nikah saya dan adik di pejabat agama kulim, keadaan ayah tenat dan setelah sampai di rumah dalam beberapa minit sahaja ayah terus baring di atas katil dan pergi meninggalkan kami,” katanya.
Arwah Zainol sempat walikan anak-anaknya sebelum pergi buat selamanya.
Ayah Sempat Minta Maaf
Tambah anak keempat daripada enam beradik itu, arwah bapa merupakan pesakit kencing manis dan dia mudah penat kerana penyakitnya itu.
Menurut Siti Nor Akashah, walaupun sedih dan terkejut, mereka reda dengan apa yang berlaku dan majlis kenduri kahwin digantikan dengan bacaan Yasin dan tahlil kerana pemergian bapa.
“Arwah bapa seorang yang peramah dan bertanggungjawab selain suka berjenaka dengan semua orang terutamanya dengan anak-anak. Bapa tidak menunjukkan sebarang kelakukan ganjil atau pelik sebelum kejadian,” katanya.
Ujar Siti Nor Akashah, arwah bapanya sempat berpesan kepada mereka supaya menjaga rumah tangga serta menjadi isteri yang baik semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Arwah ayahnya turut meluahkan kesedihannya apabila tidak dapat menjadi jurunikah kepada kami disebabkan faktor kesihatan.
“Kalau sihat, memang arwah ayah berhasrat mahu menikahkan kami tetapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan,” ujarnya.
Jenazah Zainol selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Mutiara selepas waktu Asar pada hari yang sama.
Mingguan Wanita: MW merakamkan takziah kepada keluarga arwah Zainol dan harap mereka redha dengan apa yang berlaku. Al-Fatihah.
Inkues Zara Qairina bermula 3 September 2025, seramai 195 saksi dirakam percakapan. Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar...